Categories
NASIONAL

Pembersihan Pilihanraya Melalui Parlimen

spr on black 01

KUALA LUMPUR, 26 JUN : Dewan Rakyat akan menjadi medan terbaru bagi Pakatan Rakyat memperjuangkan pembersihan proses pilihanraya supaya pilihanraya ke-14 nanti tidak dicemari penipuan dan kepincangan yang mencacatkan PRU ke 13 bulan lalu.

Ini susulan daripada 34 petisyen yang difailkan Pakatan bagi mencabar keputusan PRU-13 dan siri himpunan rakyat Black505 yang mendapat sambutan hangat seluruh negara.

Ahli parlimen Pakatan akan terus mendesak supaya pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan dan pengganti mereka dipilih dan dipersetujui semua ahli parlimen, mahupun Pakatan atau Umno-BN.

Pakatan akan juga memastikan bahawa persempadanan semula kawasan parlimen dan dewan undangan negeri dijalankan dengan telus bagi memastikan prinsip satu pemilih, satu undi dilaksanakan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, antara perkara yang paling utama adalah mendesak supaya pimpinan SPR sekarang yang menjalankan PRU 13 digantikan dengan orang baru.

Tony berkata hanya pimpinan SPR yang baru dapat memastikan bahawa pembahagian kerusi dalam persempadanan semula akan berlaku dengan adil.

“Kita tahu walaupun PR dalam Parlimen adalah pembangkang, tetapi kita telah memperoleh 51 peratus undi berbanding Umno-BN yang hanya mendapat 47 peratus undi sahaja.?

Pakatan dan NGO seperti Bersih dan SAMM mendakwa PRU 13 yang berlangsung pada 5 Mei sarat dengan insiden penipuan dan pelanggaran peraturan SPR.

Ini seperti kehadiran warga asing yang diberikan kad pengenalan untuk mengundi, sekatan terhadap ejen Pakatan untuk mengawal kotak kertas undi awal, jumlah kertas undi yang tidak konsisten dan rasuah oleh calon atau ejen semasa tempoh berkempen.

SPR juga didakwa gagal melaksanakan dasarnya sendiri untuk menggunakan dakwat kekal.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata masalah sistem pilihanraya pernah dibangkitkan Pakatan dan masyarakat sivil sebelum PRU-13 lagi, namun ia tidak pernah diendahkan Kerajaan Persekutuan Umno-BN.

“Selagi SPR tidak dilihat sebagai bebas, tiada reformasi dalam peranannya serta tidak diletakkan di bawah Parlimen, maka ia akan terus dipertikaikan.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berpendapat, Pakatan akan memastikan tiada kelompongan terhadap sistem pilihan raya di masa akan datang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Speaker Teng: Orang Luar Boleh Buat Sidang Media Di Dewan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 22 NOV : Kerajaan Negeri tidak bercadang menguatkuasakan larangan penggunaan sudut media di lobi Dewan Annex oleh orang luar sepertimana diputuskan oleh parlimen Malaysia kata, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim.

Sebaliknya menurut Teng, sesiapa sahaja berhak  mengadakan sidang media selagi mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita menghalang sebarang bentuk demonstrasi atau bantahan yang akan menimbulkan kekecohan di sini,” katanya dalam sidang media di SUK, hari ini.

Katanya, pelaksanaan larangan di Parlimen itu disifatkan sebagai menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara atau menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara.

Awal November lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan larangan lisan penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh mereka yang bukan ahli Parlimen.

Dalam sidang media sama, Teng turut menerangkan garis panduan yang akan diguna pakai oleh Adun dalam mesyuarat Dewan Negeri yang dikuatkuasa serta-merta.

Antaranya, berkenaan Peraturan Tetap 24 di mana masa untuk Menteri Besar memberi jawapan lisan kepada setiap pertanyaan adalah terhad kepada tiga minit, masa untuk Adun mengeluarkan pertanyaan tambahan adalah terhad kepada 30 saat dan masa untuk Menteri Besar memberi jawapan balas terhad kepada tiga minit.

Sementara itu, di bawah Peraturan Tetap 26 menerangkan sesuatu usul yang dicadangkan itu akan digugurkan sekiranya tidak memperolehi sokongan daripada seorang Adun lain untuk dibahaskan.

“Berkenaan Peraturan 66(4), masa yang diperuntukkan bagi membincangkan setiap kepala perbelanjaan dalam anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang hendaklah tidak kurang daripada setengah jam.

“Pada akhir perbincangan, mana-mana kepala anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang, Menteri Besar boleh meminta izin untuk membuat penggulungan selama tiga minit.

“Walau apa pun yang diperintahkan di sini, Tuan Speaker atas pertimbangannya boleh melanjutkan had masa yang ditetapkan mengikut keadaan dan keperluan masa,” katanya lagi.

Kaum Ibu Hadir Ke Parlimen Bantah Lynas

KUALA LUMPUR, 5 NOV : Sekumpulan ibu-ibu prihatin dari Kuantan berjanji meneruskan penentangan terhadap projek kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation kerana bimbang ancaman terhadap masa depan anak-anak mereka.

Kumpulan yang diketuai Rahiza Zulkifli itu hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, mereka amat perihatin dengan keputusan kerajaan meluluskan lesen sementara kepada Lynas bagi memulakan operasi memproses nadir bumi dari Mount Weld, Australia.

Memorandum tersebut diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bagi pihak Najib yang sedang berada di luar negara.

“Sebagai ibu, kami sentiasa mahukan yang terbaik bagi keluarga kami. Untuk anak-anak dan juga untuk negara Malaysia tercinta.

“Kami juga mahukan pembangunan lestari yang tidak mengancam alam sekitar dan juga kehidupan seharian,” kata Rahiza.

Majlis penyerahan memorandum berkenaan dibuat di pejabat Nazri, tingkat satu bangunan Parlimen sambil ditemani Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Mengulas tuntutan dari kumpulan ibu-ibu Kuantan, Fuziah berkata, seorang ibu akan melakukan apa sahaja bagi menjamin masa depan dan keselamatan anak mereka.

“Ini adalah naluri seorang ibu. Bahawa akan ada bahaya yang mengancam keselamatan anak-anak mereka dan juga generasi akan datang (dengan operasi Lynas),” katanya.

Categories
NASIONAL

PR Akan Perjelas Laporan Audit Ketua Negara Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 OKT : Pakatan Rakyat(PR) akan mengadakan penjelasan menyeluruh kepada rakyat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2011 berkenaan ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan audit yang dikemukakan itu menunjukkan berlakunya ketirisan yang jumlahnya melebihi berbilion ringgit.

“Ketirisan itu berlaku yang dipadam begitu sahaja adalah berkenaan hutang-hutang dan projek-projek kepada rakyat seperti rumah-rumah guru dan tentera yang tergendala,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau kesal kerana laporan audit itu lambat dibentangkan di Parlimen.

“Walaupun ia sudah diterima oleh pihak Parlimen tetapi ia merupakan pelanggaran kepada Parlimen oleh pihak Eksekutif.

“Setiap tahun kita melihat laporan audit lebih tebal dan berat yang menunjukkan semakin banyak kes yang menunjukkan bahawa perubahan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah penyelewengan,” kata Kit Siang.

Sebelum ini, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010.

Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010.

Categories
NASIONAL

DBKL Digesa Kaji Semula Keberkesanan Sistem ITIS

KUALA LUMPUR,16 OKT : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula keberkesanan pelaksanaan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan bahawa pelaksanaan sistem itu gagal mencapai spesifikasi yang sepatutnya dan ia membazirkan wang rakyat khususnya pembayar cukai.

“Projek ITIS yang menelan kos sebanyak RM365 juta yang dilaksakanakan pada 2005 melalui tender terus.

“Kita mendesak pihak DBKL agar menghentikan praktis tender terus ini kerana ia membabitkan wang rakyat.

“Ia sesuatu perkara yang perlu dijawab oleh Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib mengenai keperluan sistem itu dan apakah pihak syarikat itu perlu dipertanggungjawabkan,” kata Nurul semasa sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, sistem ITIS itu sehingga 2010 pihak DBKL masih memberikan geran kepada ITIS sebanyak RM65 juta untuk penyelenggaraan dan pengoperasian sistem itu.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw berkata, pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur juga digesa membentangkan jumlah kos sebenar pelaksanaan sistem ITIS.

“Pihak Menteri juga perlu mengumumkan samada untuk meneruskan projek yang membazirkan wang rakyat ini,” katanya.

Turut serta dalam sidang media itu Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Cheras,Tan Kok Wai.

ITIS ialah sebuah sistem maklumat pengangkutan bersepadu yang dibina khas untuk DBKL mengawasi aliran trafik serta menganalisa data keadaan lalulintas di Lembah Kelang untuk disampaikan kepada pengguna jalan raya.

Categories
NASIONAL

OKU Ikrar Bantu PR Tawan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berikrar untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Lontaran ini disuarakan oleh Ketua Penggerak Kempen OKU Bangkit 2012, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, kempen ini merupakan satu mekanisme bagi mengetengahkan permasalahan OKU agar lebih diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Diharapkan parti politik akan peka mengenai OKU dalam menifesto pilihanraya akan datang. Kita bersedia untuk membantu PR memenangi Putrajaya InsyaAllah,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memberikan elaun kecacatan kepada OKU secara menyeluruh tanpa mengikut jenis kecacatan dan gaji pekerja OKU.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan tambahan kewangan kepada OKU yang bekerja sehingga mencapai pendapatan RM1,500 sebulan dan RM150 kepada OKU yang tinggal di rumah.

“Pembangunan OKU perlu dibuat secara menyeluruh. Satu portfolio OKU perlu dimartabatkan di peringkat kementerian di persekutuan dan exco di peringkat negerim.

“Kita harapkan dalam Bajet 2013 ada sesuatu untuk OKU,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan terus mendokong segala usaha pembangunan kepada golongan OKU di seluruh Malaysia.

Katanya, penubuhan sekateriat ini juga merupakan langkah awal bagi membantu kemenangan PR bagi membangunkan OKU kelak.

“Pihak kami akan mengikhtiarkan sebuah pusat khidmat atau sehenti OKU nasional bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih signifikan kepada OKU termasuk kajian berkaitan OKU, advokasi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan.

“Meskipun belum memerintah, kami akan mengikhtiarkan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Anwar Dedah Kepincangan Projek Lebuh Raya Pantai Timur

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan terpaksa menanggung kerugian besar dalam melaksanakan Projek Lebuh Raya Pantai Timur apabila beberapa keputusan yang dibuat tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan Menjunjung Titah Diraja di Dewan Parlimen baru-baru ini, kerugian tersebut berlaku disebabkan terdapat beberapa kontraktor yang sepatutnya disenarai hitamkan dari mendapat tender telah diberikan tender oleh kerajaan.

“Jadi maknanya ada suatu pakatan kerjasama. Sepatutnya, yang saya tahu financial prosedur itu jelas, mana-mana syarikat yang gagal maka semua anak syarikat itu dikecualikan daripada mendapat tender semula.

“Akan tetapi ini diberikan pengecualian, pakej kelapan, anugerah kepada Arah Jitu RM80 juta, mansuh November 2009.

“Kemudian, ditender semula, berikan pula kepada Arah Jitu, harga RM76 juta.

“Ini kontrak apa sebegini? Ia gagal, kita anugerahkan semula. Jadi, kontraktor yang gagal untuk melaksanakan dua pakej; 8B dan 9B, dipilih semula dengan harga yang jauh lebih tinggi,” ujar beliau.

Anwar turut memberitahu dewan bahawa Kerajaan juga didapati tidak menuntut kembali bayaran yang telah dibayar kerajaan kepada syarikat-syarikat yang gagal menyiapkan projek yang diberikan kepada mereka.

“Ini saya tekankan kerana kontrak 1A, pakej 1A bernilai RM41.86 juta dianugerahkan kepada Ascent Vest Sdn Bhd, dimansuhkan pada April 2010 setelah membayar RM27.2 juta.

“Ditender semula, dianugerahkan kepada Q-Bena dengan harga RM31.1 juta dengan tambahan dana. Kontraktor pertama patut bayar ganti rugi.

“Pakej keempat dianugerahkan kepada Kobena Corporation harga RM61 juta, gagal lagi siap dan diberikan kepada syarikat baru, pakej ketiga.

“Yang hendak saya tekankan pakej keempat ini tadi ialah setelah gagal syarikat ini diberi pula kepada anak syarikat yang sama, anak syarikat kepada syarikat induk yang sama,” katanya lagi.

Sebelum ini beberapa media tempatan melaporkan pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Timur ini telah mengalami kelewatan dari jadual kerja disebabkan kegagalan beberapa kontraktor yang dianugerahkan projek ini menyiapkan kerja-kerja mereka.

Malah beberapa media siber turut melaporkan aliran air Sungai Bagus, Terengganu turut dilencongkan bagi membolehkan aliran air mengalir di bawah jambatan yang dibina di atas daratan sebelumnya.

Selain itu, kos pembinaan proejek ini juga meningkat kepada RM210 Juta dengan tambahan RM70 Juta dari harga asal iaitu RM174 Juta.