Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Peruntuk RM10,000 kepada pangsapuri terpilih, galak komuniti bertani, jual hasil

SHAH ALAM, 5 DIS: Program Laman Hijau Strata membuka peluang kepada komuniti pangsapuri untuk menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata program itu juga menceriakan persekitaran pangsapuri tanpa perlu mengeluarkan modal oleh badan pengurusan bersama (JMB).

“Kawasan terpilih menerima geran Laman Hijau Strata daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor bernilai RM10,000 serta bantuan peralatan pertanian.

“Saya harap komuniti pangsapuri yang terlibat program ini dan kebun komuniti sedia ada mengambil peluang menyertai pelbagai latihan asas pertanian serta bengkel usahawan tani yang disediakan,” katanya.

Beliau berucap sempena Hari Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini hari ini.

Dalam majlis itu, JMB Pangsapuri Seri Bekawali di bawah pentadbiran  Majlis Perbandaran Hulu Selangor dinobat sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.

Rodziah percaya program seumpama itu di peringkat pihak berkuasa tempatan memberi impak kepada keperluan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.

“Justeru, kita mahu meneruskan program ini pada tahun-tahun mendatang sebagai penghargaan kepada komuniti pangsapuri yang berusaha mengangkat nama ke peringkat ke lebih tinggi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mereka yang tidak berjaya jangan berputus asa sebaliknya terus berusaha,” katanya.

Pada 29 Disember tahun lepas, Rodziah berkata sejumlah RM120,000 diperuntuk bagi menjayakan Program Laman Hijau Strata pada tahun ini.

Categories
SELANGOR

Selangor upaya sedia peruntukan khas atasi kes pangsapuri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 MAC: Kerajaan Negeri berupaya menambah beberapa peruntukan khas kepada pangsapuri kos rendah jika membabitkan kes-kes yang memerlukan perhatian khusus, kata Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung sebarang peruntukan khas untuk menaiktaraf pangsapuri kos rendah dan sederhana di Selangor.

Namun, katanya kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan KPKT tetap berjalan seperti biasa walau tiada sebarang peruntukan khas.

“Kita percaya, kita akan dapat menambah beberapa peruntukan khas yang boleh dibincangkan atas sesuatu kes melibatkan rumah kos rendah atau sederhana rendah.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri masih menunggu maklum balas daripada KPKT untuk menyalurkan sebarang peruntukan khas untuk aktiviti menambah baik serta menaiktaraf apartmen-apartmen kos rendah dan kos sederhana rendah di Selangor bagi tahun ini” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkaitan peruntukan Skim Ceria dan bantuan menaiktaraf pangsapuri kos rendah di Selangor.

Dalam jawapan sama, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi meneruskan Skim Ceria untuk tahun 2019.

 

Categories
SELANGOR

Laksana pemutihan pangsapuri, wujud komuniti sejahtera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan program pemutihan ke pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor bagi membendung masalah ‘sewa atas sewa’.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri mahu membaik pulih kemudahan sekali gus, mencipta kehidupan yang lebih selesa dan impak positif.

Katanya, menerusi langkah itu, pelbagai akses kemudahan, rekreasi yang boleh membawa kepada interaksi sosial dapat dilaksanakan.

“Kita lihat rata-rata penghuni di pangsapuri kos rendah ini sibuk dengan hal masing-masing, tiada ruang untuk berjumpa dan berkenalan dengan orang lain.

“Mungkin disebabkan kurangnya akses kemudahan dan menyebabkan perkara ini berlaku lebih teruk, anak-anak mula terjebak dengan gejala negatif,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas statistik 58 peratus penghuni projek perumahan rakyat di Kuala Lumpur yang menjadi lokasi paling berisiko tinggi penagihan dadah dan langkah Kerajaan Negeri membendung perkara itu dari berlaku di negeri berkenaan.

Pada masa sama, Haniza berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam merangka program kesedaran kepada setiap golongan penduduk.

“Langkah itu juga bagi membendung gejala sosial di kawasan berkenaan dari berlarutan.

“Kita juga tidak mahu mereka ini tinggal di pangsapuri ini lebih lima tahun. Hal ini kerana kita mahu mereka keluar dari kepompong kemiskinan dan menuju kepada kualiti kehidupan yang lebih baik.

“Dari segi psikologi, anak-anak ini kurang keyakinan diri dan tidak mahu bergaul dengan kelompok lain, ini akan mengundang bahaya kepada mereka,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih RM110 juta bangunkan fizikal pangsapuri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Lebih RM110 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan fizikal bagi pangsapuri di seluruh Selangor, sejak 2012.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini berkata, ia termasuk RM88.9 juta diberikan menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) dengan 248 projek.

Katanya, sejumlah RM30 juta pula diperuntuk bagi Program Smart Life (Smart Lift Improvement for Quality Life), bagi tahun ini.

“Menerusi Smart Life, setakat ini, kita meluluskan perbelanjaan untuk membaik pulih 112 unit lif di 24 pangsapuri.

Kerja Kosong Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)“Selain itu, kita juga membuat bayaran fee kepada firma kompeten bagi kontrak penyenggaraan lif komprehensif di 88 unit lif di 21 pangsapuri,” katanya.

Skim Ceria merupakan skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri.

Menerusi Ceria, Kerajaan Negeri membiayai 80 peratus kos kerja dan selebihnya ditanggung penduduk.

Ia bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap penduduk dalam menjaga dan menjamin harta bersama bagi tempoh masa panjang.

Smart Life diperkenal bagi menyediakan kemudahan lif berkualiti kepada pangsapuri kos rendah.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM85.4 juta diperuntuk babit 263 pangsapuri diabai BN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebanyak 263 pangsapuri dengan peruntukkan membabitkan lebih RM85.4 juta dibelanjakan bagi kerja-kerja pembaikian pangsapuri yang diabaikan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2008, keadaan di pangsapuri kos rendah yang amat menyedihkan.

Katanya, oleh itu, Kerajaan Negeri yang baru mewujudkan skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) untuk pangsapuri kos rendah dan pangsapuri sederhana rendah pada pada 2010.

“Skim ini menggunakan konsep perkongsian kos Kerajaan Negeri menyumbang 80 peratus kos membaikpulih. Sementara penduduk perlu membayar 20 peratus yang boleh dibayar secara ansuran

rumah-ppr“Untuk rumah kos sederhana rendah pula, perkongsian ini adalah 60 : 40. 60 peratus dari kerajaan negeri dan 40 peratus dari penduduk.

“Kerja dilaksanakan di bawah skim CERIA ini adalah kerja melibatkan mengecat semula, lif, bumbung, tangki air, pam air, saluran air hujan, pendawaian elektrikal dan banyak lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Iskandar berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan setiap pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah dapat dibantu melalui program CERIA ini.

Katanya, walau bagaimanapun bilangan pangsapuri terbabit terlalu tinggi maka Kerajaan Negeri memerlukan sedikit masa untuk kerja menaiktaraf.

“Barisan Nasional sebelum ini gagal memberi perhatian sewajarnya kepada pangsapuri itu.

“Tidak ada skim seperti skim CERIA sebelum 2008. Mungkin jika terdapat skim CERIA ketika itu keadaan seperti hari ini tidak akan wujud,” katanya.

Iskandar berkata Menteri Persekutuan yang terbabit tidak perlu menitiskan air mata apabila membuat lawatan ke mana-mana pangsapuri kerana BN yang gagal memberi pembelaan kepada penduduk pangsapuri ketika pentadbiran mereka di Selangor.

Beliau menyifatkan BN mula bersandiwara selepas kehilangan kuasa di Selangor.

“Pada hakikatnya Kerajaan Negeri hari ini yang menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh mereka.

“Selain dari CERIA, untuk membantu penduduk pangsapuri kos rendah Kerajaan Negeri juga mengecualikan cukai taksiran (cukai pintu) bagi 2016 dengan kehilangan pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), dianggarkan sebanyak RM55 juta,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri turut melebarkan skim CERIA kepada semua pangsapuri dengan harga jualan RM150,000 ke bawah. Had sebelum ini adalah RM72,000 ke bawah.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kediaman tak ada penghuni berpotensi biak Aedes

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kediaman tidak berpenghuni yang dibiarkan untuk tempoh lama berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes disebabkan pembuangan sampah domestik dan pukal.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata hasil lawatan ke pangsapuri Bandar Baru Kundang yang menjadi lokasi hotspot pembiakan denggi di daerah Gombak mendapati 243 daripada 548 unit kediaman tidak berpenghuni dan dilabel sebagai bermasalah selain dihuni warga asing.

daroyah01“Kawasan ini dilabel sebagai bermasalah kerana mempunyai potensi menjadi tempat pembiakan Aedes. Selain itu, setengah daripada penghuni di sana bukan warga tempatan tetapi dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam.

“Hasil daripada lawatan mendapati unittidak berpenghuni ini dipecahkan indivitu tidak bertanggungjawab untuk dijadikan tempat pembuangan sampah. Pelbagai jenis bahan buangan dapat dilihat di dalam premis seperti sampah pukal pembinaan, perabut, pakaian juga sampah domestik.

“Sikap malas dan tidak bertanggungjawab sebahagian penduduk merisikokan semua penghuni pangsapuri berkenaan kepada masalah denggi selain masalah bau yang busuk dan persekitaran kurang menyenangkan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk meluluskan peruntukan RM164,000 bagi kos pembersihan dan baik pulih unit premis bermasalah di pangsapuri yang mempunyai tujuh blok itu.

Daroyah berkata, Majlis Perbandaran Selayang sudah mengeluarkan notis kepada JMB untuk menjalankan aktiviti gotong-royong tetapi tidak mendapat respon baik daripada penduduk sejak masalah itu dikenalpasti Pejabat Kesihatan Daerah Gombak dan dipanjangkan kepada MPS), pada April lalu.

daroyah02Selain itu, MPS diarahkan untuk mengkaji dan meneliti semula cara pelaksanaannya supaya kejadian sama tidak berulang lagi.

“MPS juga bertindak mengeluarkan notis kepada 243 pemilik unit kosong untuk menjalankan kerja pembersihan di kediaman milik masing-masing melalui penampalan notis pintu kediaman dan melalui pos kepada pemilik yang berada di luar kawasan menggunakan alamat dibekalkan.

“Selepas berlangsung beberapa siri gotong-royong melibatkan MPS, PKD, JMB dan penduduk setempat, daripada jumlah 243 unit kosong bermasalah, 67.1 peratus atau 163 unit kediaman sudah dibersihkan. Bagaimanapun, kejadian sedemikian tidak mustahil akan berulang jika tiada pemantauan berterusan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Jimat air dapat RM5,000

OLEH: ASRI SAPFIE

SHAH ALAM, 21 MEI: Bagi menggalakkan rakyat khususnya penduduk pangsapuri menyahut seruan Kerajaan Negeri menjimatkan air, Program Insentif bagi Pangsapuri Kos Rendah Sempena Kempen Jimat Air Negeri Selangor 2016 dilancarkan.

Program itu disempurnakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad bertempat di Pangsapuri PPR Hicom, Seksyen 26.

pelancaran insentif jimat air dan gotong royong perdana PPR Hicom (2)Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan senario pembaziran air yang seringkali berlaku terutama di negeri itu.

Tambah beliau, kempen itu bertujuan memberi kesedaran dan galakan masyarakat terutama penduduk di pangsapuri kos rendah supaya lebih peka dan mengambil bahagian menjimatkan air.

“Insentif ini dikaji lagi untuk ditambah nilainya. Dua kali ganda nilai daripada sekarang pun tidak mengapa,” kata beliau.

Pangsapuri yang mendapat penurunan peratusan tertinggi bakal menerima RM5,000 manakala kedua tertinggi mendapat RM3,500 diikuti RM2,500 di tempat ketiga manakala RM1,000 diberikan sebagai hadiah saguhati.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di pangsapuri itu bertujuan mewujudkan persekitaran sihat penduduk.

Menurut beliau, persekitaran kotor itu berpunca sikap segelintir penduduk tidak bertanggungjawab membuang sampah menyebabkan persekitaran kotor dan mengundang jangkitan penyakit seperti denggi, malaria, kencing tikus dan sebagainya.

pelancaran insentif jimat air dan gotong royong perdana PPR Hicom (1)“Walaupun statistik menunjukkan penurunan jangkitan denggi di Selangor, kita perlu memberi perhatian serius memastikan ia dibanteras”, kata beliau.

Beliau berharap program itu memupuk sikap kerjasama masyarakat bukan hanya dalam isu keselematan tetapi juga soal kebersihan.

“Program ini harus dijadikan permulaan penduduk meneruskan program gotong-royong di masa akan datang,” kata beliau.

Hadir sama menjayakan program tersebut, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

EZY

Categories
SELANGOR

SEROJA bantu tangani kes sosial di pangsapuri

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Negeri mempraktikkan Skim Rondaan Keselamatan Kejiranan (SEROJA) bagi menangani masalah sosial di kawasan pangsapuri kos rendah di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia adalah salah satu program dijalankan selain Kelab Interaktif Komuniti (KLIK) serta Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni.

“Di bawah skim Seroja, setiap kawasan pembangunan diberikan peruntukan RM10,000 setahun bagi membeli peralatan dan menganjurkan program kemasyarakatan.

Iskandar Samad“Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan khas untuk menyalurkan sumbangan kepada penduduk sukarela yang meninggal dunia atau mengalami kemalangan ketika membuat rondaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes meninggal dunia ia membabitkan peruntukan sebanyak RM10,200, hilang upaya kekal (RM10,000) manakala kecederaan pula berdasarkan kos perubatan sebenar iaitu bayaran maksima sehingga RM2,000.

Katanya, kaedah pemantauan keselamatan secara rondaan sukar dilaksanakan secara konsisten berikutan senario kehidupan masa kini berdasarkan maklum balas diterima daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC).

“Kerajaan Negeri sudah menambah baik dengan membenarkan JMB dan MC menggunakan cctv kerana ia adalah kaedah paling relevan pada era moden ini.

“JMB dan MC juga perlu memberi maklumat berhubung bilangan kes jenayah yang berlaku di pangsapuri mereka kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) setiap bulan.

“Ia penting bagi membuat analisis ke atas keberkesanan dan penambahbaikan program SEROJA dari semasa ke semasa dengan kerjasama polis,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri menitikberatkan perkara itu demi kebaikan semua pihak berkaitan walaupun mengikut Akta Hakmilik Strata 1985 (akta 318), hak milik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah milik semua pemilik dan mereka bertanggungjawab untuk menyelenggara dan mengurus bangunan pangsapuri sendiri termasuk aspek keselamatan.

“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas bagi SEROJA dan KLIK iaitu RM1 juta setahun,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

TEPAT selamatkan pangsapuri Rimau Indah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 OGOS: Projek terbengkalai pangsapuri kos rendah Rimau Indah, Seksyen 32, di sini terpilih untuk dipulihkan di bawah Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengenalpasti pembeli tetapi hanya 121 daripada 315 mereka berjaya dikesan.

yb iskandar 1Beliau berharap pembeli yang masih tidak dapat dihubungi dapat berurusan dengan LPHS untuk proses selanjutnya.

” Pembeli projek ini perlu menghubungi LPHS dengan segera di talian 03-5544 7419/7950 sambungan 117 atau 118.

“Pembeli perlu mengemukakan Perjanjian Jual Beli mereka sebagai bukti pembelian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemaju yang akan memulihkan projek itu adalah Worldwide Holdings Berhad iaitu syarikat milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Projek berkenaan dimulakan pada 2001 dan sepatutnya siap pada 2005, namun gagal disiapkan sekitar 80 hingga 90 peratus.

pangsapuri-dengkilPada Sidang Belanjawan Dewan Negeri Selangor November lalu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohammed Azmin Ali mengumumkan penubuhan TEPAT dengan dana RM20 juta.

TEPAT adalah satu usaha Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Tanpa TEPAT, tidak ada pemaju yang akan menyelamatkan projek terbengkalai kos rendah seperti Rimau Indah kerana memerlukan suntikan dana tinggi,” kata Iskandar.

Antara projek lain yang sedang diselamatkan TEPAT adalah Taman Desa Mawar, Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kempen Pengurangan Isi Rumah Berstrata langkah bijak urus sisa pepejal

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUL: Kerajaan Negeri melancarkan Kempen Pengurangan Sisa Isi Rumah Berstrata bagi memastikan rakyat Selangor dapat menguruskan pembuangan isi rumah dengan lebih baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pengurusan sisa isi rumah yang efisyen dapat membantu mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal yang tinggi melebihi RM 400 juta setiap tahun.

Katanya, rakyat perlu mempunyai kesedaran akan kepentingan pengurusan sisa isi rumah yang baik juga bermanfaat kepada alam sekitar.

sisa pepejal1“Penggunaan seperti plastik dan polisterin perlu dikurangkan kerana bahan ini tidak akan dapat dihapuskan. Memang ada yang boleh dilupuskan, yang bersifat biodegradasi tetapi harganya pula mahal.

“Lebih baik kita membawa bekas sendiri untuk ke pasar, lebih bersih dan sihat,” katanya, di sini.

Pada masa sama, Abdul Khalid menyeru kerjasama wakil badan pengurusan bersama (JMB) untuk menjayakan kempen berkenaan dalam usaha memberi kesedaran kepada penduduk pangsapuri.

MB di Konvensyen Migrasi Air 4a“Semua JMB adalah rapat dengan penghuni pangsapuri, jadi saya menyeru kerjasama anda semua membantu memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.

Untuk fasa pertama, Kerajaan Negeri mengedarkan 500 bekas mangkuk tingkat kepada 12 pangsapuri terpilih untuk menilai keberkesanannya sebelum diperluas ke seluruh Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

75% pangsapuri Selangor capai status Komuniti Bestari pada 2022

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Selangor mensasarkan 75 peratus komuniti pangsapuri di Selangor mencapai status Komuniti Bestari menjelang 2022.

Sasaran tersebut melibatkan 1,313 kawasan (198,141 unit) bagi pangsapuri kos rendah dan 105 kawasan (45,556 unit) bagi penempatan peneroka bandar.

pangsapuriKetua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim, berkata sebagai negeri tumpuan migrasi, Selangor perlu merangka perumahan disamping memastikan tanah mencukupi untuk keperluan masa hadapan.

“Apabila tanah terhad, baki tanah yang ada juga perlu diagih untuk simpanan akan datang. Maka, bentuk perumahan akan berubah dan pada ketika itu pembangunan kediaman teres, semi-d dan banglo perlu berubah kearah kediaman jenis pangsapuri,” jelasnya.

Norzaton menambah, Kerajaan Negeri kini dalam gerak kerja mendidik rakyat untuk bersedia menghadapi kehidupan di pangsapuri.

Jelasnya, segala program yang telah dan akan dilaksanakan untuk komuniti pangsapuri adalah bertujuan kearah itu.

“Ini adalah konsep yang ingin diterapkan Kerajaan Negeri. Konsep anda (rakyat) bukan dipaksa duduk di pangsapuri tetapi kebahagian, keselesaan serta keharmonian itu ada di pangsapuri.

“Sebab itu, pelbagai program seperti CERIA, SEROJA, BCH dan banyak lagi telah digerakkan sejak awal Kerajaan Negeri mentadbir,” jelasnya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata kesemua pelaksanaan program memberdayakan komuniti pangsapuri bukan sahaja bertujuan memberi suasana yang selesa dan harmoni.

Malah ia bertujuan memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab di kalangan komuniti tersebut.

“Kita telah laksanakan pelbagai program membimbing komuniti ini dan pada penghujungnya nanti, kita mahu lihat mereka sendiri yang mentadbir urus pangsapuri.

“Kerajaan Negeri hanya membimbing sementara mereka mampu berdikari, kaedah yang sama dipraktikkan di negara-negara maju,” jelasnya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor peruntuk RM20,000 selenggara kemudahan Pangsapuri Makmur

Oleh : AFEEQA AFEERA

KAJANG 11 MAC : Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memperuntukkan sejumlah RM20,000 bagi kerja menaiktaraf kemudahan taman rekreasi di Pangsapuri Makmur, Bandar Baru Saujana, di sini.

Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam satu kenyataan berkata tujuan menaiktaraf kemudahan berkenaan adalah bagi memastikan penduduk di pangsapuri itu menikmati persekitaran yang lebih kondusif dan selesa.

IMG_5737aKatanya ia bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti sosial, riadah dan kemasyarakatan dalam suasana santai dan tidak formal.

“Kemudahan yang diselenggara ini juga dapat memupuk kerjasama penduduk dalam memeliharanya supaya dapat digunakan dalam tempoh yang panjang.

“Ia juga mampu membina jaringan komunikasi sesama penduduk sekaligus dapat memupuk nilai saling faham-memahami, hormat-menghormati dan toleransi di kalangan penduduk yang berbilang kaum,” kata kenyataan itu.

Katanya, penyelenggaraan kemudahan itu juga adalah bagi memenuhi tanggungjawab kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan yang memberi keselesaan kepada penduduknya.

Antara kemudahan yang dinaiktaraf adalah pondok rehat, laluan pejalan kaki, pagar jenis chain link, penanaman pokok, penambahan bangku dan buaian serta mengecat gelanggang takraw sedia ada.

Program itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disertai Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad serta Yang Dipertua MPKj, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman.

EZY