Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN prihatin kekalkan hutan simpan, buat penggantian serentak

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang ingin dinyahwarta.

EXCO alam sekitar Hee Loy Sian berkata ia selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor (APN) 1985 yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri pada 2011 iaitu berkaitan keperluan penyiasatan awam bagi cadangan penyahwartaan HSK.

Menurutnya penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah bagaimanapun telah berlaku sebelum pindaan Enakmen APN 1985 iaitu pada 2006.

“Justeru, penggantian kawasan HSK secara serentak didapati tidak diamalkan oleh kerajaan negeri pada masa tersebut.

“Hal ini membukitkan dengan jelas bahawa Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini adalah lebih prihatin dan komited dalam melindungi hutan simpanan kekal di samping meningkatkan peratus keluasannya dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas isu projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) yang ditularkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar serta turut dilaporkan portal berita beberapa hari lalu.

Laporan berkenaan mendakwa satu lagi kawasan hutan di Selangor iaitu SAFC berdepan risiko pembangunan dengan draf rancangan tempatan terbaharu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menetapkan sebahagian SACF sebagai tanah perkuburan dan projek pembangunan bercampur.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, siasat isu berkaitan SPRM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis Presiden PAKATAN dalam kenyataan berkata kerajaan wajar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pembentukan suruhanjaya berkenaan.

“PAKATAN berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu berhubung SPRM serta mencadangkan langkah mereformasi institusi penting ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Pada 20 September, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Majid.

Susulan itu, PAKATAN menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki direhatkan sementara daripada menjalankan sebarang tugas sehingga siasatan penuh dilakukan.

“Tahanan reman tersebut telah menimbulkan persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri.

“Kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan,” tambah kenyataan itu.

Majlis Presiden PAKATAN juga menyambut baik satu kertas inkuiri polis dibuka terhadap kes terbabit.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN tidak pernah lupus milikan tanah rizab Batu Caves

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak pernah memberi sebarang kelulusan pelupusan secara pemberimilikan di atas tanah rizab Batu Caves.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli memaklumkan sebahagian tapak Batu Caves tersebut dibatalkan pewartaannya sebanyak tiga kali ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Menurutnya tapak Batu Caves seluas 329.75 ekar telah diwartakan sebagai tanah rizab bagi tujuan rekreasi awam pada 17 Jun 1930.

“Sebahagian tapak Batu Caves tersebut dibatalkan pewartaannya sebanyak tiga kali iaitu seluas 28.719 ekar pada 26 Ogos 1954, 17.45 ekar dan 77.475 ekar pada 30 April 1959 serta 29.78 ekar pada 3 Januari 2008.

“Oleh demikian baki lot rizab Batu Caves adalah seluas 242.326 ekar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata semenjak 13 Mac 2018, Kerajaan PAKATAN tidak pernah memberi sebarang kelulusan pelupusan secara pemberimilikan di atas tanah rizab Batu Caves tersebut.

“Ini jelas bahawa pertimbangan dan keputusan yang dilakukan adalah ketika pentadbiran Barisan Nasional,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan portal freemalaysiatoday.com ‘Explain land grants within Batu Caves Reserves, NGO’s tell Selangor’ pada 10 September lalu berkenaan tanah rizab di Batu Caves yang dibatalkan pewartaan menjadi hak milik tanah persendirian.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Upko masuk PAKATAN, parti pembangkang lain dipelawa sertai

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) diumumkan menjadi parti komponen terbaharu Pakatan Harapan (PAKATAN).

Perkara itu diumum Ketua Setiausaha PAKATAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas keputusan Mesyuarat Majlis Presiden hari ini.

“PAKATAN percaya penyertaan Upko ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju pilihan raya umum ke-15.

“Pintu PAKATAN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain, malah mengalu-alukan sekiranya parti-parti ini membuat permohonan untuk menyertai PAKATAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan dalam Ketetapan Port Dickson, PAKATAN akan memperkukuh kerjasama dengan Parti Warisan Sabah, Pejuang, Upko, Parti Sarawak Bersatu, Muda dan Bebas demi memastikan blok pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi PRU-15.

“Satu pertemuan ketua-ketua parti pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM temui tokoh PAKATAN, setuju laksana reformasi

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan lapan mata dengan tiga tokoh politik termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Ogos.

Selain pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Ismail juga bertemu Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan lebih sejam, mereka mencapai kata sepakat untuk melaksanakan reformasi institusi termasuk memperkasa peranan Parlimen.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks keluarga Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, PAKATAN berkata ia mempertimbang tawaran Ismail dalam ucapan sulungnya pada 22 Ogos untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Namun, Majlis Presiden PAKATAN berharap penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan, sebaliknya bertujuan menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Kenyataan majlis itu juga menyebut gabungan tersebut mengutamakan reformasi institusi termasuk melaksanakan Undi 18 dan menggubal Akta Antilompat Parti selain menegaskan kebebasan sistem kehakiman.

PAKATAN juga sedia membentang cadangan alternatif yang sesuai dengan dasar berkaitan usaha menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan menyelamatkan nyawa.

“Fokus PAKATAN adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu lagi.

Gabungan tiga parti itu juga merancang pertemuan dengan pemimpin parti sekutu bagi membincangkan isu politik semasa, selain membuat persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang dijadual bermula 6 September.

Perbincangan juga meliputi kemungkinan sidang khas lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap perdana menteri baharu, selain kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat selepas Datuk Azalina Othman Said berundur pada 23 Ogos.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tamatkan darurat 1 Ogos, terbukti gagal bendung wabak

SHAH ALAM, 25 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal dengan pendiriannya supaya darurat ditamatkan selepas 1 Ogos depan kerana tidak berkesan mengekang penularan Covid-19.

Majlis Presidennya berkata malah keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak darurat diisytihar pada 11 Januari lalu dengan jumlah kes positif serta kematian harian kekal tinggi.

Katanya, wakil PAKATAN dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan menegaskan tiga perkara dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang terakhir pada Julai depan iaitu:

● Menjunjung titah pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu darurat
● Menerima bukti sains dan data bahawa darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik Covid-19
● Menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 16 Jun lalu, Raja-Raja Melayu bertitah tiada lagi keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas ia berakhir pada 1 Ogos nanti.

Keputusan itu antara tujuh perkara yang sependapat dicapai oleh Raja-Raja Pemerintah dalam Persidangan Khas bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada hari yang sama.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: Muhyiddin usah berlengah buka Parlimen, undur jika tidak yakin

SHAH ALAM, 17 JUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri jika terus berlengah atau memberi alasan melewatkan sidang Parlimen, kata Pakatan Harapan (PAKATAN).

Majlis Presiden gabungan pembangkang itu berkata ia susulan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam bahawa sidang Parlimen perlu segera diadakan.

Katanya amat penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan.

“Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.

“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah memberi gambaran Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

“Jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” kata majlis tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat menyedari peranan Parlimen untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

PAKATAN yang menjunjung kasih terhadap titah Agong turut menekankan bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Memorandum desak Parlimen bersidang akan dipersembah kepada Agong

SHAH ALAM, 10 APRIL: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mempersembahkan memorandum menggesa diadakan sidang Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Presiden PAKATAN dalam kenyataan memaklumkan memorandum tersebut ditandatangani semua ahli parlimen yang menyokong pembukaan semula Dewan Rakyat.

“Ia senafas junjungan titah nasihat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawasanya darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang,” menurutnya.

Kenyataan bersama itu dibuat Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pimpinan PAKATAN yang mengadakan pemukiman di Port Dickson baru-baru ini akan meneruskan usaha reformasi negara dengan menjuarai aspirasi rakyat menerusi pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

“Ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” katanya.

PAKATAN turut menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat tanpa melibatkan kleptokrat.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN jumpa Yang Dipertua Dewan Rakyat, bincang adakan sidang

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Parlimen bagi membincangkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya memaklumkan perkara itu selaras dengan kenyataan media Istana Negara tempoh hari bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

“Seusai pertemuan itu, Majlis Presiden PAKATAN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hasil pertemuan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Majlis Presiden juga turut menyentuh beberapa isu mutakhir dan persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15, katanya.

Istana Negara menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Februari lepas memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN minta KPM tidak ‘pukul rata’ buka sekolah, cadang beri kuasa autonomi

SHAH ALAM, 20 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta tidak membuat keputusan ‘pukul rata’ terhadap pembukaan sekolah memandangkan masih terdapat kawasan dalam kategori zon merah.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata KPM juga disaran memberi kuasa autonomi kepada pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta lembaga sekolah sekiranya tidak membuka sekolah ekoran peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Kami sedar kelemahan dan kekangan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah. Susulan itu pembukaan sekolah harus mengambil kira status seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Ramai ibu bapa serta guru mempersoalkan alasan sekolah dibuka ketika pandemik belum surut dan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu terdiri dari Ahli Parlimen Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawanga, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching serta Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom.

Semalam Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kumpulan pertama membabitkan pelajar prasekolah, tahun satu dan tahun dua.

Diikuti 8 Mac untuk pelajar tahun tiga hingga enam manakala sekolah menengah bermula pada 4 dan 5 April.

Jadual berkenaan terpakai kepada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan institusi berdaftar dengan kementerian.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN tolak alasan darurat, gantung parlimen rencat demokrasi

SHAH ALAM, 12 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menolak alasan pengisytiharaan darurat dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekang penularan Covid-19 dan menggantung sidang parlimen yang merencatkan sistem demokrasi negara.

Majlis Presiden berkata undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencukupi untuk mengumpul segala sumber serta kekuatan untuk mengatasi wabak.

“Sebagai contoh, darurat tidak diperlukan hanya untuk mendapat kerjasama hospital swasta kerana sektor tersebut memang bersedia membantu kerajaan dalam kes Covid-19.

“Malah tindakan menggantung parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi dan menafikan suara rakyat,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis Presiden turut meluah kerisauan darurat akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur selain tidak membantu mengatasi isu pengangguran dan kehilangan pendapatan rakyat.

Berkenaan isu pilihan raya pula, PAKATAN berpendapat Pilihanraya Negeri Sarawak tidak perlu dilakukan selewat-lewatnya sehingga penghujung Ogos ini manakala Pilihan Raya Umum ke-15 hanya perlu diadakan menjelang 2023.

“Muhyiddin mengusulkan darurat ketika kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen termasuk Machang (Datuk Ahmad Jazlan Yaakub) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz).

“Oleh itu, alasan dikemukakan tidak dapat diterima kerana darurat memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melakukan hampir apa sahaja sewenang-wenangnya,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

PN ‘retak’, PAKATAN harus perkukuh kerjasama hadapi PRU15

SHAH ALAM, 4 JAN: Hubungan politik parti mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dalam keadaan retak menanti belah, kata ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor.

Najwan Halimi berkata perkembangan politik mutakhir ini menyaksikan bibit perpecahan ketara antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara, 189 bahagian menyatakan pendirian rasmi menolak kerjasama politik dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hal ini sewajarnya direnung serta diinsafi pimpinan dan pendukung Pakatan Harapan (PAKATAN) bahawa mana-mana kerjasama politik dibentuk menerusi muslihat, penipuan serta pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama dan bakal menemui pengakhiran memalukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik juga menggesa parti komponen PAKATAN mengambil peluang itu untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi PRU15.

Jelas Najwan, gabungan tersebut perlu bergerak lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial lebih berkesan demi memenangi semula kepercayaan rakyat seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya dalam pilihan raya tersebut.

“Justeru, dalam situasi sempang peranang sedang melanda PN ketika ini, PAKATAN seharusnya mengambil ruang dan ikhtibar memperkukuhkan kerjasama di antara parti komponen KEADILAN, DAP dan AMANAH serta siap siaga untuk menghadapi PRU15 dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.