Categories
NASIONAL

Malaysia boleh muflis ekoran hutang menimbun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Negara berisiko untuk muflis seperti Greece dan Argentina jika gagal membayar hutang yang semakin menimbun termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bernilai RM42 bilion.

Calon Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, hutang itu perlu dibayar generasi hari ini dan generasi akan datang bagi mengelakkan negara muflis.

“Kalau bukan kita bayar sudah tentu anak dan cucu kita perlu bayar hutang ini dan jika tak bayar, suatu hari nanti negara kita juga boleh muflis seperti Greece dan Argentina.

“1MDB syarikat yang digunakan untuk pinjam duit dan kini hutang 1MDB sahaja sudah RM42 bilion walaupun kita tak nampak satu pun hasilnya,” katanya pada Program Bicara 10 Janji 100 Hari di Taman Saujana Utama di sini, malam tadi.

Katanya, skandal 1MDB pertama kali berjaya dihidu Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menduduki kerusi Ketua Pemangkang di Dewan Rakyat, pada 2009.

Katanya, negara ini hanya boleh diselamatkan jika rakyat memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Categories
NASIONAL

Media lebih meriah jika PAKATAN menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Industri media di negara ini dijangka lebih meriah jika Pakatan Harapan (PAKATAN) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

Calon kerusi Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa berkata, hal ini berikutan PAKATAN akan memansuhkan akta yang dianggap mencabuli kebebasan demokrasi dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Antara akta ini termasuklah akta berkaitan percetakan di mana langkah ini akan membebaskan media untuk menyampaikan suara rakyat.

“Jika ada yang difitnah mereka boleh memfailkan saman fitnah, namun kita memahami jika ianya memakan kos tinggi kita mengkaji apakah saluran yang boleh digunakan,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Sungai Buloh di sini, semalam.

Jelasnya, langkah ini juga mampu membuka peluang lebih besar kepada pengamal media negara ini untuk mengembangkan kerjaya masing-masing.

Katanya, selain itu ianya turut memberi kesan positif kepada industri penerbitan lain.

“Kita tidak akan menyekat media yang mengkritik kerajaan seperti yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional hari ini,” katanya.

=EZY=