Dr Halimah : Serahkan Dasar Pendidikan Kepada Pakar, Jangan Campur Politik

hari guru halimah 16 mei 01

KLANG 16 MEI : Exco Pendidikan, Pendidikan tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali mahu Menteri Pelajaran dan Pendidikan yang baru tidak mencampuri dasar pendidikan negara dengan agenda politik mana-mana parti.

Katanya, Menteri seharusnya membenarkan dasar pendidikan digubal oleh pakar-pakar pendidikan tanpa sebarang campur tangan parti politik demi memastikan negara dapat melahirkan pelajar cemerlang.

“Mereka juga harus membenarkan Jabatan Pelajaran (berfungsi) sebagai perlaksana dasar baru. Biar mereka buat kerja mereka, jangan keluarkan surat-surat arahan yang menekan pihak sekolah dan jabatan.

“Begitu juga dengan Institusi Pengajian Tinggi, jangan ganggu profesionalisme, intelektualisme pelajar dan pensyarah-pensyarah itu.

hari guru halimah 16 mei 02?Apa yang menteri lakukan sebelum ini sebenarnya hanya menyebabkan pelajar kita jauh ketinggalan berbanding pelajar di negara maju yang lain,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kampung Jawa di sini.

Halimah menambah Kementerian Pelajaran juga harus memberhentikan larangan wakil rakyat ADUN Pakatan Rakyat daripada memasuki sekolah kebangsaan.

“Kami bukan mahu berjumpa pengundi tetapi kami mahu memahami masalah guru dan pelajar supaya kami dapat membantu meningkat taraf pembelajaran atau kemudahan yang mereka perlukan.

?Jika di negara lain, parti yang memerintah dan pembangkang bekerjasama membangunkan masyarakat,” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik semula sebagai Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi 1 dan manakala Datuk Seri Idris Jusoh dilantik Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi 2.

Manakala Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan masing-masing dilantik Timbalan Menteri.

Categories
NASIONAL

Halang Forum Pilihan Raya Di UM, Bukti Tranformasi Najib Retorik

nik nazmi

SHAH ALAM 20 FEB : Tindakan Kerajaan Umno-BN menyekat penganjuran forum pilihan raya di Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa slogan transformasi yang diuar-uarkan hanya retorik kosong semata-mata.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan pihak UM ditekan agar membatalkan forum tersebut yang sepatutnya turut membariskan ahli politik Pakatan Rakyat(PR) dan BN.

“Pengarah UMCEDEL Mohammad Redzuan Othman memaklumkan bahawa beliau menerima SMS untuk membatalkan program tersebut, dan arahannya datang daripada Pejabat Perdana Menteri(Datuk Seri Najib Razak) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” tegas Nik Nazmi dalam satu kenyataan medianya.

Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMCEDEL) menganjurkan sebuah forum bagi membincangkan sama ada Pakatan atau BN akan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Forum itu pada asalnya dijadualkan menampilkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

“Ironisnya Saifuddin Abdullah sendiri merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“Najib selaku Perdana Menteri ?transformasi? yang turut melantik Saifuddin ke jawatan beliau harus tampil dengan jawapan mengenai insiden ini yang sekali lagi menjadi tamparan hebat kepada kebebasan akademik di universiti,” tambah Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia.

Ekoran tekanan yang diterima, pihak penganjur terpaksa menggantikan ahli panel tersebut dengan ahli akademik yang terdiri daripada penyelidik UMCEDEL, Shaharuddin Badaruddin dan Thock Ker Pong serta Profesor Datuk Mohammad Abu Bakar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah tetap hadir sebagai penonton di forum tersebut dan turut diberi peluang naik ke pentas ketika sesi soal jawab, selepas seorang pelajar mengajukan soalan mengenai keupayaan PR untuk memerintah.

Categories
NASIONAL

Samseng Umno-BN Dilepas, Aktivis PR Diburu dan Ditahan

SHAH ALAM, 6 DIS : Kejadian samseng politik yang semakin berleluasa di Malaysia adalah kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Umno-BN yang melanggar batasan undang-undang.

Penasihat Undang-undang PAS, Hanipa Maidin berkata, banyak aduan yang dilaporkan kepada polis oleh Pakatan Rakyat (PR) berkenaan kejadian samseng politik yang didakwa dilakukan oleh penyokong Umno-BN.

Akan tetapi tiada tindakan daripada Polis terhadap aduan-aduan tersebut. Sebaliknya tindakan yang cepat dan tegas diambil oleh Polis terhadap penyokong PR.

Hanipa merujuk kepada insiden membaling cat ke Bas milik PKR semasa Jelajah Merdeka Rakyat di Melaka, di mana seorang pemuda di rakam dalam perbuatan itu.

Begitu juga dengan insiden ?senaman punggung? di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Sebaliknya tindakan pula diambil terhadap mereka yang menyertai siri perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur sehingga diburu dan ditahan oleh Polis.

Begitu juga dengan beberapa pemuda yang diburu sehingga terpaksa meminta maaf secara terbuka kerana memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada satu perhimpunan Ogos lalu.

Ujar Hanipa, politik samseng adalah satu keadaan di mana mereka yang terlibat tidak bersedia dengan kepelbagaian idea dan akhir sekali mencetuskan pertembungan fizikal.

“Sewajarnya politik adalah pertukaran idea dan kebebasan serta diberi ruang untuk melontar pendapat.

“Pihak yang terlibat dengan samseng ini apabila idea mereka ditolak oleh golongan masyarakat,” katanya.

“Apabila idea mereka tidak boleh diterima dan ditolak oleh masyarakat maka (mereka) tidak senang dengan keadaan ini serta iri hati dengan idea-idea yang dikemukan sesuatu pihak maka di situ timbulnya politik samseng,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar kali ke-16 yang mengetengahkan topik ‘Politik Samseng Di Mana Maruah Kita’.

Kira-kira 500 hadirin hadir dalam wacana itu yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini.

Turut tampil dalam wacana ini, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Categories
NASIONAL

Dituduh ‘Pengkhianat’ Pendedahan Musa Hassan Demi Kebaikan Polis Dan Negara

SHAH ALAM, 6 DIS : Tan Sri Musa Hassan menegaskan walaupun ada pihak yang melabelkan beliau sebagai ‘pengkhianat’ kerana mendedahkan campurtangan yang berlaku dalam urusan Polis, namun ia adalah untuk kepentingan Polis sendiri.

Bekas Ketua Polis negara itu berkata pendedahan beliau mengenai campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hissammuddin Hussein adalah supaya professionalisme Polis dipelihara sebagaimana diperuntukkan undang-undang.

Sebelum ini, Musa mendedahkan bahawa semasa pentadbirannya,
Hishammuddin memberikan arahan kepada pegawai polis bawahan tanpa merujuk kepadanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian kali ke-16 yang mengetengahkan topik “Politik Samseng, Di Mana Maruah Kita”.

Musa merupakan Mantan Ketua Polis Negara yang memegang jawatan itu selama empat tahun sejak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.

Musa berkata tindakan campurtangan politik bertentangan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967, yang mengatakan arahan dan kawalan polis adalah di bawah Ketua Polis Negara (KPN) dan bukan di bawah kuasa Menteri.

Di dalam topik yang sama, beliau berkata, politik samseng dapat diatasi sekiranya Polis bersikap adil terhadap semua parti politik.

“Polis ini tidak boleh bersikap tidak adil. Jika sudah ada aduan dibuat samada oleh pihak Pakatan Rakyat atau Kerajaan maka kena buat siasatan.

“Apabila sudah nampak satu pihak menceroboh masuk maka di situ pihak Polis kena bertindak,” katanya yang merujuk kepada pergaduhan di ceramah PKR di Gombak pada malam Dis 4 yang menyebabkan dua penyokong PR tercedera.

Pergaduhan itu dipercayai dicetuskan oleh penyokong Umno Bahagian Gombak.

“Jika ada diadakan ceramah berlaku di sesuatu kawasan, maka Polis jangan benarkan diadakan ceramah oleh satu pihak di kawasan yang sama.

“Ia akan melagakan kedua belah pihak,” katanya.

Turut tampil dalam wacana ini, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Penasihat Undang-undang PAS, Hanipa Maidin.

Wacana ini turut menampilkan moderator, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya.

Categories
NASIONAL

Kondo Di Batu Caves: Ronnie Liu Akan Rujuk Peguam


SHAH ALAM 14 NOV : Exco Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu akan berbincang bersama peguamnya berkenaan tuntutan maaf dan saman RM1 juta daripada Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Katanya, surat tuntutan permohonan maaf tersebut diterima di pejabatnya hari ini dan beliau belum mengambil sebarang keputusan lanjut.

“Pembantu peribadi saya telah menerima surat tersebut di pejabat saya dan saya akan membuat rundingan bersama peguam saya dan YB Gobind Singh Deo dahulu,” katanya ketika ditemui di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Ronnie berkata, surat tersebut akan menuntut RM1 juta daripadanya sekiranya tidak memohon maaf berikutan kenyataan yang dikeluarkannya.

Sebelum ini, beliau mendakwa P Kamalanatan dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator A. Kohilan Pillay adalah antara individu yang bertanggungjawab meluluskan cadangan projek pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.

Bagaimanapun, P Kamalanathan menafikan dakwaan Ronnie dan mendesaknya supaya memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan saman berikutan kenyataannya.

Categories
NASIONAL

Gaji Minima Pengusaha IKS Tidak Perlu Risau

KUALA LUMPUR, 4 OKT : Pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) tidak perlu bimbang berhubung gaji minima RM1,100 yang dicadang Pakatan Rakyat(PR) dalam belanjawan alternatifnya baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan, PR sudah bersedia untuk melaksanaan cadangan berkenaan yang akhirnya akan memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Isu ini timbul apabila pengusaha IKS bimbang kemeruduman pendapatan jika dasar berkenaan dilaksana PR bila mentadbir Putrajaya nanti.

Menurutnya, perlaksanaan gaji minima ini dibuat berdasarkan hasil perkiraan longgokan pendapatan negara dengan jumlah tidak kurang RM2 billion yang dijelaskan secara terperinci oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pengusaha IKS dinasihatkan membaca betul-betul belanjawan yang kita keluarkan supaya mereka yakin bahawa mereka tidak akan dianiaya dan mengalami kemeruduman pendapatan sekiranya kita memerintah.

“Kita yakin syarikat besar berupaya (melaksanakan gaji minima). Syarikat kecil ada suntikan tambahan kepada mereka.

“Jangan risau di mana akhirnya isu gaji minima ini akan memenangkan seluruh pihak. PR juga berupaya memastikan mereka dibela,” katanya dalam reaksi ringkas di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat Selangor melaksanakan skim gaji minima berjumlah RM1,500 kepada anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dengan peruntukkan berjumlah RM10 juta.

Jelasnya, ketakutan yang disuarakan oleh pengusaha IKS ini ekoran propaganda Umno-BN yang tidak memberikan peluang kepada PR untuk menerangkan secara terperinci Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat.

Menurutnya lagi, Bajet 2013 Umno-BN sedikitpun tidak menyentuh langkah suntikan kewangan yang diperoleh sekiranya cadangan gaji minima RM900 yang dicadangkan kerajaan akan dilaksanakan tahun hadapan.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan dan wakil Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia, The Kee Sin mendakwa perlaksanaan gaji minima RM1,100 sebagai populis dan boleh mengakibatkan usahawan IKS gulung tikar.

Categories
NASIONAL

Salahuddin : Tiada Niat Hina Perarakan Thaipusam

KUALA LUMPUR – MP Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menegaskan beliau tidak berniat menghina agama Hindu atau Thaipusam pada sesi debat bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu.

Menurutnya, apa yang diperkatakan dalam debat itu berkaitan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak mengadakan perhimpunan aman di negara ini.

“Saya tidak berniat untuk menghina agama Hindu atau kaitkan Thaipusam dengan perhimpunan haram saya tidak berniat kearah itu.

“Ketika debat itu berlangsung pelbagai contoh berkaitan dengan perhimpunan yang pernah berlaku di negara ini diberikan. Pemuda MIC telah salah erti semasa debat bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Jika sesorang itu faham bahasa Melayu dengan baik, sudah tentu mereka boleh faham apa yang saya maksudkan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan membidas kenyataan Salahuddin yang menyamakan perarakan Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.

Kamalanathan menegaskan dalam blognya, bagaimana perayaan suci itu boleh disamakan dengan demonstrasi jalanan.

Sinar Harian pada 19 Jun lalu telah menganjurkan debat antara Saifuddin dengan Salahuddin yang bertajuk Demonstrasi Jalanan Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi.

Semasa debat berlangsung, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS turut memberikan contoh perayaan Thaipusam dan perarakan maulidurrasul yang diadakan sebagai suatu perhimpunan yang pernah diadakan tetapi berlaku secara aman disebabkan tidak berlaku sebarang provokasi pihak tertentu.