Categories
PBT SELANGOR

Pantai di Kuala Langat dibuka semula kepada pengunjung

SHAH ALAM, 11 OKT: Kawasan peranginan pantai di Kuala Langat dibuka semula hari ini kepada orang ramai selepas ditutup beberapa hari akibat fenomena air pasang.

Segala aktiviti riadah dan perniagaan juga dibenarkan dengan pemantauan harian diteruskan seperti biasa, kata ketua Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

“Kita sudah buka (kawasan peranginan) kepada orang awam. Hanya tutup pada Jumaat hingga Ahad lalu kerana air pasang, tidak mahu ada aktiviti pantai,” kata Mazlan Abdul Manap.

Beliau turut menjangka kejadian sama awal bulan depan selama beberapa hari dengan kerjasama diteruskan bersama bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam bagi memastikan keadaan terkawal.

Sebelum ini, MPKL menasihatkan penduduk di kawasan pesisir pantai berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar yang berlaku mulai 7 hingga 10 Oktober.

Antara kawasan terlibat ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

Bacaan air pasang setinggi 5.6 meter direkod dalam tempoh empat hari manakala bacaan tertinggi semalam 5.4 meter.

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Enam pantai boleh dikunjungi untuk aktiviti santai hujung minggu

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 10 OKT: Selangor kini berada dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara, justeru ramai yang mencari destinasi percutian untuk dikunjungi bersama rakan atau keluarga.

Apatah lagi individu yang lengkap dos vaksin dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan dalam negeri antaranya melepaskan rindu terhadap keindahan pemandangan matahari terbenam.

Tourism Selangor berkongsi enam lokasi pantai yang boleh dikunjungi untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama yang tersayang dengan pelbagai aktiviti menarik.

1. Pantai Remis, Kuala Selangor

Terletak 20km di bahagian selatan Kuala Selangor, pantai ini dikatakan ‘kembali bernyawa’ setelah Selangor beralih ke fasa tiga. Pantai ini merupakan salah satu lokasi ekopelancongan yang semakin digemari, malah sentiasa dibanjiri pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

2. Pantai Kelanang, Banting


Jom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib! Pantai Kelanang menyajikan kepada anda pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi oleh pohon-pohon kayu bakau dan pokok ru.

Pantai ini juga memberikan kepada anda pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara. Sekiranya membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti seperti taman permainan disediakan di sini.

3. Pantai Cunang, Kuala Langat


Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan di Tanjung Sepat. Pantai Cunang dipenuhi pasir memutih sepanjang kawasan hutan bakau.

Pantai ini kawasan rehat tradisional yang diusahakan masyarakat peribumi Mah Meri dan kini menjadi salah satu destinasi pelancongan di Selangor. Ia dihiasi rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan kedai kraftangan. Anda juga boleh memancing dan berbasikal di pantai ini.

4. Pantai Bagan Lalang, Sepang

Kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di Sepang seperti yang diketahui ramai, adalah tempat percutian kegemaran seisi keluarga.

Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk anak kecil anda melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir.

Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai yang harus dilawati kepada yang gemar menikmati ketenangan air laut.

5. Pantai Redang, Sekinchan


Sekiranya anda berada di Sabak Bernam dan inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula?

Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut, di mana anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan segar. Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk berehat.

6. Pantai Morib, Banting


Tahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer? Pantai ini terletak di Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih sejam dari Klang.

Pantai ini amat popular dengan aktiviti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut.

Jika anda tidak tahu ke mana destinasi pelancongan seterusnya, kunjungi pantai-pantai yang terdapat di Selangor pada cuti hujung minggu anda, namun kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Layari laman sesawang www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor atau ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #PusingSelangorDulu.

Categories
NASIONAL

Tragedi Pantai Teluk Bidara: Mayat empat pelajar politeknik ditemukan

DUNGUN, 19 JAN: Keempat-empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), yang hilang dihanyutkan ombak ketika mandi manda di Pantai Teluk Bidara di sini Jumaat lepas, ditemukan mati lemas hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Sharikan Bustaman berkata mayat terakhir iaitu Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, ditemukan terapung pada 3 petang oleh pasukan penyelamat, kira-kira dua batu nautika dari Pantai Teluk Bidara.

Mohamad Amir Izzudin yang berasal daripada Air Keroh, Melaka adalah atlet silat olahraga negeri itu.

Sementara itu, mayat Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan daripada Kuala Terengganu ditemukan pada 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed daripada Kuantan, Pahang pula ditemukan terapung pada 12.09 tengah hari oleh pasukan penyelamat, kira-kira satu kilometer daripada mayat Muhammad Ikhwan, katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata mayat Muhammad Zul Fahmi Zuki daripada Kemaman ditemukan orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai berdekatan Mayang Sari Resort, di sini pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan; dan Mohamad Amir Izzudin, kesemuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sharikan berkata keempat-empat mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya.

-BERNAMA