Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: Tangguh rancangan ke Pantai Morib, Kelanang

SHAH ALAM, 3 NOV: Orang ramai dinasihat tidak melakukan aktiviti riadah atau rekreasi di Pantai Morib dan Pantai Kelanang, Kuala Langat susulan fenomena air pasang besar yang diramal esok sehingga Ahad.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata mereka yang merancang berkunjung ke dua pantai berkenaan sempena cuti Deepavali esok dan hujung minggu diminta menangguhkannya terlebih dahulu.

Hasnul Baharuddin (kanan) meninjau dan mendengar penerangan anggota APM berhubung persediaan serta pemantauan pasukan menghadapi fenomena air pasang besar. Foto Facebook Hasnul Baharuddin

“Kita bimbang air laut boleh melimpah sekiranya air pasang bertembung dengan hujan berlarutan yang membahayakan orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Manakala wakil rakyat Sekinchan pula menasihatkan penduduk di lima kampung di sekitar pesisir pantai Sekinchan hingga ke Sungai Leman supaya bersedia berdepan dengan banjir.

Jelas Ng Suee Lim, penduduk terbabit diminta menyimpan dokumen penting dan peralatan rumah ke kawasan selamat bagi mengelakkannya rosak.

“Sentiasa ikuti perkembangan berkenaan fenomena air pasang besar dan bersedia berpindah sekiranya banjir melanda.

ADN Sekinchan Ng Suee Lim

“Pihak berkuasa sudah menyediakan pusat pemindahan sementera jika keadaan itu berlaku,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH PILIHAN MINGGUAN

Pantai Morib jadi pilihan bawa anak, hilang bosan terkurung dalam rumah

BANTING, 12 SEPT: Orang ramai menyambut baik kelonggaran rentas daerah diberikan kerajaan yang dengan membawa keluarga masing-masing menjalankan aktiviti sosial terutama berkunjung ke pantai.

Johari Ismail, 57

Penjawat awam Johari Ismail, 57, berkata beliau memilih Pantai Morib sebagai destinasi pilihan kerana sesuai untuk membawa anak-anak dan jarak dekat dengan kediamannya di Putrajaya.

“Saya memang ada perancangan untuk membawa keluarga berkelah di Pantai Morib bersama adik bagi melepas kebosanan anak-anak.

“Apabila tiba jam 10 pagi pengunjung mula ramai dan kebanyakan membawa keluarga masing-masing, tetapi saya lihat orang ramai masih mematuhi SOP (tatacara operasi piawai),” katanya kepada SelangorKini.

Eksekutif pemasaran syarikat fesyen Nur Salimah Mohamad Yusri,31, berkata setiap tahun beliau bersama tiga rakannya akan pergi melancong tetapi suasana berlainan pada tahun ini.

Nur Salimah Mohamad Yusri, 31

“Saya mengambil keputusan mengajak kawan-kawan ke Pantai Morib, Bukit Jugra dan pergi ke kilang kerepek yang popular di Banting.

“Untuk berkelah saya membuat persiapan membeli khemah dan rakan-rakan lain membawa dapur dan menyediakan bahan masakan,” katanya.

Kelmarin, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga lega, Pantai Morib kembali meriah selepas enam bulan ‘sepi’

BANTING, 12 SEPT: Peniaga gerai di Pantai Morib di sini, menarik nafas lega apabila pusat pelancongan itu kembali dibuka selepas hampir enam bulan sepi tanpa pengunjung.

Azizah Saringat, 57

Pemilik gerai makan Azizah Saringat, 57, berkata beliau bersyukur apabila dapat membuka semula gerainya dan mencari rezeki.

“Orang ramai mula hadir terutama ketika hujung minggu kerana kebanyakan mereka membawa anak-anak berkelah selepas lama terkurung dalam rumah.

“Namun saya tidak berkompromi soal tatacara operasi piawai (SOP) dengan individu lengkap vaksin sahaja dibenar makan, cukuplah hampir enam bulan terjejas pendapatan, saya tidak mahu perkara sama berulang,” katanya kepada SelangorKini.

Peniaga barang permainan Azman Dali, 40, berkata orang ramai mula berkunjung ke Pantai Morib sejak dua minggu lalu.

Azman Dali, 40

“Alhamdulillah, Pantai Morib kembali meriah. Saya menjual pelbagai barang permainan untuk kanak-kanak, antara yang banyak dibeli ialah belon air dan layang-layang,.

“Cuma saya berpesan kepada diri saya sendiri dan pengunjung, patuh SOP, jangan leka jika tidak mahu kes Covid-19 Selangor kembali meningkat,” katanya.

Kelmarin Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Litar pintas punca 15 kedai di Pantai Morib terbakar

SHAH ALAM, 3 MEI: Sebanyak 15 kedai di Pantai Morib, Banting musnah terbakar akibat litar pintas dalam kejadian petang tadi, kata ketua polis Kuala Langat.

Superintendan Azizan Tukiman berkata 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan BBP Telok Panglima Garang termasuk dua kereta peronda (MPV) polis bergegas ke lokasi.

“Kebakaran melibatkan 15 kedai, ketika kejadian hanya dua sahaja yang beroperasi dan ia berjaya dipadamkan dalam tempoh dua jam.

“Keseluruhan kerosakan melibatkan 60 peratus deretan kedai meliputi bumbung, perkakasan elektrik seperti peti ais, mesin tebu dan peralatan dapur,” katanya menerusi kenyataan.

Azizan berkata insiden itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar di Morib terkawal, limpahan hanya di Taman Harmoni

SHAH ALAM, 17 OKT: Fenomena air laut pasang besar yang melanda di pesisir pantai hari ini menyebabkan limpahan air di atas jalan sekitar Taman Harmoni, Morib.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib bagaimanapun berkata keadaan tersebut adalah terkawal dan kebiasaannya akan surut dalam tempoh sejam.

“Kawasan dijangka terjejas bermula dari Pantai Morib sehingga ke Pantai Kelanang dan perumahan Taman Harmoni terletak paling dekat dengan kawasan pantai iaitu kira-kira 200 meter.

“Kita bersyukur kerana kawasan berhampiran perumahan masih banyak hutan bakau, jadi sekurang-kurangnya ia sedikit terlindung daripada menerima limpahan air yang banyak,” kata Hasnul Baharuddin kepada SelangorKini hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah sentiasa bersedia dengan limpahan air laut sekiranya berlaku hujan lebat.

Sebanyak 52 kawasan di lima daerah, Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berisiko tinggi mengalami banjir akibat fenomena air pasang besar gelombang kedua bermula hari ini hingga Isnin dengan jangkaan paras air laut pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Air pasang besar pertama kali berlaku pada 19 hingga 20 September dan gelombang ketiga dijangka berlaku pada 15 hingga 16 November depan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Benteng pecah, orang ramai digesa jauhi Pantai Morib

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kawasan berhampiran kejadian benteng pemecah ombak yang runtuh di Pantai Morib ditutup untuk kerja baik pulih, kata ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata pihaknya menerima maklumat berhubung perkara tersebut pada jam 6.50 pagi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah segera menghalang orang ramai menghampiri lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal benteng sepanjang kira-kira 10 meter telah pecah pagi tadi tetapi kejadian ini tidak menyebabkan air melimpah serta menjejaskan penempatan berhampiran pantai.

Keadaan pesisir Pantai Morib. Foto Ihsan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

“Namun orang ramai dinasihat menjauhi lokasi kejadian serta patuh arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam Dato’ Menteri Besar menasihat penduduk di lima daerah negeri ini tidak melakukan sebarang aktiviti di pesisiran pantai bermula 19 September ini hingga November berikutan fenomena air pasang
besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter (m).

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Categories
SELANGOR

Cadangan infrastruktur baharu majukan Pantai Morib

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LANGAT, 14 APR: Bagi memajukan Pantai Morib sebagai destinasi pelancongan di Selangor, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, bercadangan membina infrastruktur baharu di kawasan itu.

Beliau yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, infrastruktur baharu itu mampu merancakkan sektor pelancongan sekali gus menarik orang ramai hadir ke kawasan terbabit.

“Saya sudah ada beberapa idea, lukisan dan pelan. Nanti saya akan beri kepada Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan pejabat saya.

“Contohnya saya bercadang membina satu binaan berbentuk U di kawasan pantai dan laut yang membolehkan pengunjung berjalan di atasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika Program Retromania Grand Gathering 2019 di Pantai Morib di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya, cadangan terbabit boleh bermula jika Kerajaan Negeri dan pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersetuju.

Sementara itu, Xavier berkata, pihaknya berharap pengunjung yang hadir ke Pantai Morib boleh turut membantu MDKL dalam menjaga kebersihan di kawasan itu.

“Jika boleh, saya juga ingin jadikan kawasan ini kawasan larangan plastik. Sebab isu pencemaran plastik ini suatu isu besar di seluruh dunia, malah banyak manfaat jangka panjang jika kita tidak menggunakannya,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

Jaga kebersihan Pantai Morib, si pengotor ‘mohon terasa’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 30 NOV: Geram dengan sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berucap panjang ketika merasmikan Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1.

Mohammad Zain turut mengingatkan masyarakat untuk bersama memainkan bertanggungjawab menjaga Kuala Langat dalam semua aspek termasuk kebersihan dan bukannya bergantung kepada MDKL semata-mata.

Katanya, penduduk sekitar dan peniaga sepatutnya merasa malu apabila MDKL menerima banyak permohonan syarikat luar untuk mejalankan kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan Pantai Morib

“Kita buang sampah, orang luar datang kutip, tak rasa malu ke? Saya suka perkara ini, tetapi pada masa sama ia memberi tanggapan negatif kepada MDKL kerana sampai ada pihak luar buat CSR kutip sampah,” katanya.

Jelasnya, pernah pada suatu ketika MDKL menerima permohonan daripada tiga buah syarikat bersama beratus-ratus kakitangan membuat permohonan untuk membersihkan Pantai Morib.

Katanya, MDKL terpaksa mengambil tindakan tegas dengan tidak lagi meluluskan permohonan mana-mana syarikat luar atau organisasi bukan kerajaan (NGO) menjalankan kerja CSR pembersihan pantai untuk ‘mengajar’ penduduk tempatan supaya lebih menjaga kebersihan.

“Kita nak tengok orang Morib nak tak jaga Pantai Morib. Pokok jangan tanam, sampah jangan kutip. Kita nak tengok siapa nak ‘complain’.

“Kalau ada yang ‘complain’, kita nak ajak mereka sama-sama pungut sampah. Kita kena jaga sama-sama,” katanya.

Mohamad Zain turut meluahkan perasaan kecewanya apabila mentaliti masyarakat masih berada di takuk lama dan bukannya mentaliti sebuah negara maju ekoran kejadian vandalisme yang masih berleluasa.

“Bagi peniaga berniaga, dia tak jaga, banyak sampah. Penduduk kata tak cukup kerusi, bila majlis buat kerusi dicontengnya pula.

“Oh gelap, minta pasang lampu, dipecahkannya. Apa nak jadi dengan orang kita ini? Serupa juga hari ini kita tanam pokok bakau, nanti siapa yang rosakkan?,” soalnya lagi.

 

Categories
SELANGOR

Rahsia ‘dua gaya’ Pantai Morib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 SEPT : Pertama kali berkunjung ke Pantai Morib, matlamat asalnya hanya untuk meneroka keindahan landskap pantai luar penempatan Lembah Klang.

Bagaimanapun, selepas menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke kawasan itu, penulis Goh Yong Chuan punya tafsirannya sendiri terhadap keunikan pantai itu.

Beliau menganggap Pantai Morib sebagai sebuah taman kota yang cukup sinonim menjadi destinasi pilihan cuti hujung minggu warga tempatan.

MORIB 1“Di sini terdapat dataran, padang, gazebo, tapak permainan kanak-kanak, peralatan sukan, pameran kesenian, pusat penjaja, kedai-kedai, gerai cenderamata dan sebagainya.

“Kemudahan ini sememangnya lengkap seperti sebuah taman kota. Bangunan tinggi tidak kelihatan di sini, tetapi panorama laut yang terbentang luas ditambah dengan angin laut sepoi-sepoi bahasa menjadikan Pantai Morib pilihan kegemaran pengungjung beriadah.

“Pantai Morib menawarkan taman pantai dengan kemudahan lengkap, pantai semula jadi dan pemandangan hutan paya bakau.

“Pantai Morib sememangnya sebuah pantai dengan dua jenis gaya tersendiri,” tulisnya dalam buku, Terokai Kehijauan Selangor.

MORIB 2Cerita Yong Chuan, Pantai Morib juga menggambarkan dimensi ketenangan yang mampu memberi suasana baru untuk lari daripada kesibukan warga kota.

“Ketika kunjungan ke Pantai Morib juga, air lautnya surut sejauh beberapa ratus meter, Pantai ini dipenuhi dengan ketam-ketam dan burung persisiran pantai yang kelihatan sedang mencari makanan.

“Tidak jauh di persisiran air laut cetek, kelihatan ramai orang sedang mengutip kepah. Ia sungguh memberi makna,” tulisnya lagi.

Pantai Morib terletak di pantai barat Selangor dengan jarak 12 kilometer di Selatan Pekan Banting serta 45 kilometer di utara Sepang.

MORIB 3Terdahulu, Yong Chuan menjelajahi seluruh bukit, pantai, hutan dan perkampungan di Selangor bagi penghasilan buku Terokai Kehijauan Selangor hasil usahasama Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor.

Inisiatif penghasilan buku itu diwujudkan bagi mempromosikan eko pelancongan negeri kepada pelancongan tempatan dan antarabangsa.

Buku setebal 200 muka surat itu dijual pada kadar serendah RM25.00 dan boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negeri.

Suasana acara Himpunan Basikal Klasik Semalaya di Dataran Pantai Morib

Dataran Pantai Morib meriah dengan deretan basikal tua dan klasik milik 300 peserta yang berhimpun dari seluruh tanah air. Exco Dr. Ahmad Yunus Hairi bersama YDP Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Azhar Mohamed Ali merasmikan acara ini.

Categories
SELANGOR

Lambaian Seni gamit pengunjung ke Pantai Morib

BANTING 13 NOV: Pelbagai aktiviti seni budaya dirangka akan berlangsung sepanjang November ini bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke Pantai Morib.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, Pantai Morib yang begitu sinonim dengan keindahan landskap pantai dan persekitaran semulajadi menjadi daya penarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

pantai morib aPihak MDKL telah mengambil inisiatif dengan memastikan pelbagai aktiviti dan program akan diadakan bagi mempromosikan Pantai Morib sebagai kawasan pelancongan wajib dikunjungi di negeri Selangor.

Justeru itu, buat julung kalinya, Pantai Morib telah dipilih sebagai venue Laman Seni Budaya bagi program Lambaian Seni Morib pada setiap hari Sabtu sepanjang bulan November bermula jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.

Pelbagai aktiviti seni budaya telah diaturkan seperti persembahan pemuzik ‘Busking’ yang akan diadakan pada 15 November, persembahan keroncong pada 22 November diikuti dengan persembahan lagu dan puisi akan diadakan pada 29 November sempena penutupan program.

Sementara itu, berlangsung persembahan teater sebagai pembukaan program pada 8 November yang lalu dengan persembahan teater dan muzikal tersebut berjaya menarik perhatian pengunjung setempat dan dari luar daerah yang kebanyakkannya ingin mencari kelainan serta lari dari kesibukan kota.

Mohd Azhar menambah, penganjuran program yang bertujuan untuk mengetengahkan seni dan budaya kepada masyarakat setempat serta mengembangkan kreativiti, pengetahuan dan kemahiran kepada penggiat seni budaya.

Selain itu juga, penganjuran program ini juga diharap dapat membantu usaha untuk ianya dapat mengetengahkan produk baru seni budaya kontemporari serta menggalakkan pertumbuhan kadar pelancong ke daerah ini.

Beliau berharap orang ramai akan mengambil peluang untuk beriadah dan mengunjungi Pantai Morib bagi memeriahkan dan menikmati keindahan seni budaya tempatan dalam program Lambaian Seni Morib bersama ahli keluarga mahupun rakan taulan.

EZY

Kenali Selangor (Pulau Ketam) dan Singgah Selangor (Rabok Bay) – Salam Selangor

Episod 52

Sinopsis:

Paparan hari ini membawa para penonton mengenali Pulau Ketam dan Pantai Morib. Ikuti rancangan ini hanya di www.selangorkini.net

morib

pulau ketam