Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: Tangguh rancangan ke Pantai Morib, Kelanang

SHAH ALAM, 3 NOV: Orang ramai dinasihat tidak melakukan aktiviti riadah atau rekreasi di Pantai Morib dan Pantai Kelanang, Kuala Langat susulan fenomena air pasang besar yang diramal esok sehingga Ahad.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata mereka yang merancang berkunjung ke dua pantai berkenaan sempena cuti Deepavali esok dan hujung minggu diminta menangguhkannya terlebih dahulu.

Hasnul Baharuddin (kanan) meninjau dan mendengar penerangan anggota APM berhubung persediaan serta pemantauan pasukan menghadapi fenomena air pasang besar. Foto Facebook Hasnul Baharuddin

“Kita bimbang air laut boleh melimpah sekiranya air pasang bertembung dengan hujan berlarutan yang membahayakan orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Manakala wakil rakyat Sekinchan pula menasihatkan penduduk di lima kampung di sekitar pesisir pantai Sekinchan hingga ke Sungai Leman supaya bersedia berdepan dengan banjir.

Jelas Ng Suee Lim, penduduk terbabit diminta menyimpan dokumen penting dan peralatan rumah ke kawasan selamat bagi mengelakkannya rosak.

“Sentiasa ikuti perkembangan berkenaan fenomena air pasang besar dan bersedia berpindah sekiranya banjir melanda.

ADN Sekinchan Ng Suee Lim

“Pihak berkuasa sudah menyediakan pusat pemindahan sementera jika keadaan itu berlaku,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga ban pesisir pantai Kuala Langat dibaik pulih

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerja baik pulih ban dijalankan di tiga lokasi sepanjang pantai Kuala Langat hari ini, menurut Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Menurut agensi itu, kerja pembaikan, penambakan serta meninggikan ban yang mendap dilakukan di Jeti Kampung Sawah, Pantai Kelanang dan Dataran Morib.

“Peratusan pembaikan ban di Jeti Kampung Sawah selesai 60 peratus dan selesai 50 peratus di ban Pantai Kelanang.

Kerja baik pulih di Jeti Kampung Sawah pada 18 Sept 2020. Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

“Sementara kerja pemasangan ‘sand bag’ di lokasi runtuhan di ban Dataran Morib selesai 35 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, unit itu terus memantau dan membuat tindakan susulan berhubung kejadian yang berlaku dan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Kerja baik pulih di Pantai Kelanang pada 18 Sept 2020. Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

Sebelum ini, benteng pemecah ombak di Pantai Morib dilaporkan runtuh pada jam 6.50 pagi dan ia ditutup untuk kerja baik pulih. Orang ramai juga dilarang menghampiri lokasi kejadian.

Unit itu menjangka fenomena air pasang besar berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Categories
SELANGOR

LZS Didik Asnaf Cintakan Alam Sekitar

BANTING, 5 NOV : Bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan generasi muda, seramai 60 pelajar asnaf yang mendiami asrama pendidikan Baitul Hasanah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dipilih untuk menyertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berteraskan alam sekitar di Pantai Kelanang, di sini hari ini.

Program perkhemahan yang berlangsung selama dua hari dengan bertemakan ‘Kami Prihatin, Hijau Untuk Semua’ itu mendedahkan para pelajar mengenai isu-isu alam sekitar, khususnya kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar.

Bagi tujuan itu, sebanyak 200 anak pokok bakau disumbangkan LZS untuk ditanam di Pantai Kelanang bagi menggalakkan aktiviti pemuliharaan ekosistem hutan bakau.

Program itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Anak Warisan Alam (Yawa), Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Perhutanan, MASKargo dan Ali Bikers All Riders (ABAR).

Antara aktiviti lain yang dianjurkan termasuk program gotong-royong mengecat serta pembersihan Surau Hajjah Fatimah, Kampung Kelanang.

Selain itu, pihak LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah bagi memenuhi keperluan kariah surau berkenaan.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.