Categories
SELANGOR

Prestasi Bola Sepak Selangor Masih Membanggakan

SHAH ALAM, 28 NOV: Pencapaian pasukan bola sepak Selangor menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Malaysia 2012 disifatkan suatu pencapaian yang masih boleh dibanggakan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kejayaan pasukan Selangor itu lebih baik berbanding pasukan lain yang berbelanja tinggi tetapi tiada impak.

Walaubagaimanapun, bagi musim 2013 seramai 11 pemain baru diserapkan ke dalam skuad bola sepak ini yang terdiri daripada bekas pemain Harimau Muda, bekas pemain pasukan negeri lain dan bekas pemain Piala Presiden Selangor.

“Seramai 12 pemain lama dan kurang berkesan ditukarkan dan diganti dengan pemain baru bagi menggalas misi pada tahun hadapan,” katanya yang merupakan Adun Sijangkang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) mengenai prestasi skuad bola sepak Selangor hari ini.

Dalam saingan Piala Malaysia 2012 lalu, pasukan Selangor tewas di peringkat separuh akhir kepada pasukan Kelantan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut bersetuju akan memberikan insentif kepada pemain bola sepak Selangor jika berjaya mendapat sebarang piala dalam setiap kejohanan yang disertai.

Selain itu, Dr Ahmad Yunus turut menyifatkan penglibatan ahli politik dalam sukan bola sepak di negara ini tidak menjadi suatu kesalahan besar jika komitmen yang diberikan sepadan dengan tanggungjawab yang dipikulnya dalam pasukan itu.

“Jika ahli politik dapat memberikan komitmen yang tidak dapat diberikan oleh orang biasa, pada saya, ia tidak menjadi suatu kesalahan demi meningkatkan mutu permainan bola sepak sesuatu pasukan itu,” katanya lagi.