Categories
NASIONAL

Chegu Bard Didakwa Bawah Akta Perhimpunan Aman Esok

blackout suara rakyat 505 01

PETALING JAYA 4 JUN : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya jam 9 pagi esok untuk didakwa di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Badrul Hisham menerima waran saman untuk hadir ke mahkamah daripada polis yang datang ke Bilik Media, Ibu Pejabat PKR di sini.

Beliau menerima waran itu pada kira-kira jam 1.40 petang dalam pertemuannya selama 10 minit dengan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Dipercayai Badrul Hisham akan didakwa berhubung penglibatannya dalam penganjuran Himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 Mei.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM 10,000.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata beliau dituduh kerana gagal memaklumkan himpunan tersebut kepada pihak polis 10 hari lebih awal seperti disyaratkan dalam akta itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah dan peguamnya untuk menguruskan kes itu.

“Semalam sekumpulan polis datang ke rumah saya dan rumah mak saya, tetapi mereka tidak dapat menemui saya.

“Jadi bila saya tahu, saya sendiri menelefon polis untuk mengadakan pertemuan pada hari ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menambah tindakan untuk beliau dihadapkan ke mahkamah itu merupakan satu penyalahan undang-undang.

Ia kerana undang-undang terbabit tidak dilaksanakan kepada program yang dianjurkan Umno-BN.

“Mengapa undang-undang ini tidak diaplikasikan kepada program-program pro BN?

“Saya boleh senaraikan beribu program Umno-BN tetapi tidak ada sebarang tindakan seperti ini diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan undang-undang di Malaysia sedang menuju mengikut kelas masyarakat.

“Ini dilihat orang biasa seperti saya yang tidak menyokong BN diambil tindakan dan pengikut BN boleh hidup bebas,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Chegu Bard: Jika SPR Terus Membisu, Kita Tuju Ke Dataran Merdeka

flags suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA, 27 MEI: Rakyat yang membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) harus bersedia untuk turun ke Dataran Merdeka sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus tidak menghiraukan dakwaan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU 13.

Desakan itu dibuat penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, Himpunan Kemuncak Suara Rakyat 505 yang diadakan di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini Sabtu lalu

“Jika Wan Ahmad membisu, jika Aziz membeku, jika SPR buat pekak badak, rakyat akan menuju ke Dataran Merdeka,” kata beliau dan disambut teriakkan bersemangat lebih 50,000 perserta perhimpunan tersebut.

Beliau merujuk kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar, yang sebelum ini didesak supaya meletakkan jawatan mereka ekoran perjalanan PRU 13 yang tempang dan cacat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, sebelum itu turut membayangkan satu lagi perhimpunan akan diadakan di Dataran Merdeka selepas ini.

“Cukup setakat ini dahulu, dan Insya-Allah kita akan bertemu di Dataran Merdeka selepas ini sehinggalah tuntutan-tuntutan kita dipenuhi oleh (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) dan SPR,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, sekiranya rakyat tidak bangkit menentang penipuan dan penyelewengan tersebut, perkara yang sama akan terus berlaku di masa akan datang.