Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Waris mangsa Covid-19 boleh mohon bantuan RM1,000 mulai esok

SHAH ALAM, 11 JULAI: Waris atau ahli keluarga mangsa Covid-19 negeri ini boleh memohon bantuan khairat kematian RM1,000 mulai esok sehingga 12 Ogos depan.

EXCO kesihatan awam berkata inisiatif di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang https://www.selangorprihatin.com.

“Penyaluran bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank waris dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh kelulusan permohonan sekiranya maklumat diterima lengkap,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan sebanyak 1,500 keluarga bakal menerima manfaat tersebut dengan keseluruhan peruntukan RM1.5 juta.

Syarat permohonan seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia

2. Pemohon (waris terdekat) dan yang meninggal dunia (si mati) merupakan anak kelahiran Selangor serta menetap di Selangor atau bermastautin di Selangor lebih 10 tahun

3. Disahkan meninggal dunia berpunca daripada Covid-19 oleh hospital/klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian

4. Meninggal dunia di Selangor

5. Meninggal dunia pada 2021 dan ke atas sahaja

6. Terhad satu permohonan bagi satu keluarga

Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan menerusi talian khas 24 jam di 1-800-22-6600.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan berkenaan untuk pesakit wabak yang meninggal dunia membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Peruntukan terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rebat internet tanpa had bantu ringan beban golongan sasar

SHAH ALAM, 30 JUN: Tawaran internet tanpa had dengan kadar bayaran hanya RM15 sebulan memberi kelegaan kepada individu yang bergantung pada kemudahan itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Bagi Nurul Atiqah Ramli, graduan Sarjana Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara, inisiatif Kerajaan Selangor itu amat membantu memandangkan ketika ini hampir semua pelajar mengulang kaji pelajaran dan hadir kelas secara maya.

“Bantuan ini meringankan beban pelajar terutama keluarga kurang berkemampuan. Adakalanya pinjaman pelajaran pun belum tentu cukup untuk membeli data internet tanpa had.

“Namun, apabila Kerajaan Negeri menawarkan kemudahan ini saya rasa sebagai seorang pelajar jangan kita lepaskan peluang itu dan manfaatkan sebaiknya,” katanya ketika dihubungi.

Pemandu e-panggilan, Muhammad Nadzarul Afizan Ayob, 30, turut memuji bantuan itu yang disifatkan sangat meringankan beban golongan sepertinya yang bergantung pada internet ketika bekerja.

“Pekerjaan sebagai pemandu Grab semuanya menerusi aplikasi yang mana memerlukan capaian internet iaitu bermula untuk melihat tempahan pelanggan sehingga menghantar mereka ke lokasi.

“Justeru, jika kehabisan kuota ia menyukarkan kami untuk meneruskan kerja. Terima kasih Kerajaan Selangor kerana sediakan kemudahan ini,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program Data Internet Selangor dengan peruntukan RM17.5 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Tawaran produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa RM35 sebulan akan diberi subsidi RM20 sebulan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) untuk tempoh 12 bulan.

Antara golongan sasaran menerima manfaat itu adalah penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakej Kita Selangor 2.0 tawar manfaat untuk semua

SHAH ALAM, 19 JUN: Pelbagai kelompok masyarakat memperoleh manfaat Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta terutama golongan terjejas akibat pandemik.

Daripada kanak-kanak, pelajar, usahawan, bahkan waris mangsa Covid-19 menikmati pelbagai bentuk sumbangan. Wartawan AFIX REDZUAN menyenarai bantuan yang diterima mereka.

UMUM

Saringan Covid-19

  • Fasa tiga saringan percuma sasar 100,000 ujian
  • Berasaskan FTTIS anjuran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu find (cari), test (uji), trace (jejak), isolate (asing) dan support (bantu) bagi mengesan pembawa senyap jangkitan
  • Tumpu lokasi jangkitan tinggi dan kawasan perindustrian
Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh pada 26 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pesakit Covid-19

  • Khairat kematian RM 1,000 untuk waris pesakit yang meninggal dunia di Selangor. Peruntukan berjumlah RM1.5 juta
  • Kit penilaian di rumah diagih pusat khidmat masyarakat kepada bagi individu positif dalam saringan
  • Mengandungi pelitup muka KN95, jangka suhu, pengukur tingkat oksigen, ubat, kit ujian air liur
  • Bantu nilai tahap kesihatan dengan bantuan petugas pejabat kesihatan daerah melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
  • Bantuan makanan diberi

Pekerja industri

  • Penubuhan Jawatankuasa Khas Pematuhan Kawalan Kesihatan bagi industri
  • Dipengerusikan bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Khalid Ibrahim dan dianggotai Ahli Parlimen Bangi dan mantan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming serta Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli
  • Pastikan pematuhan kawalan kesihatan di kilang dan membantu program pemberian vaksin

Suntikan vaksin

  • Program Vaksinisasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan
  • Memuktamad perbincangan bersama pembekal berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk membekal vaksin yang dijangka diagih mulai akhir Jun
  • Tumpuan kepada warga emas dan pekerja industri
  • Usahakan bekalan vaksin kepada anak muda menjelang usia 18 tahun tetapi belum disuntik

    Jururawat menyuntik vaksin jenis Sinovac kepada orang awam di pusat pemberian vaksin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam yang mula beroperasi pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
  • Senarai kanak-kanak masuk kerangka besar SCVP
  • Penyelarasan data penerima dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
  • Tingkatkan tahap perlindungan kumpulan sasar antaranya golongan berpendapatan rendah (B40), warga emas dan guru
  • SCVP tidak bebankan sistem kesihatan awam negeri kerana lebih 1,000 klinik pengamal perubatan am swasta menyertai program Peduli Sihat

Rebat pengangkutan

  • Sebanyak RM20 untuk perkhidmatan e-panggilan Grab mulai 1 Julai
  • Beri manfaat hampir 50,000 individu seluruh negeri dengan peruntukan RM1 juta
  • Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) setiap DUN menyelaras pengangkutan bagi individu yang jauh dari pusat pemberian vaksin (PPV)
  • Keutamaan di luar bandar atau tiada capaian pengangkutan awam

GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH

Bakul Makanan

  • Sasar pemandu bas dan van sekolah, pemandu teksi serta bas persiaran, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit Covid-19
  • Bantu individu hilang pekerjaan atau pendapatan merosot
  • Membabitkan semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN). Had perbelanjaan wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000
  • Tambahan RM50,000 dengan peruntukan RM3.28 juta

    Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sempena Program Agihan Bakul Makanan pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
  • Sebanyak RM30,000 disalur kepada ahli parlimen Pakatan Harapan di Selangor
  • Tangguhan sewa PPR dan Skim Smart Sewa
  • Penangguhan sebulan pada Julai membabitkan 2,632 penyewa rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa
  • Kesan kewangan berjumlah RM900,000

Data Internet Selangor

  • Tawaran kad SIM bersubsidi dengan kemudahan data internet tanpa had
  • Subsidi RM20 sebulan untuk kadar istimewa bernilai RM35 dalam masa setahun
  • Sasar 70,000 orang iaitu penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan

GOLONGAN BERPENDAPATAN SEDERHANA

Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40)

  • Subsidi internet melalui lapan pakej melalui Pakej Keluarga, Pakej Bujang dan Pakej Asas mulai 1 Julai
  • Isi rumah menikmati subsidi RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun
  • Kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM)

PELAJAR

Tangguhan bayaran balik pinjaman

  • Tempoh bayaran ansuran dilanjut daripada enam bulan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian
  • Muat turun borang permohonan di portal Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor
  • Terbuka kepada peminjam yang tamat pengajian sepanjang 2021
  • Memanfaat 1,300 pelajar

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS)

  • Modul pembelajaran bercetak diedar kepada peserta yang berdepan kekangan belajar dalam talian
  • Sasar 50,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini

Portal ePTRS.my

  • Seramai 20,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bakal menerima manfaat
  • Peruntukan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah RM500,000

Pengusaha dan guru pendidikan awal (Tadika)

  • Bantuan sekali bayar RM450 kepada pengusaha dan guru (RM150)
  • Manfaat kepada 1,018 pengusaha dan 10,197 guru
  • Peruntukan keseluruhan RM500,000

Tangguh bayar pinjaman Biasiswa Yayasan Selangor

  • Babitkan 286 pelajar tajaan yang tamat pembelajaran pada 2021 kepada Januari 2022
  • Rancang semula bayaran balik pinjaman kepada 2,088 bekas pelajar tajaan
  • Kesan kewangan RM1 juta
  • Bantuan mahasiswa Selangor
  • Makanan dan keperluan asas di kampus institusi pengajian tinggi awam dan bawah Kerajaan Negeri
  • Manfaat kepada 7,500 mahasiswa
  • Jumlah peruntukan RM1.5 juta

Orang kelainan upaya

  • Bantuan sekali bayar RM500
  • Jumlah peruntukan RM600,000

Wanita

  • Talian aduan keganasan rumah tangga disediakan
  • Dilaksana Institut Wanita Berdaya (IWB) bersama agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan
  • Dikendali pekerja terlatih untuk memberi bimbingan

PENIAGA

Moratorium Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah)

  • Membabitkan tempoh satu setengah bulan

    Pengusaha kendera saji Suhartini Mohamad Robangi bersama kenderaan yang diterima di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 10 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
  • Manfaat kepada 40,000 usahawan
  • Kesan kewangan berjumlah RM11.35 juta

Selangor Advance

  • Memanfaatkan aliran tunai 300 syarikat industri kecil dan sederhana (IKS)
  • Selamatkan dan jamin pekerjaan hampir 25,000 pekerja sejak dilaksanakan tahun lepas
  • Dana tambahan RM200 juta melalui simpanan tetap tunai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri
  • Jenis pinjaman adalah pembiayaan rantaian bekalan am atau kontrak am, jaminan bank, surat jaminan kredit atau surat akujanji atau surat sokongan, pembiayaan modal pusingan serta pembiayaan bercagaran dan terjamin

Pinjaman Hijrah Selangor

  • RM80 juta untuk 8,000 usahawan sebagai modal awal memulakan perniagaan
  • Bantu golongan hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan
  • Jelajah ke setiap DUN bagi mencari peserta

PLATS Selangor

  • Bertujuan menggerakkan ekonomi pengusaha kecil dan sederhana terutama penjaja dan peruncit
  • Pendaftaran percuma. Lebih 2,000 orang mendaftar melalui www.platselangor.com
  • Peluang belajar asas pendigitalan selain bantuan pembiayaan dan latihan keusahawanan
  • Kerjasama dengan Grab Express

 

PETANI & PENTERNAK

Program Jaminan Bekalan Makanan

  • Sasar lahirkan 1,000 agropreneur dalam tempoh lima tahun meliputi aspek pengeluaran, pemasaran dan logistik
  • Projek perintis di tanah milik Kerajaan Negeri berkeluasan di Bukit Changgang, Banting membabitkan 30 agropreneur
  • Modal pusingan RM10 juta menerusi usahasama strategik bersama Agro Bank
  • Beberapa outlet pemasaran kekal dan bergerak dibuat bagi melengkapkan kitaran nilai rantaian
Ubi antara produk dijual menerusi Program Agro Prihatin Selangor. Foto Facebook Jabatan Pertanian Negeri Selangor

Agro Prihatin

  • Strategi atasi masalah lambakan hasil segar
  • Beli hasil segar sebelum dijual semula dengan potongan harga 50 peratus
  • Beri manfaat lebih 200 penternak, petani, nelayan

Peningkatan Hasil

  • Bantu petani dan penternak tingkatkan hasil melalui:
  1. Bantuan berbentuk bahan kawalan perosak
  2. Bantuan benih padi sah MR219
  3. Bantuan untuk hasilkan produk proses baharu
  4. Labuh tukun tiruan dan unjam di perairan Sabak Bernam

 

Categories
AGENDA SELANGOR

Kuis jadi pusat pengumpulan program bantuan mahasiswa

SHAH ALAM, 16 JUN: Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) di Bandar Seri Putra, Kajang akan menjadi pusat pengumpulan makanan program bantuan mahasiswa Selangor, satu daripada inisiatif di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Rektornya berkata pihaknya menerima surat daripada Kerajaan Negeri memaklumkan perkara itu yang turut bergantung kelulusan Majlis Keselamatan Negara.

“Pusat Konvensyen Kuis akan dijadikan pusat pengumpulan barang makanan mulai Jumaat ini sekiranya diluluskan MKN.

“Kita sudah bersedia menyediakan kemudahan logistik dan khidmat keselamatan sebelum barangan diagihkan ke institut pengajian tinggi seluruh negara,” kata Prof Dato’ Ab Halim Tamuri ketika dihubungi hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.5 juta untuk menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada 7,500 mahasiswa masih berada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi di bawah Kerajaan Negeri.

Ab Halim berkata pihaknya dalam proses mengumpul permohonan pelajarnya dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M40) yang layak memohon bantuan berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Afdlin ‘tabik’ Kerajaan Selangor prihatin nasib penduduk

SHAH ALAM, 16 JUN: Pelakon terkenal Datuk Afdlin Shauki memuji keprihatinan Kerajaan Selangor meringan beban penduduk berdepan pandemik Covid-19.

Afdlin yang juga pengarah berharap inisiatif sama dilakukan kerajaan negeri lain tanpa mengira latar belakang fahaman politik.

“Apa yang dilakukan Selangor sangat tabik hormat. Bantuan merangkumi semua pihak tanpa memilih fahaman politik. Semua diberi sama rata termasuk pihak pembangkang.

“Rakyat Selangor beruntung. Kerajaan Negeri boleh jaga semua dan peka situasi rakyat. Harapan saya Selangor akan jadi contoh,” katanya menerusi siaran langsung di Instagram Media Selangor baru-baru ini.

Rabu lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bertemakan Bersama Menuju Kejayaan bagi membantu golongan terkesan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pelan itu memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor paling prihatin, banyak beri pemandu teksi bantuan

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor negeri paling prihatin dalam membantu golongan pemandu teksi yang terbeban akibat penularan Covid-19 menerusi pemberian bakul makanan.

Yang dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) berkata pihaknya berharap keprihatinan itu menjadi ikutan negeri lain memandangkan hampir semua pemain industri terjejas.

“Kuala Lumpur ada juga beri 200 bakul tetapi tidak cukup. Setakat ini Selangor dilihat lebih prihatin dan ikhlas, sumbangan juga lebih banyak,” kata Kamarudin Mohd Hussain kepada SelangorKini hari ini.

Dengan data lengkap 7,000 ahli, beliau berharap kerjasama dapat dijalinkan bersama GTSM bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

“Sebelum ini bantuan menerusi majlis daerah (pihak berkuasa tempatan), ada terima lebih ada tidak dapat, jadi kita mahu agihan secara sistematik dapat dilaksanakan bagi elak pembaziran,” katanya.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0, antaranya inisiatif bakul makanan diteruskan kepada golongan B40, pemandu bas dan van sekolah, pemandu teksi dan bas persiaran, ibu tunggal, orang kelainan upaya serta pesakit Covid-19.

 

Categories
AGENDA SELANGOR

OKU layak syarat boleh mohon bantuan khas bermula 1 Julai

SHAH ALAM, 15 JUN: Permohonan bantuan khas RM500 bagi orang kelainan upaya (OKU) yang diumum menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 akan dibuka bermula 1 Julai ini.

Dato’ Menteri Besar menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan inisiatif itu memanfaat 1,200 OKU di Selangor yang terkesan pendapatan akibat pandemik Covid-19

Permohonan hendaklah dibuat secara atas talian di pautan
https://www.anisselangor.com/bantuanoku atau hubungi hotline 0182567093/0182356213 untuk pertanyaan lanjut.

Menerusi hantaran sama, Dato’ Seri Amirudin Shari turut berkongsi syarat kelayakan antaranya warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Pakej Kita Selangor 2.0 diumum Amirudin pada 9 Jun lalu memperuntukkan bantuan RM600,000 bagi golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agihan makanan bermula Isnin depan, tidak terhad mahasiswa di Selangor

SHAH ALAM, 14 JUN: Bantuan makanan dan keperluan asas kepada mahasiswa Selangor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara dan milik Kerajaan Negeri dijangka diagih mulai 21 Jun ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata kaedah agihan sedang dibincangkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan sebelum dimuktamad dalam masa terdekat.

“Difahamkan, jawatankuasa terbabit sudah berhubung dengan pihak universiti termasuk mengeluarkan surat permohonan rasmi untuk menghantar bantuan ini.

“Sebaik pengurusan universiti beri pelepasan, bantuan akan terus disalur. Semestinya agihan dibuat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dengan kebenaran bersyarat memandangkan ia adalah program Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah dianggarkan seramai 300 ahli gabungan tersebut akan digerakkan untuk menyalur bantuan kepada penuntut yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya-Allah dengan kekuatan yang ada kita terbuka untuk membantu sekiranya diperlukan, mengambil kira bantuan Kerajaan Negeri ini meliputi seluruh IPT dan tidak terhad di Selangor sahaja.

“Malah, kami memiliki pengalaman sebagai perantara untuk menyalur bantuan sama kepada pelajar menerusi pakej disediakan Kerajaan Selangor sebelum ini,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan peruntukan RM1.5 juta untuk menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada 7,500 mahasiswa yang masih berada IPTA dan IPT bawah Kerajaan Negeri.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peserta minat bertani digalak sertai projek jaminan bekalan makanan

SHAH ALAM, 13 JUN: Minat bertani serta komited antara kriteria pemilihan peserta projek pertama jaminan bekalan makanan di Bukit Changgang, Banting.

 

EXCO pertanian berkata mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun dan memenuhi kriteria ditetapkan digalakkan memohon bagi memastikan matlamat program menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 tercapai.

 

“Kerajaan Negeri bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyediakan kemudahan lengkap dari tapak hingga proses pemasaran. Kita akan bantu tetapi perlu komited,” kata Ir Izham Hashim hari ini.

 

Menurutnya projek di tapak Selangor Smart Agro Farm itu akan melibatkan 30 peserta dengan masing-masing akan mengusahakan satu ekar tanah.

 

“Prasarana akan disediakan sama ada bidang pertanian, perternakan atau perikanan. Projek ini termasuk dalam peruntukan RM10 juta bagi pembangunan agropreneur negeri, menyasarkan 200 peserta setahun selama lima tahun,” katanya.

 

Rabu lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan lebih RM13 juta merangkumi program jaminan bekalan makanan (RM10 juta), Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

 

Pelan keseluruhan bernilai RM551.56 juta itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dana besar, teknologi baharu tarik orang muda jadi usahawan tani

SHAH ALAM, 12 JUN: Penyediaan tanah dan modal pusingan dalam projek perintis Kerajaan Negeri di bawah program jaminan bekalan makanan Pakej Kita Selangor 2.0 dapat menarik golongan muda menjadi usahawan tani.

Pengerusi Agropreneur Selangor (Agrosel) berkata tawaran dua bantuan terutama dana RM10 juta memberi bayangan projek di Bukit Changgang, Banting bakal menggunakan kaedah pertanian moden berasaskan teknologi yang diminati belia.

“Berdasarkan modal pusingan sebesar itu sudah pasti tidak menggunakan cara tradisional lagi, paling kurang pun kaedah fertigasi… lebih baik hidroponik dan aquaponik untuk mengeluarkan hasil dengan segera.

“Kita sambut baik langkah Kerajaan Negeri yang bukan sahaja dapat menjamin bekalan makanan tetapi pada masa sama tarik orang muda sebagai agropreneur,” kata Bukhari Bachok kepada SelangorKini.

Beliau berkata sebagai permulaan pihaknya mencadangkan sebahagian daripada 30 ekar disediakan untuk projek perintis itu diusahakan agropreneur sudah berjaya bagi mendapatkan hasil segera.

“Sebahagiannya diberi kepada individu baharu berkecimpung, mereka ini boleh bantu membantu satu sama lain,” katanya.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencadangkan tanah Kerajaan Negeri di Bukit Changgang dijadikan projek perintis kepada 30 agropreneur dengan purata satu ekar bagi setiap peserta.

PKPS akan menyediakan modal pusingan RM10 juta yang dikendalikan menerusi usahasama strategik bersama Agro Bank.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pakej depani wabak bukti Selangor tidak pinggir industri pelancongan

SHAH ALAM, 12 JUN: Bantuan kepada penggiat pelancongan membuktikan Kerajaan Selangor memandang serius kekangan dihadapi pemain industri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor berkata peruntukan RM2.55 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 tepat pada masanya dan diyakini mampu menghidupkan kembali sektor pelancongan negeri.

Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor Mohd Nazri Ahmad

“Ketika ini industri pelancongan khususnya perhotelan terlalu nazak dan kritikal sehingga kami terpaksa menanggung kerugian lebih 60 peratus. Justeru, inisiatif seperti ini amat dinanti-nantikan kerana dapat membantu kami walaupun dalam tempoh singkat.

“Pada masa sama sebagai bukti Kerajaan Selangor tidak meminggirkan sektor pelancongan yang sememangnya menjadi penyumbang tertinggi ekonomi negara,” kata Mohd Nazri Ahmad ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor menghargai komitmen Kerajaan Negeri untuk memulihkan semula industri itu yang terkesan akibat PKP.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor Gopalan Mariappan

“Jika dilihat situasi semasa, kami ibarat sedang ‘menyelam dalam air dan sesak nafas’. Perniagaan tidak dapat diteruskan sehingga sukar untuk kekalkan kakitangan sedia ada disebabkan tiada pendapatan.

“Semestinya ia khabar yang agak baik kerana peruntukan itu tertumpu kepada aspek merancakkan aktiviti dan promosi pelancongan dengan pemberian baucar serta program latihan dalam talian,” kata Gopalan Mariappan.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan PKP.

Inisiatif yang akan dilaksana meliputi:

1. Pemberian bantuan geran berjumlah RM1 juta
– Amaun boleh dituntut berdasarkan satu penyertaan 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut kelayakan maksimum yang mana lebih rendah

2. Baucar pelancongan Selangor 2.0
– 20,000 unit baucar (RM50 setiap seunit baucar) diberi dengan peruntukan RM1 juta
– Agihan baucar melalui kaedah e-dompet dan e-baucar

3. Program latihan pembelajaran pendigitalan pelancongan Selangor
– Hampir RM300,000 diperuntuk untuk menganjurkan program latihan pendigitalan dan perniagaan dalam talian
– Tourism Selangor akan bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec)

4. Bantuan kewangan tunai kepada 16 persatuan pelancongan Selangor
– Setiap persatuan akan menerima RM15,000 bagi melaksana aktiviti atau program pelancongan

Categories
AGENDA SELANGOR

Persatuan perubatan: Langkah Selangor beli vaksin percepat pulih wabak

SHAH ALAM, 11 JUN: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik usaha Kerajaan Selangor membeli lebih 500,000 vaksin untuk rakyat negeri itu menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP).

Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam berkata pembelian itu dapat mempercepatkan program vaksinasi terutama kepada warga emas, pekerja sektor perindustrian, pembuatan serta perkhidmatan dan golongan belia.

“Kami berharap usaha yang dilakukan Kerajaan Selangor ini membuahkan kejayaan. Begitu juga dengan keputusan mengambil 1,000 pengamal perubatan swasta juga langkah tepat kerana kepantasan, kemudahan dan kebolehcapaian penting dalam meningkatkan pengambilan vaksin.

“Kami yakin lebih ramai pengamal perubatan swasta akan turut serta dan menyasarkan lebih 2,000 lagi penyertaan kumpulan ini di Selangor dan kawasan bersempadan di Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Menurutnya, usaha untuk meningkatkan pengambilan suntikan vaksin amat perlu untuk memutuskan rantaian jangkitan sekali gus membantu memulihkan semula ekonomi.

“MMA turut mengalu-alukan lanjutan program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Selangor yang terbukti berjaya mengesan golongan ‘pembawa senyap’,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri lain turut mempertimbangkan program vaksinasi dan saringan percuma di negeri mereka.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi memperoleh vaksin dan mempercepatkan imuniti kelompok menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti.