Categories
PBT SELANGOR

Papan tanda salah ejaan jawi di Semenyih diganti

SHAH ALAM, 22 JAN: Papan tanda nama di Jalan Dana Permai, Semenyih yang dikesan mempunyai kesalahan tulisan jawi diganti semalam, maklum Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, penukaran papan tanda baharu mengikut spesifikasi dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kesilapan berkenaan tular baru-baru ini.

Jelasnya, pemasangan papan tanda terdahulu dibuat pemaju mengikut kelulusan pelan infrastruktur pada 4 Oktober 2017 dan disahkan individu profesional mempunyai gambaran lengkap.

“Namun terdapat kesilapan dilakukan pembekal papan tanda nama tersebut di mana tulisan jawi tidak mengikut pelan kelulusan sebenar,” kata MPKj dalam kenyataan hari ini.

PBT itu menambah penyelenggaraan kemudahan di kawasan tersebut belum diserahkan kepada pihaknya, sebaliknya masih bawah tanggungjawab pemaju.

“Perlu ditegaskan bahawa semua pihak perlu memastikan keseluruhan pembinaan di tapak mengikut kelulusan pelan infrastruktur telah diluluskan,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Papan tanda mudahkan semak jadual kutipan sampah

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pemasangan papan tanda jadual kutipan sampah dan pembersihan awam di seluruh pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam dijangka siap hujung tahun ini.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata papan tanda tersebut turut dipasang di 11 pihak berkuasa tempatan lain sebelum ini.

“Menerusinya orang awam boleh semak jadual kutipan sampah domestik dan pembersihan longkang serta potong rumput,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sudah memberikan lori ‘Roll on Roll Off’ kepada 88 kontraktor pembersihan untuk memulakan tugas pada 1 Julai lalu.

Ramli turut memaklumkan setakat ini purata 10 aduan diterima setiap hari yang cuba diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

KDEBWM mengambil alih sepenuhnya khidmat pengurusan kutipan sampah domestik di seluruh negeri pada Januari lalu.

Categories
SELANGOR

Isu papan tanda Mandarin di Tanjung Sepat diumum minggu depan

KUALA SELANGOR, 29 JUN: Keputusan sama ada papan tanda jalan dalam bahasa Mandarin yang dipasang di Tanjung Sepat, Kuala Langat akan diturunkan atau tidak akan diumumkan minggu hadapan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya isu berhubung papan tanda berkenaan yang menjadi hangat sejak minggu lalu sudah dibincangkan dan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pada Rabu lalu.

“Saya akan unum nanti, kita sudah buat keputusan dalam MMKN, tetapi kita harus menetapkan dan memutuskan minit tersebut terlebih dahulu.

“Saya juga sudah mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara ini, dan keputusannya akan diumum minggu hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bridge of Dreams di Eco Grandeur, di sini.

Turut hadir Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin dan EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Papan tanda itu menjadi isu apabila ia memaparkan tulisan bahasa Mandarin dan Sultan Sharafuddin pada November tahun lalu menitahkan supaya ia diturunkan.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Isu papan tanda, MPSJ tunggu pekeliling baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 22 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menunggu pekeliling terbaharu daripada Kerajaan Negeri berhubung penggunaan Bahasa Melayu, pada setiap papan tanda di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, sebelum ini penggunaan papan tanda dwibahasa hanya diterima untuk digunakan bagi kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina.

“MPSJ akan menunggu keputusan Kerajaan Negeri berhubung perkara ini sama ada ia perlu diteruskan atau kembali kepada dasar asal iaitu menggunakan Bahasa Melayu sahaja,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan isu penggunaan papan tanda dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin mencetuskan polemik sehingga menjadi tular, di media sosial.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kemudian menitahkan supaya papan tanda jalan yang menggunakan Bahasa Mandarin diturunkan dan digantikan dengan papan tanda menggunakan bahasa tunggal, iaitu Bahasa Melayu.

Perkara itu dititahkan baginda menerusi salinan surat rasmi bertarikh 19 November yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan untuk maklumkan, tindakan serta perhatian Datuk Bandar Shah Alam.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, beliau pernah melalui pengalaman sama apabila Tuanku pernah membuat teguran ketika beliau memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor.

“Pada waktu itu, Tuanku ternampak papan tanda dwibahasa berkenaan di jalan utama di Kuala Selangor, dan kemudian menitahkan supaya ia ditukar.

“Namun, secara dasarnya semua papan tanda di negara ini perlu mengikut dasar bahasa kebangsaan,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Papan Tanda: Semua pihak perlu akur titah Sultan

PUTRAJAYA, 20 NOV: Semua pihak perlu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua papan tanda di Bandaraya Shah Alam diselaraskan kepada bahasa Melayu sementara semua papan tanda bahasa Cina ditanggalkan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, papan tanda dengan tulisan bahasa Melayu wajar dikekalkan dan rasional bagi memudahkan semua rakyat membaca.

“Bagaimanapun, keputusan berkaitan papan tanda berkenaan adalah di bawah bidang kuasa negeri,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya mengarahkan tindakan segera diambil bagi mengantikan semua papan tanda bahasa Cina ditukar ke bahasa Melayu.

Surat sama turut disisi kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Kandungan surat itu juga memaklumkan bahawa penukaran papan tanda itu hendaklah dilakukan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor, pada 11 Disember depan.

-Bernama