Categories
NASIONAL

Laporan audit 1MDB bukan lagi bawah OSA

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 12 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengarahkan polis bagi mengeluarkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau berkata, kerajaan akan meneliti dan membuat keputusan selepas menerima laporan berkenaan.

“Keputusan berkaitan perkara itu sudah dibuat dengan polis diarah tidak meletakkannya di bawah OSA.

“Laporan berkenaannya akan diserahkan kepada saya nanti dan penelitian akan dibuat kemudian,” katanya dalam sidang media di Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional diketuai mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, laporan audit 1MDB hanya dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) di Parlimen pada April 2016, namun ia tidak pernah dibahaskan.

Categories
SELANGOR

Laporan Audit wajib dibentang bukan diklasifikasi OSA

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Tindakan mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak wajar ekoran Perlembagaan Persekutuan mewajibkan laporan terbabit dibentangkan di dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata,perkara itu tidak sepatutnya berlaku apabila kerana menyekat kebebasan Ahli Parlimen membahaskan perkara dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“YB Seputeh berkata Pandan dibawa ke mahkamah kerana memecah rahsia OSA tetapi dalam perlembagaan kita diwajibkan Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan ke Parlimen.

“Jadi, bagaimana boleh diletakkan di bawah rahsia OSA. Sedangkan OSA hendaklah merujuk kepada perlembagaan,” kata Fauzi ketika mencelah ketika Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berbahas di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Jelasnya, kesan tindakan itu mengakibatkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli didakwa di mahkamah.

Terdahulu, Rafizi turut menjadi mangsa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Rafizi atas tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berdasarkan kertas pertuduhan Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972.

Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta sama.

EZY

JURNAL BERITA – MB: Pendapatan saya dalam GLC dikembali kepada Selangor

1. DYMM Sultan: Rizab Selangor RM2.9 bilion, pencapaian cemerlang perlu diteruskan

2. DYMM Sultan: Selangor komited bina kediaman rakyat

3. MB: ‘Semua pendapatan saya dalam GLC dikembalikan kepada Kerajaan Negeri’

4. Wan Azizah: 16 tahun keluarga difitnah, apa perasaan anda jika ditempat saya?

5. MB: Langat 2 bukan punca catuan air

6. Tiada pemusatan kuasa, MB amal prinsip bertukar pandangan

7. MOU Air tidak perlu terikat OSA

8. Selangor rancang bina hospital di Kapar, tampung lebih ramai pesakit

9. Selangor tambah alat kesan kualiti udara automatik

10. Kuala Selangor catat pelaburan RM1.26 juta

Categories
SELANGOR

MB: Sidang Dun Akan Bentang Tender 2006-2010

SHAH ALAM 7 MAC : Segala dokumen pemberian tender dan projek secara rundingan dari 2006 hingga 2010 akan dibentangkan Kerajaan Negeri sempena Persidangan Dewan Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 19 Mac sehingga 23 Mac 2012, demikian ujar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

?Kita mengutamakan ketelusan dalam pentadbiran dan kerana itulah kita akan bentangkan dokumen-dokumen tender supaya rakyat tahu dan membuat penilaian terhadap keputusan-keputusan yang kita buat, ? kata Abdul Khalid ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, pemberian tender secara rundingan telah lama diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan berasa pelik apabila menjadi pembangkang di Selangor, mereka berubah pendirian pula.

“Adakalanya juga terdapat kes tertentu yang memerlukan Kerajaan Negeri memberi projek atau tugasan secara terus dalam keadaan kecemasan.

“Sebagai contoh apabila kejadian tanah runtuh – kita perlu melantik juruperunding seperti Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk menyiasat tahap keselamatan dengan segera.

“Dalam keadaan sebegini, kita tidak perlu meminta sebut harga,” tambah Abdul Khalid sambil memberitahu tindakan itu tidak bercanggah dengan prosedur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana segala tindakan mendapat kelulusan EXCO dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dokumen-dokumen tersebut perlu mendapatkan kelulusan DNS sebelum disiarkan kepada umum kerana dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Categories
NASIONAL

MB: Dakwaan RPK Akan Di Bawa Ke Sidang Dun

SHAH ALAM, 7 MAC : Isu dakwaan Pengarang portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) berhubung kerajaan PKR Selangor yang dikatakan memberi projek secara rundingan terus dan bukan tender bernilai lebih RM250 juta sejak mentadbir negeri ini akan dibentangkan dalam Sidang DUN 19 Mac depan.

Raja Petra sebelum ini juga akan menyiarkan butiran kontrak seperti nombor dan tarikh kontrak serta nama syarikat terbabit dalam blognya atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika kerajaan negeri menafikan dakwaan itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata perkara tersebut akan dibentangkan dalam DUN akan datang supaya mengikut prosedur dan Akta Rahsia Pejabat (OSA).

Katanya, beliau terpaksa mengikut undang-undang dan prosedur supaya boleh dibentangkan dihadapan exco dan didengari oleh semua rakyat.

” Saya tidak boleh membentangkannya disini kerana kita mempunyai akta OSA, Raja Petra tidak mempunyai undang-undang sebab itu juga tiada undang-undang yang boleh menangkap dia, saya pula kena mengikut undang-undang dan saya mempunyai tatacara yang betul supaya rakyat tahu apa yang kita buat dan kita bertanggungjawab atas dasar serta tatacara yang kita lakukan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mempunyai proses ketulusan dari segi pentadbiran, oleh itu
pihaknya akan mengeluarkan dokumen mengenai dakwaan tersebut dari segi kontrak-kontrak yang dilakukan secara tidak tender atau sebut harga dari tahun 2006 hingga 2010.

” Di dalam DUN itu nanti, saya akan pastikan perbincangan dapat diadakan dengan semua dan kita juga bersedia untuk memberi jawapan supaya Raja Petra boleh menyemak sama ada data dia dan saya adalah sama atau tidak dan dia boleh boleh menyimpan data saya untuk kajiannya seterusnya,” katanya.

Tambah Khalid lagi, pihaknya akan menunjukkan cara keputusan pemilihan tender dibuat daripada sebut harga sehinggalah Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dilantik dan membuat keputusan.

” Angkanya boleh jadi tidak serupa, jika kita lihat rundingan secara terus ini berlaku di kerajaan persekutuan lagi sejak 30 tahun dulu, jadi ini bukan satu perkara yang luar biasa kerana kerajaan persekutuan terlalu berminat dalam tender-tender.

” Baru kali ini saja mereka berubah bulu tetapi masa dulu banyak mereka lakukannya tetapi kerajaan negeri sekarang mengambil polisi bahawa ketulusan dan ‘value for money’ adalah asas usaha pemberian-pemberian kontrak tersebut.

” Sebelum dibentangkan di DUN, kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi dalam perkara itu kepada sesiapa pun,” katanya.

Categories
NASIONAL

MB : Istihar Harta Perlu Bersama Hapus OSA

SHAH ALAM 29 FEB : Kesediaan anggota kabinet Barisan Nasional mengistiharkan harta adalah lebih bermakna sekirannya hasrat itu disusuli dengan pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik perubahan yang dibawa oleh kerajaan dalam menjadi sebuah kerajaan yang lebih telus.

“Saya menyambut baik hasrat ini dan saya tidak semudah itu untuk menyekat penambahbaikan yang cuba dibawa oleh Umno-BN ini.

“Kami menyokong usaha ini, kerana ia ada sedikit ketelusan, dan ketulusan ini harus disusuli dengan perubahan undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA),”jelas Abdul Khalid.

Akta Rahsia Rasmi (OSA) digubal berasaskan Official Secret Acts dari British, namun penggunaan dan pelaksanaan akta ini masih menyekat kebebasan dan ketelusan secara mutlak.

Sehingga hari ini, kerajaan tidak pernah bercadang untuk memperjelaskan penggunaan dan pelaksanaan Akta Rahsia Rasmi.

Walaupun para pemimpin negara selalu mengatakan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, namun akta ini bagaimana pun telah disalahgunakan oleh mereka untuk menyekat pembongkaran sesuatu isu yang berkaitan dengan kepentingan negara dan sekaligus bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Semalam, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diberikan akses penuh keatas dokumen pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan, termasuk menteri dan keluarga mereka.

Keputusan itu selaras dengan cadangan Lembaga Penasihat SPRM bulan lalu supaya dokumen pengisytiharan harta menteri dan timbalan menteri serta keluarga turut diserahkan kepada SPRM bagi meningkatkan ketelusan.

Buat masa ini maklumat berhubung harta anggota kabinet dan menteri di simpan oleh Perdana Menteri.

Senario ini berbeza dengan amalan kerajaan Pakatan Rakyat yang mengistiharkan segala hartanya kepada pengetahuan umum.

“Sekiranya akta ini diubah, Akta Kebebasan Maklumat boleh berperanan untuk pengetahuan semua orang, bagaimana pun ia adalah permulaan yang bagus dan saya tidak mahu terlalu bersikap menyekat,” tambah Abdul Khalid dalam pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.