Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar cadang kerajaan perbanyak saringan kesan penyakit mental

SHAH ALAM, 13 OKT: Pakar psikologi mencadangkan kerajaan memperbanyakkan saringan bagi mengesan penyakit mental yang semakin serius kesan akibat penularan Covid-19.

Dr Fauziah Mohd Saad berkata ramai terkesan dengan penyebaran wabak seperti menghadapi masalah kewangan kerana hilang kerja dan terlalu lama berkurung dalam rumah menyebabkan tekanan sehingga timbul hasrat membunuh diri.

Sehubungan itu, menurutnya, ujian kesihatan mental perlu ditingkatkan supaya langkah pencegahan dapat diambil bagi membantu individu terjejas dan menyediakan data tepat mengenai permasalahan berkenaan.

“Melalui saringan kita akan dapat data dan statistik pesakit, maka kita boleh tuju sasaran individu perlu mendapat rawatan.

“Pada masa sama, platform rawatan perlu diperbanyakkan seperti pusat dan tele kaunseling,” kata pakar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam program bual bicara Kesihatan Mental: Hapus Stigma, Bantu Segera di Facebook Media Selangor malam tadi.

Fauziah berkata masyarakat juga harus memainkan peranan dengan menyokong keluarga atau rakan menghidap masalah mental bagi mengelak perkara lebih buruk.

“Sentiasa peka perubahan sikap dan tingkah laku seseorang, bantu mereka hubungi pusat rawatan kerana mereka tidak mampu melakukannya,” katanya.

Jelasnya, majikan juga boleh membantu dengan menyediakan kaunselor dan memberi tugas bersesuaian sehingga pekerja terbabit pulih bagi meringankan beban dihadapinya.