OLEH: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 18 MEI: Selangor gagal mengambil kesempatan terhadap Kelantan yang beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan Liga Super, malam ini.
Skuad kendalian jurulatih baru, Velizar Popov kehilangan Wan Zack Haikal pada minit ke 27 kerana mengasari R Gopinathan.
Keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini, menyaksikan The Red Giants kekal di tangga ketiga liga ketinggalan lapan mata di belakang Felda United dan Johor Darul Ta’zim yang berkongsi 27 mata.
Selangor nyata hampa dalam mencari gol apabila beberapa percubaan dilancarkan barisan serangan gagal menepati sasaran.
Percubaan David Cornthwaite (m28) melalui tandukan berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.
Begitu juga Kelantan yang hampa dengan tendangan Wan Zahrulnizam Wan Zakaria (m18) tidak melepasi Norazlan Razali.
Selangor yang memburu gol awal kehilangan Patrick Ronaldinho Wleh tiga minit selepas separuh masa kedua dimulakan akibat kecederaan dan digantikan Ahmad Hazwan Bakri.
Perubahan berlaku dalam serangan skuad Merah Kuning dengan Mauro Olivi lebih berperanan di barisan depan.
Namun skuad Pamoga Qu Putih The Red Warriors biarpun dengan 10 pemain kental bertahan menghampakan Selangor yang terus berusaha untuk mendapatkan gol.
Hazwan (m62) yang mencuba turut kecewa dengan bola tinggi melewati palang gol Kelantan.
KEPUTUSAN LAIN:
Sarawak 3 – 2 Perak
JDT 3 – 0 Pahang
Kedah 2 – 0 PDRM
Pulau Pinang 1 – 2 Felda United
T-Team 0 – 0 Terengganu
-nR-