Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan titah tindakan tegas terhadap doktor swasta keluar sijil vaksin palsu

SHAH ALAM, 29 JAN: Sultan Selangor menitahkan tindakan tegas diambil ke atas pengamal perubatan yang menawarkan dan menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office bertitah mereka ini harus dijatuhi hukuman paling berat jika didapati bersalah.

“Baginda terkejut dengan modus operandi (MO) yang diguna pakai oleh individu terlibat yang telah ditahan oleh Polis Selangor iaitu seorang doktor pemilik sebuah klinik di Gombak dan enam orang pembantu klinik, yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.

“Baginda amat kecewa dengan perkembangan terbaharu ini yang boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Lebih mendukacitakan Baginda, ada dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat dalam kegiatan ini adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam namun sanggup melakukan perkara yang keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera.

“Sekiranya kegiatan sebegini terus berleluasa, ditambah pula dengan kedegilan golongan anti-vaksin, bilakah kemelut wabak Covid-19 yang telah membelenggu dunia dan mengorbankan jutaan nyawa sejak 2 tahun lalu ini akan berakhir?.

“Rakyat di negara ini, titah Baginda, tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti Covid-19, yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian,”ujar kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Baginda berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal pihak berkuasa mendapati selain daripada memalsukan sijil vaksin Covid-19 menerusi sistem aplikasi MySejahtera, individu terlibat turut memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin Covid-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan kepada 5,601 pelanggan yang terdiri daripada golongan anti vaksin.