Categories
AGENSI SELANGOR

Lima karya dipamer di Galeri Shah Alam terima Anugerah Insentif

SHAH ALAM, 10 DIS: Lima daripada 99 karya yang menyertai Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2021 (PTGSA21) dipilih sebagai penerima Anugerah Insentif.

Penerima adalah Tan Jee Liang, Muhammad Syazwan Abd Rahim, Nur Shireen Lee Abdullah, Munif Mohd Nor dan Nur Khairi Hamidi Abdul Wahab.

Pengarah Galeri Shah Alam Alina Abdullah berkata barisan juri profesional menilai hasil karya dengan menekankan beberapa aspek antaranya tema, gubahan, teknik dan cara penyampaian.

“Kita terima 130 karya yang mahu sertai PTGSA21 namun hanya 99 karya sahaja dijurikan melibatkan catan dan arca.

“Kita tidak tumpu pada tema wabak Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sahaja sebaliknya termasuk budaya dan sejarah,” katanya ketika majlis meraikan pemenang semalam.

PTGSA21 dianjurkan secara maya sejak awal September hingga penghujung Oktober sempena sambutan ke-30 tahun penubuhan galeri itu.

Penerima anugerah menerima wang tunai berjumlah RM2,500 setiap seorang, trofi serta sijil penghargaan.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Galeri Shah Alam rancang pameran terbuka tahun hadapan

SHAH ALAM, 10 DIS: Galeri Shah Alam merancang penganjuran empat pameran secara fizikal pada tahun hadapan, kata pengarahnya.

Alina Abdullah berkata dalam masa sama pihaknya juga bakal melaksanakan bengkel serta seminar secara maya bagi memberi peluang kepada pengkarya luar Selangor untuk sertainya.

“Kita berpenglaman dua tahun lakukan aktiviti termasuk pameran secara dalam talian. Jika PKP ( Perintah Kawalan Pergerakan) berulang, kita pilih kaedah ini.

Pengarah Galeri Shah Alam Alina Abdullah bercakap kepada media selepas majlis perasmian Pameran Terbuka Galeri Shah Alam pada 9 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Namun secara jujurnya pameran terbuka dan fizikal lebih memberi kepuasan kerana kita boleh lihat serta menghayati hasil karya,” katanya ditemui pada majlis meraikan penerima Anugerah Insentif Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2021.

Susulan penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu, Galeri Shah Alam ditutup beberapa kali sementara waktu sebagai langkah mengekang wabak.

Galeri terletak di Seksyen 14 di sini kembali dibuka pada 10 September lalu selepas Selangor memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara namun terhad kepada lawatan janji temu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Insentif RM2,500 menanti pengkarya seni terbaik

SHAH ALAM, 19 JUN: Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2021 (PTGSA21) yang dijadual berlangsung pada Oktober menawarkan insentif RM2,500 kepada lima pengkarya terbaik.

Memasuki edisi ke-28, pengarahnya berkata pameran tersebut bagi mencari pelapis berpotensi untuk menampilkan karya yang mempunyai nilai estetika tinggi.

“Peserta bebas mencipta karya asalkan tidak menyentuh dan menyinggung mana-mana agama, bangsa serta perundangan misalnya karya catan, instalasi, media baharu, lukisan cat air, seni cetak, tekstil dan ilustrasi.

“Karya mereka akan dinilai panel juri profesional berdasarkan kreativiti, mesej, komposisi dan teknik melalui tiga fasa pemilihan iaitu paparan digital, karya sebenar serta karya yang layak dipamer,” kata Alina Abdullah ketika dihubungi.

Beliau menjangka lebih 100 penggiat seni berusia 18 tahun ke atas menghantar hasil karya masing-masing sebelum tarikh penyertaan ditutup secara rasmi pada 9 Julai.

“Setakat ini, kita menerima sebanyak 20 karya pelbagai jenis sejak penyertaan dibuka awal Januari dan kebiasaannya orang ramai akan menghantar hasil kerja pada saat akhir,” kata Alina.

Borang pendaftaran boleh dimuat turun di laman sesawang www.galerishahalam.com. Karya perlu dihantar terus ke Galeri Shah Alam di Persiaran Tasik, Seksyen 14, di sini.

Yuran pendaftaran RM20 akan dikenakan dan pembayaran boleh dibuat ke akaun Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan (CIMB: 8001943956).

Tahun lalu, sebanyak 82 karya dipamerkan daripada penggiat seni tempatan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pameran terbuka pilih tema realiti kehidupan

SHAH ALAM, 13 NOV: “Dalam kehidupan kadang-kadang kita berada di bawah, kadangkala di atas, kadang-kadang ramai manusia berpura-pura, menikam belakang dan sebaliknya.”

Itu yang diluahkan Shaliza Juana Mohd Jeffri, pelukis “The Hypnotism of The Virtues and The Vices” yang berjaya memenangi Anugerah Insentif pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2019, kali ini.

Pelukis sepenuh masa itu berkata karya yang dihasil melalui akrilik di atas kanvas bersaiz 152 sentimeter (sm) x 140 sm berdasarkan realiti kehidupan manusia masa kini.

Katanya idea berkenaan timbul apabila melihat kerenah, gelagat dan hasad dengki manusia yang sentiasa mahu menjatuhkan antara satu sama lain.

“Saya menggunakan elemen tangga dan ular yang menggambarkan tangga kejayaan manakala ular pula walaupun berwarna-warni dan cantik, namun berbisa.

“Bentuk latar belakang lingkaran pula menggambarkan kehidupan manusia yang kadangkala berada di bawah kadangkala di atas, namun ramai yang berniat mahu jatuhkan manusia lain.

Shaliza Juana Mohd Jeffri bersama karyanya The Hypnotism of The Virtues dan The Vices

“Menyentuh berkenaan warna pula, hitam putih dipilih menggambarkan hitam putih kehidupan manakala warna-warni pada ular memberi gambaran cantik tidak semestinya baik dan sebaliknya,” kata anak kelahiran Pontian, Johor itu.

Beliau ditemui SelangorKini pada Majlis Perasmian Pameran Galeri Shah Alam 2019 yang diadakan sejak 11 November hingga 26 Disember ini, di sini, hari ini.

Seorang lagi penerima anugerah berkenaan, Nur Syamila Sidek turut meluahkan kesyukuran apabila hasil karyanya bertajuk “Rumah Angkut” turut terpilih.

“Karya ini atas pengalaman saya sendiri yang membawa maksud perasaan keterasingan apabila berlaku perpindahan daripada satu kawasan ke satu kawasan.

“Perasaan itu saya luahkan menerusi lukisan ini dan ia juga membawa maksud penerimaan orang sekeliling terhadap diri saya ketika berlakunya perpindahan itu,” katanya yang meluahkan hasil karya menggunakan media campuran, bersaiz 91 sentimeter (sm) x 91 sm.

Sebanyak lima pengkarya menerima insentif berjumlah RM2,500 sebagai galakan dalam menghasilkan karya terbaru serta bermutu tinggi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sabri Yunus nasihat pelukis terus berkarya

SHAH ALAM, 13 NOV: Pelukis dan pengkarya seni dinasihat tidak berputus asa dalam menghasilkan karya kerana setiap satu daripadanya mempunyai peranan pada masa akan datang.

Pelakon Sabri Yunus berkata tiada kegagalan dalam hidup terutama mereka yang terbabit dalam aktiviti kesenian memandangkan ia satu bidang yang luas.

“Apa yang penting jangan sesekali kita fikir ada orang lain lagi bagus daripada kita, sebaliknya cuba untuk berusaha menghasilkan seni bersifat kreatif dan inovatif.

“Malah, saya lihat Pameran Terbuka Galeri Shah Alam hari ini menampilkan kolaboratif pengkarya seni lama dan baharu dan saya percaya ia dapat memberi ruang kepada mereka untuk menimba ilmu antara junior dan senior,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Majlis Perasmian Pameran Galeri Shah Alam 2019, di sini hari ini.

Pengarah drama Pok Ya Cong Codei itu turut memuji inisiatif Galeri Shah Alam menganjurkan program berkenaan yang sedikit sebanyak memberi penghargaan kepada pengkarya seni.

“Saya percaya kesemua hasil pada pameran kali ini sudah ditapis dan diadili oleh juri bertauliah, manakala menyentuh soal kualiti pula bagi saya masing-masing mempunyai maksud tersendiri memandangkan tema adalah bebas.

“Masing-masing mempunyai genre berbeza, namun ia satu pencapaian baik daripada kesemua pengkarya seni ini,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Suburkan seni, jadikan pameran terbuka aktiviti berterusan

SHAH ALAM, 13 NOV: Pelukis dan pengkarya seni khususnya di Shah Alam dan Selangor digesa menjadikan pameran terbuka yang mempamerkan hasil seni visual sebagai acara berkesinambungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor, Dato’ Paiman Keromo berkata langkah itu membolehkan pameran terbabit menjadi satu perniagaan, sekali gus memberi manfaat dan semangat kepada pengkarya seni.

“Saya amat mengalu-alukan jika kita dapat mewujudkan pasar seni di Selangor pada masa akan datang bagi melibatkan semua pihak dalam aktiviti seni visual.

“Sebagai contoh mereka mempunyai tempat untuk berkarya di pasar seni setiap hari dan pada masa sama ada orang datang berkunjung sama ada mahu membeli atau melihat hasil seni pengkarya.

Dato’ Paiman Keromo menyampaikan ucapan perasmian sempena Pameran Terbuka 2019 berlangsung di Galeri Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Hal ini juga memandangkan Selangor belum mempunyai satu tapak kekal untuk pengkarya seni berkarya atau memasarkan hasil seni mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2019 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Paiman turut memuji inisiatif Galeri Shah Alam menganjurkan pameran terbuka saban tahun, yang mampu meningkatkan pemikiran intelektual dan kefahaman seni visual tempatan juga antarabangsa.

“Pameran ini memberi ruang dan peluang kepada pengkarya seni khususnya pendatang baru untuk meluahkan ekspresi, emosi, dan pengalaman melalui arca serta kanvas menggunakan pelbagai medium.

“Malah, pameran ini juga mampu dijadikan bahan rujukan kepada individu, pengumpul kurator dan penggiat seni sama ada di peringkat institusi pengajian tinggi atau sekolah,” katanya.

Pameran anjuran Galeri Shah Alam dengan kerjasama Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor itu mempamerkan 85 karya serta dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula 11 November hingga 26 Disember ini.