Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa bah puji agihan bantuan negeri cepat, mudah

KLANG, 2 FEB: Penduduk Padang Jawa di sini menyifatkan proses permohonan dan agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) susulan banjir tahun lalu cepat dan mudah.

Pengawal keselamatan Azman Abd Samad, 55, menghantar borang seminggu selepas kejadian sudah menerima inisiatif itu 5 Januari lalu bagi membeli semula keperluan rumah.

Azman Abd Samad

“Alhamdulillah dipermudahkan urusan dan boleh membeli keperluan rumah kerana banyak barang rosak. Harap pihak berkaitan dapat luluskan segera permohonan penduduk lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Fadzillah Hisham Ismail memaklumkan lebih 1,500 permohonan BSB dihantar ke Pejabat Daerah dan Tanah Klang setakat kelmarin.

“Setakat ini, kira-kira 300 mangsa menerima bantuan Kerajaan Negeri awal Januari lalu bagi fasa satu. Antara kes dikesan ketika serahan bantuan ialah pertindihan permohonan,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Perlu Perjelas Lulus Kompleks Hiburan Di Padang Jawa

SHAH ALAM, 2 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini diminta menjelaskan mengapa permohonan IRDK Land untuk membina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif  di Padang Jawa diluluskan sedangkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah bertitah agar tiada sebarang pusat hiburan dibina di Shah Alam.

Selain melanggar titah baginda sultan, Kompleks tersebut yang masih dalam pembinaan itu juga mendapat bantahan penduduk beberapa buah kampung di Padang Jawa.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di sini.

Menurut Abdul Khalid, sebelum ini beliau ada dimaklumkan oleh pegawai MBSA bahawa pihak istana telah memberikan lampu hijau terhadap kompleks hiburan tersebut.

“Walaupun sebelum ini saya diberitahu pegawai MBSA secara lisan yang pihak istana beri kebenaran, tetapi MBSA harus beri jawapan bertulis secara rasmi kerana tidak mustahil ada pihak sengaja dan sesuka hati menggunakan nama istana.

“Kalau benarpun pihak istana beri kebenaran, pandangan penduduk Padang Jawa masih perlu diambil kira,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau juga dimaklumkan bahawa pihak MBSA masih belum mengeluarkan lesen operasi perniagaan kepada syarikat terlibat.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan Adun Gombak Setia, Dr Hassan Ali dan pemimpin Umno-BN bahawa Shah Alam telah menjadi hub maksiat.

“Lesen perniagaan yang dikeluarkan dalam isu ini adalah spesifik seperti untuk tujuan perniagaan spa kecantikan dan urut refleksologi sahaja.

“Pemeriksaan di tempat pernigaan juga dijalankan dan syarat membaharui lesen juga dikenakan pemeriksaan, tetapi yang cuba jadikan Shah Alam pusat maksiat adalah Umno-BN sebab merekalah bina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif di Padang Jawa,” ujar beliau lagi.

Menurut Abdul Khalid, syarikat IRDK Land yang memajukan projek kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif tersebut dimiliki oleh pemimpin MIC yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum ke 12 lalu bagi Dun di Negeri Perak.

Categories
SELANGOR

Rodziah : RM3.95 Juta Selesai Masalah Trafik Di Padang Jawa

SHAH ALAM, 13 OKT : Kesesakan lalu lintas di Padang Jawa  sejak bertahun lamanya berjaya di atasi Kerajaan Negeri dengan pembinaan laluan baru.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM3.95 juta bagi cadangan pembinaan jalan raya menghubungkan Jalan Mat Raji, Kampung Padang Jawa ke Persiaran Jubli Perak Seksyen 17.

Beliau berkata, pihaknya bukan sahaja memandang isu itu dari segi kesesakan tetapi juga keselamatan penduduk di situ serta Kapung Padang Jawa yang selama ini menghadapi masalah keluar masuk dari kawasan tersebut.

“Usaha bagi pembinaan jalan tersebut melalui perbincangan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pihak lain di mana kita sudah mendapat satu kata putus mengenai pembinaannya.

“Dengan perancangan dan usaha ini yang kita tunggu hampir dua tahun dan Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan bagi membina laluan alternatif ini yang dijangka bermula pada hujung tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Rodziah berkata, dengan kepesatan pembangunan di sekitar kawasan di situ pastinya laluan baru itu akan mengatasi masalah kesesakan dihadapi penduduk yang berjumlah kira-kira 40,000 orang.

Selama ini, penduduk di situ menghadapi masalah kesesakan terutamanya pada waktu puncak kerana hanya terdapat satu laluan utama sahaja yang dapat digunakan mereka.

“Kita berharap dengan kewujudan jalan ini akan memberikan banyak faedah dan kelegaan kepada pengguna lalu lintas terutama penduduk di kawasan Padang Jawa kerana ia akan menjimatkan masa perjalanan,” katanya.