Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno Tg Karang Jual Tanah Kerajaan bakal Ke SPRM

SHAH ALAM, 13 MAC: Selepas kontroversi pertunangan anak Perdana Menteri, satu lagi penyelewengan pemimpin Umno dijangka turut dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedikit masa lagi.

Isu yang membabitkan penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor itu turut membabitkan Umno Bahagian Tanjung Karang yang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman, PAS Tanjung Karang ketika ini sedang mengumpulkan fakta kes terbabit sebelum menyerahkan kepada pihak guaman yang dilantik untuk tindakan selanjutnya.

“Sekarang PAS Tanjung Karang sedang kumpulkan fakta berkaitan kes ini.

“Kebanyakkan fakta kami dah perolehi, cuma tinggal beberapa perkara yang masih diteliti sebelum kami bawa kepada pihak guaman untuk tindakan selanjutnya buat laporan SPRM,” beritahu beliau.

Terdahulu, TVS dan Selangor Kini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor ketika di bawah pentadbiran BN telah menganugerahkan sebidang tanah milik kerajaan negeri kepada Umno bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun pada sekitar 2007, tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional telah dijual oleh Umno Tanjung Karang kepada dua buah syarikat swasta, Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada harga yang tidak diketahui.

Carian yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang memiliki kepentingan di salah satu syarikat terbabit.

Syarikat tersebut turut membuat permohonan untuk mendirikan hotel di atas tanah seluas 4,370 meter persegi yang turut terdapat sebuah gimnasium yang telah dikosongkan.

Bagaimanapun, permohonan syarikat terbabit telah ditolak dalam mesyuarat Ahli-ahli Majlis Daerah Tanjung Karang.

Dalam isu yang sama, Noh Omar turut menghantar seorang wakil untuk membuat rayuan kepada Misran agar beliau menarik kembali kenyataan terdahulu beliau berkaitan isu ini.

Bagaimanapun rayuan tersebut tidak dilayan oleh Misran.