Categories
SELANGOR

Ketua Hakim Negara Terima Darjah Kebesaran Selangor

anugerah

SHAH ALAM, 7 FEB : Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-67 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama kepada beliau disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Darjah Kebesaran S.P.M.S yang diterima Arifin membawa kepada gelaran ‘Datuk Seri’.

anugerah1

Manakala, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) Kelas Kedua yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Kedua-dua penerima ini dikurniakan pingat dalam satu istiadat khas kerana tidak dapat hadir semasa sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan, 11 Disember lalu atas faktor bertugas di luar negara.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim.

Dalam istiadat sebelum ini, seramai 98 individu dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor.