Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa endemik ditangguh, waspada penularan varian Omicron

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Usaha peralihan ke fasa endemik ditangguh seketika sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut mengenai varian baharu Covid-19, Omicron, yang lebih mudah merebak berbanding Delta.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini, kerajaan mengambil maklum varian itu bukan sahaja telah menular di selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa buah negara antaranya, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

“Walaupun sehingga hari ini kita tidak dengar kes di negara kita, tetapi tindakan berhati-hati terus dilaksanakan.

“Kita bimbang semua yang telah kita rancangkan sebelum ini, kita telah umumkan kelonggaran SOP (prosedur operasi standard), tujuh asas yang kita harap dapat diumumkan dalam masa terdekat dalam fasa endemik, semua ini mungkin terjejas kalau sekiranya kita tidak dapat pantau secara lebih dekat penularan Omicron dan bagaimana kita dapat tanganinya,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan tujuh indikator utama yang perlu dicapai sebelum Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengisytiharkan Malaysia memasuki fasa endemik, sekali gus bersedia untuk hidup bersama virus Covid-19.

Ia termasuk berkenaan jumlah penggunaan katil hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC); kapasiti ujian di makmal dan kadar positif Covid-19.

Hishammuddin berkata KKM juga sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan varian Omicron dan akan mengumumkan perkara tersebut tidak lama lagi.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang telah melaporkan penyebaran varian Omicron.

Mengulas mengenai gesaan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa agar sekatan perjalanan ke atas negara itu dibatalkan, Hishammuddin berkata keputusan untuk menyekat adalah berlandaskan risiko keselamatan dan nasihat daripada KKM.

“Apa yang diputuskan oleh KKM tidak jauh dengan apa yang diumumkan oleh negara-negara lain di luar sana, saya percaya negara Afrika faham dia (sekatan) bukan berhubung kait dengan diplomasi atau geopolitik tetapi soal kesihatan.

“Takkan kita nak jejaskan apa yang kita dah lakukan selama satu setengah tahun ini dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab,”katanya.

Cyril Ramaphosa semalam menggesa negara terlibat supaya segera membatalkan larangan perjalanan ke negara itu yang dianggapnya tidak wajar secara saintifik kerana dikaitkan dengan penemuan varian Omicron.

Sementara itu, mengulas mengenai risiko pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui Laluan  Perjalanan Vaksinasi (VTL) ekoran penularan varian baharu itu, Hishammuddin meminta semua pihak untuk sentiasa berwaspada bagi mengelak penularan Omicron di negara ini.

“Mesyuarat Kuartet mengambil maklum perbincangan kedua-dua Perdana Menteri (Malaysia dan Singapura) berhubung kait dengan kemungkinan destinasi lain yang berpotensi (dilaksana VTL) seperti Singapura ke Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Saya dah minta semua pihak untuk terus memikirkan dan berbincang dengan pihak negara  berkenaan tetapi kita tidak akan buat keputusan sehingga kita tahu kesan dan impak sebenar varian baharu ini,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjelasan keselamatan vaksin Covid-19 perlu telus, elak keliru – pakar

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Ketelusan kerajaan memberikan penerangan jelas mengenai keselamatan vaksin Covid-19 kepada masyarakat, amat penting dalam memastikan usaha memerangi pandemik itu, di negara ini berjaya dan membuahkan hasil.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata pendekatan itu juga dapat mengelakkan kekeliruan berkaitan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat menangkis persepsi negatif serta momokan oleh golongan antivaksin.

“Sebenarnya apa jua vaksin, ia melalui ujian klinikal terutamanya di negara maju. Jika ada mengatakan mereka yang mengambil vaksin tersebut adalah sebagai bahan uji kaji, ia adalah tidak benar.

“Maklumat yang mengelirukan (mengenai vaksin Covid-19) akan merugikan rakyat, khususnya mereka yang memerlukan iaitu warga emas dan golongan berisiko,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Justeru, Dr Zainal Ariffin berkata badan bukan kerajaan (NGO) harus memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang betul dan sahih mengenai vaksin kepada masyarakat.

Jelasnya kenyataan yang mengelirukan kepada masyarakat mengenai sesuatu vaksin adalah tidak bertanggungjawab dan ia seharusnya dikenakan tindakan agar individu dan pihak terlibat mendapat pengajaran sewajarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata soal status halal sesuatu vaksin dapat ditentukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi kegunaan umat Islam.

Beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan beberapa pihak yang mengatakan golongan yang bakal diberikan vaksin Covid-19, hanya bertujuan untuk dijadikan bahan uji kaji.

“Vaksin Covid-19 mesti berpandu kepada bukti sainstifik,” katanya menambah PERDIM menyokong sekiranya, tindakan diambil terhadap pihak yang ekstrem sehingga membantutkan usaha kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

“Kita tidak mempersoalkan pendirian golongan antivaksin itu, tetapi mereka janganlah mengeruhkan keadaan kerana kerajaan telah melakukan yang terbaik,” kata Dr Ahmad Shukri.

Minggu lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan seramai 9.6 juta atau 30 peratus rakyat Malaysia dijangka memperoleh vaksin Covid-19 tahun hadapan.

Golongan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan dan warga emas yang bakal menjadi kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19 di negara ini bukanlah dianggap sebagai ‘tikus makmal’, sebaliknya mereka menerima vaksin yang terbukti selamat dan telah menjalani ujian klinikal berskala besar.

Beliau juga memberi jaminan vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia kelak mesti melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal itu.

-BERNAMA