Categories
SELANGOR

Manfaat bantuan khas untuk bawa anak autisme jalani terapi

SHAH ALAM, 18 JUN: Ibu dua anak autisme menganggap peruntukan Kerajaan Selangor kepada golongan kelainan upaya (OKU) dapat meringankan bebannya yang kehilangan kerja akibat Covid-19.

Siti Sarah Saad, 35, berkata bantuan akan digunakan bagi  menampung kos pengangkutan membawa anaknya berusia 11 dan lapan tahun menjalani terapi.

“Bantuan ini sangat membantu saat saya kehilangan kerja. Akibat pandemik syarikat kurang pendapatan hingga menjejaskan gaji pekerja.

“Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap OKU. Ia membantu meringankan beban dan kehidupan,” katanya kepada Media Selangor.

Minggu lalu, menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukkan RM600,000 bagi memanfaatkan golongan OKU di Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

PPV pandu lalu untuk OKU tingkat kapasiti penerima kepada 40,000

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Empat puluh ribu ahli komuniti orang kelainan upaya (OKU) di negara ini akan divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu kendalian OKU Sentral di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam tempoh lima bulan akan datang.

Pengerusi OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba meminta agar kapasiti di PPV pandu lalu untuk OKU ditambah semasa beliau meninjau fasiliti pusat itu di Ara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

“Kami dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa menteri berkenaan berkata beliau gembira dengan keupayaan kami mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) dan melaksanakan program imunisasi untuk OKU.

“Kami juga dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa menteri berkenaan juga telah meminta agar kami meningkatkan kapasiti di fasiliti vaksinasi pandu lalu pertama negara untuk OKU dan pada minggu-minggu akan datang, kami akan berusaha meningkatkan kapasiti kami kepada 400 orang sehari,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peningkatan pengagihan vaksinasi bagi PPV pandu lalu kendalian OKU Sentral menunjukkan komitmen berterusan kerajaan terhadap komuniti OKU terutama mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

PPV Pandu Lalu kendalian OKU Sentral memulakan program vaksinasinya semalam dengan 80 suntikan sehari sehingga Jumaat ini sebelum meningkatkan kapasiti kepada 160 hingga 200 suntikan sehari mulai 21 Jun dan seterusnya bagi tempoh lima bulan akan datang.

Pelaksanaan vaksinasi di pusat itu ketika ini adalah berdasarkan pendaftaran yang diterima oleh OKU Sentral, yang menyaksikan sejumlah 13,500 OKU akan menerima janji temu masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera.

Pendaftaran melalui Google Form OKU Sentral bagi vaksinasi kali ini sudah ditutup dan akan dibuka semula dalam masa terdekat bagi mencapai sasaran baharu untuk memberikan 40,000 suntikan dalam tempoh lima bulan akan datang.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB: Jaminan akses pendidikan kanak-kanak istimewa dijaga

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri kini dalam usaha mencari mekanisme bagi memastikan setiap kanak-kanak di Selangor memperoleh akses kepada pendidikan termasuk golongan istimewa.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata iltizam itu selaras dengan perlembagaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggariskan kanak-kanak cacat anggota juga patut diberikan penjagaan dan sokongan termasuk hak untuk mendapatkan pendidikan.

Hari Tadika Selangor 2014 MB (14)

Katanya, hasrat kesaksamaan dan keadilan itu bagaimanapun sehingga kini gagal dicapai di peringkat arus perdana.

“Kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini bukan saja memerlukan pendidikan yang baik, malah mereka mahu rasa menjadi sebahagian dari kehidupan bersekolah.

“Dalam semua keadaan, kanak-kanak dan anak muda yang kurang bernasib baik ini mahukan peluang sama dengan pelajar yang normal untuk mendapatkan kelayakan dan kemahiran yang membawa kepada peluang pekerjaan dan latihan peringkat tinggi untuk membolehkan mereka meraih keyakinan dan peluang untuk mengawal masa depan mereka,” katanya sewaktu menyempurnakan majlis perasmian Hari Tadika Selangor 2014 di Pusat Konvensyen Shah Alam, pagi tadi.

Majlis yang dihadiri lebih 5, 000 hadirin itu turut disertai Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS), Dr Supyan Husin.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengumumkan seramai 21, 209 peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) akan ditawarkan skim Hadiah Anak Masuk Sekolah pada tahun hadapan dengan peruntukan RM 1.1 juta.

“Anak-anak ini merupakan kumpulan pertama yang menyertai TAWAS pada 2008, kini mereka enam tahun dan bakal mulakan persekolahan tahun 2015.

“Setiap mereka akan menerima bantuan RM 50 setiap seorang sempena persekolahan bermula nanti,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

ICAT platform rai OKU, warga emas

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 7 OKT: Persidangan Antarabangsa Untuk Kemudahan Pelancongan (ICAT) 2014 yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Disember depan bakal menjadi platform bagi golongan kurang upaya (OKU) dan warga emas untuk mendapat kehidupan selesa, sesuai dengan keperluan dan kehendak mereka.

Pengarah Eksekutif Beautiful Gate Foundation For The Disabled, Sia Siew Chin, berkata persidangan kali ke-5 yang akan berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu bertujuan membawa kedua-dua golongan berkenaan ke arah masyarakat global yang lebih inklusif.

mbpj1“ICAT 2014 adalah acara yang bertujuan untuk membawa warga emas dan OKU ke tengah-tengah masyarakat global yang lebih inklusif, dalam masa sama untuk mewujudkan kesedaran berhubung berpotensi dan pasaran khusus mengenai hal ini.

“Ia adalah acara pertama antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia dan secara positif akan membawa kepada peningkatan pengiktirafan dan galakan daripada dasar dan tindakan untuk menggalakkan pelancongan yang boleh diakses untuk semua,” katanya.

Antara aktiviti yang akan dilaksanakan pada persidangan itu adalah Pertandingan Filem Pendek Antarabangsa berkaitan Kemudahan Pelancongan, Pertandingan Foto Antarabangsa, Pertandingan Nyanyian dan Tarian untuk OKU serta Konvoi Kesedaran.

mbpj3

Dimaklumkan lebih sepuluh badan bukan kerajaan (NGO) yang akan terlibat dalam penganjuran persidangan kali ini, antaranya Majlis Pemulihan Malaysia (MCR), Pertubuhan Sukarelawan Heap Hope, At-Home Creative dan sebagainya.

HM

Categories
SELANGOR

Pengurangan Cukai Taksiran 50 Peratus Kepada OKU

MB exco meeting mac 20 01

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengurangkan bayaran cukai taksiran sebanyak 50 peratus kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) yang memiliki rumah di seluruh Selangor dan diskaun in berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK, di sini.

Abdul Khalid memaklumkan pengurangan cukai taksiran itu bertujuan membantu meringankan beban OKU yang perlu berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi di Selangor terutamanya di kawasan bandar.

“Ia juga bagi mengiktiraf sumbangan OKU kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Negeri Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pengurangan itu hanya tertakluk kepada OKU yang mendiami rumah tersebut. Jika rumah itu disewakan kepada pihak lain, mereka tidak layak menikmati pengurangan tersebut.

“Kerajaan negeri yakin pemberian kedua-dua diskaun ini tidak akan menjejaskan pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kita telah berjaya menjimatkan lebih RM 80 juta sepanjang tahun lalu hasil penamatan perkhidmatan Alam Flora selain amalan tender terbuka dan pelaksanaan meluas konsep Value for money.

“Kita juga telah memberikan lebih 10,000 geran tanah kepada rakyat Selangor menerusi Skim Pemilikan Kediaman Persendirian dengan hanya mengenakan premium RM 1,000,” katanya.

Beliau menambah pengurangan itu adalah yang kedua diberikan Kerajaan Negeri selepas diskaun cukai pintu 25 peratus kepada pemilik rumah flet kos rendah dengan syarat mereka tinggal di rumah berkenaan.

MiMBAR Bantu OKU Majukan Pusat Tuisyen

MiMBAR bantu OKU 01

SHAH ALAM, 10 MAC: Kelainan upaya yang dimiliki Azila Alias, 39, tidak penghalang dirinya mengembangkan perniagaan kelas tuisyen yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu.

Berbekalkan semangat cekal, penerima Anugerah Peserta Cemerlang Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) Selangor bagi kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) kini mampu duduk sebaris dengan peserta lain selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam usaha meluaskan perniagaan yang diceburi.

Menurut Azila, beliau menyertai program MiMBAR untuk memperluaskan kelas tuisyen sedia ada memandangkan beliau menghadapi kesukaran mencari rumah kedai aras bawah bagi memudahkan pergerakannya.

“Saya tidak boleh memohon pusat tuisyen sebab masalah mencari lot kedai aras bawah sesuai dengan keadaan saya.

“Setakat ini boleh buka kelas tuisyen. Saya sewa satu rumah yang mempunyai lima buah bilik.

“Tiga daripadanya saya jadikan kelas,” katanya ketika ditemuramah Tv Selangor.

Azila kini bergantung kepada kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya selepas kaki kiri beliau terpaksa dipotong ekoran masalah saraf sejak kecil pada tahun 2009.

MiMBAR bantu OKU 02Pemilik ‘Kelas Tuisyen Along’ ini mempunyai 112 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Bertempat di Johan Setia, Kelas Tuisyen Along beroperasi setiap hari bermula pada jam 2.30 petang pada hari biasa sementara hujung minggu bermula pada sesi pagi.

Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) merupakan program bantuan yang tidak termasuk di dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Namun, sebagai cara untuk membahagi hasil limpahan kemajuan negeri, program ini diperkenalkan untuk dinikmati rakyat dan diletakkan sebagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menyatakan, sebanyak 16 daripada 23 janji manifesto PRU-12 dilaksanakan sejak tahun 2008.

Lebih 4 juta orang daripada 5.4 juta penduduk Selangor menerima manfaat dalam pelbagai program MES dengan pembiayaan lebih RM821 juta.

“Penerima faedah paling banyak adalah dalam program pemberian air percuma sehingga 20 meter padu iaitu kira-kira 1.3 juta rumah bermeter persendirian, atau bersamaan 3.3 juta orang (jika purata isi rumah seramai tiga orang).

“Ia bersamaan dengan biaya lebih RM623 juta atau kira-kira RM9.9 juta setahun,” katanya dalam ucaptama Majlis Mesra Bersama Penerima Program MES di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Abdul Khalid turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih diatas kesungguhan pimpinan negeri yang lain selain sokongan rakyat sehinggakan program MES berjaya mengubah kualiti hidup rakyat Selangor.

Meskipun masih baru mentadbir, pelbagai program rakyat yang diperkenalkan sejak lima tahun lalu sedang rancak ‘ditiru’ Kerajaan Persekutuan.