Categories
AGENDA NASIONAL

i-Sinar: Ramai tarik nafas lega tetapi ada masih keliru

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Suri rumah, pemandu bas sekolah, kru filem dan pekerja hotel kini boleh menarik nafas lega apabila mereka dinyatakan sebagai antara kategori yang bakal mendapat kelulusan secara automatik program i-Sinar, bermula pertengahan bulan ini.

Ini susulan kategori itu turut dipaparkan laman sosial Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas institusi tersebut membuat pengumuman berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar, Rabu lepas.

Seorang suri rumah Kamilia Mohd, 28, berkata kelulusan secara automatik itu memudahkannya kerana tidak perlu berhadapan prosedur  melecehkan membuat pengeluaran caruman KWSP.

“Suami bekerja sendiri dan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac lepas pendapatan memang agak terjejas kerana pada waktu itu dia tidak boleh keluar untuk berniaga dan sekarang pun pendapatannya tidak serancak sebelum ini.

“Jadi apabila ada program i-Sinar dan sebagai suri rumah, walaupun saya tidak lagi mencarum hampir 10 tahun, agak memudahkan kerana tidak perlu melalui prosedur melecehkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemandu van sekolah Noria Rashid, 45, pula menyifatkan pengeluaran wang diluluskan secara automatik kepada pemandu van dan bas sekolah yang menjadi ahli KWSP sepertinya, secara tidak langsung memberi sedikit harapan kepada kumpulan pekerjaan sangat terjejas pendapatan.

Noria berkata buat masa ini dia terpaksa menjual aiskrim Malaysia sebagai sumber pendapatan alternatif susulan penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak 14 Okt lepas.

“Saya tahu program i-Sinar, tetapi tidak tahu kami sebagai pemandu van dan bas sekolah boleh dapat secara automatik, jika benar insya-Allah kami akan memohon.

“Adanya sedikit duit (KWSP) dapatlah kami bernafas buat sementara sebelum sekolah dapat dibuka dan perkhidmatan kami beroperasi semula,” katanya.

Ayuni Zamani, 36, seorang penulis skrip bebas turut senada dan menyifatkan program itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang perlu melunaskan beberapa komitmen tertangguh sebelum ini.

Katanya walaupun jumlah caruman KWSP yang boleh dikeluarkan tidak besar, sedikit- sebanyak dapat membantu ketika keadaan industri perfileman dan drama tempatan terjejas oleh Covid-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pejabat KWSP di ibu negara mendapati kebanyakan pencarum  ditemui memilih berjumpa pegawai KWSP bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kemudahan pengeluaran caruman daripada Akaun 1.

Mereka berpandangan bertemu pegawai KWSP bukan sahaja membolehkan mereka mendapat maklumat terperinci tetapi juga mengelakkan kekeliruan berhubung kemudahan berkenaan memandangkan ada dakwaan proses pengeluaran merumitkan.

Zahari Shamsudin, 36, seorang peniaga yang juga pencarum kategori 1 i-Sinar, meluahkan rasa lega dengan penjelasan pegawai KWSP berhubung proses dan maklumat lebih terperinci pengeluaran carumannya.

“Baca di media sosial banyak sangat maklumat yang kadang-kadang mengelirukan, jadi saya datang ke pejabat KWSP berbincang dengan pegawai untuk maklumat lanjut,” katanya.

Tidak terkecuali penghantar makanan Amirul Amir Ismail, 30, yang hadir di pejabat KWSP untuk mengetahui sama ada dia layak memohon pengeluaran hingga RM10,000 program itu.

Bekas petugas sektor perhotelan itu berkata kemudahan pengeluaran caruman berkenaan membantu meringankan bebannya yang kini terpaksa menjadi penghantar makanan selepas diberhentikan kerja Julai lepas.

“Bila berjumpa dengan petugas KWSP, selain beri maklumat, mereka juga beri saranan pengurusan wang yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Mohd Nasrul Naim, 39, pula berpendapat KWSP seharusnya menggunakan pendekatan mudah dengan menyenaraikan semua kategori layak serta diberikan kelulusan automatik kerana rata-rata pencarum masih keliru dengan pelaksanaan program yang turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

“Bila tiada penerangan, pencarum juga keliru dan akhirnya terpaksa ke pejabat KWSP untuk dapatkan kepastian, ini menyulitkan keadaan bukan sahaja pencarum tetapi juga kepada pihak KWSP,’’ kata pemilik kedai makan itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 28 November lepas mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta orang berbanding dua juta ahli yang layak dengan jumlah pengeluaran maksimum turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM90,000 dalam Akaun 1, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Draf RKK Bandar Malawati: Orang awam diminta beri pandangan

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Orang awam diminta memberi pandangan berhubung Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 yang dilancarkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep perancangan bersama dan mesra rakyat membantu Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan mendapat keputusan lebih cepat dan tepat.

“Kerjasama ini akan membentuk persekitaran pembangunan yang lebih sistematik dan berkesan, malah persekitaran yang mampan dan kehidupan penduduk lebih selesa dan berkualiti dapat dicapai.

“Justeru, saya menyeru agar semua penduduk di bandar Kuala Selangor dapat memanfaatkan peluang semasa tempoh publisiti ini dijalankan, anda boleh mengemukakan bantahan atau cadangan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian di Dataran Malawati, hari ini.

Amirudin menjelaskan orang ramai mempunyai tempoh sehingga akhir Ogos ini untuk berbuat demikian dan mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek itu menerusi laman web rasmi MDKS atau memuat naik aplikasi RKKBMKS di Google Play.

Categories
AGENSI SELANGOR

Petugas Covid-19 Selangor wajibkan pelitup muka di tempat awam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka khususnya di tempat awam.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua kes positif membabitkan penularan tempatan baru-baru ini menunjukkan wabak itu masih wujud dalam komuniti.

“Kami di Selangor menetapkan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori khusus di tempat awam, kecualilah di rumah sendiri atau dalam kereta.

“Ini menunjukkan virus ini masih dalam komuniti kita. Ia masih bersama kita. Saya harap tiada gelombang kedua, namun kes di Gombak dan Hulu Langat itu menunjukkan virus itu ada dalam komuniti kita,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Peningkatan kes penularan tempatan di Selangor menyebabkan daerah Gombak dan Hulu Langat kembali berada di zon kuning.

Beliau berkata orang ramai perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) terutama pemakaian pelitup muka dan tidak terlalu selesa dengan kembali kepada norma kehidupan lalu.

Dr Dzulkefly turut bimbang dengan kes tidak bergejala kerana ia memberikan impak yang besar dan semua pihak perlu peka untuk menangani penularan wabak.

“Saya tegaskan sekali lagi, yang tidak bergejala itu adalah lebih bahaya kerana dia menyangka dia sihat. Kita kena tahu bahawa beban virus adalah maksimum sehari dua sebelum bergejala.

“Bayangkan sebelum bergejala itulah berlakunya jangkitan itu apabila kita batuk bersin dan sebagainya dan kita buat sentuhan-sentuhan, bersalaman dan sebagainya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Orang awam berjaya tahan peragut

 

KOTA KINABALU, 9 Jun : Seorang peragut berjaya ditahan apabila gagal melarikan diri selepas meragut beg tangan seorang wanita warganegara China pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata polis menerima laporan pada jam 9 malam berhubung kes berkenaan.

“Suspek merupakan lelaki tempatan berumur 23 tahun ditangkap oleh orang awam selepas mendengar jeritan mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Habibi berkata ketika kejadian mangsa sedang melalui kawasan belakang perpustakaan lama, Jalan Gaya sebelum diragut dari arah belakang. Katanya mangsa mendapat semula beg tangan yang mengandungi duit dan pasport antarabangsa.
Suspek telah direman sehingga 14 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan -BERNAMA