Categories
SELANGOR

Progresif tangani denggi, contohi DBKL

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 2 SEP: Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Selangor digesa mencontohi kaedah proaktif dan progesif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani kes denggi.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, berkata kaedah yang diguna DBKL dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Environmen Malaysia terbukti lebih efektif dan positif.

Hannah Yeoh picKatanya, pemetaan strategik kes denggi yang dijalankan DBKL terbukti mampu menurunkan kadar kes denggi serta bilangan kawasan panas.

“Mereka buat pemetaan, kaji semua kes positif dilaporkan seterusnya mencari ‘common trend’. Contohnya, mereka akan mengkaji kawasan lapang dilalui mangsa dan membersihkannya jika denggi menyerang golongan pekerja.

“Begitu juga jika pelajar diserang denggi, seluruh kawasan lapang dilalui pelajar akan dibersihkan. Ia ternyata berkesan, lebih cepat serta efektif, bahkan kaedah itu juga dilaksanakan di Ipoh dan Seri Iskandar,” katanya.

DENGGI GRAFIKTerdahulu, beliau yang juga Adun Subang Jaya merasmikan gimnasium luar di taman permainan USJ 2/4S, di sini, pagi ini.

Hannah berkata, maklumat kes denggi juga perlu dikemaskini dengan cepat untuk makluman pihak berkenaan melakukan tindakan segera.

“Semua data mungkin boleh dimasukkan ke satu laman sesawang khas iaitu semua pihak mendapat boleh mendapatkan makluman cepat. Jika lambat dan perlu tunggu sehingga dua minggu, saya percaya denggi sudah merebak pada masa tindakan mahu diambil,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan 2014, MBPJ tumpu 5 sektor pembangunan utama

Bajet MBPJ

PETALING JAYA 26 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memberikan fokus terhadap lima sektor pembangunan utama di dalam Belanjawan Selangor 2014 kelak.

Sektor tersebut termasuk kemudahan prasarana, persekitaran mesra alam, pengurusan trafik efisyen, gaya hidup lestari dan memperkasakan organisasi.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, penekanan akan diberikan kepada penyediaan perkhidmatan dan kemudahan yang bertaraf dunia bagi memenuhi kehendak masyarakat Petaling Jaya.

“Demi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik dan prasarana, Majlis komited meningkatkan kualiti kemudahan dan jaringan pengangkutan awam bagi menangani masalah lalu lintas,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBPJ di sini.

Sehubungan itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi mengadakan perkhidmatan bas pengantara, dan RM4.67 juta bagi menyediakan kemudahan ‘Park n Ride’ di kawasan khas serta RM6.07 juta bagi pembinaan laluan basikal dan pejalan kaki yang selesa dan selamat.

Katanya, kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak sangat diperlukan demi mencapai wawasan tersebut.

“Sebagai contoh, sokongan Pejabat Tanah Daerah Petaling adalah perlu untuk pemprosesan perolehan tanah TOL dengan kadar segera bagi pembinaan kemudahan ‘Park n Ride’, begitu juga kerjasama bersepadu dengan agensi pembekal utiliti.

“Iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium dan lain-lain agensi supaya sebarang kerja-kerja pembinaan dan pengorekan atas jalan tidak mendatangkan gangguan serius kepada pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, MBPJ juga merancang pembangunan bandaraya itu supaya menjadi suatu bandar yang berdaya huni, dicintai dan berjiwa.

Untuk mencapai hasrat tersebut, perancangan pembangunan harus difokuskan kepada usaha mewujudkan ruang awam yang berfungsi bagi mewujudkan interaksi sosial di kalangan penghuni bandar.

“Majlis menginginkan supaya penghuni bandar dapat bekerja, bermain dan tinggal di kawasan bandar dengan semangat, rasa nikmat dan sepenuh hati,” katanya lagi.

EZY