Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Harga kit ujian Covid-19 mahal, kerajaan diminta turun bawah RM5

SHAH ALAM, 3 MAC: Kerajaan diminta menetapkan harga siling kit ujian kendiri air liur bawah RM5 sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata ketika ini penggunaan kit kendiri menjadi rutin masyarakat bagi memastikan diri bebas dari jangkitan Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat diberi kemudahan membuat tuntutan bayaran balik (pembelian kit kendiri). Agak tak munasabah kita dapat manfaat tetapi rakyat yang selalu guna sebelum ke tempat kerja, sekolah.

“Jadi mohon pertimbangkan mengurangkan dan meletakkan harga siling bawah RM5. RM4.90 itu agak baik tetapi jika belasan ringgit, RM10 terlalu mahal,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu juga berkata rebat cukai pembelian kit RM1,000 yang boleh dituntut turut tidak terpakai kepada rakyat berpendapatan rendah.

Semalam isu kit kendiri turut dibawa beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan antaranya Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Cha Kee Chin (Rasah).

Kerajaan pada September tahun lalu menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian kendiri air liur pada harga RM19.90.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Peralihan Malaysia menuju ke fasa endemik Covid-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan Covid-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.

Titah Seri Paduka sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19.

“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

“Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.

Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.

“Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong rasmi mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-14 hari ini

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat yang kembali bersidang selepas melabuhkan tirai pada 20 Dis lepas merupakan sidang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah dan berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 16 hari sehingga 24 Mac.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan tatacara operasi piawai bagi persidangan Parlimen kekal seperti sebelum ini.

Antaranya, Ahli Parlimen dan petugas perlu menjalani ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) tiga hari sebelum persidangan berlangsung serta penghadang lut sinar terus dipasang di tempat Ahli Parlimen sebagai langkah menetapkan penjarakan fizikal.

Selain itu, Azhar pada Sabtu (26 Feb) memaklumkan 146 kes positif dikesan hasil ujian saringan RT-PCR yang dijalankan dua hari bermula Khamis (24 Feb) di bangunan Parlimen melibatkan 1,474 individu terdiri daripada Ahli Parlimen, petugas dan wakil media.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar antilompat parti, had jawatan PM dibentang kepada ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Ketetapan dasar mengenai peruntukan Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri telah dibentangkan kepada Ahli-Ahli Parlimen bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dasar tersebut dibincangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik pada 25 Jan lepas.

“Sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan (Ahli) Dewan Negara mengenai peruntukan tersebut diadakan pada hari ini dan semalam di Parlimen.

“Ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan wakil-wakil rakyat dan Senator Dewan Negara mengenai cadangan peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata beliau bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua parti komponen dan ketua parti bagi mendapatkan persetujuan berkaitan dasar dan perundangan yang dicadangkan.

Beliau berkata cadangan mengenai peruntukan itu juga akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dipengerusikan bersama wakil kerajaan dan pembangkang setelah dimurnikan dan dimuktamadkan dengan semua pihak berkepentingan.

Wan Junaidi memaklumkan beliau yakin kedua-dua sesi itu dan sesi-sesi akan datang dapat memberikan penerangan dan maklumat secukupnya kepada Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai cadangan tersebut.

“Pada masa sama, selain pengukuhan inisiatif dwipartisan, ia juga dapat memastikan cadangan peruntukan ini akan disokong dan dipersetujui di Parlimen kelak,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN bawa isu kelewatan bantuan banjir Selangor ke Parlimen

SHAH ALAM, 8 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan membawa isu kelewatan pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Selangor pada sidang khas Parlimen pada 20 Januari depan.

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata langkah itu dibuat kerana kerajaan pusat dilihat seakan-akan membiarkan Selangor terkapai-kapai dalam menguruskan bencana yang berlaku pada 18 Disember lalu.

“Seharusnya kerajaan pusat apabila sudah nampak keadaan perit dan bermasalah segera mengisytihar darurat banjir di kawasan terlibat bagi membolehkan aset-aset bantuan turun.

“Negeri lain ada pengalaman berbeza dengan Selangor dan saya kesal kerana masih terdapat agensi yang lambat diaktifkan. Selangor merupakan negeri berkuasa ekonomi dan apabila tidak dibantu memberi kesan kepada produktiviti serta kehidupan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berkata isu lain yang turut dibangkitkan adalah berkaitan permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir.

“Permohonan bantuan ini sepatutnya lebih mudah supaya mangsa banjir dapat dibantu bukannya perlu berdaftar sana sini,” katanya.

Taburan hujan luar biasa di antara 100 hingga 400 milimeter secara berterusan mengakibatkan kejadian banjir di 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam yang mana seramai 4,276 mangsa banjir berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang khas Parlimen bahas isu banjir 20 Januari

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Satu Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan pada 20 Jan ini, untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi khas itu merupakan platform terbaik untuk ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.

“Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ia bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan Mesyuarat Khas ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021, antara lain bertujuan menubuhkan tribunal untuk mengendali aduan gangguan seksual, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut rang undang-undang itu, Tribunal Antigangguan Seksual menghendaki keanggotaan melibatkan presiden dan timbalan presiden yang dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan kehakiman serta perundangan.

Rang undang-undang itu memperuntuk bidang kuasa tribunal untuk mendengar dan menentukan aduan gangguan seksual yang dibuat oleh mana-mana individu.

Tribunal juga berkuasa memerintahkan responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu dalam apa-apa cara sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

Selain itu, tribunal boleh mengeluarkan suatu perintah bagi responden untuk membayar apa-apa pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh mangsa gangguan seksual.

Malah tribunal juga boleh mengeluarkan suatu perintah bagi pihak-pihak menghadiri apa-apa program sebagaimana yang difikirkan perlu oleh tribunal.

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibentang oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Pada sidang media di bangunan Parlimen selepas itu, Siti Zailah berkata antara elemen penting yang diperkenal dalam rang undang-undang tersebut ialah pemakaian undang-undang yang lebih meluas tanpa mengira lokasi kesalahan berlaku iaitu sama ada di tempat kerja atau tempat lain dan tebus rugi kepada mangsa melalui pemberian remedi bersesuaian.

Beliau berkata rang undang-undang ini merupakan manifestasi penting bagi menunjukkan kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia dan bentuk keganasan berasaskan gender.

“Saya berharap rang undang-undang ini dapat meningkatkan kesedaran semua pihak tentang gangguan seksual dan tidak menormalisasikan perkara itu sekali gus menyumbang kepada persekitaran selamat kepada masyarakat khususnya wanita,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pula membentangkan Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan menggantikan subseksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 dengan cadangan mahkamah diberi kuasa membuat perintah kehadiran wajib terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek kereta api laju antara isu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Isu mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Lim ingin tahu sama ada projek HSR akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura, anggaran kos bagi kedua-dua projek serta sekiranya rundingan dengan Singapura dapat memastikan harga asal projek sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.

Pada sesi sama, Menteri Kewangan pula diminta menyatakan rasional perintah baharu Jabatan Kastam pada tahun depan yang mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir atau stout kepada bukan Islam sehingga mengganggu amalan hidup dan perniagaan kumpulan itu.

Soalan itu diajukan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) yang turut ingin tahu bilangan perniagaan yang terjejas, fi lesen berkaitan, jumlah yang boleh dikutip serta hukuman terhadap mereka yang ingkar.

Selesai sesi itu, tumpuan dijangka terarah pada sesi soal jawab dengan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang bertanyakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli sekiranya kerajaan bersedia membenarkan pengeksportan pasir keluar negara terutama bagi projek tebatan banjir di muara sungai.

Sementara itu, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) memohon penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berhubung pelan strategik untuk meremajakan sektor pertanian agar dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

84 kes positif dikesan sepanjang sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Sebanyak 84 kes positif Covid-19 dikenal pasti hasil saringan berkala yang dijalankan sepanjang persidangan Parlimen sejak 27 Okt lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 18 kes dikenal pasti hasil saringan prapersidangan Dewan Rakyat pada 22 hingga 25 Okt dan tindakan kawalan serta pencegahan telah dijalankan.

“Kesemua kes telah diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes-kes tersebut tiada kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan sebanyak 41 kes pula dilaporkan antara 27 Okt  hingga 28 Nov lepas dan semua kes tersebut telah diasingkan dengan segera serta tiada kluster dilaporkan manakala 25 kes dikesan melalui saringan berkala semalam.

Katanya, kes yang dikenal pasti itu mempunyai kadar kebolehjangkitan dengan nilai kitaran ambang (CT) Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) antara 13.70 hingga 36.11.

Dr Noor Hisham menjelaskan setakat ini, semua sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom dan masih menunggu keputusan penuh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenal pasti punca jangkitan bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

Beliau juga menasihati supaya individu yang hadir ke Parlimen terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan sekiranya bergejala dinasihatkan agar tidak hadir ke Parlimen, menjalani ujian saringan COVID-19 dan segera mendapatkan rawatan.

Persidangan Dewan Rakyat kini sedang berlangsung sejak 27 Okt hingga 23 Dis 2021.

Pihak Parlimen bersama Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan saringan berkala sepanjang persidangan bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 500,000 peminjam PTPTN tidak pernah buat bayaran balik

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Seramai 539,284 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membuat bayaran balik setakat 30 September lepas, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan jumlah itu adalah daripada 2,424,009 peminjam yang telah menamatkan pengajian dan patut mula membayar balik pinjaman mereka yang berjumlah hampir RM24.6 bilion.

“Daripada jumlah itu seramai 1,884,725 orang peminjam telah membuat bayaran balik dengan 751,216 peminjam telah menyelesaikan pinjaman.

“Seramai 427,861 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual bayaran balik manakala 705,648 peminjam membuat bayaran balik namun secara tidak konsisten,” menurut kementerian itu.

KPT menjawab persoalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu bilangan peminjam yang masih berhutang dengan PTPTN dan jumlah kewangan yang terlibat.

Menurut kementerian itu lagi, sehingga 30 September lepas, PTPTN meluluskan pinjaman kepada lebih 3.5 juta peminjam dengan jumlah pengeluaran  lebih RM64.8 bilion.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan rakyat lulus Bajet 2022 peringkat dasar

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu, yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diluluskan apabila lebih suara bersetuju selepas undian suara dijalankan.

Terdapat beberapa ahli parlimen bangun meminta undian belah bahagian dilakukan tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun apabila bilangan yang berdiri kurang daripada 15 ahli parlimen.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggulung perbahasan Bajet 2022 bagi Kementerian Kewangan, yang merupakan kementerian terakhir membuat penggulungan.

Bajet 2022 yang dibentang Tengku Zafrul di Parlimen pada 29 Okt lepas, menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Rang undang-undang itu dibahas selama tujuh hari mulai 1 Nov oleh 131 ahli parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh 31 kementerian selama empat hari bermula Isnin lepas.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang berkenaan bagi peringkat jawatankuasa dijadual selama 13 hari bermula 22 Nov ini.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin .

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong perkenan tiga akta dilulus pada mesyuarat pertama Parlimen

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan tiga akta yang diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang lepas.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata ia terdiri daripada Akta Levi Keuntungan Luar Biasa Pindaan 2021, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) Pindaan 2021 dan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara Pindaan 2021.

“Saya suka hendak memberitahu majlis ini iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia baginda telah memperkenan akta-akta yang telah diluluskan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 yang lepas,” katanya dalam pemakluman Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum memulakan sesi soal jawab hari ini.

Sementara itu beliau berkata Dewan Rakyat turut memperingati Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut serata dunia pada 20 Nov setiap tahun dengan mengadakan sambutan dan menjemput semua Ahli Parlimen untuk meraikannya pada 1 tengah hari ini di Dewan Banquet, Parlimen.

“Hari Kanak-Kanak Sedunia ini merupakan hari istimewa kerana ia menandakan penerimaan konvensyen hak kanak-kanak pada 20 Nov 1989 dan Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada tahun 1995,” katanya.

Azhar berkata Malaysia mempunyai obligasi dengan mematuhi prinsip dan peruntukan yang termaktub di dalam konvensyen itu terutama berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak.

-BERNAMA