Categories
AGENDA NASIONAL

Ops Merah: 2,710 kesalahan babit penunggang p-panggilan dalam sebulan

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 2,710 kesalahan dilakukan penunggang motosikal khidmat penghantaran (p-panggilan) dalam tempoh kira-kira sebulan operasi khas Ops Merah bermula 8 Oktober hingga semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata kesalahan paling tinggi adalah melanggar isyarat lampu merah dengan 902 kesalahan diikuti tidak mempunyai lesen memandu (602) dan tiada perlindungan insurans (256).

“Statistik kita (JPJ) mendapati 60 peratus kematian dalam kemalangan jalan raya adalah melibatkan penunggang motosikal dan operasi ini menumpukan kepada motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-panggilan.

“Operasi ini juga sebagai respon terhadap aduan orang ramai berhubung kesalahan dilakukan pemandu dan penunggang motosikal terutamanya perkhidmatan p-panggilan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Merah di Puchong Perdana, Subang Jaya dekat sini hari ini.

Lokman berkata sejak 8 Oktober hingga semalam, sebanyak 88,365 kenderaan diperiksa di seluruh negara menerusi Ops Merah dengan 14,677 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, melawan arus, menggunakan telefon bimbit ketika menunggang serta mengubah suai kenderaan.

Sementara itu, dalam Ops Merah di Puchong Perdana hari ini, sebanyak 1,974 kenderaan diperiksa dengan 584 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP wujud saluran aduan peniaga, pengguna isu p-panggilan

KUALA BERANG, 23 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khas untuk peniaga dan pengguna mengemukakan sebarang isu serta masalah berkaitan perkhidmatan penghantaran makanan (p-panggilan).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata mereka boleh mengemukakan aduan melalui e-mel kepada [email protected] bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata KPDNHEP serius dalam memastikan pemain industri itu menambah baik perkhidmatan dan merangka penyelesaian secara komprehensif untuk mewujudkan ekosistem perniagaan secara menang-menang untuk semua pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna.

“Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.

“Jadi kita wujudkan saluran aduan khas tersebut supaya bukan sahaja peniaga malah pengguna yang mempunyai sebarang masalah boleh mengemukakan aduan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Koperasi Felda Bukit Bading Terengganu (KOBADING) Berhad di Felda Bukit Bading di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosol berkata KPDNHEP menerima 1,903 aduan mengenai perkhidmatan syarikat p-hailing Food Panda Malaysia Sdn Bhd (Food Panda) sepanjang tahun lepas manakala 946 aduan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

“Pada 2020 KPDNHEP menerima 30 aduan mengenai GrabFood dan 43 aduan diterima mengenai syarikat p-hailing tersebut sejak Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya.

Beliau berkata susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai khidmat p-panggilan, kementerian mengambil langkah proaktif dengan giat mengadakan libat urus termasuk pertemuan dengan dua pemain utama industri itu khususnya Food Panda dan GrabFood bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kelewatan pembayaran jualan makanan kepada peniaga dan caj komisen yang tinggi.

“Ada syarikat p-hailing mendakwa kelewatan pembayaran tersebut disebabkan masalah sistem mereka. Jadi apabila kita buat libat urus dengan pihak p-hailing, mereka berjanji untuk menambah baik sistem mereka. Ada juga syarikat (p-panggilan) yang hendak menurunkan kadar komisen mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata Kementerian Kewangan setakat ini dilihat menyambut baik cadangan pemberian pinjaman mudah kepada penternak ayam yang berhadapan dengan masalah kenaikan kos operasi dan harga dedak ayam.

Menurutnya pinjaman mudah dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun itu dilihat dapat membantu golongan penternak menstabilkan kos operasi dan pengeluaran ayam seterusnya membantu menstabilkan kembali harga ayam di pasaran.

“Ketika ini fokus kementerian adalah meneliti semua cadangan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam untuk jangka masa panjang kerana tidak mahu isu harga ini berulang pada masa depan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

11 maut daripada 88 kemalangan babit penunggang p-panggilan di Selangor

PETALING JAYA, 12 OKT: Sebanyak 11 kematian direkodkan membabitkan penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-panggilan tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berkata jumlah itu berdasarkan 88 kes kemalangan yang dilapor sejak Januari hingga Ogos lalu.

“Daripada jumlah itu juga 12 penunggang parah, manakala 65 lagi mengalami kecederaan ringan,” kata Nazli Md Taib selepas operasi khas (Ops Merah) di laluan motosikal di sini, hari ini.

Beliau berkata data yang diperoleh dari Trafik Bukit Aman itu membimbangkan kerana Selangor antara penyumbang angka kematian tertinggi seluruh negara.

Katanya, angka kematian membabitkan p-panggilan seluruh negara adalah 36 kes dengan 11 sahaja di Selangor, manakala cedera parah seluruh negara 31 kes dan di Selangor pula 12 kes.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya mula menjalankan Ops Merah selama sebulan bermula 8 Oktober sehingga 7 November ini di beberapa lokasi di seluruh negeri.

“Operasi ini bukan sahaja untuk mengesan kesalahan malah advokasi dengan pihak kita memberikan vest pantul cahaya dan risalah berkaitan keselamatan,” katanya.

Berdasarkan statistik Trafik Bukit Aman sebanyak 451 kes kemalangan membabitkan p-panggilan dilaporkan sejak 2019 hingga Ogos lalu dengan 72 maut, 54 parah dan 325 cedera ringan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gadis jadi penghantar makanan, simpan wang untuk berkahwin

SHAH ALAM, 16 OGOS: Khidmat penghantar makanan lazimnya sinonim dengan lelaki, namun seorang gadis membuktikan kemampuan melakukan pekerjaan itu demi mengumpul wang untuk berkahwin.

Malynda Harjono, 24, mula menyertai syarikat p-panggilan Grab Malaysia tahun lalu untuk menjana pendapatan sampingan memandangkan gaji sedia ada sebagai pembantu tadbir tidak mencukupi.

Meskipun berdepan risiko keselamatan terutama ketika cuaca buruk, anak bongsu dari dua beradik itu mengambil dan menghantar pesanan ke rumah pelanggan sekitar Sungai Buloh dan Petaling Jaya.

“Saya buat dua kerja sebab mahu cari wang simpanan kahwin. Bukan saya seorang malah tunang turut melakukan perkara sama, Insya-Allah akhir tahun ini kami akan menamatkan zaman bujang masing-masing.

“Pekerjaan ini sebenarnya banyak bantu saya kerana boleh dapat wang dengan mudah malah pendapatan harian saya mampu cecah sehingga RM200, bergantung kepada jumlah pelanggan dan tempoh waktu bekerja,” katanya kepada Selangorkini.

Malynda antara 600 peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima bantuan kewangan RM500 yang disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di perkarangan Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19 di sini semalam.

Anak yatim yang kematian bapa sejak lima tahun lalu akibat kencing manis berkata insentif tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap individu yang terlibat dalam sektor ekonomi gig.

“Bantuan ini dimohon selepas dimaklumkan oleh abang ipar dan bersyukur kerana layak. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi membantu golongan seperti kami, sekurang-kurangnya kami tidak rasa terasing,” katanya.

Muhammad Farrhan Mohammad

Seorang lagi peserta RiDE, Muhammad Farrhan Mohamad Noor Adzhar berkata pandemik Covid-19 menyebabkan dia perlu melakukan dua kerja dalam sehari bagi menyara keluarga terutama ibu bapanya yang tiada mata pencarian.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata dia menghantar makanan ditempah pelanggan Food Panda bermula jam 6 petang hingga 10 malam sebaik selesai tugas sebagai penghantar sampel makmal di sebuah klinik swasta.

“Rutin harian saya agak terbeban tetapi harus diteruskan kerana kos sara hidup ketika ini sangat tinggi ditambah pula dengan Covid-19 yang masih berlarutan dan tidak tahu sampai bila akan berakhir.

“Sebagai individu bujang dan masih memiliki ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari wang serta bantu mereka sebaik mungkin tanpa perlu mengeluh,” kata anak bongsu dari tiga beradik yang menetap di Kampung Paya Jaras.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

p-Panggilan: Patuh peraturan jalan raya, jangan perjudi nyawa

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 28 OKT: “Tunggang motosikal ikut sesuka hati. Dahlah bawa laju, mencelah pulak sana sini, belok pun sesuka hati. Kalau lampu isyarat merah, pakai langgar saja, tak berhenti. “

“Macam nak luruh jantung tengok budak-budak tu bawak motosikal. Tak sayang nyawa ke? Kalau ‘mati katak’ (mati sia-sia) keluarga juga susah. Mestilah risau, mereka ini bukan sahaja membahayakan diri tetapi juga pengguna jalan raya lain.”

Itu antara keluhan mereka yang saya ajukan soalan mengenai sesetengah sikap penunggang perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (p-panggilan), tidak mengira, sama ada mereka daripada syarikat tertentu ataupun yang bekerja sendiri. Boleh dikatakan, majoritinya menunggang motosikal dalam keadaan sangat membahayakan.

Malah, isu pelanggaran peraturan jalan raya dalam kalangan pekerja sektor ini juga bukanlah asing bahkan ia turut mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa yang sudah banyak kali menegur akan sikap tidak berhemah ini.

Ini kerana penunggangan sedemikian rupa bukan sahaja merisikokan mereka kepada keberangkalian tinggi terlibat dalam kemalangan, namun boleh juga melibatkan pengguna jalan raya yang lain.

Penunggang p-panggilan GrabFood menyahkuman bekas penyimpan makanan sebagai langkah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19 di Kajang pada 23 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berdasarkan hasil temu ramah Bernama dengan beberapa individu, rata-rata mereka beranggapan golongan pekerja p-panggilan terlalu “mengejar trip penghantaran makanan, barangan” ke sesuatu destinasi demi mendapatkan komisyen atau upah lebih yang dikatakan ‘lumayan’ buat mereka.

Akan tetapi, apakah benar persepsi yang sedemikian? Dan, adakah wajar bagi pekerja ini mempertaruhkan nyawa mereka mahupun pada masa yang sama turut membahayakan pengguna jalan raya lain hanya semata-mata ingin mendapatkan pendapatan ‘lumayan’ seperti yang didakwa itu?

Kemalangan tinggi

Bagi Ahmad Nazirul Azrie Ahmad Noh, 22, yang sudah setahun bekerja sebagai p-panggilan untuk sebuah syarikat aplikasi perkhidmatan makanan, beliau menafikan pendapatan ‘lumayan’ antara faktor utama mengapa ada segelintirnya gagal mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Menurut beliau, kebanyakan penunggang p-panggilan terpaksa bergegas ke lokasi penghantaran kerana antaranya, sikap pelanggan yang tidak sabar mahupun merungut inginkan makanan yang mereka tempah, segera sampai tanpa mengira sebarang alasan sekali pun.

Sekiranya lambat, respon negatif akan diberikan kepada mereka sekali gus menjejaskan penilaian kadar gaji upah penunggang p-panggilan, selain turut sama ‘direhatkan’ oleh pengurusan syarikat penyedia perkhidmatan untuk beberapa minit. Dalam tempoh itu, pekerja itu tidak akan mendapat sebarang pesanan baharu kerana kelewatan tersebut.

“Ramai yang ingat gaji kami ini lumayan. Dulu mungkinlah betul, tetapi sekarang tidak lagi kerana lambakan penunggang p-panggilan menyebabkan kami terpaksa berbahagi trip penghantaran.

“Cuma, saya boleh nyatakan pendapatan diterima agak menarik, bukan lumayan. Ia setimpal dengan apa kami dapat kerana bekerja lebih 12 jam sehari.

“Biarpun begitu, pekerjaan ini sangat bahaya dan berisiko tinggi. Kalau pekerja lain, pejabat mereka dalam bangunan tetapi pejabat kami di atas jalan raya. Dan motosikal yang kami guna itu boleh diibaratkan seperti komputer bagi mereka yang bekerja di pejabat.

“Sepanjang masa berada di atas jalan raya, risiko kemalangan itu memang tinggi dan saya pun pernah mengalami kemalangan sehingga patah tulang kaki kiri (tibia dan fibula) serta retak di bahagian kiri pelvis dan perlu dimasukkan besi,” katanya.

Membimbangkan

Hakikatnya, berita kemalangan membabitkan golongan pekerjaan ini sehingga mengakibatkan kecederaan parah, kecacatan kekal mahupun meninggal dunia sudah banyak kali dipaparkan media sama ada menerusi medium elektronik mahupun cetak.

Malah, pada pertengahan Oktober tahun ini dilaporkan seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar lari kenderaan lain di Kilometer 88.3, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Yong Peng, Johor.

Selain itu, pada April lalu, seorang penghantar makanan yang baharu memenuhi tempahan pelanggannya maut apabila motosikal dinaikinya diseret sejauh kira-kira 10 meter seelpas berlanggar dengan sebuah lori di simpang empat Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Pengguna mengenakan topeng muka ketika membeli barang keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Tesco Kajangpada 23 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ini antara beberapa kes kematian membabitkan penunggang p-panggilan. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) amat bimbang dengan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan penghantar makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas.

Berdasarkan data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipetik dalam satu laporan media, 150 kemalangan jalan raya dengan empat kematian direkodkan membabitkan penunggang p-panggilan sepanjang tempoh tiga bulan sejak PKP.

Ketua Pengarah Miros, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, dipetik berkata Miros akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai syarikat aplikasi penghantaran makanan berhubung kadar tinggi kemalangan membabitkan penunggang p-panggilan.

Ini juga berdasarkan kajian Miros yang mendapati kadar tinggi pelanggaran kesalahan trafik dalam kalangan pekerja sektor terbabit

Miros dalam satu laporan media menyatakan hasil pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan 11 jalan utama di Kuala Lumpur antara 4 hingga 7 Ogos lalu, mendapati kira-kira 64 peratus penunggang p-panggilan yang menghantar makanan dikesan melakukan kesalahan trafik pada waktu puncak antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.

“Kami akan menekankan kepada pengendali, keperluan menetapkan garis panduan dan latihan operasi selamat untuk penghantar makanan,” kata Khairil Anwar sambil turut dipetik berkata golongan ini tidak sewajarnya merisikokan nyawa sendiri untuk menghantar makanan.

Pandang ringan?

Mengulas polemik keselamatan kerjaya ini, pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), Norwani Ahmat berkata permasalahan ini tidak boleh dipandang ringan berikutan pekerjaan p-panggilan yang merupakan antara satu cabang pekerjaan ekonomi sampingan mula menjadi tumpuan sejak PKP.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang KKP termasuklah pernah berkhidmat di Proton Holdings Bhd sebagai Ketua Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran sekitar 2018 berkata kerajaan perlu memandang serius akan senario yang tidak selamat ini.

Ini kerana sekiranya tidak dibendung boleh menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan membabitkan golongan tersebut.

“Kita sedia maklum peningkatan p-panggilan bertambah sejak PKP kerana masyarakat tidak boleh keluar rumah sesuka hati untuk membeli barang. Banyak juga restoran dan pasar raya yang menggunakan pperkhidmatan ini, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan p-panggilan kepada anak muda termasuklah mereka yang hilang pekerjaan.

“Situasi ini sangat positif, peluang pekerjaan untuk anak muda tetapi bagaimana dalam jangka masa panjang sekiranya kemalangan melibatkan mereka tinggi?” katanya.

Memandangkan pekerjaan ini semakin ramai diceburi generasi muda, Norwani berkata perlu diberi perhatian kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya majikan untuk memastikan golongan tersebut mendapat latihan penunggangan berhemah bagi menjamin keselamatan mereka di jalan raya.

Penghantar makanan mengimbas kod QR data peribadi sebelum mengambil makanan yang ditempah melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ada syarikat besar yang menghantar penunggang p-panggilan mereka untuk mendapatkan latihan penunggangan selamat yang dikendalikan oleh Miros iaitu Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP).

“Program kerjasama dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) ini mengajar mereka mengenai aspek penunggangan selamat, penyelenggaraan kenderaan, pengenalpastian risiko dan sebagainya yang lebih efektif berbanding apa dipelajari semasa mendapatkan lesen motor, ” katanya.

Beliau berkata semua syarikat pengendali perlu memberikan latihan sedemikian kepada pekerja p-panggilan, memandangkan ramai anak muda terlibat pekerjaan ini.

Menurut beliau selain bimbang dengan kadar kematian membabitkan golongan tersebut, beberapa kajian sebelum ini juga mendapati majoriti kemalangan motosikal turut melibatkan kecederaan kepala (30 peratus), kaki (25 peratus), tangan (sembilan peratus) dan dada (empat peratus).

“Apa akan berlaku pada masa akan datang sekiranya begitu ramai belia mengalami kecacatan kekal mahupun meninggal. Bukankah ini merugikan negara?

“Disebabkan itu, amat penting agensi yang bertanggungjawab berbincang dengan pengendali perkhidmatan tersebut bagi memastikan keselamatan penunggang p-panggilan dilindungi,” katanya.

Tekanan

Sementara itu, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menekankan, operator penyedia perkhidmatan penghantaran bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan penunggang p-panggilan mereka.

Menurut Timbalan Presiden MSOSH, Mohamad Aliasman Morshidi, berdasarkan maklumat yang diterima MSOSH daripada Persatuan Penghantar P-Panggilan Malaysia, hubungan antara operator penyedia perkhidmatan dengan penunggang p-panggilan tidak didefinisikan dengan jelas daripada segi perundangan, berkaitan kontrak antara majikan dan pekerja.

“MSOSH difahamkan, penunggang p-panggilan tidak dikategorikan sebagai pekerja manakala operator penyedia perkhidmatan tersebut tidak dikategorikan sebagai majikan di dalam definisi ekonomi sampingan serta undang-undang sedia ada.

“Perkara ini mesti dikaji lebih lanjut oleh pihak kerajaan berkaitan pendekatan ekonomi sampingan di mana ia masih lagi baharu di Malaysia. Biarpun begitu, tanggungjawab keselamatan dan kesihatan pekerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 jelas menerangkan tanggungjawab majikan dan pekerja.

“Tetapi, undang-undang sedia ada tidak melindungi hak penunggang p-panggilan dengan jelas dan ini boleh mendatangkan bahaya dan ketiadakadilan kepada mereka,” katanya.

Menurut beliau, kontrak antara majikan dengan pekerja p-panggilan agak longgar dan tidak jelas misalnya pencapaian kualiti yang digunakan adalah bersandarkan kecepatan penghantaran makanan dipesan dan bukannya keselamatan dititikberatkan.

Faktor tersebut secara tidak langsung memberi tekanan kepada penunggang p-panggilan untuk mencapai kualiti ditetapkan syarikat.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan pekerja ini. Menyalahkan mereka semata-mata atas kemalangan jalan raya adalah tidak adil tanpa memahami mengapa mereka sanggup melanggar peraturan jalan raya demi untuk mencari rezeki halal buat keluarga,” katanya.

Garis panduan

Justeru, MSOSH tampil dengan Garis Panduan Keselamatan Pekerja Penghantaran Bermotosikal khusus untuk semua pekerjaan yang melibatkan kenderaan tersebut kerana difahamkan sebelum ini negara belum lagi memiliki sebarang kerangka keselamatan bagi mengawal kerjaya bagi penunggang bermotosikal ini.

Projek ini yang dimulakan pada November 2018 dilancarkan pada Julai lalu turut membabitkan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Perkeso, Miros, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Notis pemberitahuan operasi perniagaan ditampal pada pintu masuk sebuah restoran makanan segera ketika tinjauan di Shah Alam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020. Foto BERNAMA

Garis panduan ini bukan hanya tertumpu kepada pekerjaan p-panggilan tetapi meliputi semua kerjaya yang menjadikan motosikal sebagai medium utama pekerjaan mereka seperti peronda lebuh raya, penghantar surat khabar dan sebagainya.

“Idea membangunkan garis panduan ini dibangkitkan oleh salah seorang ahli jawatankuasa pengurusan MSOSH, Norwani Ahmat pada 2018, memandangkan kadar kemalangan motor agak tinggi dan tiada garis panduan khusus untuk mereka yang bekerja menggunakan motosikal.

“Cadangan ini dibentangkan kepada Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan mendapat lampu hijau daripada MNKKP.

‘Matlamat garis panduan ini adalah untuk kemudahan industri yang berkaitan khususnya pekerja yang menggunakan motosikal di tempat kerja mereka,” katanya.

Beliau turut menambah garis panduan itu merangkumi empat aspek penting iaitu tanggungjawab majikan, pengurusan penunggang (rekod kesihatan, kemahiran), pengurusan kenderaan serta penilaian risiko ketika bertugas di jalan raya.

“Harapan MSOSH adalah memastikan garis panduan ini diterima oleh pihak kementerian berkenaan sebagai antara satu panduan tambahan khas kepada penunggang p-panggilan selain daripada undang-undang atau garis panduan sedia ada seperti Tataamalan Industri Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010,” katanya.

-BERNAMA