Categories
SUKANKINI

Belgium mula langkah kanan tewaskan Panama 3-0

MOSCOW 19 JUN: Kehebatan individu berjaya memecahkan pertahanan Panama namun bagi jurulatih Belgium, Roberto Martinez kemenangan 3-0 itu mengukuhkan pasukannya yang memburu gelaran Piala Dunia.

Jaringan voli Dries Mertens dua minit pada separuh masa kedua amat penting untuk melegakan tekanan ketika Belgium mencatat tujuh perlawanan pertama Piala Dunia berturut-turut tanpa sebarang gol pada separuh masa pertama.

“Ia memberi anda ruang untuk bernafas,” kata Martinez.

“Saya dapat rasakan pada detik itu, kami menjadi diri sendiri dan lebih mengawal perlawanan.”

Jaringan berganda Romelu Lukaku, yang dibantu Eden Hazard dan Kevin De Bruyne, menamatkan saingan pasukan Amerika Tengah itu pada penampilan pertama di Piala Dunia.

Namun Martinez yang dibawa masuk dua tahun lalu untuk menamatkan era generasi emas The Red Devils yang kurang menyerlah turut memuji komitmen penyerangnya untuk kembali bertahan.

“Tiada perlawanan yang mudah,” kata beliau yang memuji kekebalan pertahanannya ke atas Panama yang akan menentang England dan Tunisia selepas itu.

“Kami agak gementar tetapi saya gembira dengan corak pertahanan kami.

“Anda pastinya lebih berbangga apabila mereka beraksi sebagai satu pasukan dan semua orang menunjukkan kesediaan mereka untuk membantu,” kata jurulatih Sepanyol itu yang berjaya membentuk pasukan dibarisi pemain bintang dengan idea yang pernah digunakan untuk pasukan bawahan seperti Everton dan Wigan Athletic dalam Liga Perdana Inggeris.

“Ia satu detik terbaik untuk membuktikan kematangan. Ia satu detik untuk membuktikan ketenangan dan penyatuan pasukan,” kata beliau.

“Saya gembira dengan komitmen setiap pemain.”

SUMBER: REUTERS

Categories
SUKANKINI

Panama cuti umum selepas layak ke Piala Dunia

PANAMA CITY 12 OKT: Presiden Panama, Juan Carlos Varela mengisytiharkan cuti kebangsaan bagi meraikan kejayaan negara dari Amerika Tengah itu layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya.

“Ia adalah hari bersejarah buat negara. Esok (Khamis) akan menjadi hari cuti kebangsaan untuk sektor awam dan swasta,” kata Varela menerusi Twitter, pagi tadi, lapor AFP.

Panama bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Costa Rica, 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, semalam dan menempah tiket ke Russia 2018.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga ketiga kelayakan Zon CONCACAF, di belakang Mexico serta Costa Rica dan secara sensasi menendang keluar Amerika Syarikat daripada kejohanan itu.

Ribuan rakyat Panama meraikan kejayaan itu di ibu kota, Panama City dengan membunyikan hon kereta sebagai simbolik detik bersejarah berkenaan.

“Hari ini semua planet bersatu, anda tidak boleh hilang rasa percaya,” kata Varela di padang Estadio Rommel Fernandez selepas perlawanan.

Walaupun ia bukan permainan kebangsaan Panama, namun kini bola sepak semakin mengejar kedudukan besbol dan tinju sebagai sukan pilihan negara itu.

=EZY=