SHAH ALAM, 1 MAC: Budaya mengumpulkan harta melalui rasuah, kronisme dan salahguna kuasa menjadi punca utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang untuk melaksanakan pengisytiharan harta anggota pentadbiran pusat khususnya Menteri-Menteri Kabinet kepada awam.
Demikian menurut Timbalan Ketua Menteri 2, Pulau Pinang, Prof Dr P.Ramasamy ketika dihubungi TVS sebentar tadi.
“Mengapa BN masih tak isytihar harta dari dulu lagi sedangkan kerajaan Pulau Pinang yang ada sekarang baru empat tahun tadbir negeri ini dah melaksanakan pengisytiharan harta Ketua Menteri, timbalannya dan exco-exco lain.
“Mungkin ada banyak benda yang mahu dirahsiakan oleh PM hinggakan bimbang untuk mengisytiharkan harta dan pendapatan dia dan menteri-menteri kabinet lain kepada awam?
“Bila harta-harta menteri kabinet didedahkan sudah tentu akan menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat umum apabila ada menteri yang didapati memiliki harta dan pendapatan yang melampau.
“Tentu sumber kekayaan itu dipersoalkan rakyat, adakah datangnya dari sumber rasuah, kronisme atau salahguna kuasa,” beritahu beliau.
Bagaimanapun menurut Ramasamy, langkah mengisytiharkan harta yang disebut oleh Najib baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.
“Kita minta PM berikan maklumat harta serta pendapatan dengan dimulakan oleh menteri-menteri kabinet termasuk beliau dan lepas itu diikuti oleh semua ahli-ahli parlimen.
“Ia memang tak mustahil untuk dilaksanakan, tetapi soalnya samada PM mahu laksanakan atau tidak dan jangan cuma cakap sahaja.
“Kuasa ada di tangan PM, jadi terserah pada dia samada betul-betul nak laksanakan atau tak,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa pada masa ini menteri-menteri kabinet hanya diarahkan membuat pengisytiharan harta mereka kepada Perdana Menteri dan tidak kepada umum.
Pada masa ini dokumen pengisytiharan harta menteri-menteri berada di dalam simpanan Najib di Pejabat Perdana Memteri itu.
Arahan tersebut pertama kali dilaksanakan ketika era mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui pentadbiran negara ini.
Mengulas isu yang sama, Ramasamy tidak menolak kemungkinan isu pengistiharan harta tersebut boleh dijadikan sebagi ugutan terhadap mana-mana anggota kabinet tidak sehaluan dengan Perdana Menteri sebagimana dilakukan ketika era Dr Mahathir.
“Boleh jadi juga, sebab bila rahsia seseorang ada di tangan kita, ia boleh dijadikan senjata supaya orang ikut cakap kita,” ujar Ramasamy lagi.
Dalam perkembangan yang sama baru-baru ini Menteri DiJabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberikan reaksi bahawa tindakan pengistiharan harta tersebut boleh memberi risiko keselamatan kepada jamaah menteri.
Reaksi yang sama juga diberikan oleh Dr Mathathir.