Categories
AGENDA NASIONAL

Cuaca panas dan kering dijangka hingga September

SHAH ALAM, 24 JULAI: Fenomena keragaman iklim ketika ini antara faktor negara dilanda cuaca panas dan kering hingga pertengahan September.

Pakar klimatologi dan pengerusi jabatan sains bumi dan alam sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata fenomena dipengaruhi monsun barat daya mengakibatkan suhu tinggi selain taburan hujan rendah terutama pada Julai.

Prof Fredolin Tangang menjelaskan kehadiran pusat perolakan ditingkatkan berskala besar di kawasan Malaysia dan Indonesia juga mempunyai kaitan dengan fenomena berkenaan, lapor Berita Harian

“Ia menyebabkan cuaca dialami ketika ini kering dan panas namun situasi biasa serta sebagai sebahagian daripada keragaman iklim.

“Setakat ini kawasan utara Semenanjung mungkin lebih terkesan dengan cuaca panas berbanding lokasi lain dalam negara,” katanya yang menjangka suhu tidak lebih 40 darjah celsius.

Sementara itu, pensyarah perubatan dan pakar perubatan kesihatan awam fakulti perubatan dan sains kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menasihatkan orang ramai mengelak melakukan aktiviti mudah terdedah kepada matahari.

Menurut Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, langkah itu bagi mengekalkan kesihatan selain mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Individu bekerja di luar perlu sentiasa memakai krim pelindung matahari bagi menghalang kulit daripada sinar ultra ungu matahari (UV) yang boleh memberi risiko untuk jangka panjang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MetMalaysia: Cuaca lebih panas, kering hingga pertengahan September

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Tiada gelombang haba berlaku di Malaysia setakat hari ini, bagaimanapun negara ketika ini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk status gelombang haba di seluruh negara dan menyebarkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan dan persiapan menghadapi bencana.

“Berdasarkan pemantauan MetMalaysia terhadap gelombang haba hingga 21 Julai, tiada kawasan di negara ini yang terdedah dengan sebarang gelombang haba,” menurut kenyataan MetMalaysia menerusi e-emel hari ini mengenai cuaca panas dialami negara pada masa ini.

Selain itu, MetMalaysia memberitahu stesen meteorologinya tidak merekodkan suhu lebih daripada 35 darjah Celcius (°C) selama tiga hari berturut-turut, justeru pihaknya tidak menjangkakan suhu akan melebihi 40°C.

Jelasnya, 40.1°C adalah suhu tertinggi direkodkan di Malaysia ketika fenomena El Nino terkuat melanda negara pada 1998.

“Dari segi perubahan cuaca, kami menjangkakan berlaku hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi disebabkan Malaysia sedang beralih monsun khususnya di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung selain pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak,” menurut MetMalaysia.

Sementara itu, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang berkata gelombang haba di Malaysia dikaitkan dengan kebolehubahan cuaca iaitu Madden-Julian Oscillation (MJO) dan El Nino.

“Madden-Julian Oscillation adalah fenomena biasa, yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20 ke 60 hari. Semasa Monsun Barat Daya, ia boleh meningkatkan suhu satu ke dua darjah hingga sekitar bawah 40°C bergantung kepada kawasan. Malah, kita sudah mengalaminya sekarang,” katanya menerusi e-mel.

Beliau berkata ini adalah kejadian biasa disebabkan oleh pengaruh pusat perolakan MJO yang dipertingkat, membawa ketidakstabilan kelembapan dan cuaca ke Malaysia dan selepas itu, pusat perolakan dipertingkat ini disusuli oleh pusat perolakan dikurangkan yang menyebabkan cuaca panas dan kering di Malaysia.

Beliau berkata ini bukanlah gelombang haba yang luar biasa kerana Madden-Julian Oscillation adalah fenomena berulang yang menyederhanakan suhu basah-kering di negara ini.

Seorang lagi pakar perubahan iklim, Dr Renard Siew berkata gelombang haba ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia berlaku setiap tahun dengan variasi.

“Kesan pulau haba bandar (kawasan bandar mengalami suhu lebih tinggi daripada kawasan luar bandar), juga satu lagi penyebab peningkatan suhu,” katanya.

Beliau berkata dari sudut pandang perubahan iklim, ia tidak banyak memberi kesan daripada perspektif pemanasan global, bagaimanapun ia juga menyebabkan inter variability of rainfall (kawasan yang biasanya mendapat jumlah air yang banyak tidak lagi mendapat taburan hujan yang banyak seperti dahulu).

Menurutnya, oleh kerana ia adalah kejadian biasa, gelombang haba ini perlu dipantau turun naik suhunya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Panas terik: Tujuh kawasan di Semenanjung catat gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan, lokasi itu ialah Chuping, Perlis; Kota Setar, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.

Sementara itu, tiada gelombang haba dikesan di Sabah dan Sarawak dan semua kawasan di dua negeri itu merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah apabila mencatat suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, setakat 12 tengah hari ini bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Semenanjung adalah paras sederhana dengan daerah Rompin, Pahang mencatat bacaan tertinggi iaitu 92, manakala rata-rata lokasi di Sabah dan Sarawak pula IPU pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung terutama di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 kawasan di Semenanjung rekod gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sebanyak 10 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut data status gelombang haba Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Semakan status gelombang haba di portal rasmi MetMalaysia hari ini mendapati, kawasan terbabit melibatkan empat daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak, manakala tiga di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Status gelombang haba yang sama turut dikesan di Tampin, Negeri Sembilan serta Tangkak dan Kluang di Johor.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Bagi status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, seluruh kawasan di Sabah dan Sarawak merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia, terutamanya di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Serantau Muslim seru masyarakat cakna, elak aktiviti musim panas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 MAC: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) seru masyarakat cakna terhadap saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya menghentikan sementara aktiviti luar kelas ekoran cuaca panas melanda negara sejak akhir ini.

Pengerusi , Dr Raja Ahmad Iskandar Ahmad Yaakob berkata, pihaknya melihat saranan itu penting untuk pelajar, guru, ibu bapa untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya kes strok haba.

“Kami berharap saranan Menteri Pendidikan itu dapat diikuti institusi pengajian tinggi awam dan swasta supaya mereka tidak lagi melakukan aktiviti lapangan secara berlebihan sekali gus kekal sihat serta tidak berlaku dehidrasi.

“Malah, saya berasa kesal terhadap kebanyakan sekolah dan institusi pendidikan kerana mengambil ringan arahan Menteri Pendidikan memandangkan masih banyak sekolah menganjurkan sukan tahunan serta aktiviti kokurikulum pada waktu petang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, Serantau Muslim berharap orang awam supaya sentiasa cakna terhadap arahan pihak berwajib dan tanda awal strok haba yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, ibu bapa digesa tidak lupa mengingatkan anak mereka mengambil air kosong secukupnya semasa berada di luar rumah sepanjang menjalani aktiviti seharian.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Negeri yang mencatatkan rekod bacaan suhu tertinggi adalah Kedah (36°), Perlis (35°), dan diikuti Selangor (34°), Melaka (34°), Johor (34°), Pahang (34°) dan Sabah (34°).

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Negara dijangka hadapi cuaca panas, kurang hujan hingga akhir September

KUALA LUMPUR 16 OGOS: Beberapa negeri di Semenanjung, kawasan barat Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan di bawah paras purata sepanjang Ogos hingga September, berikutan cuaca panas.

Negeri terbabit adalah Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata keadaan itu disebabkan negara sedang mengalami fasa musim Monsun Barat Daya yang antara lain turut menyebabkan suhu menjadi lebih panas daripada kebiasaan.

“Cuaca panas yang melanda di kebanyakan kawasan negara dijangka berlarutan sehingga hujung minggu ini, namun siri cuaca panas masih boleh berlaku sehingga monsun itu berakhir pada hujung September ini.

“Kesemua negeri dijangka kembali menerima hujan pada paras purata mulai September kecuali Sarawak,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Menurut jabatan itu lagi, taburan hujan yang lebih rendah secara relatif sepanjang monsun itu boleh mengakibatkan kemarau, jerebu dan kejadian kebakaran hutan.

Sepanjang tempoh itu, julat suhu maksimum tertinggi bagi kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka berada antara 34 hingga 37 darjah Celcius, katanya.

Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar sehingga pukul 6 petang semalam, menunjukkan kawasan pantai barat Semenanjung dan Sarawak dilanda jerebu sederhana.

Kebanyakan kawasan terbabit mencatat bacaan sederhana antara 53 hingga 71, manakala bacaan tertinggi adalah di Mukah, Sarawak (85).

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Suhu dunia semakin panas dalam 5 tahun, cetus ribut taufan

PARIS 16 OGOS: Pemanasan global akibat buatan manusia dan peningkatan semula jadi suhu permukaan Bumi akan menyebabkan suhu dunia menjadi semakin panas dalam tempoh lima tahun, menurut kajian dikeluarkan semalam.

Berdasarkan laporan dikeluarkan dalam jurnal Nature Communications, peningkatan dua kali ganda pemanasan global dan ‘fenomena suhu melampau’ di permukaan air laut, akan mencetuskan ribut serta taufan.

“Fasa panas ini menjurus kepada perubahan iklim jangka masa panjang. Fasa seperti ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya untuk lima tahun lagi,” kata penulis utama jurnal tersebut, Florian Sevellec yang juga merupakan saintis iklim di Universiti Brest di Perancis.

Sevellec dan pasukannya menangani masalah itu dengan cara yang berbeza.

Pertama, mereka memberi tumpuan kepada perubahan semula jadi suhu dunia dan kedua, menggunakan pendekatan statistik yang diperkemas daripada model iklim komprehensif untuk menjana ramalan jangka panjang.

“Kami membangunkan satu sistem ramalan antara waktu – atau jangka masa pendek – perubahan semula jadi dalam iklim.

“Untuk tempoh 2018-2022, kami mendapati anomali yang sama dengan kesan pemanasan global akibat perbuatan manusia,” kata Sevellec.

Selain itu, kemungkinan untuk gelombang panas marin atau ‘kejadian pemanasan’ laut lain dijangka meningkat sebanyak 150 peratus dalam tempoh lima tahun.

Kaedah terbaharu itu dikenali sebagai PRObabilistic foreCAST atau singkatannya PROCAST, diuji bagi membandingkan rekod suhu terdahulu dan terbukti lebih berkesan serta tepat berbanding model standard.

Ia juga boleh dijalankan dengan lebih pantas pada komputer riba, berbanding menggunakan komputer super yang memakan masa berminggu lamanya.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Gelombang Panas Eropah: Cecah 47 darjah celsius, 2 maut di Sepanyol

GLOBAL 4 OGOS: Pengkaji cuaca meramalkan Eropah bakal mencatat paras suhu tertinggi mengatasi catatan rekod sebelumnya, dalam tempoh beberapa hari lagi.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan rekod tertinggi dicatatkan setakat ini ialah 48 darjah Celcius di Athens pada Julai 1977.

Suhu di Sepanyol dan Portugal dilaporkan semakin meningkat berpunca daripada aliran udara panas dari Afrika.

Menurut BBC Weather, ramalan suhu semasa bagi barat daya Sepanyol dan selatan serta tenggara Portugal adalah 47 darjah Celcius pada hari ini dan esok.

Di United Kingdom, suhu dijangka mencecah kira-kira 33 darjah Celcius di bahagian tenggara.

Sementara itu, perkhidmatan cuaca kebangsaan Sepanyol telah mengeluarkan amaran sehingga Ahad ini bahawa gelombang panas yang melampau me­landa dan berterusan di bahagian barat daya.

Dalam pada itu, kumpulan pengawas cuaca Eropah, Meteoalarm turut mengeluarkan amaran merah – dikategorikan sebagai paling bahaya dan berisiko kepada manusia – untuk kebanyakan kawasan di selatan Portugal dan wilayah Badajoz di Sepanyol.

Amaran merah juga dikeluarkan oleh Itali di bahagian pusat dan utara negara itu, yang meliputi kawasan tumpuan pelancong di Rom, Florence dan Venice.

Sementara itu Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan da lelaki meninggal dunia akibat cuaca panas melampau di Sepanyol ketika benua Eropah berhadapan suhu panas tertinggi hari ini iaitu mencecah 45 darjah Celsius.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 40-an dan seorang pesara berusia 78 tahun itu meninggal dunia minggu ini.

Suhu tertinggi pernah dicatatkan di Eropah ialah 48 darjah Celsius iaitu di Athens pada 1977 diikuti 47.3 darjah Celsius di Amareleja, Portugal pada 2013 dan Montoro, Sepanyol, tahun lalu.

SUMBER: BBC NEWS & AFP

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

METMalaysia nafi cuaca panas lebih 40 darjah Celcius

SHAH ALAM 24 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan mesej tular cuaca panas dijangka melebihi 40 darjah Celsius bagi tempoh lima hari akan datang.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Alui Bahari berkata suhu tertinggi dicatatkan minggu lalu ialah 36 darjah Celcius dan tidak mencapai tahap suhu gelombang haba iaitu melebihi 37 darjah Celsius.

“Matahari juga kini tidak berada di kedudukan garisan Khatulistiwa dan berdasarkan pemantauan terkini, keadaan cuaca ribut petir pada sebelah petang telah berlaku di beberapa tempat di Semenanjung berikutan Taufan Lan semakin lemah.

“Keadaan ribut petir ini adalah normal semasa fasa peralihan monsun yang sedang dialami negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menasihati orang awam mendapatkan maklumat sahih keadaan cuaca dari laman sesawang MET Malaysia di www.met.gov.my atau menghubungi talian 1-300-221638.

 

=EZY=

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Panas terik kesan tempias Taufan Lan sehingga minggu depan

KUALA LUMPUR 21 OKT : Cuaca panas terik melanda Semenanjung ketika ini, dijangka berterusan sehingga minggu depan, susulan tempias Taufan Lan yang menggegarkan timur Filipina pada Selasa lalu.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, berkata badai taufan itu diibarat menghempaskan ‘ekor’ ke Sabah, Labuan dan Sarawak sehingga menyebabkan hujan lebat dan angin kencang berterusan di kawasan berkenaan, lapor BH ONLINE.

Beliau berkata, fenomena hujan lebat dan angin kencang adalah kesan peralihan kelembapan udara Semenanjung yang diangkut ke kawasan berdekatan taufan, terutama Sabah.

“Semenanjung menjadi kurang berawan, cuaca stabil dan insolasi (radiasi pancaran matahari) dan suhu meningkat.

“Cuaca panas akan berterusan beberapa hari untuk keadaan cuaca musim peralihan monsun kembali. Dijangka ia menyebabkan keadaan berawan dan hujan pada lewat petang,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas fenomena cuaca panas kering yang dianggarkan melebihi 33 darjah celsius, melanda ibu kota dan Semenanjung sejak Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Fredolin menjelaskan, pergerakan Taufan Lan menjauhi sempadan negara menjadikan cuaca di Sabah dijangka semakin baik.

Beliau menepis dakwaan Taufan Lan akan melanggar Sabah kerana pergerakan taufan itu dilaporkan sudah menghampiri Okinawa, Jepun.

“Secara teori, Taufan Lan tidak akan melalui Sabah, kerana kedudukan negeri bawah bayu dekat dengan garisan Khatulistiwa.

“Bagaimanapun, apabila taufan muncul di timur Filipina, tiupan angin menjadi kuat. Sabah dipengaruhi “ekor” taufan,” katanya.

SUMBER: BH ONLINE

 

Categories
SELANGOR

Cuaca panas tak jejas pelancongan

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 APR: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini tidak menjejaskan sektor pelancongan Selangor.

Pengurus Besar, Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din, berkata orang ramai masih lagi mempunyai pilihan lokasi rehat dan riadah yang agak sejuk dan kurang panas.

main air terjun aKatanya, kawasan air terjun, taman tema air dan pantai menjadi pilihan utama mereka.

“Setakat ini kita lihat orang awam masih tidak ada kecenderungan untuk terus menghentikan aktiviti luar.

“Malah, mereka masih mengunjungi tempat seperti air terjun untuk kurangkan kepanasan sementara waktu petang pula mereka ke kawasan pantai,” katanya kepada Selangor Kini.

Dalam perkembangan lain, Ashikin berkata, seramai 7.2 juta pelancong disasarkan mengunjungi Selangor pada tahun ini.

“Kita cuba untuk mempelbagaikan aktiviti sektor pelancongan dan fokus kepada tiga elemen iaitu ‘sport tourism’, ‘eco tourism’ dan ‘lifestyle’.

“Tourism Selangor sudah menyediakan pelbagai promosi dan acara bagi mencapai sasaran berkenaan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Bekalan air dipastikan cukup tidak jejas pertanian

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memainkan peranan penting memastikan bekalan air mencukupi khususnya kawasan padi.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Permodenan dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata dengan keadaan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini sedikit sebanyak menjejaskan pengeluaran hasil pertanian di negeri itu.

Suhu-panas-eksterm-416x250“Bagi kawasan padi yang ditanam peringkat awal sememangnya memerlukan air yang banyak.

“Kerajaan Negeri bersama JPS akan memastikan bekalan air dapat dibekalkan dengan cukup kepada sawah,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, katanya petani diharap bersabar dengan dugaan dan cabaran cuaca panas ini serta mengambil langkah wajar menjaga kesihatan.

“Petani dinasihatkan mengurangkan aktiviti di ladang sewaktu panas terik kerana walaupun mereka perlu memantau hasil tanaman dan ladang tetapi penjagaan kesihatan perlu diutamakan,” katanya.

EZY