Categories
NASIONAL

Saifuddin: Umno/BN Ibarat Telur Dihujung Tanduk

PETALING JAYA, 2 JAN: Umno/BN yang semakin terdesak ekoran penolakan rakyat memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menggunakan pelbagai fitnah dan penipuan serta memperbodoh rakyat di saat Pilihanraya Umum ke-13 kian hampir.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya berkata strategi serangan terhadap Anwar Ibrahim adalah usaha terus-terusan Umno/BN dan menghumban Anwar ke dalam penjara dianggap bakal memberi sedikit nyawa untuk mereka terus wujud dan merompak harta rakyat dan Negara.

“Keterdesakan Umno/BN di bawah Najib semakin terserlah dan jelas tidak boleh diselindung lagi. Perkiraan Najib untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum dalam tempoh terdekat ini bakal mengundang padah yang besar bagi dirinya dan isteri beliau Rosmah, serta pada keseluruhan parti usang Umno/BN.” ujar beliau.

Katanya tindakan media milik Umno yang membesarkan kenyataan Raja Petra Kamaruddin (RPK) menunjukkan betapa media tersebut ketandusan idea selain membesarkan isu lapok.

“Umum tidak harus lupa bahawa Raja Petra Kamaruddin, yang kini semakin diketahui sebagai ‘blogger upahan UMNO’ juga pernah membuat kenyataan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shariibu tidak lama dahulu yang walaubagaimanapun, sememangnya dan tentunya tidak dilapor langsung oleh akhbar-akhbar ini.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu lagi, ketakutan Najib dan Rosmah berhubung sokongan terhadap Anwar ekoran ramai penyokong yang akan turun memberi sokongan ketika 9 Januari nanti dianggap sebagi cubaan untuk menghuru-harakan negara.

“Anwar Ibrahim merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR. Sebagai seorang pemimpin politik, tentunya beliau mempunyai pengikut dan penyokongnya. Kehadiran pengikut dan penyokong Anwar dan anggota-anggota Parti bagi menunjukkan sokongan terhadap beliau tidak harus dianggap sebagai cubaan menghuru-harakan negara.

“Dari nada pimpinan UMNO dan media milik UMNO berhubung perkara ini kebelakangan ini serta dari pengalaman lampau, saya dapat menjangka bahawa UMNO sendirilah yang akan mencetuskan provokasi pada hari tersebut. Saya sekali lagi menyeru kalangan anggota dan penyokong Parti untuk berhati-hati dan tidak terjebak dengan perangkap UMNO dan Barisan Nasional yang ingin menjadikan 9 Januari ini suatu hari hitam dalam diari perjuangan kita.” kata beliau.

Tambah beliau, kecelikan rakyat berhubung sumber maklumat serta kebangkitan rakyat memaksa kepimpinan Najib melakukan pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Umno/BN kini umpama ‘telur di hujung tanduk’. Rakyat dan pengundi negara ini telah celik dan cukup sedar bahawa kerajaan telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memimpin negara dan membela nasib mereka.

“Kesemua penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang telah dibongkar masih belum dapat dijawab oleh Najib dan kabinetnya.

“Malah dalam kes syarikat Fidlot Nasional, rakyat masih terus dibohong apabila siasatan dan pertuduhan hanya dibuat terhadap lelaki yang disyaki menipu suami kepada Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat itu sendiri dan tidak terhadap pengarah-pengarah syarikat, yang terdiri dari anak-anak mereka mahu pun Shahrizat sendiri.

“Pendedahan penyalahgunaan wang zakat oleh Ketua Audit Negara oleh Menteri Jamil Khir terus dipertahan.

“Kezaliman dan penindasan terhadap peneroka-peneroka dalam merebut kekayaan FELDA oleh pemimpin tertentu UMNO terus dipertingkat dan digalakkan.

“Kebangkitan mahasiswa menuntut penghapusan AUKU dan hak dan kebebasan bersuara serta menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional segera ditentang dengan kekejaman dan kekerasan Polis.

“Dalam pada itu, usaha memporak-perandakan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini masih dileluasakan.” tegas beliau

Sehubungan itu beliau menyeru supaya seluruh rakyat berbilang kaum serta para pengundi menolak Umno/BN dalam pilihanraya akan datang yang disifatkan semakin terdesak dan melampau.

Categories
NASIONAL

Pesan Anwar Kepada Rakyat

PETALING JAYA 3 JAN: Beberapa hari sahaja lagi menuju keputusan kes mahkamahnya, Ketua Pembangkang Datuk Sri Anwar Ibrahim berpesan kepada rakyat walau apa pun berlaku jangan berhenti desak perubahan.

Tegasnya Barisan Nasional (BN) silap sekiranya berfikir mereka akan selamat dengan memenjarakan beliau.

Walau dipenjara sekalipun, Anwar berkata keutamaan kini adalah memastikan Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional dan menubuhkan kerajaan di Putrajaya.

“Kita harus berjuang terus. Lawan tetap lawan. Kita harus bawa perubahan. Bukan penguasa zalim tentukan masa depan negara.

Salah kita andaikan satu penguasa boleh batalkan dan sekat kemaraan rakyat.

Kita harus yakin dgn keupayaan kita dan dengan izin Allah melakukan perubahan sebaiknya untuk rakyat dan negara ini.”

Beliau berkata demikian di sesi temubual Fokus Berita terbitan TV Selangor di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan kes liwat Anwar pada 9 Januari depan.

Pemerhati meramalkan dua senario samada Anwar dihukum bersalah dan dipenjarakan atau dihukum bersalah tetapi diberi ikat jamin. Kedua-duanya menghalang beliau dari menyertai pilihanraya umum ke-13 nanti.

“Umno-BN gagal mentadbir. Gagal mengangkat martabat orang Melayu. Gagal memuliakan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Gagal dalam menjamin sistem ekonomi yang baik.

“Gagal menurunkan harga barga. Gagal menaikkan pendapatan mereka. Pakatan Rakyat harus diberi sokongan oleh rakyat dan dengan izin Allah kita ganti Barisan Nasional.

“Siapa menjadi ketua bagi saya itu isu kedua.”

Categories
NASIONAL

Kesan Perbelanjaan Melampau PRU 13, Najib Laksana GST

KLANG, 1 JAN : Dalam memastikan negara terus ditadbir oleh kepimpinan tradisi Umno-BN, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak terpaksa mengambil langkang melaburkan satu dana yang besar pada kempen Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Kenyataan tersebut dikuatkan lagi dengan pendedahan terbaru bahawa Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Selangor dengan memperuntukan RM2.71 bilion yang bertujuan mencetuskan ketegangan antara rakyat dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato Seri Najib Abdul Razak menyeru kepada pemimpin Umno Selangor untuk bekerja keras bagi menawan negeri itu menerusi apa jua cara sekalipun.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata atas tekanan ini, Najib secara semulajadi akan melepaskan beban tanggungan kerajaan itu kembali kepada rakyat dengan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Sekirannya Umno-Bn menang sekali lagi pada PRU akan datang, kerajaan akan menguatkuasakan GST, kepada warga kampung GST dalam bahasa mudah ialah cukai tambahan, sedia maklum hari ini semua benda bercukai, dan kita bakal dikenakan lagi dengan cukai tambahan,” beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Umum di Dewan Batu 7, Sijangkang semalam.

Langkah melaksanakan GST ini dilihat oleh kerajaan sebagai menjana satu bentuk pendapatan baru kepada negara selain membantu kerajaan mengurangkan cukai korporat dan seterusnya akan meningkatkan daya saing perniagaan.

Matlamat GST antara lain adalah sebagai usaha mengurangkan defisit negara.

Dengan mengambil contoh pelaksanaan GST seperti yang diamalkan oleh negara jiran, Singapura, Malaysia boleh memperolehi RM13 billion setahun dengan hanya mengenakan 5 % cukai keatas rakyat.

Namun, pelaksanaan ini secara tidak langsung akan memberi tekanan hebat kepada golongan pertengahan, dan yang berpendapatan rendah meneruskan kehidupan dalam sebuah negara yang serba serbinya adalah cukai.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata kehadiran pembangkang menerusi medan perbahasan di Parlimen membuatkan kerajaan berfikir panjang untuk melaksanakan cukai tambahan itu.

Salahuddin menambah, kini terpulang kepada rakyat untuk menentukan untung nasib mereka melalui pilihanraya dalam menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara selepas PRU-13.

“Rakyat Malaysia tidak pernah rugi memilih jumlah ahli parlimen yang banyak dari kalangan pembangkang,”

“Barulah pemimpin BN sedar langit tinggi atau rendah (kuasa rakyat), belum sempat kita memerintah, hari ini kita telah mengajar mereka dengan menafikan majoriti 2/3 di parlimen,”katanya dihadapan seribu hadirin.