Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik perlahan pagi Hari Krismas

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Aliran trafik di lebuh raya utama negara setakat 10 pagi ini, bergerak perlahan berikutan jumlah kenderaan yang meninggalkan ibu kota mula bertambah di beberapa tempat pada pagi Hari Krismas yang juga cuti umum.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata aliran trafik mula perlahan di lebuh raya terutama dari Kuala Lumpur menghala ke utara pada pagi ini.

“Setakat ini, keadaan trafik dari Slim River menghala ke Sungkai dan di Km 444.9 Rawang Selatan menghala ke Rawang bergerak perlahan akibat kemalangan.

“Trafik juga bergerak perlahan di Sungai Buloh menuju ke Rawang, Bukit Beruntung menghala ke Bukit Tagar dan Tapah ke Gopeng,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, dari selatan ke arah utara pula trafik bergerak perlahan dari Senai ke Kulai, Senawang ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Senawang, dan dari utara ke arah selatan trafik juga perlahan dari Putra Mahkota menuju ke Nilai.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia pula berkata trafik turut perlahan sebelum memasuki Terowong Genting Sempah arah timur.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafikm atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Banjir di Terengganu, Kelantan semakin pulih, cuaca baik

KUALA TERENGGANU, 6 DIS: Terengganu dan Kelantan terus pulih daripada banjir dengan cuaca semakin baik dan bilangan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di Terengganu, jumlah mangsa terus berkurang kepada 295 orang daripada 73 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 437 mangsa daripada 107 keluarga, petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata hanya lima PPS beroperasi ketika ini, masing-masing dua di Besut dan Setiu dan satu di Marang.

“Mangsa paling ramai ketika ini ialah di Besut iaitu 199 orang diikuti Setiu (61) dan Marang (35). Lebih ramai dijangka akan pulang ke rumah masing-masing sekejap lagi kerana cuaca yang semakin baik hari ini,” katanya.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 108 orang daripada 22 keluarga berbanding 109 orang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS membabitkan dua jajahan, masing-masing dua di Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas menjadi daerah mencatat jumlah tertinggi mangsa banjir dengan 58 mangsa daripada 12 keluarga yang dipindahkan di dua PPS, manakala di Pasir Puteh melibatkan 50 orang daripada 10 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), http://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.39 meter (m) (bahaya 9m).

Cuaca di Kelantan keseluruhan cerah tanpa hujan pada pagi ini.

-BERNAMA