Categories
NASIONAL

SAMM Kecam MB Kedah Guna AUKU

SHAH ALAM, 23 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM) segmentasi mahasiswa mengecam tindakan pimpinan PAS Kedah pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang menggunakan akta zalim, AUKU ke atas lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Penyelaras SAMM Segmentasi Mahasiswa, Wan Farel dalam kenyataan medianya berkata tindakan Azizan tersebut bercanggah dengan janji Pakatan Rakyat yang termaktub dalam Buku Jingga.

“Selaku MB Kedah beliau harus sedar bahawa tindakkanya menggunakan AUKU ini telah menyebabkan janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan AUKU di dalam Buku Jingga dianggap retorik dikalangan mahasiswa.

“Pakatan Rakyat secara jelas dalam Buku Jingga ingin memansuhkan terus AUKU tetapi tindakan MB Kedah Azizan Razak secara jelas telah bertindak menggunakan AUKU terhadap mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) ternyata membelakangkan akur janji pakatan Rakyat tersebut.

“Walaupun memerima banyak kecaman dari pelbagai pihak termasuk dari pimpinan PR sendiri dan gerakan-gerakan mahasiswa Azizan masih bersikap ofensif dalam menghadapi serangan-serangan tersebut Azizan telah menunjukkan sikap bebal dan sombong apabila berhadapan dengan mahasiswa.” jelas beliau.

Menurutnya, golongan mahasiswa adalah kumpulan yang amat sensitif dengan isu-isu semasa yang melibatkan perjuangan golongan muda di masa depan.

“Suara mahasiswa jangan dipandang sebelah mata, peranan mereka harus diiktiraf suara mereka hendaklah di dengar oleh pihak pemerintah.

“SAMM berangapan mahasiswa adalah golongan yang tiada kepentingan politik mereka berjuang atas kebenaran dan kebebasan.” tegas beliau.

Katanya, jika Azizan terus dengan sikap egonya untuk tidak menyelesaikan masalah KUIN ini secara berhemah jangan terkejut sekiranya kuasa mahasiswa akan digunakan untuk menyingkirkan beliau nanti.

Sebelum ini Ketua, Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan Tantawi dalam kenyataan medianya mempersoalkan tindakan Azizan tersebut.

Kenyataan Nasaruddin tersebut ekoran kenyataan Azizan pada 19 Januari lalu dilapor berkata AUKU tetap dikenakan terhadap mahasiswa KUIN yang melakukan kesalahan.

Kata Azizan, penggantungan lima mahasiswa KUIN tahun lalu adalah mengikut peruntukan bawah kesalahan AUKU serta pentadbiran berbuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Menconteng Bangunan Umno Usaha Memburukkan Imej Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 7 JAN : Insiden bangunan milik Umno Kedah yang diconteng kata-kata nista menggunakan cat tertera perkataan “Bebaskan Anwar” dan “Gerakan 901” awal pagi tadi dianggap sebagai taktik kotor untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat.
Naib Presiden PKR Tian Chua meyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai satu konspirasi untuk menjatuhkan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengaibkan Perhimpunan di depan mahkamah Jalan Duta yang akan berlangsung pada 9 Januari nanti.

Menurutnya, Pakatan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu sekaligus menolak dakwaan bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan Pakatan.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya jangan hilang fokus daripada isu pokok atau tujuan asal iaitu Perhimpunan 901 pada 9 Januari nanti.

Ini kerana, ia adalah hari yang akan menentukan imej negara kita dalam membuktikan sama ada institusi kehakiman di Malaysia adil atau tidak selain bakal menjadi hari yang akan mendedahkan konspirasi dalam usaha memfitnah dan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Kejadian menconteng premis dan kenderaan di beberapa tempat di Kedah menggunakan semburan cat berwarna hitam itu dipercayai berlaku antara pukul 3.30 hingga 5 pagi dan hanya disedari pengawal keselamatan pada jam 5 pagi.

Premis perniagaan dan lebih 10 kenderaan di kawasan Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar turut diconteng dengan kata-kata yang mengaibkan “Perhimpunan 901”.

Selain itu, Pejabat Umno Padang Terap, pusat beli-belah Angsana dan restoran KFC, Kuala Nerang serta dua bas henti-henti dicat dengan kata-kata yang sama.

Ketika ditanya kemungkinan insiden-insiden tersebut merupakan usaha untuk sabotaj perhimpunan Pakatan, Tian berkata, ia terletak di bawah bidang pihak berkuasa untuk membuat siasatan terperinci ke atas insiden berkenaan.

“Itu saya serahkan kepada pihak polis untuk siasat. Kita sudah dimaklumkan, bahawa laporan polis telah dibuat. Kita tidak mahu lari daripada isu pokok di mana semua yang berlaku ini adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar,” ujarnya.