Categories
NASIONAL

Pakatan Harapan perlu tumpu isu bela rakyat

SHAH ALAM 11 JAN: Semua pimpinan Pakatan Harapan diminta tidak terjebak dalam polemik politik tidak berkesudahan kerana ia mengalihkan perhatian daripada isu pemborosan Umno BN dan kesusahan hidup rakyat.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan dalam kenyataan media bersama berkata majlis itu bimbang polemik politik berlebihan tidak disenangi rakyat sekaligus memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal berkuasa.

Pakatan HarapanIa dibuat susulan beberapa kenyataan PAS sejurus berlangsungnya Ijtima’ Pilihan raya PAS Selangor didapati menjurus kepada parti gabungan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Majlis Setiausaha berpendapat misi utama ialah menumpu perhatian terhadap isu kebajikan rakyat yang tertekan dengan segala tindakan dan dasar pentadbiran Umno BN.

“Perkara paling penting dalam negara ini ialah menghentikan kemudaratan kepada rakyat akibat dari pentadbiran Najib, bagi meringankan beban rakyat,” katanya kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Amanah, Mohamad Anuar Tahir.

EZY

Categories
NASIONAL

Tiada lagi konsep ‘setuju untuk tidak bersetuju’

Oleh: Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 10 JAN: Pakatan Harapan tidak lagi mengguna pakai prinsip ‘setuju untuk tidak bersetuju’ seperti dahulu.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata mana-mana parti yang melanggar persetujuan bersama akan dipecat.

_MG_0814“Prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju tidak lagi boleh digunakan dalam Pakatan Harapan,” katanya ketika membentangkan Perjanjian Pakatan Harapan dalam Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan, di sini, semalam.

Beliau membentangkan tiga fasal pertama iaitu keputusan bersama, pembinaan kesatuan politik dan penyelesaian pertikaian daripada tujuh fasal perjanjian.

Setiausaha Organisasi Nasional DAP, Anthony Loke pula membentangkan fasal empat dan lima iaitu dasar bersama serta perjalanan pilihan raya.

“Pakatan Harapan akan meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili sesuatu pilihan raya di mana-mana peringkat.

“Majlis presiden perlu mempertimbangkan faktor parti manakah yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk menang dalam pilihan raya itu,” katanya.

IMG_0952Manakala, fasal enam dan tujuh iaitu perjalanan kerajaan, pembangkang serta keabsahan Pakatan dibentangkan Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiyat.

“Fasal tujuh Perjanjian Pakatan Harapan menghuraikan prinsip yang diguna pakai untuk menentukan status Pakatan Harapan jika ada pelanggaran mana-mana perkara yang dipersetujui dalam peejanjian ini.

“Kita belajar daripada kesilapan dulu, tak ada kuasa untuk mengambil tindakan ke atas parti yang melanggar perjanjian,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam 9 Januari

SHAH ALAM 5 JAN: Pakatan Harapan bakal mengadakan Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari ini.

Dalam satu kenyataan bersama pimpinan Pakatan Harapan menyatakan persidangan itu diadakan di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam bermula jam 9 pagi.

Pakatan HarapanPersidangan itu bakal menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Pakatan Harapan yang mengikat KEADILAN, DAP dan AMANAH di dalam sebuah kesatuan politik yang mampan.

Menurut kenyataan itu, rundingan dan perbincangan memuktamadkan Perjanjian Pakatan Harapan bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas pelancarannya.

Keputusan menguatkan persefahaman politik di antara KEADILAN, DAP dan AMANAH melalui sebuah Perjanjian Pakatan Harapan ini lahir daripada keinsafan mahukan pakatan politik lebih bersatu padu dan utuh.

Katanya, Perjanjian Pakatan Harapan ditandatangani pada 9 Januari ini memberi fokus kepada perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan kesatuan politik ketiga-tiga parti itu.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perjanjian Pakatan Harapan ke arah membina kesatuan politik

Pertukaran kepimpinan kerajaan di negara ini telah menjadi satu keperluan mendesak. Tidak pernah sebelum ini rakyat dihukum dengan dasar kerajaan membebankan dalam keadaan prospek ekonomi murung seperti sekarang.

Malaysia berada di persimpangan genting yang bakal menentukan hala tujunya dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Oleh itu kelompongan kepimpinan yang jujur dan boleh dipercayai perlu diisi segera untuk memberi harapan kepada rakyat.

Mengambil iktibar itu, Pakatan Harapan akan mengadakan satu Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari 2016 di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam dari jam 9 pagi yang bakal menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Pakatan Harapan yang mengikat KEADILAN, DAP dan AMANAH di dalam sebuah kesatuan politik yang mampan.

Pakatan HarapanRundingan dan perbincangan untuk memuktamadkan Perjanjian Pakatan Harapan telah bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas pelancaran Pakatan Harapan.

Keputusan untuk menguatkan lagi persefahaman politik di antara KEADILAN, DAP dan AMANAH melalui sebuah Perjanjian Pakatan Harapan ini lahir dari keinsafan kami bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan utuh yang padan dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan yang kami bawa selama ini.

Rakyat sedia maklum pandangan dan keputusan Pakatan Harapan dalam isu-isu besar negara.

Perkara ini termaktub di dalam dokumen dasar-dasar Pakatan Harapan sebelum ini (Kerangka Dasar Bersama, Belanjawan Pakatan Harapan, Buku Jingga dan lain-lain) atau telah pun diterjemahkan oleh pentadbiran Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

Pun begitu, ada keperluan untuk menguatkan lagi kerjasama politik ini dengan membuktikan keikhlasan dan niat politik yang mengikat ketiga-tiga parti.

Niat politik yang ikhlas ini menjadi asas kepada kepatuhan ketiga-tiga parti kepada prinsip yang dipersetujui di dalam dasar-dasar dan keputusan bersama. Keikhlasan dan kejujuran politik sebegini adalah sebahagian dari harapan rakyat yang perlu dikotakan oleh Pakatan Harapan.

Justeru, Perjanjian Pakatan Harapan yang akan ditandatangani pada 9 Januari 2016 akan memberi fokus kepada perkara-perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mampan di antara ketiga-tiga parti.

Perjanjian Pakatan Harapan mengandungi tujuh (7) fasal utama mengenai pra-syarat tersebut iaitu:

i. Prinsip dan kaedah membuat keputusan
ii. Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik di antara parti
iii. Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti
iv. Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama
v. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi
vi. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang
vii. Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari

Kami yakin pemeteraian Perjanjian Pakatan Harapan ini merupakan kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik KEADILAN, DAP dan AMANAH yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini.

Di atas kekuatan kesatuan politik hasil dari Perjanjian Pakatan Harapan ini, kami akan memberi tumpuan seterusnya untuk membangunkan satu kerangka dasar-dasar yang jitu dan radikal ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat dan membina sebuah negara yang inklusif dan berdaya saing.

Ini akan membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan di Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016.
YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL – Presiden KEADILAN
YAB LIM GUAN ENG – Setiausaha Agung DAP
TUAN HAJI MOHAMAD SABU – Presiden AMANAH

Categories
NASIONAL

Pemimpin veteran BN patut bangkit realisasi perubahan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: Pakatan Harapan menggesa kesemua pemimpin veteran Barisan Nasional (BN) bangkit merealisasikan perubahan yang dapat memberi kesan terhadap sidang parlimen bakal berlangsung nanti.

Dalam kenyataan bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayob dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, berkata hal itu kerana Malaysia ketika ini berhadapan saat getir apabila beberapa isu kritikal menghambat negara.

Selamat MalaysiaKatanya, isu kritikal itu berlaku secara serentak membabitkan aspek politik, ekonomi, sosial dan hubungan antara kaum.

“Seluruh rakyat diseru bersatu padu menyelamatkan Malaysia demi memastikan kita tidak terjerumus ke kancah huru-hara yang memusnahkan harapan rakyat,” katanya.

Kenyataan itu juga berharap rakyat dapat bangkit secara berterusan daripada krisis melalui transisi demokratik ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang moderat dan bertoleransi untuk dicontohi dunia.

“Maka, dalam konteks ini kami mengalu-alukan pertemuan bersejarah mempertemukan bekas pemimpin veteran BN termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Keat, baru-baru ini.

“Seruan kami ini juga ditujukan kepada ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional yang turut sama menjadi elemen penting untuk melakukan perubahan secara demokratik semasa parlimen bersidang bermula Isnin 19 Oktober 2015 ini,” katanya.

Pemimpin Malaysia yang berkumpul di Bosphorus, Istanbul, Turkey, pada 17 Oktober, mendesak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara dari ancaman perkauman, fahaman agama yang sempit, ekstremis dan ketidak toleransian.

Bosphorus adalah selat yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia. Maka para pimpinan politik berhimpun di sini dengan semangat harapan baharu untuk Malaysia dan negara akan bangkit menjadi obor harapan baru dipentas dunia.

“Selaku bangsa Malaysia berdaulat. Marilah kita bersatu selamatkan Malaysia diatas semangat Rukun negara,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pakatan Harapan menjunjung titah DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu

Pakatan Harapan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja Melayu mengenai isu-isu mutakhir dalam negara yang perlu diberi perhatian segera.

Kami merafak sembah menjunjung kasih di atas keprihatian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja Melayu yang memberi pedoman kepada rakyat dalam isu-isu penting yang dititahkan.

Pakatan Harapan bersetuju bahawa isu kegawatan kewangan 1MDB dan risikonya terhadap ekonomi negara perlu ditangani dengan segera.

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh melengah-lengahkan keputusan-keputusan yang penting mengenai 1MDB kerana kegawatan yang berlarutan telah dan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.

Raja-Raja MelayuOleh itu, Pakatan Harapan menyeru supaya semua institusi awam dan agensi penguatkuasaan di negara ini memainkan peranan dengan sebebas mungkin supaya kemelut 1MDB dapat diselesaikan segera seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu.

Sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan atau tindakan institusi awam dan agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab boleh ditafsirkan sebagai mengengkari titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu.

Pakatan Harapan juga sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan sebelum pembentangan belanjawan kerajaan.

Di antara fokus utama di dalam Belanjawan Pakatan Harapan ini adalah langkah-langkah muktamad untuk menyelesaikan masalah 1MDB ini dengan segera untuk melindungi rakyat daripada terus terheret dengan sentimen ekonomi yang murung akibat masalah 1MDB.

Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang menitahkan supaya keharmonian kaum dan perpaduan dijaga demi kesejahteraan negara.

Titah tersebut adalah tepat mengambil kira pelbagai kejadian akhir-akhir ini yang seolah-olah cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum-kaum yang lain kebelakangan ini.

Oleh itu, Pakatan Harapan mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu itu agar menghindari perbuatan atau pengucapan yang menyinggung perasaan orang lain terutamanya yang bersabit kaum dan agama.

Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan menemukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk memupuk budaya saling memahami bagi mengendurkan keadaan jika ada percubaan untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Kami berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu akan terus memayungi rakyat jelata dalam mengharungi cabaran mutakhir ini.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

YB LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

YBHG MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

Categories
SELANGOR

MB: Tiada rombakan Kerajaan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 25 SEP: Pentadbiran Kerajaan Negeri kekal berjalan seperti biasa tanpa sebarang rombakan exco.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ini berikutan Kerajaan Negeri yang ada ketika ini dibentuk selepas mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 2013 lalu.

MB Azmin“Ini adalah kerajaan yang diberi kepercayaan oleh rakyat pada PRU-13 dan kita akan teruskan hingga tamat penggal nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Qurban Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor ke Sabak Bernam sempena Hari Raya Aidil Adha di Masjid Masjid Sultan Muhammad Shah, Parit 10, di sini, hari ini.

Menyentuh isu pelancaran Pakatan Harapan baru-baru ini, Mohamed Azmin menegaskan perbincangan meja bulat akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Sedangkan bina rumah sebiji pun makan masa 18 bulan, inikan pula nak bina masyarakat,” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

MB: Pakatan Harapan tak jejas Selangor

Oleh:  NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 22 SEP: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata pembentukan Pakatan Harapan tiada kaitan dengan pentadbiran Kerajaan Selangor.

Mohamed Azmin berkata, pembentukan gabungan itu yang melibatkan PKR bersama DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) – hanya melibatkan perancangan politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

suk pakatan selangor

“Perbincangan bagi menubuhkan gabungan pakatan pembangkang baharu ini sebagai perancangan masa depan bagi persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Perbincangan masih terus berjalan, masih terbuka untuk PAS sertai. Pintu masih terbuka,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pelancaran Wifi Selangorku di sini.

 

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata pentadbiran Kerajaan Negeri  kekal dan tiada sebarang rombakan Exco dilakukan.

“Tiada kaitan kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor.

“Ini perancangan parti-parti politik untuk melihat bagaimana kita dapat menangani cabaran-cabaran semasa,” katanya lagi.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

AMK alu-alukan pembentukan Pakatan Harapan

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Angkatan Muda KEADILAN mengalu-alukan pengumuman pimpinan KEADILAN, DAP dan AMANAH berkenaan pembentukan pakatan pembangkang baru, iaitu Pakatan Harapan.

Kami percaya ini adalah rangka kerja terbaik untuk pelbagai parti ini bergerak maju ke hadapan.

Yang paling penting pada ketika ini adalah perpaduan.

Pakatan Harapan“Perpaduan” ini lebih daripada hanya bersetuju untuk mentadbir bersama beberapa kerajaan negeri atau untuk mengelak daripada bertanding kerusi yang sama ketika pilihanraya; walaupun perkara-perkara ini juga amatlah penting.

Lebih daripada itu, “perpaduan” juga membawa maksud membangunkan, mempromosi serta bergerak menuju satu agenda bersama yang boleh disokong oleh rakyat Malaysia.

Kita mestilah bersetuju tentang bagaimana jalan terbaik untuk melaksanakan perkara ini.
Pada masa ini kita telah terkesan oleh pemecahbelahan parti.

Oleh itu kita dilihat sebagai lemah, sedangkan pihak kerajaan persekutuan sedang dihantui pelbagai skandal dan mereka juga sekarang berpuak-puak.

Kita sepatutnya boleh buat lebih baik.

Rakyat Malaysia juga berhak mendapat yang lebih baik daripada kita.

Setiap 5.6 juta rakyat Malaysia yang telah mengundi kita – majoriti pada Pilihanraya Umum yang lalu – mengharapkan suatu pimpinan yang berketerampilan.

Ini tidak mungkin berlaku jika kita hanya berminat untuk berbalah sesama sendiri dan bukannya fokus menumbangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Kesemua rakyat Malaysia sedang merasakan keperitan di atas kegagalan kerajaan BN ini mentadbir negara.

Namun begitu mereka tidak akan menyokong kita jika apa yang kita tawarkan tidak berbeza dengan kerajaan BN.

Kita tidak boleh jangka bahawa kita akan terus kekal berkuasa di negeri-negeri yang sedang ditadbir, apatah lagi untuk mengambil-alih Putrajaya, jika kita tidak boleh menyampaikan suatu visi untuk menggerakkan negara ke hadapan di kalangan para pengundi.

Rakyat Malaysia sedang memerhatikan kita dengan harapan kita membawa pimpinan baru.
Jadi kita mestilah berusaha mencapaikan hasrat itu dan maju ke hadapan.

Nik Nazmi Nik Ahmad
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

Muafakat penubuhan Pakatan Harapan

Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera.

Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak.

Krisis yang melanda negara ini juga mendesak parti-parti pembangkang bersatu untuk lebih berkesan dalam menentang Umno/Barisan Nasional.

pr 4Harapan rakyat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkan yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mengambil kira kepentingan rakyat yang utama ini, parti-parti yang hadir bersidang di dalam Rundingan Mejabulat yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) berkuatkuasa hari ini.

Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.

Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan Umno/Barisan Nasional tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.

Kami yakin kewujudan Pakatan Harapan akan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang.
YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

YB SAUDARA LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

YBhg HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

22 September 2015

Categories
NASIONAL

Pembangkang perlu bersatu hadapi BN

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 22 SEP: Semua parti pembangkang perlu bersama dalam satu gabungan untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata semua parti perlu ada kesatuan bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang.

“Diharapkan gabungan parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan akan dan harus mendapat jalinan kerjasama.

pr 4“Semua harus membuka dan harus mendekati PAS dan PAS juga harus terbuka untuk menerima realiti politik masa kini,” katanya kepada media sejurus selesai sidang media di Hotel Empire.

Beliau yang hadir sebagai pemerhati atas kapasiti undangan selaku Ahli Parlimen untuk mengikuti perkembangan semasa parti pembangkang.

Jelasnya, kedinginan yang melanda kini tidak boleh dibiarkan terus berlarutan dan perlu ada keterbukaan jalinan kerjasama melibatkan PAS.

Beliau juga berharap kepimpinan PAS bersedia berbincang mencari jalan menghadapi BN secara satu lawan satu asalkan semua pihak mampu memberikan komitmen.

“Pembangkang harus mempunyai kesatuan memberi mesej tepat kepada rakyat tidak mungkin berlaku tiga penjuru semasa pilihan raya.

“Kalau (berlaku pertembungan) tiga penjuru ini menghilangkan harapan rakyat yang bersedia menyokong pembangkang.

“Sebab itu saya masih mengharapkan penyertaan (PAS) dalam Pakatan Harapan atau jalinan hubungan kerjasama. Yang penting bukan tiga penjuru,” kata beliau.

EZY

Categories
NASIONAL

Pakatan Harapan ganti Pakatan Rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 22 SEP: Selepas bermesyuarat lebih tiga jam, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan kerjasama baharu dinamakan Pakatan Harapan.

Sebagai langkah pertama, gabungan itu disertai PKR, DAP dan Amanah mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri bagi menggantikan Datuk Seri Najib Razak sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pakatan Harapan“Mengambil kira kepentingan rakyat, parti hadir bersidang dalam Rundingan Meja Bulat yang dipanggil Ketua Pembangkang bersetuju menubuhkan pakatan pembangkang baru yang dinamakan Pakatan Harapan.

“Sebuah Jawatankuasa Khas diwakili Setiausaha Agung dan wakim dari setiap parti ditubuhkan memperhalusi terma penubuhan Pakatan Harapan termasuk perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerjasama sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di Hotel Empire.

Katanya, mulai hari ini Pakatan Harapan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan Barisan Nasional (BN).

Jelas Dr Wan Azizah, pemilihan Anwar dibuat kerana beliau adalah antara pemimpin sesuai menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kreadibiliti yang ditinggalkan Najib.

Ketika ditanya mengenai ketidak hadiran PAS beliau menjawab parti itu mengucapkan terima kasih di atas undangan namun tidak dapat menghadirinya buat masa ini.

EZY