Categories
AGENDA BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

MB: Mahasiswa Selangor dapat RM200, bantuan makanan percuma

SHAH ALAM, 20 MAC: Seramai 2,500 mahasiswa Selangor di Sabah dan Sarawak menerima bantuan RM200 setiap seorang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata mahasiswa berkenaan sudah dikenal pasti selain pihaknya juga sudah berurusan dengan pentadbiran universiti.

“Mulanya kita rancang bawa balik tetapi atas nasihat Majlis Keselamatan Negara yang tidak benarkan pulang, kita bantu dengan cara ini.

“Pemberian melalui universiti dengan cara yang tidak memerlukan pelajar berkumpul,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, bagi mahasiswa di Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS yang tidak pulang ke kampung, makanan percuma disediakan.

“Bantuan bermula Ahad ini. Keseluruhan bantuan untuk semua mahasiswa berjumlah RM2.3 juta,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

MB umum tujuh insentif RM127.78 juta bantu golongan terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 20 MAC: Kerajaan Selangor mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan dengan pandemik ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta yang memberikan manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

“Perintah Kawalan Pergerakan bermula Rabu lalu hingga 31 Mac ini memberi kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya pada sidang media, hari ini.

Berikut merupakan inisiatif diberikan:

1. Pemberian RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor.

2. Seramai 80,000 penjaja dan peniaga berlesan dikecualikan sewa selama sebulan serta mendapat bantuan RM500.

3. Penangguhan bayaran pinjaman selama tiga bulan kepada 40,000 peminjam Hijrah.

4. Seramai 2,500 anak Selangor yang belajar di Sabak dan Sarawak diberikan bantuan RM200 manakala pelajar di UNISEL, KUIS dan Kolej INPENS yang tidak pulang ke kampung diberikan bantuan makanan percuma bermula 22 hingga 31 Mac.

5. Penangguhan bayaran sewa tiga bulan kepada 2,700 penyewa Skim Smart Sewa.

6. Penggunaan Khas Peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADN) sebanyak RM30,000 untuk bantu rakyat terkesan Covid-19.

7. Kelonggaran pembayaran cukai tanah atau petak selama sebulan.