Categories
AGENDA NASIONAL

Persefahaman dijalin persekutuan dan PAKATAN elak telagah, fokus pulih negara

SHAH ALAM, 3 OKT: Perdana menteri berpuas hati dengan persefahaman dijalin antara kerajaan persekutuan dan pembangkang dalam memulihkan pandemik Covid-19 serta ekonomi negara.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perjanjian dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik menampakkan hasil apabila perbahasan di Parlimen dijalankan secara profesional.

“Kalau kita lihat dalam Parlimen pun, perbahasan sangat profesional, tidak seperti dahulu. Tidak ada banyak gangguan, jerit-menjerit. Keadaan tenang (dan) kita saling menghormati antara satu sama lain.

“Jadi, objektif kita tandatangani itu (MoU) supaya tidak ada lagi terlalu banyak pertelagahan (yang) akhirnya membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh tenaga untuk negara,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama sebuah stesen televisyen malam ini.

Pada 13 September, kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PAKATAN) melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan turut mengambil kira pandangan pembangkang dalam menggubal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) termasuk bajet yang akan dibentangkan.

“Saya dah beritahu pembangkang, kerajaan perlukan mereka sebagai semak dan imbang kepada apa yang dilaksanakan kerajaan. Itu juga perlu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN mahu penjelasan Ahmad Maslan bebas tuduhan dana 1MDB

SHAH ALAM, 2 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa peguam negara menjelaskan pembebasan ahli parlimen penyokong kerajaan berkait tuduhan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Merujuk kes Datuk Seri Ahmad Maslan, majlis presiden gabungan itu mempersoal sama ada keputusan mendakwa atau menarik pendakwaan terletak pada tangan peguam negara.

“Peguam negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi tatacara operasi piawai (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis presiden juga kesal sikap tidak acuh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengiakan trend kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi mutakhir ini.

Mereka mempersoal sama ada suruhanjaya itu memberi penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan membayar balik wang sogokan yang dirampas membabitkan ahli politik penyokong kerajaan.

“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum, trend baharu peguam negara dan SPRM jelas melanggari prinsip keadilan yang bukan sahaja mesti dilakukan tetapi mesti disaksi.

“Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar suruhanjaya mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai,” kata majlis presiden.

Pada 29 September, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Konsensus PAKATAN dan persekutuan ketepi isu politik, fokus perangi Covid-19

SHAH ALAM, 21 SEPT: Konsensus parti pemerintah dan pembangkang dianggap saat penting untuk mengetepikan perbezaan politik dan menumpukan sepenuhnya usaha memerangani wabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata permuafakatan dikemukakan Pakatan Harapan (PAKATAN) turut diperakui perdana menteri meliputi reformasi institusi Parlimen yang bermanfaat bagi rakyat.

“Konsensus antara parti pemerintah dan pembangkang yang dimeterai bukanlah untuk meninggalkan prinsip PAKATAN dan tanggungjawab semak dan imbang sebagai parti pembangkang.

“Sebaliknya, ia merupakan saat penting untuk kita mengetepikan perbezaan politik dan memberikan sepenuh fokus untuk memerangi wabak Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan sempena perayaan Kuih Bulan hari ini.

Pada 13 September, Putrajaya dan PAKATAN melakar sejarah apabila pertama kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ dengan semangat Keluarga Malaysia.

MoU berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lantik tokoh baharu ketuai Majlis Pemulihan Negara, bukan individu gagal  

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan seharusnya melantik tokoh lebih berpengalaman mengetuai Majlis Pemulihan Negara bukannya seorang yang telah gagal, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah memaklumkan supaya seorang tokoh baharu dilantik ke jawatan itu.

“Sebaiknya ambil tokoh baharu, ya dari kerajaan kita tidak cadang pembangkang. Ambil yang ada pengalaman dan mampu mengendali.

“Jangan ambil individu sama dan harapkan cadangan baharu yang boleh menyelesaikan isu Covid-19,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam perbahasan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 4 September lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Anwar berkata Muhyiddin ternyata gagal mengurus penularan Covid-19 ketika menjadi perdana menteri walaupun berkuasa penuh dengan mengisytiharkan darurat.

“Jumlah kes semakin tinggi dan lebih merunsingkan jumlah kematian negara kita di antara paling tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN terus main peranan semak dan imbang, kerjasama isu rakyat

SHAH ALAM, 14 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) terus berperanan sebagai pembangkang yang melakukan semak dan imbang meskipun memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan persekutuan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gabungan itu tidak berganjak dari peranan berkenaan dan menolak dakwaan pihaknya akan membenarkan segala tindakan kerajaan.

Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu, perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah Mou, bukan perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA).

“PAKATAN menolak tawaran serupa untuk bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bekas perdana menteri mahukan CSA yang menuntut kami menyokong dan mengabsahkan kerajaan.

“Persefahaman dengan kerajaan sekarang menekankan peranan kita sebagai pembangkang dan kita boleh menolak jika tidak ada rundingan,” katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata dalam MoU itu, tidak ada syarat PAKATAN mesti menyokong kerajaan sekarang sekiranya berlaku undi percaya.

“Tetapi kita tidak mahu isu itu yang terkait dengan keabsahan membatalkan usaha kerjasama dalam bidang utama untuk mengatasi isu Covid-19 dan ekonomi.

“Sebab itu saya sebut walaupun kami tidak setuju untuk tidak meneruskan undi percaya, kami tetap bekerjasama untuk membincangkan soal MoU,” katanya.

Semalam PAKATAN dan kerajaan persekutuan melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN pantau persefahaman enam perkara, laksana perubahan menyeluruh

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal komited memastikan ketelusan isi kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama kerajaan persekutuan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan semasa garis tindakan yang dipersetujui dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik akan terus dipantau.

“Sepertimana yang telah ditandatangani dalam MoU, PAKATAN akan terus memberi sokongan dalam isu Covid-19 dan kesihatan rakyat sejagat demi menstabilkan kerajaan dan ekonomi,” katanya menerusi Facebook.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama demi menyelamatkan negara.

“Hari ini menandakan pembukaan Parlimen 2021 dengan penuh istiadat. Saya percaya setiap daripada kita yang hadir hari ini hanya mengutamakan kepentingan rakyat.

“Inilah masanya kita semua dapat mencapai titik persamaan dan melaksanakan perubahan yang menyeluruh demi menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Hari ini, kerajaan persekutuan dan PAKATAN melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cipta sejarah, pembangkang, kerajaan meterai persefahaman enam perkara capai kestabilan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata memorandum berkenaan yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda.

Beliau berkata agenda berkenaan merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Katanya, ia juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia makmur, inklusif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan sebaik memorandum itu selesai ditandatangani perdana menteri bersama ketua-ketua parti PH di bangunan Parlimen di sini.

Ia membabitkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Ismail Sabri berkata transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan kondusif sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

“Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN, kerajaan pusat capai persefahaman tangani Covid-19, ekonomi negara

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) dan kerajaan pusat hari ini mencapai persefahaman untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi menerusi pendekatan ‘dwi-partisan’.

Menerusi kenyataan bersama PAKATAN dan wakil kerajaan, dengan persefahaman ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu.

“Selepas mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil kerajaan dan PAKATAN hari ini memuktamadkan sebuah MoU di antara kerajaan persekutuan dan PAKATAN.

“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak bersetuju memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pada 5 petang, esok, di Dewan Bankuet di bangunan Parlimen.

Majlis menandatangani MoU tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PAKATAN iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu  dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu lagi, rundingan hari ini disertai Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Aamanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Wakil kerajaan pula disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Hasil rundingan itu juga, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Pandangan tidak perlu usul percaya PM ‘derhaka’ pada Agong

SHAH ALAM, 5 SEPT: Pandangan peguam negara tidak perlu undi percaya di Parlimen dianggap biadap, melanggar semangat perlembagaan dan derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Majlis presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam kenyataan berkata tindakan kali kedua peguam negara amat mengecewakan dan beliau dilihat tidak layak memegang jawatan tersebut.

“PAKATAN menjunjung titah Seri Paduka Baginda bahawa undi percaya perlu dikemuka dan diluluskan untuk mengabsahkan perdana menteri ada kepercayaan majoriti pada sidang Parlimen 13 September ini.

“Perdana menteri tidak harus mengguna pakai nasihat peguam negara yang salah ini jika tidak mahu mengikuti jejak langkah mantan perdana menteri kelapan yang mengakibatkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan beliau sentiasa diragui dan dipertikai,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Majlis presiden berkata kenyataan peguam negara bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos.

“Penting diingatkan bahawa peguam negara telah hadir, menjadi saksi malah telah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini.

“Di manakah logik dan kewarasan peguam negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik perdana menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?” soal mereka.

PAKATAN turut mengimbas duluan sebelum ini apabila usul percaya dilakukan selepas Yang di-Pertuan Agong melantik seseorang perdana menteri bagi menggantikan perdana menteri sebelumnya.

Undi percaya pernah dilakukan pada 27 Januari 1976 iaitu 12 hari setelah Tun Hussein Onn dilantik sebagai perdana menteri untuk menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Undi percaya juga dilakukan pada 3 November 2003, tiga hari selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai perdana menteri untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Tan Sri Idrus Harun berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri baharu atau kerajaan pimpinannya kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang.

Pada 18 Ogos Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya perdana menteri yang dilantik perlu mengemukakan segera usul undi di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Majoriti ibu bapa, guru tidak setuju sekolah dibuka 1 September

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 94.6 peratus atau 398,687 ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah tidak bersetuju institusi itu dibuka semula pada 1 September, kata Pakatan Harapan (PAKATAN).

Daripada semua responden tersebut, sebanyak 87.1 peratus (367,079 orang) dalam kalangan ibu bapa, 9.7 peratus membabitkan guru dan 2.4 peratus adalah kakitangan sekolah.

Dalam lampiran yang dikongsikan, sebanyak 88.7 peratus tidak bersetuju berikutan kes makin tinggi, ramai belum divaksin (8.8 peratus), lain-lain sebab (1.9 peratus) dan sekolah belum bersedia (0.6 peratus).

Pungutan suara dalam talian oleh Jawatankuasa Pendidikan PAKATAN antara 11 hingga 13 Ogos turut mendapati hanya 5.4 peratus atau 22,759 orang bersetuju sekolah dibuka.

“Bilangan kes yang semakin meningkat dan bilangan kematian yang semakin tinggi menjadikan ibu bapa tidak mahu memperjudikan nasib anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu dianggotai Dr Maszlee Malik selaku pengerusi dan ahli parlimen Simpang Renggam,
Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin).

Selain itu, Teo Nie Ching (Kulai), Natrah Ismail (Sekijang), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).

Dalam kenyataan itu, jawatankuasa tersebut turut memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu tutup dan buka sekolah meliputi:

1. Keputusan berpandukan data, sains dan panduan WHO dengan mengambil kira kadar jangkitan, peningkatan kes baharu, kadar kematian serta kes unit rawatan rapi

2. Pelan strategik jelas, komprehensif dan meyakinkan yang dibangunkan bersama pakar kesihatan

3. Elak keputusan pukul rata yang menyebabkan ramai pelajar keciciran dan munculnya kluster sekolah

4. Tatacara operasi piawai (SOP) khas untuk pelajar kategori tidak divaksin dalam kawasan dan luar sekolah

5. Semua guru, pekerja sekolah termasuk kakitangan kantin, pengawal keselamatan pemandu bas serta van perlu divaksin

6. Mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan secara sukarela

7. Melibatkan kesatuan guru dan pengetua sebelum mengambil apa-apa keputusan

8. Keutamaan buka sekolah bagi kawasan luar bandar yang kurang murid disusuli kawasan hijau dan  mencecah imuniti kelompok

9. Jadual persekolahan bergilir selain SOP ketat bagi sekolah-sekolah yang padat

10. Banyakkan masa murid-murid di luar bilik darjah dan tempat terbuka bagi mengelak penularan

11. Memberi kuasa autonomi kepada sekolah untuk merangka yang terbaik berdasarkan panduan daripada semua pemegang taruh

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN ajak semua parti tolak Muhyiddin berunding bentuk kerajaan

SHAH ALAM: 13 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengajak semua ahli parlimen yang menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berunding membentuk kerajaan inklusif, adil dan progresif.

Selain memberi jaminan setiap parti dilayani secara adil, majlis presidennya turut mengajak wakil rakyat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap perdana menteri nanti.

“Ini supaya sebarang pengambilalihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju
dengan prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir baik dan institusi kehakiman yang bebas,” kata Pakatan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Menurut majlis presiden, negara memerlukan kerajaan yang stabil, berkesan serta dipimpin oleh seorang perdana menteri yang mempunyai keabsahan dan sokongan majoriti ahli parlimen.

“Walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 ahli parlimen menyokong Muhyiddin, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat berharap pemimpin dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 serta memacu ekonomi pascapandemik,” katanya.

Dalam kenyataan itu, PAKATAN juga tidak bersetuju pilihan raya umum diadakan ketika pandemik memuncak dan mengingatkan penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.

Pada 9 Ogos, sekurang-kurangnya 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, bukan hanya lapan seperti disebut dalam kenyataan perdana menteri minggu lepas.

Nama semua 14 wakil rakyat itu dinyatakan dalam warkah Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 4 Ogos, hari Muhyiddin membuat pengumuman khas.

Selain PAKATAN, parti lain yang turut menolak Muhyiddin adalah Parti Warisan Sabah (Warisan), Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan beberapa ahli parlimen bebas.

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP dilonggar, PAKATAN ingatkan kerajaan teguran pakar kesihatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan kerajaan berhubung teguran pakar kesihatan susulan beberapa kelonggaran untuk penerima dua dos vaksin di negeri fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula semalam.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, PAKATAN berkata teguran mengenai sistem kesihatan awam di sembilan negeri dan wilayah di kedua-dua fasa PPN ini wajib dipandang serius.

“Walaupun ramai yang mungkin berasa lega adanya kelonggaran-kelonggaran ini, namun peringatan dari pakar kesihatan berkenaan sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.

“Ini termasuklah menambah peruntukan khususnya meningkatkan jumlah katil unit rawatan rapi, pemekat oksigen dan saringan mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu cari, uji, kesan, asing, sokong dan vaksin.

“Kerajaan juga perlu melaksanakam lain-lain keperluan di negeri fasa dua sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang baharu Covid-19,” katanya.

PAKATAN juga berpandangan tatacara operasi piawai (SOP) pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikuat kuasa dengan lebih tegas memandangkan Covid-19 boleh tersebar sebagai titisan atau aerosol.

“Insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi” katanya.

Pada 8 Ogos, kerajaan mengumumkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa PPN

Namun untuk makan di restoran, aktiviti sukan, riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di tempat terbuka serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel hanya dibenarkan di negeri dan wilayah fasa dua dan tiga PPN.

Ketika ini negeri yang berada di fasa dua adalah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah. Manakala bagi fasa tiga pula Perlis, Sarawak dan Labuan.