Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan 25 individu disyaki jual sijil vaksin palsu

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini telah menahan 25 individu kerana disyaki terlibat dengan penipuan penjualan sijil vaksin palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata penahanan individu berkenaan adalah hasil pengesanan sembilan kes di seluruh negara.

Beliau berkata mereka yang ditahan membabitkan masing-masing tiga doktor dan jururawat, tujuh ejen, seorang staf klinik serta 11 orang awam.

“Kes terbaharu adalah di Sabah yang mana staf (klinik) membuat laporan terhadap seorang doktor (didakwa) melakukan penipuan terhadap sijil vaksin di Kinarut, Sabah,” katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ, di sini.

Menurut Mohd Kamarudin, laporan tersebut dibuat oleh staf klinik pada 4 Feb (Jumaat) lepas dan doktor berusia 37 tahun yang juga seorrang daripada 25 suspek telah ditahan pada 7 Feb (Isnin) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Siasatan hampir selesai. Kami akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan dan arahan selanjutnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat ditahan disyaki jual sijil cuti sakit palsu sekitar Shah Alam

SHAH ALAM, 9 FEB: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu sekitar Shah Alam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Azman Ali berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kaloi 17/17 Seksyen 17, Shah Alam, polis turut merampas sejumlah dokumen sijil cuti sakit palsu yang telah siap dicetak dan juga peralatan untuk membuat serta mencetak sijil cuti sakit.

“Antara yang dirampas ialah 62 keping sijil cuti sakit palsu, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu set komputer, satu mesin cetak dan dua keping kad ATM,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, suspek yang berusia 22 hingga 35 tahun itu ditahan reman sehingga 11 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdaya dengan mengemukakan dokumen yang palsu sebagai sah.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jual sijil vaksin palsu cemar imej negara, polis giat operasi kesan dalang

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat operasi dan pemantauan secara menyeluruh dalam mengesan pihak disyaki terlibat dengan sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau tidak menolak kemungkinan sindiket sedemikian wujud di negeri-negeri lain.

“Oleh demikian, saya telah mengarahkan ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen negeri melalui Pengarah JSJ Bukit Aman (Datuk Seri Abd Jalil Hassan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (Datuk Mohd Kamarudin Md Din) untuk menjalankan risikan.

“Risikan berkenaan adalah untuk mengesan sama ada terdapat lagi perkara sama (kes penjualan sijil vaksinasi palsu) berlaku di tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penjualan sijil vaksinasi palsu di Marang, Terengganu selepas hadir ke program pendidikan dan kemahiran awal murid autisme di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

Acryl Sani berkata setakat ini, PDRM hanya mengesan satu kes berkenaan berlaku di Marang, Terengganu.

“Siasatan polis Terengganu mengesan sindiket berkenaan yang dilakukan oleh seorang suspek lelaki dan kami masih sedang mengesan jika ia berlaku di negeri-negeri lain ,” katanya.

Beliau berkata PDRM memandang serius mengenai sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu kerana ia menghalang usaha kerajaan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“PDRM tidak mahu melihat usaha dan langkah kerajaan melakukan pencegahan ini terhalang oleh kerana tindakan segelintir pihak yang menggagalkan usaha itu, selain tindakan mereka mampu menggugat imej negara,” katanya.

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan seorang lelaki yang juga doktor berusia 51 tahun ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu hingga semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor minta rakan cari individu mahu dapatkan sijil vaksin palsu

KUALA TERENGGANU, 10 JAN: Menjadikan rakan-rakan sebagai ejen antara taktik yang dipercayai digunakan seorang doktor untuk mencari individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata susulan itu, seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor tersebut ditahan di sekitar Marang, Dungun dan daerah ini pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

“Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan, ejen ini cari orang untuk vaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangan diambil,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata ejen tersebut dibayar serendah RM50, manakala bayaran dikenakan untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu adalah antara RM400 hingga RM600 bagi setiap pelanggan.

Terdahulu dalam sidang media pagi tadi, Rohaimi berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik.

Sabtu lepas, doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan di sebuah klinik swasta di Marang, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Rohaimi siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat angka sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 individu palsukan sijil vaksin dihadap ke mahkamah setakat ini

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Sebanyak 10 individu telah didakwa di mahkamah kerana memalsukan sijil suntikan vaksin, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata ia melibatkan empat individu di Sarawak, masing-masing dua individu di Sabah dan Melaka serta masing-masing satu individu di Kelantan dan Perak.

“Seorang telah disabitkan kesalahan iaitu di Sarawak di mana mahkamah telah memberi sabitan dan dihukum penjara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai jumlah mereka yang diambil tindakan kerana memalsukan sijil suntikan vaksin di negara ini.

Ismail berkata bagi golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berhubung kesalahan memberi maklumat palsu, Ismail berkata siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu di bawah Akta 342 atau Kanun Keseksaan.

Beliau berkata di bawah Seksyen 24 Akta 342, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala di bawah Seksyen 25 Akta 342, sebelum pertuduhan dimulakan dengan izin pendakwa raya, kompaun boleh diberikan bagi mana-mana kesalahan di bawah akta ini untuk individu tidak melebihi RM10,000 manakala perbadanan tidak melebihi RM50,000,” katanya.

Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited dalam memastikan sebarang pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), diambil tindakan tegas bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ismail berkata KDN mengambil pendekatan mengimbangi aspek kesihatan serta keselamatan dan kedaulatan negara dalam isu vaksinasi pendatang tanpa izin.

Beliau menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai sama ada kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada pendatang izin untuk mendapat vaksinasi berbanding menahan mereka bagi dihantar pulang ke negara asal.

“KDN telah berhubung dengan negara-negara sumber untuk membuat program penghantaran pulang dan mereka boleh buat proses kembali ke negara ini, kita tidak mengambil tindakan yang begitu kejam (terhadap pendatang tanpa izin),” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mesej tular ‘PKP seluruh Selangor’ palsu

SHAH ALAM, 2 MEI: Sekretariat Akhbar Dato’ Menteri Besar Selangor mengesahkan bahawa kenyataan yang tular mendakwa kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh Selangor akan dilaksanakan sama ada 4 Mei atau 5 Mei 2021 adalah palsu.

Mesej yang tular di media sosial itu adalah berkaitan keputusan dan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor, bertarikh 1 Mei.

Mesej tersebut berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh Selangor, cadangan berkaitan sekolah dan justifikasi atas keputusan tersebut.

“Kami mengesahkan bahawa mesej tersebut adalah palsu,” kata Sekretariat Akhbar Dato’ Menteri Besar Selangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Selangor telah mencatatkan kes tertinggi Covid-19 beberapa hari berturut-turut sejak Selasa (27 April) daripada 2,733 kes baharu yang dilaporkan, Selangor catat kes tertinggi dengan 750 kes, Rabu (28 April), daripada 3,142 kes baharu, Selangor mencatat kes tertinggi (1,019 kes) dan Khamis (29 April) daripada 3,332 kes baharu, Selangor adalah tertinggi dengan 1,083 kes.

Pada Jumaat (30 April) juga daripada 3,788 kes baharu, Selangor mencatatkan yang tertinggi dengan 1,265 kes dan Sabtu (1 Mei) daripada 2,881 kes baharu, Selangor mencatatkan yang tertinggi dengan 759 kes.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari telah mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara bagi Negeri Selangor pada 30 Mei 2021 bagi meneliti semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suruhanjaya Sekuriti terima lebih banyak aduan pelaburan palsu tahun ini

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 370 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan haram setakat akhir September 2020 berbanding 317 bagi keseluruhan tahun lepas.

Pengerusi, Datuk Syed Zaid Albar berkata sejak akhir-akhir ini, terdapat kemunculan ‘penipuan syarikat klon’ iaitu penipu akan meniru entiti berlesen yang sah untuk memperdayakan pelabur agar yakin mereka melabur dengan syarikat yang sah.

Beliau berkata berdasarkan hasil dapatan SC, promosi bagi penipuan itu lazimnya dijalankan menerusi saluran media sosial – dengan penggunaan saluran WhatsApp dan Facebook adalah paling meluas.

“Pelabur yang mendapat tawaran peluang pelaburan melalui pesanan WhatsApp atau saluran Facebook perlu mengambil langkah berwaspada.

“Saya ingin menasihati pelabur supaya sentiasa mengesahkan status individu dan entiti berkenaan dengan pihak SC sebelum melaburkan wang dalam sebarang skim pelaburan,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada InvestSmart Fest 2020 secara maya anjuran SC di sini, hari ini.

Syed Zaid berkata bagi enam bulan pertama tahun ini sahaja, rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM914 juta susulan penipuan.

Beliau berkata kelemahan pelabur sehingga terdedah kepada penipuan ini mungkin sebahagiannya disebabkan harapan tidak realistik terhadap pulangan daripada pelaburan.

Berdasarkan kaji selidik SC pada awal tahun ini, ia menunjukkan majoriti pelabur di Malaysia mempunyai harapan tidak realistik iaitu 24 hingga 30 peratus pulangan setahun daripada pelaburan mereka, katanya.

Beliau berkata pada masa ini, keadaan mudah terdedah pelabur kepada penipuan ini juga ditambah dengan pencarian keuntungan dalam persekitaran kadar faedah rendah.

“Memandangkan penipuan pelaburan haram meningkat ketara, SC baru-baru ini telah menubuhkan Pasukan Petugas dalaman untuk menumpukan penyiasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku.

“Kami menggesa pelabur supaya memainkan peranan mereka dengan tampil ke hadapan memberi maklumat kepada SC sekiranya telah didatangi sebarang orang atau pihak yang menawarkan skim ini,” katanya.

InvestSmart Fest 2020 merupakan acara pendidikan pelabur utama tahunan SC.

Ia mengetengahkan barisan pakar industri terkemuka untuk berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan, pengurusan kewangan, pelan persaraan, bagaimana pendigitalan memberi kesan kepada keputusan pelaburan di samping mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila melabur.

Bagi edisi tahun ini, ia yang diadakan selama tiga hari mulai hari ini, secara maya buat kali pertama, telah menarik lebih 5,000 peserta setakat ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai perlu waspada berita palsu gangguan air

SHAH ALAM, 6 SEPT: Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan berita palsu mengenai isu gangguan bekalan air yang disebar pihak tertentu melalui media sosial.

Justeru, semua disaran berhati-hati dan menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

Ini berikutan terdapat penyebaran grafik menggunakan foto Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari beserta kenyataan yang direka berkaitan isu air di Selangor.

Maklumat tepat mengenai pemulihan bekalan air boleh diperolehi melalui media rasmi yang dikemas kini dari masa ke masa di Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com .

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau App Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kenyataan semua sekolah di Selangor ditutup palsu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Berita berhubung penutupan semua sekolah di Selangor selama dua hari bermula esok adalah palsu.

Perkara itu disahkan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Selangor, pada jam 9 malam tadi.

Terdahulu, tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp kononnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan kenyataan media berhubung penutupan sekolah pada 23 dan 24 September akibat jerebu teruk.

Namun setelah diteliti, kenyataan yang dikeluarkan pada 18 September itu telah diubahsuai kepada 22 September.

Tarikh penutupan sekolah yang pada asalnya ialah 18 dan 20 September pula diubahsuai kepada 23 dan 24 September.

Sehingga jam 3 petang tadi, Kementerian Pendidikan Malaysia mengesahkan hanya 57 sekolah di Selangor bagi daerah Klang dan Kuala Langat ditutup esok (23 September).

Categories
SELANGOR

Palsu: Selangor nafi gangguan air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 MAC : Kerajaan Selangor menafikan berlakunya gangguan air di kawasan Gombak sebagaimana tular di aplikasi Whatsapp, pagi ini.

Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyarankan orang awam supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang tepat bagi mendapatkan sebarang info lanjut.

“Pengguna dinasihatkan merujuk laman rasmi www.syabas.com.my atau aplikasi mysyabas juga boleh menghubungi pusat panggilan 15300 untuk mengesahkan sebarang info gangguan,” katanya kepada SelangorKini.

Awal pagi ini, tular kenyataan yang mendedahkan gangguan bekalan air di kawasan Gombak ekoran kerja kecemasan dan pembaikan di loji rawatan, bermula 14 hingga 17 Mac ini.

Terdahulu, gangguan bekalan air Selangor pulih sepenuhnya semalam selepas kerja pembaikan paip pengaliran, di kawasan Lembah Klang selesai.

Dilaporkan, 563,663 akaun berdaftar di bawah pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor sebelum ini terjejas susulan masalah perkhidmatan SPLASH, di peringkat Persekutuan.

Categories
NASIONAL

Pos Malaysia kesan kaji selidik palsu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 FEB: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menafikan terbabit dalam sebuah laman sesawang menggunakan identiti syarikat korporat terbabit yang menawarkan hadiah menarik melalui penyertaan kaji selidik dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al Ishsal Ishak dalam kenyataan berkata, kakitangan mereka menemui pautan laman sesawang berkenaan iaitu viid.me, semalam.

“Seorang kakitangan memaklumkan berhubung laman sesawang menggunakan identiti Pos Malaysia dalam kaji selidik dengan menawarkan hadiah menarik seperti telefon pintar.

“Kita membuat pemeriksaan terperinci jika ada orang dalam syarikat terbabit dengan kaji selidik berkenaan sebelum disahkan sebagai penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya lapor Berita Harian.

Al Ishsal berkata, pihak terbabit didapati mengemukakan beberapa soalan asas berkaitan Pos Malaysia di dalam kaji selidik berkenaan.

“Pos Malaysia tidak pernah membuat kaji selidik termasuk yang menawarkan pelbagai hadiah seperti dinyatakan dalam laman sesawang itu.

“Kami meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penipuan menggunakan identiti Pos Malaysia bagi menarik lebih ramai penyertaan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Jangan keruhkan perbincangan Stadium Shah Alam dengan berita palsu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 FEB: Penyokong Selangor dinasihatkan supaya bersabar dan tidak mudah mempercayai berita palsu yang disebarkan kerana boleh menjejaskan proses perbincangan antara pihak berwajib bagi merealisasikan hasrat supaya Selangor kembali beraksi, di Stadium Shah Alam.

Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, beberapa isu sebaran keratan Twitter palsu yang mengaitkan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, perlu dijelaskan serta diambil tindakan undang-undang.

“Saya harap penyokong bersabar. Kita sedang melakukan sesuatu yang baik untuk Merah Kuning dan kembali beraksi, di Stadium Shah Alam.

“Saya mohon Amirudin buktikan cerita ini tidak benar. Sebagai Presiden ASFC, kita tidak suka melayan berita palsu. Ini akan menjejaskan visi kita supaya Selangor dapat beraksi semula, di Stadium Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Amirudin perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya individu yang melakukan sebaran berita palsu diheret ke muka pengadilan bagi mengelakkan isu berkenaan terus dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, tersebar beberapa keratan Twitter yang menggunakan akaun @AmirudinShari yang mendakwa beliau memuat naik status ‘Hanya 12,000 penyokong maka benarlah tidak ada keperluan untuk benarkan bermain di Stadium Shah Alam’.

Amirudin dalam balasannya pula berkata, ‘Nice try bro, nampak tak betapa goyangnya mereka bila orang mula menuju penyatuan cc @Media_Selangor #FakeNews’.

Terbaru, muncul satu lagi keratan berita yang menggunakan paparan laman sesawang SelangorKini dengan tajuk ‘Setuju benar FAS gunakan Stadium tetapi dengan lima syarat’ namun pihak editorial menafikan sekeras-kerasnya dan tidak pernah melaporkan berita sedemikian selain bakal mengambil tindakan undang-undang, dalam masa terdekat.