SHAH ALAM, 18 FEB: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) harus menghormati semangat rundingan pembahagian kerusi pilihan raya negeri (PRN) Johor bagi mengekalkan kerjasama blok pembangkang.
Mengajak Muda fokus kepada musuh sebenar, pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengingatkan persefahaman antara parti kunci kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum ke-14.
“Malah, rundingan juga belum lagi selesai dan selaku parti yang baru sahaja menyertai khemah besar Pakatan Harapan, maka Muda sewajarnya berdiri teguh bersama HARAPAN dan menghormati proses rundingan,” kata Saifuddin Shafi Muhamad dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan KEADILAN sentiasa mengamal semangat kerjasama tetapi parti itu tidak wajar diperkecil sewenang-wenangnya, apatah lagi sumbangan dan kewibawaannya terbukti selama ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Februari. Pengundian awal pada 8 Mac manakala pembuangan undi 12 Mac.
Pada laporan media, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga ahli parlimen Muar berkata partinya mungkin bertanding melawan KEADILAN pada PRN Johor jika perundingan kerusi gagal.
Pada 14 Februari, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 13 calon PRN Johor termasuk bekas menteri pendidikan Maszlee Malik.