Categories
AGENDA NASIONAL

Ras Adiba: Kerajaan wajar pertimbang naikkan elaun OKU

KUALA PILAH, 6 NOV: Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menaikkan elaun golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu mengurangkan bebanan kos hidup mereka, terutama kepada individu yang tidak dapat aktif bekerja.

Malah, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi merangkap ahli Dewan Negara berkata cadangan itu juga sering dikemukakannya, ketika berada di persidangan Dewan Negara.

“Sebenarnya sejak saya jadi Senator saya selalu memperjuangkan elaun OKU dipertingkatkan kerana kos seharian amatlah tinggi, jadi saya pohon kepada kerajaan mempertimbangkan agar ia dapat dinaikkan, mungkin boleh naik lebih sedikit.

“Namun begitu, banyak lagi peruntukan dalam Bajet 2022 untuk golongan ini yang telah dipertingkatkan, Alhamdulillah, tetapi saya akan terus usaha supaya sahabat kita dapat merasai kenaikan elaun dalam memudahkan keadaan mereka,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program cabaran OKU ke Bukit Sikai di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu berkata golongan OKU juga perlu berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain semata-mata, dalam memperbaiki kehidupan mereka.

Beliau berkata pandemik Covid-19 pastinya memberikan kesan terhadap kehidupan mereka, namun beliau meminta golongan berkenaan untuk tidak berputus asa dan sentiasa menjadikannya pembakar semangat untuk lebih kuat, sekali gus menjadi suri teladan kepada anak-anak dan generasi akan datang.

“Saya sarankan untuk semua OKU untuk bekerja sendiri, jangan terlalu mengharapkan sokongan daripada mana-mana pihak, perlu berusaha memperbaiki diri dan menjana pendapatan, kita tidak mahu orang memberi terlampau banyak simpati kerana kita ada maruah dan berupaya seperti mereka yang tidak OKU,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai program hari ini, beliau menyifatkan ia sebagai aktiviti yang mampu memberikan pemahaman kepada golongan OKU, bahawa tiada sebarang halangan dan had untuk melakukan apa sahaja sekiranya memberikan fokus dan berusaha sama seperti individu normal lain.

Katanya, program seumpama itu juga merupakan platform kepada kumpulan berkenaan, bagi merapatkan silaturrahim antara rakan lain sekali gus bertukar fikiran dan menghargai sekeliling tanpa mengira kekurangan.

“Kepada sahabat OKU, saya sarankan kepada anda semua untuk keluar bersama-sama rakan OKU lain, bagi memperbaiki kemahiran sedia ada dan sekiranya tidak mempunyai sebarang kemahiran inilah waktu cuba mengikuti aktiviti, kursus atau seminar, sama ada secara dalam talian atau bersemuka,” katanya.

Program cabaran OKU ke Bukit Sukai hari ini disertai lebih 40 peserta termasuk pengiring, yang merupakan program kedua selepas Bukit Taisho tahun lepas anjuran Raja Bersiong Adventure Team, untuk menawan gunung di Negeri Sembilan dengan menaiki kereta pacuan empat roda.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

465 OKU Selangor terima bantuan kewangan RM500

SHAH ALAM, 5 SEPT: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM500 kepada 465 orang kelainan upaya (OKU) yang layak setakat ini.

Ketua jabatan Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS) Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 disalur sejak 5 Julai lalu membabitkan peruntukan bernilai RM232,500.

“Ini bermakna kita sudah menggunakan 38 peratus daripada RM600,000 dana yang diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan OKU.

“Ketika ini proses penilaian daripada pemohon lain sedang dibuat sebelum bayaran diagih berperingkat pada Isnin setiap minggu,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 7,000 permohonan direkodkan sejak dibuka 1 Julai lalu, namun kuota hanya dihadkan kepada 1,200 individu.

“Kita menyasarkan OKU yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 misalnya gaji dipotong atau hilang pekerjaan dengan mengemukakan dokumen pengesahan gaji terkini dari majikan atau mengisi borang akuan pendapatan disahkan wakil rakyat, ketua kampung dan pengerusi badan pengurusan bersama (bekerja sendiri).

“Pada masa sama, kita berterima kasih kepada pihak yang membantu mempromosi bantuan ini terutama media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasar,” katanya.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan RM600,000 bagi membantu golongan OKU terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB pelawa OKU layak syarat mohon bantuan RM500

SHAH ALAM, 12 JULAI: Dato’ Menteri Besar mempelawa golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini yang layak untuk memohon bantuan RM500 yang dibuka sejak 1 Julai lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM600,000 telah diperuntuk Kerajaan Negeri dengan permohonan itu dibuka sehingga 31 Julai ini.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM600 ribu dalam Pakej Kita Selangor 2.0 sebagai bantuan bagi golongan OKU menempuhi cabaran Covid-19,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dapatkan maklumat lanjut di www.anisselangor.com/bantuanOKU.

Pada 8 Julai, Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima sebanyak 4,264 permohonan insentif sekali bayar RM500 yang dikhususkan kepada OKU.

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata permohonan mulai 1 Julai melepasi sasaran 1,200 orang dan akan diproses untuk diagihkan kepada individu yang layak.

Katanya Yawas akan mohon peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan jika ada keperluan.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor perkenal SELangkad, khusus untuk OKU

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor memperkenalkan kad SELangkad (Kad Selamat Melangkah) iaitu sistem pendaftaran masuk bagi orang kelainan upaya (OKU) ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penjaga premis hanya perlu meminta kad untuk mengimbas kod QR sekali gus memudahkan urusan pengunjung dalam kalangan OKU.

“Alhamdulillah atas komitmen kami, STFC perkenal SELangkad untuk mencapai UHC (perlindungan kesihatan menyeluruh) dengan memastikan tiada sesiapa ditinggalkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Dalam perkembangan sama laman Facebook SELangkah berkata kad tersebut diberikan secara percuma kepada golongan OKU di Selangor.

“Hari ini SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) maju setapak lagi menerusi pengenalan kad SELangkad yang merupakan kad fizikal dengan kod QR tersendiri untuk kegunaan warga OKU.

“Mereka tidak perlu lagi melakukan proses mengimbas kod QR yang sukar dilakukan terutama melibatkan OKU penglihatan,” katanya.

Pada 4 Mei lalu Selangor memperkenalkan aplikasi SELangkah bagi memudahkan proses menjejak kontak jika berlaku jangkitan wabak Covid-19.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

SELangkah hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.

Hubungi skuad SELangkad di talian 014-3025655 untuk maklumat lanjut.

Categories
SELANGOR

OKU terus diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APR: Jumlah pekerja dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang diambil bekerja di Selangor masih rendah iaitu kurang dari satu peratus.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, justeru itu, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan sedang meneliti dan merangka pelan menyeluruh bagi membantu golongan berkenaan memasuki pasaran kerja.

“Kerajaan Negeri sedang merangka pelan menyeluruh bagi membantu golongan OKU, supaya mereka ini dibuka peluang pekerjaan lebih luas dalam pelbagai sektor.

“Ia juga sebahagian usaha Kerajaan Negeri memastikan hak dan peluang sama rata dinikmati OKU dalam mendapatkan akses kepada pekerjaan serta kekal dalam pasaran kerja,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata, golongan OKU dan keluarga mengalami situasi ekonomi lebih sukar berbanding orang tanpa kecacatan.

Katanya, ia membabitkan perjalanan kehidupan seharian, komitmen kewangan lebih tinggi akibat perbelanjaan tambahan dari segi perubatan, rawatan dan terapi serta peralatan sokongan.

“Golongan OKU yang diambil bekerja di Selangor masih rendah oleh itu, banyak usaha yang perlu dilaksanakan.

“Di Selangor Mega Job Fair baru-baru ini, kita membuka lebih 20 syarikat yang menyertai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang untuk golongan ini merebut peluang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan hampir 4,000 jawatan di sektor awam kini diisi golongan itu di seluruh negara.

JPA menjelaskan Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan golongan OKU dalam pekerjaan selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 untuk meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran terbuka dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pihak kami yakin bahawa terdapat ruang dan peluang untuk mewujudkan bentuk pekerjaan baharu yang lebih luas dan boleh dicadang serta didukung secara bersama antara sektor awam dan swasta,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri galak pemaju sedia rumah mesra OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 2 MAC: Kerajaan Negeri menggalakkan pemaju hartanah untuk menyediakan unit rumah mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memberi kemudahan kepada golongan terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau tidak mewajibkan pemaju hartanah menyediakannya namun penyediaan beberapa unit khas kepada golongan itu adalah amat digalakkan.

Katanya, setakat ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberikan komitmen amat baik apabila menyediakan empat unit rumah mesra OKU di bawah projek Rumah Selangorku Idaman PKNS Selangor Cyber Valley.

“Kita bercadang untuk menambah bilangan unit mesra OKU di Selangor menerusi kerjasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri secara berperingkat pada masa akan datang.

“Namun, bagi projek pemaju swasta, ia belum boleh diletakkan sebagai syarat wajib untuk menyediakan unit mesra OKU tetapi kita menggalakkan sekiranya mereka mahu mengikut konsep seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pangsapuri SelangorKu Idaman Residensi, Seksyen 6, Selangor Cyber Valley, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek.

Pada masa sama, Amirudin yakin penyediaan rumah mesra OKU itu pasti mendapat permintaan sekali gus memberi imej baik kepada pemaju hartanah.

“Saya yakin kemudahan ini ada permintaan di pasaran dan memberikan imej baik kepada pemaju hartanah itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, PKNS menerusi projek Rumah Selangorku Idaman PKNS Selangor Cyber Valley menyediakan empat unit rumah mesra OKU dengan beberapa kemudahan antaranya pintu lebih besar, suis boleh dicapai, tandas mesra OKU dan dua parkir.

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang www.pkns-property.com atau Facebook PKNS Property selain hubungi wakil jualan di talian 019-2139991, 019-6994004 atau 03-8926200.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri tubuh AnIS bantu anak OKU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri mewujudkan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) bagi membantu kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU), di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan terbabit bertujuan membantu meringankan tanggungan kos sara hidup, pemulihan dan pendidikan anak OKU yang ditanggung ibu bapa atau penjaga.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan dana bantuan khas (kecemasan) yang dimulakan dengan jumlah RM500,000 tahun ini bagi meringankan beban ibu bapa dan penjaga kepada anak OKU terutama menanggung saringan kesihatan.

“Bantuan berkenaan boleh digunakan mereka untuk membeli peralatan khas bagi tujuan pemulihan anak-anak OKU

“Had permohonan yang ditetapkan bagi setiap keluarga adalah RM5,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di Bilik MTES, di bangunan SUK, semalam.

Beliau berkata, antara syarat ditetapkan bagi bantuan khas ialah anak itu mempunyai kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pemohon yang mempunyai atau menjaga anak OKU boleh mengisi lengkap borang permohonan AnIS di Pusat Khidmat Masyarakat di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor atau layari laman web www.selangor.gov.my,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, dana berkenaan juga akan disalurkan ke beberapa taska di setiap DUN supaya dapat melatih guru yang mengasuh kanak-kanak OKU terbabit.

Katanya, ia dapat meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak OKU yang terpaksa menghantar anak mereka ke tadika khas sehingga menelan kos tinggi.

Categories
AGAMA SELANGOR

Al Quran Braille di manfaat ke luar negara

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 JUN: KL Braille Resources Sdn Bhd mengedarkan kira-kira 160 naskah al-Quran Braille untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan di luar negara.

Pengarahnya, Dato’ Mah Hassan Omar berkata, edaran itu atas permintaan, tajaan dan sumbangan dari pelbagai pihak yang ingin membantu umat islam cacat penglihatan dalam pengajian al-Quran.

“Tahun lalu kita telah menghantar 100 naskah Al-Quran Braille ke Thailand manakala 60 naskah lagi ke Pakistan sehingga Mei lalu.

“Hal ini bertujuan memberi galakkan kepada mereka untuk membaca al-Quran dalam tulisan Braille,” katanya dalam Majlis Tilawah Al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Mah Hassan berkata, pihaknya juga memberikan al-Quran Braille secara percuma kepada golongan yang memerlukan di Malaysia.

“Mereka boleh hubungi pejabat kami dan kita akan berikan secara percuma.

“Sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak amat kami alukan supaya lebih golongan cacat penglihatan dapat dibantu,” katanya.

Categories
SELANGOR

PPAS mesra OKU, lengkap bahan bacaan braille & buku audio

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Kemudahan mesra golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang serba lengkap di Perpustakaan Raja Tun Uda bagi memastikan hak dan penyertaan golongan itu seiring dengan pembangunan masyarakat lain.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, usaha itu bukan sekadar untuk golongan celik mata tetapi juga untuk golongan celik hati.

“Kita menyediakan koleksi Braille diletakkan di bilik khas Tingkat 1 dengan pelbagai bahan meliputi buku fiksyen dan bukan fiksyen yang di antaranya ialah koleksi peperiksaan STPM, al-Quran dan novel.

“Kita juga ada komputer yang boleh print Braille serta buku audio yang boleh digunakan secara percuma.

“Bagaimanpun kita sentiasa berusaha penambahbaikan kemudahan dan koleksi sedia ada,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tilawah Al-Quran Braille 2018 Peringkat Kebangsaan di PPAS Shah Alam, di sini hari ini.

Pada masa sama, Pengarah Urusan KL Braille Resources, Dato’ Mah Hassan Omar berkata, PPAS merupakan antara jalinan kerjasama terawal bersama pihaknya dalam menyediakan buku dan peralatan Braills untuk diakses secara percuma oleh golongan itu.

“Kemudahan disini cukup lengkap untuk dimanfaatkan namun sambutannya masih berada di bawah tahap yang kita harapkan.

“Oleh itu kami berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan pengangkutan awam supaya lebih ramai golongan ini dapat datang ke PPAS,” katanya.

Mastura berkata, sebelum ini pihaknya pernah membuat permohonan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) namun tiada maklum balas.

Bagaimanapun, katanya dengan penubuhan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang baru PPAS berharap permohonannya untuk bas masuk ke kawasan itu diluluskan.

Categories
AGAMA SELANGOR

Qayyim juara Tilawah Al Quran Braille 2018

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Qari Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dinobatkan sebagai Juara Majlis Tilawah Al-Quran Braille 2018 Peringkat Kebangsaan.

Pemuda berusia 20 tahun itu memenangi kategori terbuka dengan bacaan surah Muhammad ayat 12 – 19, membawa pulang wang tunai RM1,750, plak, sijil penyertaan dan senaskah al-Quran.

Manakala, Qari Kuala Lumpur, Mohd Syafiizwan Mohd Suhaimi memenangi tempat kedua dan ketiga Qari Kelantan, Abdul Majid Mohd Yusof.

Kategori kanak-kanak pula diungguli Nur Adriana Ab. Murak dengan bacaan surah Ali Imran ayat 101 – 115 menewaskan Adam Zakaria Mohd Fakhruddin dan Alya Maisarah Nuzan dimana masing-masing berasal dari Terengganu.

Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai, plak, sijil penyertaan dan senaskah al-Quran.

Hadiah disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad dan Pengarah Urusan KL Braille Resources, Dato’ Mah Hassan Omar di Perpustakaan Tun Raja Uda, Shah Alam, di sini, hari ini

Majlis Tilawah Al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan merupakan penganjuran kali ke 5 Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Insan Sains, Teknologi dan Inovasi bersama PPAS dan KL Braille Resource Sdn Bhd.

Seramai 10 peserta dari seluruh negeri menyertai pertandingan itu bagi kategori terbuka, manakala tiga orang bagi kategori kanak-kanak.

Mastura berkata, Kerajaan Negeri menyumbangkan kira-kira RM30,000 bagi menjayakan program itu.

Katanya, ia merupakan kesinambungan sambutan World #QuranHour yang dilaksanakan pada 7 Jun lalu.

“Kita berharap kesemua perpustakaan awam di seluruh Malaysia dapat melaksanakan program seperti ini kerana ia dilihat sebagai satu landasan terbaik untuk OKU penglihatan mencungkil bakat dalam bacaan al-Quran,” katanya.

Categories
SELANGOR

Cacat penglihatan tak halang Khusaini baca al-Quran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUN: Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan, Khusaini Saimon, tidak membataskan kekurangan yang ada pada dirinya itu untuk tidak membaca al-Quran.

Khusaini, 62, berkata, beliau amat teruja dan gembira apabila diberi peluang pertama kali mengikuti program World #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

Beliau yang juga dari KL Braille Resources itu berkata, fasiliti al-Quran Braille yang disediakan agensi berkenaan memudahkan golongan sepertinya untuk membaca dan memahami kitab suci itu.

“Setiap kali mengalunkan surah dalam kitab terbabit, hati saya berasa amat tenang dan sayu.

“Malah, tahun ini merupakan tahun kedua saya menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji inisiatif Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kepada golongan cacat penglihatan terutamanya.

“Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang dan semoga lebih ramai golongan seperti kami dapat mengikutinya,”katanya.

Sementara itu, Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille yang sudah memasuki tahun kelima itu akan dilaksanakan 9 Jun ini dengan penglibatan beberapa peserta OKU dari seluruh negara.

“Pertandingan seumpama ini akan dijadikan acara tahunan dengan penglibatan golongan dewasa dan kanak-kanak pelbagai peringkat umur tampil menunjukkan kemahiran mengalunkan ayat suci al-Quran.

“Langkah itu juga adalah sejajar dengan hasrat Selangor menjadikan sebagai sebuah pusat hab ilmu, maju dan berkebajikan,” katanya.

Categories
SELANGOR

JKM seru masyarakat tampil daftarkan OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SERI KEMBANGAN, 19 APR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyeru orang ramai yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk segera mendaftarkan di JKM berhampiran.

Pengarah JKM Selangor, Hanafi Maulud berkata, setakat ini 78,184 OKU berdaftar di seluruh negeri dan beliau percaya masih ramai yang belum mendaftarkan diri.

“Kita mengalu-alukan kepada masyarakat di sini segera membawa golongan OKU berdaftar dengan JKM supaya mereka boleh menerima manfaat dan bantuan daripada kami.

“Untuk makluman, di Subang Jaya sahaja sudah ada 7,873 OKU berdaftar dan ini merupakan angka yang agak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Jalinan Kasih “Home Help Services” di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati, di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali.

Sementara itu, Hanafi berkata, setakat ini sudah terdapat 52 PDK di negeri ini dan ia berkemungkinan bakal ditambah pada masa datang.

“Selain PDK Permata Hati ini, kita juga ada PDK Cahaya Kasih di Subang Jaya dan yang terbaru PDK Wawasan Puchong Jaya.

“Kita turut mengalu-alukan kepada seluruh masyarakat setempat untuk tampil membantu golongan OKU di kawasan berhampiran,” katanya.