Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti kebudayaan Selangor tarik minat golongan muda

KUALA LANGAT, 12 DIS: Penganjuran Program Junjungan Kasih Melestarikan Budaya Warisan mampu menyuburkan semula identiti kebudayaan Selangor.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata aktiviti kebudayaan dapat menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk lebih mendalami kebudayaan sekali gus memelihara warisan.

“Kita menjunjung kasih Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Ke-76 hari ini (semalam) dan mahu menghidupkan semula nostalgia pemerintahan Kesultanan Selangor dengan menganjurkannya di pekarangan Istana Bandar.

“Pelbagai acara dijalankan antaranya bengkel tanjak Selangor dan busana yang menggunakan tenunan telepuk yang merupakan pakaian tradisional negeri ini selain makanan tradisional seperti nasi ambeng,” kata Borhan Aman Shah.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata sambutan masyarakat pada program ini amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 individu.

“Program ini dianjurkan buat kali pertama dengan melibatkan badan bukan kerajaan dan kesenian budaya seperti Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).

“Impak yang diterima dalam program ini baik dan bercadang menjalankan tiga bulan sekali dengan pengisian program berlainan selain menjadikan Kuala Langat sebagai seni budaya untuk masyarakat,” katanya.

Program Junjungan Kasih Melestarikan Budaya Warisan bermula jam 10 pagi hingga 11 malam di perkarangan Istana Bandar, Jugra.

Antara acara diadakan bengkel tanjak Selangor, persembahan dendang anak kelanang raja sakti, cempuling dan pertandingan sireh junjung warisan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga muzium negeri dibuka semula, pelawat digalak buat janji temu

SHAH ALAM, 2 OKT: Tiga muzium dan satu monumen di negeri ini dibuka semula kepada pengunjung sejak semalam setelah Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Muzium berkenaan ialah Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam, Muzium Kuala Selangor, Muzium Jugra dan Istana Bandar, Banting, menurut Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).

Pegawai penerangannya berkata kapasiti bagi pengunjung di setiap muzium seramai 15 orang manakala 50 individu dibenarkan melawat monumen pada satu-satu masa.

“Kita menggalakkan pelawat membuat janji temu berbanding hadir terus. Mereka tetap boleh melawat tanpa janji temu tetapi bergantung kehadiran pelawat ketika itu dan perlu menunggu giliran,” kata Farhani Shamsudin.

Beliau berkata semua lokasi berkenaan dinyahkuman sebelum dibuka kepada umum dan mereka yang ingin membuat janji temu boleh menghubungi Unit Perhubungan Awam Padat di talian 03-55190050.

Kerajaan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) fasa satu PPN bagi industri kreatif untuk individu lengkap divaksin mulai 9 September.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tujuh pemenang pertandingan rekaan bunga tanjung, tarian Poja Bugis

SHAH ALAM, 20 APRIL: Seramai tujuh pemenang diumumkan bagi Pertandingan Mereka Bentuk Motif Bunga Tanjung dan Tarian Poja Bugis Selangor yang diadakan secara dalam talian sejak Januari hingga Mac lalu.

Ketua projeknya berkata acara anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) itu disertai 30 peserta bagi kategori rekaan motif bunga tanjung, manakala 15 kumpulan tarian.

 EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap di Hotel De Palma pada 9 April lalu. Foto: Padat

“Pertandingan julung kali diadakan ini bertujuan mengangkat dan mempopularkan motif bunga tanjung kelopak sembilan sebagai bunga rasmi Selangor dan memperkenalkan budaya etnik Bugis,” kata Intan Hazna Abdullah ketika dihubungi.

Bagi kategori rekaan bunga tanjung juara dimenangi oleh Muhammad Azmi Zamah Sari dari Sijangkang yang membawa pulang RM2,000, naib juara Suzita Mohd Sawi dari Rawang (RM1,500) dan tempat ketiga Muhammad Miqdad Roslan dari Shah Alam (RM1,000).

Manakala, kategori tarian juara disandang oleh Kumpulan Anak Seni Selangor menerima RM3,000 diikuti naib juara Citra Lestari (RM2,000), tempat ketiga Akar Seni Malaysia (RM1,500) dan busana terbaik Gemalai Qarmadansa (RM1,000).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah di Hotel De Palma pada 9 April lalu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Padat anjur pertandingan reka bentuk motif bunga tanjung

SHAH ALAM, 9 JAN: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) menganjurkan pertandingan ‘Merekabentuk Motif Bunga Tanjung Kelopak Sembilan’ sempena Kongres Seni Budaya dan Warisan Negeri.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada juara, RM1,500 (naib juara), RM1,000 (ketiga) dan tiga hadiah saguhati RM500 beserta sijil kepada pemenang.

Terbuka kepada semua, pertandingan selama sebulan itu akan berakhir pada 31 Januari ini.

Syarat dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.padat.gov.my manakala sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5519 0050 serta 03-5519 7604.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Empat muzium negeri ditutup hingga 6 Disember

SHAH ALAM, 10 NOV: Empat muzium di tiga daerah negeri ini ditutup hingga 6 Disember susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor memaklumkan penutupan melibatkan Muzim Sejarah Kuala Selangor dan Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam.

Turut ditutup ialah Muzium Insitu Jugra dan Muzium Istana Bandar, kedua-duanya di Kuala Langat.

“Sejajar lanjutan tempoh PKPB di Selangor, muzium-muzium daerah di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat ditutup untuk lawatan sehingga 6 Disember,” kata perbadanan itu dalam notis hari ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-55190050 atau 03-55103190 atau e-mel [email protected].

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Muzium Setem: Padat pelawa orang ramai sumbang koleksi

SHAH ALAM, 26 OKT: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) mempelawa orang ramai menyumbang koleksi setem untuk muzium yang sedang dibangunkan di Seksyen 14 di sini.

Unit perhubungan awamnya berkata muzium yang dijangka siap pada 2022 memerlukan koleksi setem dan filateli, peralatan serta dokumentasi sejarah perkhidmatan pos termasuk peta.

“Padat sedang giat mengumpul koleksi dari Malaysia dan dunia bagi pengisian muzium ini apabila ia siap dibina kelak, justeru kami mengalu-alukan sumbangan koleksi secara percuma, pinjaman atau sewaan,” menurut agensi itu dalam kenyataan.

Menurut perbadanan itu, surat perakuan dan sijil penghargaan khas akan diberi kepada individu yang menyumbang koleksi secara percuma.

Orang ramai boleh melayari laman web www.padat.gov.my atau hubungi Pegawai Penyelaras Muzium Setem Abdullah Anas Abu Bakar di talian 03-55190050 atau 019-233 3554 untuk maklumat lanjut.

Muzium Setem itu, yang pertama di Selangor dijadikan pusat rujukan berkaitan sejarah perkembangan aktiviti pos dan filateli negara.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor angkat seni muzik cempuling

SHAH ALAM, 24 OGOS: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) mengangkat seni muzik cempuling dengan mengetengahkan 25 kumpulan pemuzik buat julung kalinya, hari ini.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, muzik cempuling bukan sahaja bertujuan menyebarkan dakwah, malah ia dimainkan ketika lagu keramaian, sekali gus membolehkannya diketengahkan sebagai identiti Selangor.

Justeru, katanya, cempuling sewajarnya menjadi warisan dan kebudayaan negeri yang harus dipelihara serta dihayati terutama generasi muda.

“Umum mengetahui bahawa Selangor kaya dengan pelbagai jenis muzik warisan antaranya keroncong dan caklempong, namun saya percaya masih ramai kurang tahu atau cakna berhubung kewujudan muzik cempuling yang menjadi amalan sebahagian masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Seni Muzik Cempuling di Teater Shah Alam.

Pertandingan yang terbahagi kepada kategori sekolah dan terbuka itu memerlukan peserta menyanyikan lagu wajib iaitu Elir-elir, Tombo Ati, Assalamualaikum, Selawat serta dua lagi berkonsepkan dakwah dan nasihat.

Abdul Rashid berkata, pihaknya mahu supaya pelajar dan orang ramai diberi pendedahan berhubung hiburan tradisional cempuling yang wajar diketengah dan diwarisi segenap lapisan masyarakat.

Katanya, pertandingan itu juga bagi mencungkil serta mengasah bakat dalam kalangan anak muda dan pada masa sama membawa bakat sedia ada ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi mewujudkan pelapis baru, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan 10 set cempuling kepada sekolah di Selangor dan mereka dilatih oleh pemuzik berpengalaman.

“Kepada pemuzik cempuling, teruskan berkarya dan berikanlah persembahan memukau bukan hanya kepada rakyat Selangor, malah pelancong seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Categories
SELANGOR

PADAT anjur pertandingan congkak sempena Orchidstra Raya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) bakal menganjurkan pertandingan congkak sempena program Orchidstra Raya, pada 25 Mei ini.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook, PADAT memaklumkan pertandingan itu akan berlangsung di Tingkat 2, Main Place Mall, Subang Jaya.

“Terdapat dua kategori yang akan dipertandingkan iaitu B12 (6-12 tahun) dan terbuka (13 tahun ke atas) dengan penyertaan adalah percumaserta terbuka kepada 40 slot sahaja untuk setiap kategori,” kata PADAT.

Pertandingan itu menawarkan hadiah sehingga hampir RM2,000 dan pemenang berpeluang menerima set congkak serta baucar tunai.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Mei ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Comeil di talian 012-6212129.

Categories
SELANGOR

Muzium Sultan Alam Shah ditutup 13 bulan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 APRIL: Muzium Sultan Alam Shah, di sini akan ditutup sementara untuk lawatan pengunjung, berkuat kuasa pada 1 Mei ini hingga 31 Mei 2020.

Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) memaklumkan, penutupan itu untuk memberi laluan kepada kerja naik taraf dan pengubahsuaian membabitkan kesemua balai pameran tetap.

“Penutupan ini walaubagaimanapun tidak termasuk bagi kemudahan Dewan Raja Lumu dan Auditorium Daeng Chelak serta permohonan untuk penyewaan masih dibuka seperti biasa.

“Program Semarak Warisan juga akan berlangsung seperti biasa pada setiap Ahad minggu kedua pada 10 pagi hingga 5 petang di Lobi Semarak Muzium Sultan Alam Shah,” katanya dalam kenyataan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Unit Perhubungan Awam PADAT di nombor 03-5519 0050 / 5510 3220 /5510 3190 atau e-mel kepada [email protected].

Categories
SELANGOR SENI

Ahmad Marzuki juarai Bintang Remaja Irama Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 OKT: Masalah kesihatan dialami bapa, Nordin Yusof dijadikan pemangkin semangat Ahmad Marzuki mempamerkan persembahan terbaik sekaligus dinobatkan juara Pertandingan Bintang Remaja Irama Malaysia 2017.

Mendendangkan dua lagu bertajuk Dikir Puteri dan Nyayian Serambi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang berusia 16 tahun itu berjaya membawa pulang RM2,000, trofi dan sijil penyertaan.

Pemuda berasal dari Kubang Kerian itu turut memenangi kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM200.

Ketika ditemui beliau berhasrat menggunakan wang kemenangan itu menampung kos rawatan bapanya yang kini menghidap penyakit bengkak hati.

“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan nyanyian bergenre irama Malaysia. Sebelum ini saya biasa menyanyikan lagu pop rock dan balada.

“Saya tidak sangka menang pertandingan ini. Mungkin sudah tertulis rezeki saya,” katanya.

Raja Intan Suhaila Raja Hassan yang mendendangkan lagu Nirmala dan Air Mata Hati pula dinobatkan selaku naib juara dengan membawa pulang hadiah RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi Noorhidayah Halim yang membawa pulang RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Disamping itu, beliau turut memenangi kategori Busana Terbaik dan Penyokong Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM200 serta hamper.

Enam lagi peserta peringkat akhir membawa pulang hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang dan sijil penyertaan.

Hadiah pertandingan yang dianjurkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah.

Sebelum ini, berlangsungnya pusingan saringan pada 14 Oktober lalu yang menyaksikan 20 orang peserta mendaftar dan 10 daripada mereka layak bersaing di peringkat akhir.

=EZY=

Categories
SELANGOR

PADAT jamin keselamatan pelajar di muzium

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) memberi jaminan akan menjaga keselamatan pelajar yang menyertai program “Bermalam di Muzium”, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, sepanjang dua hari ia berlangsung.

Kurator, Mohamad Aris Sahid berkata, seramai 30 urus setia akan terlibat untuk menjamin keselamatan dan kelancaran program terbabit.

“Sebelum ini, dalam perbincangan dan mesyuarat kita sentiasa membincangkan isu keselamatan pelajar harus diutamakan.

“Urus setia yang bertugas akan sentiasa memantau mengikut syif ditetapkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, pihaknya turut membentuk pasukan kecemasan yang akan membantu jika berlaku masalah kesihatan ketika program berlangsung.

Aris berkata, pelajar juga diberi peraturan untuk sentiasa bergerak dalam kumpulan dan bertanya kepada urus setia jika menghadapi sebarang masalah.

“Kita berharap program ini akan berjalan dengan baik tanpa sebarang kekangan, malahan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik sehingga jam 12 tengah malam ini.

“Peserta akan tidur di dua galeri iaitu adat dan warisan serta sejarah bagi mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Program bermalam di muzium bakal pecah rekod

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) menampilkan kelainan dengan memperkenalkan program “Bermalam di Muzium” membabitkan 120 pelajar, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, program itu diadakan serentak di seluruh Malaysia dengan penyertaan 2,050 pelajar bersama Jabatan Muzium Malaysia.

Katanya, ia bagi mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records “Most Number of Participants Overnight Simultaneously For An Educational Programme At The Museum” menerusi aktiviti pendidikan paling ramai bermalam di muzium.

“Program kali ini membabitkan 32 muzium bermula jam 3 petang dan akan berakhir, pada jam 1 tengah hari esok dengan penyertaan pelajar berumur 14 hingga 17 tahun,” katanya.

Pada masa sama, Faizul berkata, program itu dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia, pada 16 September bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan negera.

Katanya, pelbagai program turut dirangka berteraskan modul pendidikan dan pengisian menarik antaranya aktiviti dalam kumpulan, cabaran ikhtiar hidup serta tidur bersama artifak di dalam balai pameran.

“Kita harap program ini dapat mendidik dan membentuk generasi muda berpengetahuan berkenaan khazanah negara, di samping menerapkan budaya mengunjungi muzium,” katanya.