Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tanah runtuh: Kerja baik pulih tebing Pangsapuri Teratai jangka siap April

GOMBAK, 6 MAC: Kerja pembaikan tebing di Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang yang runtuh ekoran hujan lebat Disember lalu dijangka selesai sepenuhnya akhir April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata kontraktor lantikan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) giat menjalankan kerja mengukuhkan tebing bangunan tersebut.

Bagaimanapun menurut beliau, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan menilai struktur tebing sebaik kerja penstabilan siap sebelum membenarkan penghuni kembali ke kediaman masing-masing.

“Kita cuba percepatkan proses tersebut (pengukuhan tebing) dan  insya-Allah akhir April boleh siap 100 peratus. Selepas itu, pihak JMG akan dipanggil untuk buat siasatan sama ada masih berlaku pergerakan atau sebaliknya.

“Jika semua dalam keadaan baik dan selamat, penghuni boleh masuk semula ke pangsapuri itu,” katanya ketika ditemui pada program Sunathon Perdana Selangor peringkat Gombak di Masjid Jamek Al Amaniah Batu Caves di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi.

Nor Azlina berkata Dewan Sri Siantan yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) hanya menempatkan beberapa keluarga terjejas ketika ini manakala selebihnya menyewa di luar atau menumpang rumah saudara-mara.

Pangsapuri Teratai antara enam lokasi di bawah pentadbiran MPS yang kritikal dan perlu pembaikan segera akibat tebing runtuh berpunca hujan lebat pada 18 Disember tahun lalu.

Kerajaan Negeri turut memberi bantuan RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit kepada penghuni pangsapuri terbabit yang terpaksa mengosongkan kediaman.

Amaun sama turut diberikan kerajaan pusat kepada mereka melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Kerja baik pulih tebing Apartment Teratai ambil masa dua bulan

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerja pemulihan kekal tebing di Apartment Teratai, Bandar Baru Selayang yang runtuh akibat hujan lebat baru-baru ini dijangka mengambil masa dua bulan untuk siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata ketika ini, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam proses melantik kontraktor untuk pelaksanaan kerja terbabit.

“MPS memasang kanvas di tebing yang terjejas sebagai langkah pemulihan awal sementara menunggu kerja pembaikan kekal dilaksanakan bagi memastikan pangsapuri berkenaan lebih selamat.

“Apabila kerja berkaitan siap, jawatankuasa pengurusan bersama akan lihat sama ada masih berlaku pergerakan (tebing). Jika semua dalam keadaan baik, penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan seramai 12 keluarga apartment terbabit masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sri Siantan, Gombak dengan diberi bekalan makanan dan kemudahan lengkap.

Menurutnya, mangsa juga dibenarkan untuk pulang ke rumah keluarga terdekat atau menyewa di mana-mana tempat yang lebih kondusif mengikut kemampuan.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri turut bersetuju memberi bantuan RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit kepada penghuni apartmen berkenaan yang terpaksa mengosongkan kediaman berikutan insiden itu.

“Maka, terpulang kepada mereka sama ada mahu guna bantuan tersebut untuk cari tempat lain atau kekal di PPS, asalkan tidak kembali ke kediaman asal buat masa ini,” katanya.

Apartment Teratai antara enam lokasi bawah pentadbiran MPS yang kritikal dan perlu pembaikan segera susulan tebing runtuh berpunca hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Categories
SELANGOR

Penghuni Apartmen Teratai dibenarkan pulang hari ini

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 26 OKT: Penghuni Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung yang terjejas dalam insiden tanah runtuh telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing jam 3.00 petang tadi.

10665682_10203050763570379_5688527904020919033_nExco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata keputusan membenarkan 289 keluarga terlibat itu pulang diambil atas nasihat Jabatan Teknikal, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor setelah mengesahkan tiada pergerakan tanah baru di kawasan itu.

“JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun dengan Jabatan Mineral dan Geosains telah membuat pemeriksaan tapak bermula 21 Oktober lalu sehingga hari ini (8.30 pagi) dan mendapati kawasan cerun adalah stabil.

“Walau bagaimanapun, pemantauan akan dijalankan secara berterusan,” katanya.

Sekurang-kurangnya sejumlah 289 keluarga merangkumi 1,163 individu yang mendiami blok K dan L ditempatkan di pusat penempatan sementara membabitkan tiga sekolah berhampiran susulan insiden tanah runtuh pada 20 Oktober lalu.

Kejadian tanah runtuh kali ini dianggap terburuk berbanding kali pertama kejadian hampir sama berlaku pada 2009.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah bekerja keras selama ini memulihkan cerun yang runtuh itu sekaligus membolehkan semua penghuni pulang lebih awal dari jangkaan.

“Penduduk juga dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa dan sentiasa peka dengan persekitaran untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk kerja pemulihan serta RM150,000 untuk bantuan bencana kepada semua keluarga yang terbabit dengan tragedi terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin telah dua kali turun padang dalam tempoh 24 jam ke kawasan bencana tanah runtuh bagi meninjau sendiri kejadian selain mengambil berat masalah penghuni terlibat.

MB: Bukit akan dipotong, cerucuk keping dan pengesan dipasang sebagai langkah berjaga

Sidang media Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali @ makan tengahari bersama mangsa tanah runtuh Pangsapuri Teratai, Bukit Beruntung.

Categories
SELANGOR

Penduduk pangsapuri Teratai mahu pihak berkuasa pantau kawasan tanah runtuh

Oleh: HAFIZAN TAIB

BUKIT BERUNTUNG, 21 OKT: Penduduk pangsapuri Teratai, di sini, meminta pihak berkuasa menjalankan pemantauan dan kajian berhubung punca kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Mereka berharap kejadian sama tidak berulang pada masa depan dan tidak menimbulkan bimbang kepada semua penghuni di pangsapuri terbabit.

Kejadian semalam adalah yang kedua selepas kali pertama berlaku pada 2009.

“Kejadian yang mula biasa sahaja tetapi kali ini membimbangkan. Berlaku tanah runtuh dan nampak jalan raya terpecah serta tercungkil. Keadaan ini merisaukan.

_MG_1655“Harap pihak berkuasa boleh melakukan sesuatu demi keselamatan penduduk di sini,” kata Latifah Yaakob, kepada Selangor Kini.

Latifah,51, dan keluarga adalah antara mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang disediakan.
Ibu lima anak itu turut merakamkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri dengan bantuan diberikan kepada semua mangsa.

Seorang lagi mangsa, Mohd Shukor Melia, 40, berkata kejadian kedua itu memang membimbangkan penduduk di pangsapuri berkenaan.

_MG_1545“Saya bersama keluarga serta jiran lain diarahkan pindah selepas dimaklumkan keadaan tidak selamat. Kejadian ini lebih teruk dari dulu,” katanya.

Shukor tidak menyangka tanah runtuh berlaku seteruk itu dengan pergerakan tanah nampak jelas.

Beliau berpindah ke pusat penempatan sementara selepas mendapat arahan pihak berkuasa dan Badan Pengurusan bersama (JMB) pangsapuri.

Shukor, seorang juruteknik swasta menetap di situ lebih tujuh tahun lalu adalah antara penghuni terawal pangsapuri berkenaan.

“Sedikit sebanyak bantuan kewangan yang diberikan Kerajaan Negeri dapat membantu kami semua walaupun masih terkejut dengan kejadian ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Bantu Penghuni Pangsapuri Teratai Bukit Subang

SHAH ALAM, 9 FEB : Kerajaan Selangor akan membantu penghuni Pangsapuri Teratai, Bukit Subang membaiki rumah mereka yang rosak teruk di dalam kejadian ribut petang Selasa lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan bersedia untuk membuat peruntukan bagi menolong penduduk membaiki atap pangsapuri yang ranap.

“Prosesnya memakan masa kurang dua hari kerana kerajaan negeri akan menghantar juru nilai harga untuk melihat kawasan tersebut bagi menganggarkan kos yang perlu dikeluarkan,” Abdul Khalid berkata selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, sembilan unit rumah di blok satu dan dua, pangsapuri Seksyen 16 itu mengalami rosak teruk apabila bumbung rumah cabut ditiup angin yang kuat. Manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Setakat ini, kesemua penduduk ditempatkan sementara di surau berdekatan dan menunggu pemantauan yang dibuat bomba mengenai status keselamatan pangsapuri itu.