Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM1 juta naik taraf rumah, kemudahan kampung Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 5 MAC : Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM1 juta untuk membina dan menaik taraf kediaman serta kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai perkara tersebut sama ada perlu dibaiki atau dibina baharu.

“Kita sedakan dana bagi tujuan keselesaan masyarakat Orang Asli. Justeru kita akan dapatkan maklum balas Jakoa mengenai rumah yang perlu dibaiki atau dibina baru.

“Bukan sahaja rumah, kita juga akan melihat kemudahan seperti jeti yang perlu dibaik pulih, kita akan kumpul maklumat terlebih dahulu sebelum perhalusi kos perbelanjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini.

Mengulas jangkaan projek itu bermula, Loy Sian berkata pihaknya akan berusaha secepat mungkin selepas maklumat lengkap diperoleh.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan #Selangor 2022 mengumumkan peruntukan tersebut untuk meningkatkan keselesaaan masyarakat Orang Asli.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

 

Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Masyarakat Orang Asli luah syukur terima bakul makanan, jimat belanja dapur

PELABUHAN KLANG, 5 MAC :Masyarakat Kampung Orang Asli di Sungai Dua, Pulau Ketam di sini meluahkan kesyukuran selepas menerima bantuan bakul makanan sekali gus meringankan beban mereka.

Wakil Tok Batin  Kamarul Abdullah berkata penduduk di kampung tersebut amat mengharapkan sumbangan berkenaan terutama dalam tempoh pandemik ketika ini.

Wakil Tok Batin Kamarul Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dengan bantuan bakul makanan ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan belanja dapur dalam tempoh sebulan hingga dua bulan, jadi buat sementara ini tidak perlu ke pekan untuk beli barangan keperluan.

“Terima kasih Kerajaan Selangor termasuk badan bukan kerajaan yang tidak putus-putus membantu penduduk Orang Asli,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung inisiatif Kerajaan Selangor mahu menaik taraf perkampungan dan kediaman Orang Asli, Kamarul menyambut baik dan berharap lebih banyak kemudahan dapat dirasai selepas ini.

“Kita berharap Kerajaan Negeri dapat beri perhatian terutama melibatkan infrastruktur seperti jeti di sini yang hampir roboh dan mengundang bahaya kerana ia merupakan laluan utama kami.

“Harap juga kerajaan dapat meneliti untuk membina tangki air kerana adakalanya hampir dua bulan kami terputus bekalan air,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Terdahulu EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

6,000 bakul makanan selesai diagih kepada masyarakat Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 4 MAC: Sebanyak 6,000 bakul makanan berjaya diagihkan di 74 perkampungan Orang Asli di seluruh Selangor sejak tahun lalu, kata EXCO hal ehwal orang asli.

Hee Loy Sian berkata sumbangan itu hasil kerjasama dan tajaan sepenuhnya daripada Malaysian Chamber of Commerce Hong Kong and Macau (Maycham China).

“Saya hanya menyampaikan sumbangan ini yang ditaja sepenuhnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dan ia adalah program agihan ketiga kepada masyarakat Orang Asli.

“Sebelum ini, pada pusingan pertama dan kedua Kerajaan Selangor ada menyediakan peruntukan bantuan kira-kira RM300,000,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan dan agihan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, di sini hari ini.

Mengenai bantuan hari ini, Loy Sian berkata kawasan Kampung Orang Asli Sungai Dua adalah destinasi terakhir program itu dan ia membabitkan 18 keluarga.

“Program ini tergendala akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19 dan kejadian banjir baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya berharap sumbangan ini mampu meringankan beban mereka dan tidak terputus bekalan makanan terutama ketika pandemik,” katanya.

Loy Sian berkata pihaknya akan terus membantu masyarakat Orang Asli di seluruh Selangor termasuk menyalurkan bantuan kewangan dan membaik pulih infrastruktur.

Categories
AGENDA NASIONAL

Seminggu hilang di Hutan Temenggor, operasi cari kanak-kanak Orang Asli diteruskan

IPOH, 19 JAN: Kehilangan kanak-kanak perempuan Orang Asli dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik masih menjadi misteri apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukannya walaupun sudah memasuki hari keenam hari ini.

Kamaliah Anab, 10, yang berambut keriting dan tinggal di Hutan Temenggor Kampung Selaur kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan berseluar biru.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Kamaliah pada kira-kira 10 pagi Jumaat lepas iaitu sehari selepas dia keluar mencari sumber makanan dan hasil hutan seperti rotan bersama keluarga dan rakan sebayanya.

“Mangsa (Kamaliah) disedari hilang selepas keluarganya pulang ke rumah. Pada hari kejadian, orang kampung ada mencari mangsa di kawasan sekitar berdekatan Hutan Temenggor namun gagal menjumpainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak Sapura telah memulakan pencarian selepas menerima laporan namun belum memperoleh sebarang petunjuk.

“Pasukan SAR turut dipergiat dengan penglibatan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap JBPM Perak berkata operasi pencarian yang diketuai pihak polis diteruskan pada 8.40 pagi tadi dalam jarak lapan kilometer.

“Operasi hari ini dijalankan dengan bantuan unit dron dari agensi luar bagi memudahkan pencarian di udara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki maut dibaham harimau belang

GUA MUSANG, 7 JAN: Seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai, di sini, jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa dikenali sebagai Anek Bin Along berusia 59 tahun.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari daripada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan maklumat itu kemudiannya disahkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Berdasarkan maklumat yang diterima kejadian berlaku ketika mangsa keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi di belakang rumahnya kira-kira pukul 9.10 pagi.

“Ketika itu anak mangsa mendapati bapanya telah tiada dan setelah dipanggil beberapa kali dan mencari di belakang rumah didapati ada kesan darah pada daun-daun pokok berdekatan sebelum memanggil orang kampung untuk mencari bapanya di kawasan hutan dan telah ternampak seekor harimau berdekatan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sik berkata penduduk dilaporkan telah membaling lembing ke arah harimau tersebut dan dipercayai terkena di bahagian muka menyebabkan haiwan itu melarikan diri.

Beliau berkata sepasukan anggota daripada Balai Polis Gua Musang telah ke tempat kejadian pada jam 5.40 petang, bagi membawa keluar mayat mangsa dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram (kg) berjaya ditembak mati, selepas cuba menyerang anggotanya yang membuat pencarian di kawasan hutan tempat kejadian pada jam 12.15 tengah hari.

Katanya tindakan itu terpaksa dijalankan berikutan harimau belang berkenaan telah meluru ke arah pasukan tangkapan jabatan itu.

“Tindakan ini juga bersesuaian dengan Seksyen 52, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana hidupan liar berkenaan berbahaya kepada nyawa manusia,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Banjir: 237 keluarga Orang Asli Bukit Tadom terima alat kelengkapan rumah

BANTING, 31 DIS: Seramai 237 keluarga mangsa banjir di Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini menerima bantuan alat kelengkapan rumah sumbangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Bantuan dapur gas, selimut, bantal dan toto disampaikan oleh EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah di balai raya kampung berkenaan hari ini.

Borhan berkata sumbangan Majlis Jaksa Pendamai Selangor (JP Selangor) dan Tanjong Wahyu Sdn Bhd sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kumpulan etnik terbabit yang turut terjejas dalam bencana dua minggu lalu.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Borhan Aman Shah (tiga, kiri) bersama Sukarelawan Majlis Jaksa Pendamai Selangor (JP Selangor) menyerahkan sumbangan kepada 237 keluarga mangsa banjir di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita dengar keluhan mereka yang turut terperangkap dalam banjir dan memerlukan bantuan khas. Jadi, bantuan sebegini memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Kita berterima kasih kasih kepada pihak berkaitan kerana sudi menyalurkan bantuan. Kita yakin selepas ini banyak lagi bantuan dari aspek pembersihan dan makanan akan diterima mangsa,” katanya kepada Selangorkini.

Hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil Hamidi A Hasan dan Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom Hadi Jembik.

Dalam perkembangan lain, Borhan yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat berkata tiada barangan warisan negeri ini yang rosak ekoran bencana terbabit berikutan kebanyakan ditempatkan di tempat tinggi.

“Alhamdulillah, sejarah warisan nampaknya tidak terlibat dengan banjir. Banyak barang warisan disimpan di muzium atas bukit misalnya di Kuala Selangor dan Bukit Jugra,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Penduduk kampung Orang Asli kekal berkhemah di lokasi tinggi

DENGKIL, 30 DIS: Bimbang kemungkinan gelombang kedua banjir, penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang di sini mengambil keputusan untuk tinggal sementara di dalam khemah yang didirikan di lokasi tinggi, tidak jauh dari kediaman mereka.

Kira-kira 20 keluarga Orang Asli kampung itu masih menetap di 21 khemah biarpun banjir yang melanda kampung berkenaan pada 18 Dis lepas telah surut sepenuhnya.

Seorang penduduk, Senja Jampo, 44, berkata meskipun kawasan itu telah memasuki fasa pascabanjir, penduduk masih trauma dan risau untuk tinggal di rumah masing-masing kerana risiko gelombang kedua banjir.

“Penduduk kampung sedia maklum mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir. Oleh itu, semua ambil keputusan untuk menetap sementara di khemah ini… ada yang trauma dan terkejut kerana rumah ditenggelami air.

“Khemah-khemah yang didirikan ini dibeli sendiri oleh penduduk serta disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang memberikan bantuan di kampung ini,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda, beliau berkata lokasi penempatan sementara itu adalah satu-satunya kawasan yang tidak dinaiki air di kampung tersebut.

“Memang sejak banjir melanda kami tinggal di khemah ini. Banjir kali ini adalah paling teruk sejak 1971 dan semua rumah penduduk di kampung ini ditenggelami air,” katanya.

Samsir Bindut, 36, berkata rata-rata penduduk telah melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah masing-masing dan buat masa ini, penduduk hanya akan masuk ke rumah untuk mandi namun akan tidur dan makan di khemah.

“Ini memang langkah berjaga-jaga memandangkan lokasi kampung berisiko dinaiki air kerana terletak berhampiran Sungai Langat,” katanya.

Sementara itu, Ramli Ali, 35, berkata walaupun penduduk tidak tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), mereka sentiasa menerima bantuan daripada NGO dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Ada yang datang beri bekalan makanan dan penduduk bergotong-royong untuk menyediakan makanan kerana kami mempunyai segala peralatan memasak,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati pegawai Jakoa turut hadir ke lokasi tersebut untuk membantu penduduk terkesan banjir mengisi borang permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) serta bantuan lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Tempoh pembersihan di Genting Peras dijangka dua minggu

HULU LANGAT, 29 DIS: Tempoh pembersihan kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat menjalankan operasi pembersihan dan dijangka lebih banyak kawasan dapat dibersihkan dalam tempoh tersebut.

“Perkampungan ini satu-satunya kawasan yang terputus bekalan akibat tanah runtuh berbanding kawasan lain disebabkan banjir. Minggu lepas kita lihat lebih 30 kawasan tanah runtuh antara Genting Peras ke Kuala Klawang.

“Kalau dilihat dari awal lagi susah kerana tiada laluan dan mengambil masa lima ke enam jam tetapi kini sebahagian daripadanya boleh dilalui,” katanya ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras.

Dalam program sama, Amirudin turut melepaskan 58 sukarelawan pendaki dan anggota bomba yang terlibat dalam operasi mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan.

“Lebih 600 individu daripada 54 keluarga berada di perkampungan itu yang masih berada di atas disebabkan kesukaran mereka untuk turun.

“Kita berpendapat tidak praktikal untuk membawa mereka turun kerana melibatkan kanak-kanak dan orang tua. Setakat ini, bekalan makanan yang dihantar kepada mereka mencukupi untuk tempoh seminggu,” katanya.

Keadaan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENSI SELANGOR

LZS bantu bapa tunggal Orang Asli sara empat anak

SHAH ALAM, 14 DIS: Seorang bapa tunggal keturunan Orang Asli menerima bantuan keperluan harian bagi menyara empat anaknya selepas hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata pihaknya menziarahi lelaki dikenali sebagai Rizal dari Kuala Kubu Bharu ketika proses pengislaman beliau sekeluarga di pejabat agama daerah berkenaan.

“Sejak kehilangan pekerjaan, beliau tetap berusaha dengan membuat pelbagai kerja dan mencari hasil hutan bagi memenuhi keperluan keluarganya.

“Antara bantuan Rizal dan keluarga akan terima adalah bimbingan kelas pengajian agama, bantuan asasi dan keperluan lain,” katanya di Facebook.

LZS juga berharap Rizal terus istiqamah mendalami ajaran Islam selain mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri kumpul data rumah Orang Asli perlu dibaiki, bina baru

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat berkaitan kediaman masyarakat Orang Asli bagi proses membina, baik pulih dan menaik taraf kedaifan.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata pengumpulan data itu susulan pembentangan Dato’ Menteri Besar dalam Belanjawan #Selangor 2022 yang memperuntuk RM1.5 juta bagi tujuan keselesaan etnik terbabit.

“Kita akan dapat maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan wakil rakyat mengenai keadaan rumah-rumah penduduk sama ada perlu dibaiki atau dibina baru.

“Keadaan setiap rumah tidak sama dan kos perbelanjaan juga tidak sama jadi kita kumpul maklumat terlebih dulu,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata ini kali pertama belanjawan Kerajaan Selangor memberi peruntukan untuk membina rumah untuk masyarakat Orang Asli.

“Ini adalah berita gembira dan mereka menyambut baik usaha Kerajaan Negeri ini kerana sebelum ini hanya peruntukan baik pulih,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

“Kemudahan-kemudahan prasarana sedia ada juga akan dinaik taraf sekali gus menaikkan sosioekonomi dan mengekalkan budaya masyarakat Orang Asal yang telah sekian lama diamalkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM1.5 juta tingkat keselesaan Orang Asli

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM1.5 juta diperuntuk untuk meningkatkan keselesaaan masyarakat Orang Asli di Selangor selain memastikan mereka lebih berdaya saing.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

“Kemudahan-kemudahan prasarana sedia ada juga akan dinaik taraf sekali gus menaikkan sosioekonomi dan mengekalkan budaya masyarakat Orang Asal yang telah sekian lama diamalkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenal Dana Bantuan Guaman Selangor sebanyak RM1 juta dengan kerjasama daripada Selangor Bar Council dan Selangor Legal Aid Centre.

Amirudin berkata inisiatif baharu itu membantu golongan kurang berkemampuan yang ditindas dan teraniaya mendapatkan bantuan guaman.

“Antara isu dibantu dari aspek guaman adalah keganasan domestik dan kehilangan pekerjaan kepada rakyat Selangor dalam kategori golongan berpendapatan rendah (B40) yang kurang berkemampuan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 90 peratus penduduk Tanjung Sepat lengkap dos vaksin

TANJUNG SEPAT, 31 OKT: Lebih 90 peratus penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat lengkap menerima suntikan pelalian.

Wakil rakyat Borhan Aman Shah berkata penduduk yang lengkap dua dos suntikan turut melibatkan masyarakat Orang Asli.

“Majoriti penduduk memberi kerjasama dan bagi penduduk yang uzur juga sudah divaksin dengan menghantar petugas kesihatan ke rumah mereka.

“Buat masa ini, kita memfokuskan vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun,” katanya pada Program Batik Plogging (pembersihan pantai) di Pantai Batu Laut hari ini.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat pemberian vaksin rakyat.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Program Selvax Komuniti diberi secara percuma dapat memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.