Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Matta: Pakej Rangsangan Ekonomi bantu tingkat pelancongan domestik

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad semalam akan membantu meningkatkan pasaran pelancongan domestik negara.

Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Mohd Akil Mohd Yusof berkata pakej itu akan membantu hotel di seluruh negara yang berdepan penurunan kadar penginapan berikutan penularan jangkitan Covid-19.

“Kami gembira kerana hampir semua perkara yang kami minta dan kemukakan diluluskan. Kami berharap ahli MATTA akan mengambil sepenuhnya peluang dana dan inisiatif (yang disediakan) untuk manfaat mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Dr Mahathir menggariskan tiga strategi iaitu menangani impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Beberapa rancangan juga disediakan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berada pada landasan betul untuk mengekalkan pertumbuhan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion tangani impak Covid-19

PUTRAJAYA, 27 FEB: Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani.

Pakej itu mempunyai tiga strategi utama dengan beberapa strategi dan rancangan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.

Berikut adalah teks ucapan penuh Pakej Rangsangan Ekonomi 2020:

PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI 2020

“MEMPERKUKUH KEYAKINAN, MERANGSANG PERTUMBUHAN, MELINDUNGI
PEKERJAAN”

PADA 27 FEBRUARI 2020 (KHAMIS), PADA JAM 4.30 PETANG
BERTEMPAT DI DEWAN PUTRA, ARAS 3, BLOK UTAMA, BANGUNAN PERDANA PUTRA,
PUTRAJAYA

1. Pertama sekali, saya ingin ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada para doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain di barisan hadapan yang bertungkus lumus melindungi Malaysia dari wabak Coronavirus 2019 (COVID-19).  Penularan penyakit COVID-19 di Malaysia telah terkawal, dengan semakin ramai pesakit telahberansur pulih daripada penyakit ini.

2. Walaupun kesan COVID-19 ketika ini adalah terkawal, namun wabak ini telah memberikan impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

3. Justeru, Kerajaan akan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak ini dapat ditangani dengan berkesan. Dalam masa yang sama, beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.

RM20 BILLION PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI

4. Pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM20 bilion ini ditunjangi oleh tiga (3) strategi seperti berikut:

Strategi Pertama : Menangani impak COVID-19;
Strategi Kedua : Memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat; dan
Strategi Ketiga : Menggalakkan pelaburan berkualiti

STRATEGI PERTAMA: MENANGANI IMPAK COVID-19

5. Antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan COVID-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong. Kesan yang lebih ketara turut melibatkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan ke atas industri peruncitan secara meluas.

6. Bagi menangani keadaan ini, Kerajaan akan mengambil tiga langkah pendekatan dalam strategi yang pertama tersebut. Pertamanya, memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan. Keduanya, bantuan kepada individu yang terjejas dan ketiganya, merangsang permintaan dalam industri pelancongan.

MEMUDAHKAN ALIRAN TUNAI

7. Bagi membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19, Kerajaan mencadangkan bagi tempoh enam (6) bulan mulai April hingga September 2020 tindakan seperti berikut:

Pertama: Membenarkan penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan. Di samping itu, syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti;

Kedua: Menyediakan diskaun sementara selama enam (6) bulan sebanyak 15% daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran;

Ketiga: Mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan.

Keempat: Mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel. Walau bagaimanapun inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada bulan Mac hingga Ogos 2020;

8. Kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan, iaitu:

Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75%.

Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar 4%. Di samping itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan.

9. Semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman. BNM akan memantau pelaksanaan dan memastikan pematuhan di kalangan institusi kewangan.

10. Pihak industri seperti perhotelan dan pusat membeli-belah digalakkan untuk turut memainkan peranan dengan menawarkan diskaun dan mengurangkan kadar sewa premis.

11. Malaysia Airport Berhad Berhad (MAHB) akan mengurangkan kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang, dan juga akan mengurangkan caj pendaratan dan parkir.

BANTUAN KEPADA INDIVIDU YANG TERKESAN

12. Kerajaan mengakui kadar ketibaan pelancong yang berkurangan telah memberi impak negatif kepada pihak-pihak yang yang bergantung kepada industri pelancongan. Kerajaan akan memberikan bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar.

13. Sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan di dalam memerangi COVID-19, kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan, dan RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang terlibat. Bantuan elaun khas ini berkuatkuasa Februari 2020 hingga wabak ini berakhir.

14. Sehingga ini, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak COVID19. Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak COVID-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal.

PENAMBAHBAIKAN MODAL INSAN

15. Kerajaan juga menggalakkan majikan supaya menambah pelaburan dalam meningkatkan produktiviti modal insan pada ketika aktiviti ekonomi perlahan. Oleh itu, Kerajaan akan menawarkan potongan berganda kepada perbelanjaan ke atas latihan bagi sektor pelancongan.

Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta geran-padanan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk membiayai tambahan 40 ribu pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan.

16. Kerajaan seterusnya akan memperuntukkan RM50 juta untuk subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi. Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 100,000 rakyat Malaysia.

17. Pekerja yang terjejas boleh bergantung kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dananya kini berjumlah RM1.1 billion. Selain itu, SIP akan ditambah baik melalui kos latihan yang boleh dituntut ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000. Sebagai tambahan, elaun latihan harian sebanyak RM30 sehari juga disediakan kepada pelatih.

MERANGSANG SEKTOR PELANCONGAN

18. Bagi merangsang industri pelancongan pula, Kerajaan akan menyediakan inisiatif seperti berikut:

Pertama: Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan
domestik;

Kedua: Rakyat Malaysia diberi baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen. Di samping itu, Kerajaan juga akan menyediakan geran padanan untuk mempromosi pelancongan. Peruntukan sebanyak RM500 juta disediakan untuk langkah ini; dan

Ketiga: Melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan.

STRATEGI KEDUA: MEMANGKIN PERTUMBUHAN BERTERASKAN RAKYAT BANTUAN RAKYAT

19. Selain industri pelancongan, sektor lain seperti pengeksportan turut terjejas akibat ganguan rantaian bekalan. Banyak kilang dan pelabuhan di negeri China tidak beroperasi akibat wabak COVID-19 ini.

20. Justeru, untuk merangsang permintaan domestik, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan secara langsung kepada rakyat melalui langkah-langkah berikut:

Pertama: Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus. Ini bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuatkuasa sehingga akhir tahun ini.

Kedua: Awalkan bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup bulan Mei sebanyak RM200 ke bulan Mac 2020.

Ketiga: Kerajaan juga akan membayar kepada setiap penerima BSH tambahan RM100 dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan seterusnya tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

21. Untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, Kerajaan akan mengambil inisiatif berikut:

Tabung AgroFood sebanyak RM1 bilion oleh BNM pada kadar 3.75% bertujuan bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.

RM10 juta kepada FAMA untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya harga dapat dikurangkan.

Geran sebanyak RM1,000 kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan mereka di dalam platform e-dagang.

Peruntukan tambahan RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang.

STIMULUS LUAR BANDAR

22. Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan segera kerja-kerja penyelenggara dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar. Bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat ke peringkat akar umbi, peruntukan akan disalurkan melalui usahasama dengan Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.

23. Projek-projek yang terbabit perlu dilaksanakan dengan segera agar dapat memberi impak yang positif untuk merangsangkan ekonomi. Bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan semua projek, Kementerian Kewangan akan memudahkan tatacara kewangan khas untuk tahun 2020 seperti berikut:

Pertama: Meningkatan nilai untuk perolehan melalui kaedah cabut undi dari RM50,000 kepada RM100,000 dan kaedah sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000;

Kedua: Memastikan kementerian menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada agensi pelaksana masing-masing menjelang suku pertama tahun 2020. Seterusnya, Kementerian Kewangan akan memantau pematuhan kepada jadual perolehan agar aktiviti dilaksanakan mengikut jadual.

STRATEGI KETIGA: MENGGALAKKAN PELABURAN BERKUALITI

24. Untuk meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan, Kerajaan komited untuk memastikan kesinambungan pelaburan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan tahun 2020.

25. Sebagai tambahan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan agensi awam akan mempercepatkan projek pelaburan untuk 2020, termasuk:

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) akan membuka untuk bidaan janakuasa tenaga solar 1,400MW. Ini akan melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja;

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara; dan

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM13 bilion, termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung.

26. Demi meningkatkan daya saing, Kerajaan akan mempromosikan pelaburan sektor swasta yang bernilai tambah yang lebih tinggi melalui;

Pertama: Kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta untuk Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3 yang akan menjadikan keseluruhannya RM2 billion untuk pelaburan di peringkat awal dan awal pertumbuhan;

Kedua: Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan mengecualikan bagi tempoh 12 bulan, yuran penyenaraian di papan Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE), serta syarikat yang bermodal pasaran kurang RM500 juta yang ingin tersenarai dalam papan utama;

Ketiga: BNM akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta;

Keempat: Kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.

Kelima: Kerajaan akan menyediakan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000;

Keenam: Mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan untuk tempoh 3 tahun bermula 1 April 2020;

PENUTUP

27. Pada tahun 2003, Malaysia pernah mengalami situasi yang sama ketika penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda Asia Timur. Ia telah menyebabkan jumlah pelancong merosot dengan ketara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menurun daripada 7.1% pada suku ketiga tahun 2002 kepada 4.6% bagi suku ketiga 2003.

Namun begitu, susulan daripada pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif, kedudukan ekonomi telah mencapai tahap pemulihan yang kukuh kepada 6.5% pada suku ke-empat 2003. Insya-ALLAH, ini boleh kita ulangi dengan pakej rangsangan ini.

28. Berikutan senario ekonomi global dan impak Covid-19, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2020 diunjurkan dalam julat 3.2% hingga 4.2%. Saya yakin pelaksanaan pakej ini akan membolehkan ekonomi negara meningkat pada tahap tertinggi dalam julat tersebut.

Di dalam rangka pakej rangsangan ini, kerajaan turut mengambil berat prestasi fiskal negara. Defisit fiskal dianggarkan meningkat sedikit kepada 3.4% daripada KDNK berbanding anggaran asal3.2%.

29. Kerajaan juga menyedari bahawa pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi tidak boleh dilaksanakan hanya satu pihak sahaja. Oleh yang demikian, kerajaan menyeru pihak swasta secara langsung dan tidak langsung turut terlibat bagi memastikan pakej ini berjaya.

30. Pada masa yang sama, kerajaan berharap rakyat terus cekal, berani dan tekun bagi menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang dan menjadi lebih mampan dalam melalui
episod ini.

31. Insya-ALLAH, dengan kerjasama, usaha yang gigih dan jati diri yang kukuh, Negara tercinta kita akan kembali dengan lebih makmur dan berdaya tahan.

Sekian, terima kasih

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan percepat projek pelaburan RM21 bilion tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM21 bilion melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi awam bagi menangai impak penularan penyakit Covid-19.

Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion dengan tema “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” berkata langkah itu diambil bagi meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan.

Beliau berkata, projek pelaburan untuk 2020 yang akan dipercepatkan termasuk oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) yang akan membuka bidaan jana kuasa tenaga solar 1,400MW.

“Ini akan melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan Syarikat Berkaitan Kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM13 bilion termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung,” kata beliau.

Menurut Dr Mahathir, langkah menggalakkan pelaburan berkualiti itu merupakan strategi ketiga pakej berkenaan yang turut menggariskan menangani impak Covid-19 sebagai strategi pertama manakala usaha memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat sebagai strategi kedua.

Beliau berkata, demi meningkatkan daya saing, kerajaan akan mempromosikan pelaburan sektor swasta dengan nilai tambah lebih tinggi melalui beberapa langkah.

“Pertama, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3 yang akan menjadikan keseluruhannya RM2 billion untuk pelaburan di peringkat awal dan awal pertumbuhan,” katanya.

Kedua, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan mengecualikan bagi tempoh 12 bulan aspek seperti yuran penyenaraian di papan Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE) serta syarikat yang bermodal pasaran kurang daripada RM500 juta yang mahu tersenarai dalam papan utama.

Langkah ketiga, kata beliau, Bank Negara Malaysia akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta.

“Keempat, kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.

“(Langkah) kelima, kerajaan akan menyediakan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000 manakala keenam, mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan bagi tempoh tiga tahun bermula 1 April, 2020,” kata beliau.

Pakej rangsangan ekonomi kali ini merupakan yang kedua diumumkan oleh Dr Mahathir selepas 2003 sewaktu beliau menjadi perdana menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Covid-19 mula menular ke seluruh dunia pada pertengahan Januari dan sehingga kini, kira-kira 80,000 orang di peringkat global telah dijangkiti Covid-19 dan meragut lebih 2,800 maut, terutamanya di China.

Walaupun kesan Covid-19 ketika ini adalah terkawal, namun penularannya telah memberi impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rangsangan ekonomi 2020 mudahkan aliran tunai

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diperkenalkan hari ini akan membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh Covid-19, kata Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan mencadangkan bagi tempoh enam bulan mulai April hingga September 2020, penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan dibenarkan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan.

Katanya syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bertemakan, ‘Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan’ di Putrajaya.

Pengumuman pakej rangsangan ekonomi tersebut menjadi yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Tindakan kedua dalam agenda memudahkan aliran tunai ialah menyediakan diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15 peratus daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat beli belah, pusat konvensyen dan pameran.

Ketiga, mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan.

Tindakan keempat ialah mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel. Bagaimanapun, inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada Mac hingga Ogos 2020.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75 peratus.

Manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar 4 peratus. Di samping itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan.

“Semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman. BNM akan memantau pelaksanaan dan memastikan pematuhan dalam kalangan institusi kewangan,” kata Dr Mahathir.

Beliau turut menggalakkan pihak industri seperti perhotelan dan pusat beli-belah untuk memainkan peranan dengan menawarkan diskaun dan mengurangkan kadar sewa premis.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan bertindak mengurangkan kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang dan juga akan mengurangkan caj pendaratan dan parkir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir umum pakej rangsangan ekonomi hari ini

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dijadual diumumkan hari ini akan menjadi acara rasmi pertama bagi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Pakej rangsangan itu akan diumumkan di Putrajaya pada 4 petang.

Keperluan untuk memperkenalkan pakej rangsangan dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan seawal Januari bagi mengurangkan impak negatif daripada penularan Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia selain memelihara kebajikan rakyat.

Antara lainnya, ia dijangka menumpukan kepada penggunaan, pelaburan dan sektor pelancongan selain merangsang ekonomi dan perjalanan domestik, yang terjejas akibat penularan wabak itu.

Kementerian Kewangan pada Selasa menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan Dr Mahathir atas kapasiti beliau sebagai perdana menteri interim.

Pada Isnin, Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menerima peletakan jawatan itu, kemudian melantik semula Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.

Atas nasihat Dr Mahathir, Seri Paduka juga menarik balik pelantikan semua menteri.

Dalam satu kenyataan tiga perenggan, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata semasa tempoh interim, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga pelantikan perdana menteri baharu dan pembentukan Kabinet baharu.

Malaysia bukan satu-satunya negara ASEAN yang merancang pakej rangsangan untuk menangani kebimbangan Covid-19. Kementerian Kewangan Thailand juga akan mencadangkan pakej rangsangan ekonomi baharu kepada kabinet pada pertengahan Mac.

-BERNAMA