Categories
AGENDA JENAYAH

Polis mohon ekstradisi suspek bunuh pensyarah Palestin

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon suspek kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin pada 2018, di sini, yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin semalam, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pada masa ini, PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).

“PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas dipetik berkata pada Ahad suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.

Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Sukarelawan negeri impikan misi bantuan ke Palestin

SHAH ALAM, 23 OKT: Misi bantuan kemanusiaan ke Palestin antara impian jangka panjang Sukarelawan Selangor (SERVE) sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara itu.

Menyifatkannya sebagai futuristik, EXCO jaringan kemasyarakatan dan kesukarelawannya berharap pasukan itu diberi kesempatan untuk berbakti sekali gus membawa imej negeri.

“Namun, perkara utama ketika ini ialah membantu rakyat Selangor dahulu sebelum masyarakat luar,” kata Danish Hairudin pada bual bicara Kenali SERVE: Sukarelawan Selangor di Facebook Media Selangor malam tadi.

Beliau berkata banyak pengalaman ditimba anggota SERVE dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini selain mengharapkan kerjasama berterusan dalam apa jua aktiviti dijalankan.

“Tahun ini permulaan buat kami dan sudah tentu pelbagai cabaran akan ditempuh. Oleh sebab itu, kita perlu terus belajar dan konsisten bantu masyarakat,” katanya.

Pada 29 Ogos, hampir 50 ahli SERVE digerakkan ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana kepala air selaras tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

Selain misi berkenaan, mereka turut mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa tanah runtuh di Kemensah Height dan banjir kilat di Selangor selain berkhidmat di pusat pemberian vaksin.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor dan terbuka kepada individu 36 tahun ke atas.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Trak Selangor agih kelengkapan sekolah buat rakyat Palestin

SHAH ALAM, 6 SEPT: Trak bantuan dibeli hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin mula digunakan semalam bagi menjalankan misi bantuan dan kebajikan di Gaza, Palestin.

Ketua pegawai eksekutif Global Peace Mission Malaysia berkata kenderaan pelbagai guna berharga RM150,000 bagi menghantar alatan persekolahan seperti buku, uniform dan alat tulis.

“Setakat ini kita sudah beli sebuah trak menggunakan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin, dua lagi selepas fasa kedua bantuan diterima.

“Trak akan diserah kepada badan bukan kerajaan di lapangan untuk menghantar bantuan, membawa pesakit ke hospital dan murid ke sekolah,” kata Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Beliau berkata ambulans termasuk dalam pakej bantuan pula akan diserahkan selepas kerja ubah suai siap dijangka dalam tempoh dua minggu.

“Kementerian Kesihatan Palestin akan menentukan hospital untuk meletakkan ambulans itu,” katanya.

Pada 19 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan tabung berkenaan bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Selain ambulans dan trak, bantuan lain termasuk kotak makanan serta petrol untuk menghidupkan generator hospital di Gaza.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambulans Palestin sumbangan Selangor mula operasi hujung Julai

SHAH ALAM, 15 JULAI: Ambulans untuk penduduk Palestin yang dibeli menggunakan dana Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bakal digunakan hujung bulan ini.

Ketua pegawai eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia berkata pembelian kenderaan bernilai RM350,000 yang dilengkapi alat perubatan itu dijangka selesai selepas Hari Raya Aidiladha.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata ambulans itu dibeli di Palestin bagi memudahkan urusan penghantaran dan penempatan di hospital ditentukan Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

“Sumbangan ambulans hasil daripada inisiatif Kerajaan Selangor ini bakal memanfaatkan penduduk Palestin memandangkan situasi negara itu yang sering diancam musuh.

“Ambulans berkenaan dapat membantu mempercepat proses membawa pesakit ke hospital dan menyelamatkan nyawa mereka,” katanya ketika dihubungi.

Pada 25 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM370,000 daripada fasa pertama Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan disalurkan kepada GPM untuk membeli sebuah ambulans dan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

Selangor melancarkan tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan kepada 31 Julai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain ambulans dan makanan, kutipan daripada tabung itu juga akan digunakan untuk membeli tiga buah trak bantuan, bahan bakar dan set generator.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh membuatnya melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kutip lebih RM350,000, tabung kemanusiaan Palestin dilanjut dua minggu

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan Negeri berjaya mengutip lebih RM350,000 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang dibuka selama 10 hari sejak 19 Mei lalu.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tabung bagi membantu rakyat Palestin dilanjutkan dua minggu lagi bagi mencapai sasaran kutipan RM1 juta susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata dana itu merupakan sumbangan wakil rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri, pihak swasta dan orang ramai, selain tiga individu menyumbang barang kemas bernilai RM30,000 sebagai tanda sokongan.

“Kutipan derma ini akan digunakan untuk membeli sebuah ambulans, tiga kenderaan pelbagai guna bagi memudahkan pergerakan sukarelawan dan menyediakan bekalan makanan.

“Tiga sasaran ini diharap dapat meringankan beban saudara kita yang terpaksa berdepan keganasan dasar Apartheid Zionis Israel,” katanya ketika serahan sumbangan tabung berkenaan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Menurut Mohd Zawawi, pihaknya sedang menunggu sumbangan beberapa agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menunjukkan komitmen untuk membantu merealisasikan hasrat tersebut.

“Kita memahami kekangan PKP ini dan bersetuju melanjutkan sedikit masa bagi memberi ruang kepada agensi dan syarikat yang banyak bekerja dari rumah, malah mereka berjanji untuk serah sumbangan secepat mungkin,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
AGENSI SELANGOR

Cadang wujud tabung khas pendidikan bantu anak Palestin

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan dicadang mewujudkan tabung bantuan pendidikan khusus bagi membantu anak Palestin yang tercicir dalam pelajaran susulan peperangan.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkata kekurangan dana antara faktor menyebabkan golongan itu tidak menerima pendidikan sebaiknya.

“Saya hormati usaha semua pihak termasuk badan bukan kerajaan melancarkan tabung memohon derma orang ramai bagi membantu mangsa kekejaman rejim Israel.

“Namun saya masih belum dengar pungutan derma membantu anak-anak Palestin untuk dibawa ke Malaysia bagi menyambung pengajian sama ada dalam perubatan, sains…Kami di Unisel sedia menerima,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau berkata demikian pada Forum Peduli Palestin di Facebook malam tadi yang turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Media antarabangsa melaporkan angka kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang berakhir minggu lalu mencecah 253 orang termasuk kanak-kanak dan wanita.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang menyasar kutipan RM1 juta untuk membantu penduduk Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB seru umat Islam fikir strategi bantu Palestin

SHAH ALAM, 27 MEI: Umat Islam di seluruh negara diseru memikirkan strategi bagi membantu penduduk Palestin yang berterusan menjadi mangsa kekejaman Israel.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tidak hanya terhad kepada kewangan dan ketenteraan tetapi meliputi perpaduan dan aspek kemanusiaan.

“Kita perlu merangka strategi betul yang difikrkan bersama negara Islam kerana Gaza dan Al-Aqsa bukan hanya simbol biasa tetapi tempat peristiwa Israk Mikraj serta kiblat pertama umat Islam.

“Allah melarang kita undur apabila berdepan pasukan kafir tetapi boleh undur dengan syarat strategi perang yang betul dan bawa kejayaan bersama,” katanya pada Forum Peduli Palestin yang disiarkan secara langsung di Facebook malam ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) melancarkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bersama EXCO Agama Zawawi Ahmad Mughni pada 24 Mei 2021. Foto ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar

Forum itu turut menampilkan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shammala turut serta.

Amirudin juga meluahkan kebimbangan tindakan pihak tertentu termasuk pemimpin yang menjadikan isu Palestin sebagai platform politik semata-mata.

“Kita lihat semua pimpinan politik semuanya cuba menyampaikan maklumat berkaitan Gaza tetapi apakah langkah atau rancangan strategik untuk hentikan keganasan Israel?” soalnya.

Media antarabangsa melaporkan angka kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang berakhir minggu lalu mencecah 253 orang termasuk kanak-kanak dan wanita.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang menyasar kutipan RM1 juta untuk membantu penduduk Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Misi kemanusiaan Palestin Ebit Lew dapat kelulusan, tertakluk SOP

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) semasa, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada Ebit Lew semalam bagi memaklumkan misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula semalam hingga 30 Mei.

“Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza. Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.

“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya.

Beliau berkata walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, delegasi Ebit Lew dinasihatkan agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi. Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan delegasi itu untuk turut mematuhi semua SOP dalam negara yang sedang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Kamarudin berkata secara dasarnya, kementerian itu menyokong penuh usaha delegasi Ebit Lew dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk turut menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin termasuk mewujudkan tabung-tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

“Dalam perkara ini, sekiranya diperlukan kementerian boleh membantu untuk menyalurkan dana yang telah selesai dikumpul oleh NGO ini kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Selangor sumbang RM10,000 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin

SHAH ALAM, 25 MEI: Persatuan Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan Kakitangan Yayasan Selangor (PKSKKYS) dan Yayasan Selangor menyumbang RM10,000 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.

Persatuan itu berkata sumbangan untuk rakyat Palestin diserahkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

“Warga PKSKKYS dan Yayasan Selangor terpanggil dan amat bersimpati dengan keperitan dan kesedihan yang ditanggung rakyat Palestin.

“Usaha mengumpul sumbangan ini sebagai tanda solidariti dan kepedulian kami semua kepada Palestin,” katanya menerusi kenyataan.

Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta dalam tempoh 10 hari.

Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM223,957.77 berjaya dikutip setakat semalam sejak tabung dibuka pada 19 Mei lepas.

Sumbangan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin untuk misi dalam dan luar negara

SHAH ALAM, 24 MEI: Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin digunakan untuk misi bantuan dalam dan luar negara pada masa depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha membantu rakyat Palestin permulaan ke arah kerjasama erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan misi kemanusiaan.

“Bantuan merentasi sempadan negara atau negeri tidak boleh terhenti kerana masih banyak masyarakat di luar sana memerlukan sokongan kita.

“Semoga  banyak syarikat atau individu tampil menghulur sumbangan, sedikit pemberian daripada kita besar ertinya kepada golongan dihimpit penderitaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini.

Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta dalam tempoh 10 hari.

Sejumlah RM223,957.77 berjaya dikutip setakat ini sejak tabung dibuka pada 19 Mei lepas.

Kutipan diserah kepada Global Peace Mission Malaysia (GPM) untuk pembelian SelangorAid Ambulans yang dilengkapi pelbagai kelengkapan bernilai RM350,000 dan SelangorAid trak (RM450,000).

Baki sumbangan berjumlah RM150,000 digunakan pembelian makanan dan minyak generator (RM50,000).

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran buat Israel, jangan jadikan gencatan senjata modal politik

SHAH ALAM, 22 MEI: Israel diingatkan tidak menjadikan tawaran genjatan senjata terhadap Palestin sebagai modal meraih sokongan politik domestik.

EXCO hal ehwal agama Islam menyifatkan perbuatan tentera zionis menyerang Gaza ketika 10 malam terakhir Ramadan satu jenayah yang tidak boleh diterima.

“Rakyat Malaysia mesti bersatu padu memastikan Al-Aqsa tidak dicerobohi lagi. Ternyata sokongan masyarakat dunia berhasil menyampaikan mesej kecaman kepada Israel dan ia tidak harus terhenti.

“Pengguna media sosial (warganet) mesti sentiasa aktif menjadi pemerhati antarabangsa yang tidak akan membiarkan Israel sewenang-wenangnya mengganas di bumi Palestin,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau yakin sumbangan dikumpul Kerajaan Selangor dapat membantu penduduk Gaza membangunkan semula negara yang musnah teruk sepanjang 11 hari diserang.

“Rakyat Palestin berhak hidup aman di bumi kelahiran sendiri. Apa sahaja pendekatan aman dan damai harus direalisasikan demi kehormatan dan keselamatan rakyat negara itu,” kata Mohd Zawawi.

Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta bagi membantu rakyat negara itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais seru umat Islam laksana solat hajat, qunut nazilah untuk Palestin

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam agar melaksanakan solat hajat dan membaca doa qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya menzahirkan sokongan terhadap Kerajaan Malaysia yang akan menerajui bersama-sama Indonesia dan Brunei dalam mengeluarkan satu kenyataan untuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dalam mempertahankan Masjidil al-Aqsa sebagai tempat suci dan kiblat pertama umat lslam.

“Mais turut berharap supaya umat Islam di Malaysia, khususnya di Selangor untuk menyokong agenda pembebasan negara Palestin daripada kekejaman dan pencerobohan tentera Zionis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata bermula 2012, pihaknya bersama rakan strategik Mais iaitu Pertubuhan lslam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berdaftar di bawah MAIS telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program bantuan serta sumbangan dana kepada umat lslam di dalam dan luar negara.

Pihak MAIS turut mengiktiraf pengalaman beberapa PIBK yang telah lebih awal melaksanakan program dan misi bantuan kepada masyarakat lslam di luar negara yang ditimpa musibah termasuk di Palestin.

“Antara 96 buah PIBK MAIS yang aktif memberikan sokongan kepada rakyat Palestin iaitu Angkatan Belia lslam Malaysia Cawangan Selangor, lslamic Relief Malaysia, MCG (Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global), Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Humanitarian Care Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Aman Palestin Berhad dan Muslim Care Malaysia Society dan HALUAN,” katanya.

Menurut Abdul Aziz pihaknya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan PIBK MAIS serta orang ramai yang sentiasa menyokong dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Pastinya segala usaha ini amatlah bermakna bagi rakyat Palestin, katanya.

– BERNAMA