Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen BN, PAS antara tiba di Istana Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Istana Negara terus menjadi tumpuan hari ini, tiga hari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Isnin lepas.

Bas membawa ahli parlimen Umno dilihat memasuki pintu dua Istana Negara pada pukul 10.38 pagi, diikuti lebih 10 kenderaan lain.

Difahamkan, ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS juga antara yang dijadual tiba di Istana Negara antara pukul 11 pagi hingga 4 petang ini.

Pada pukul 4 petang semalam, tamat tempoh untuk ahli parlimen menyerahkan satu surat akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Notis itu yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun kepada 220 ahli Dewan Rakyat, bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh, Isnin lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin jumpa ketua parti gabungan PN dua jam

PUTRAJAYA, 11 OGOS : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra di sini.

Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Berdasarkan mesej yang tular, satu perjumpaan khas ketua-ketua parti dalam PN bersama Muhyiddin dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 5 petang ini.

Kenderaan yang membawa Abang Johari memasuki Perdana Putra pada jam 4.36 petang, manakala Wee pada jam 4.53 petang.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin yang juga Pengerusi PN meninggalkan Perdana Putra pada jam 7.22 malam, disusuli Abang Johari.

Kenderaan yang membawa Wee pula dilihat keluar pada jam 7.05 malam dan diikuti kenderaan yang membawa Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Usaha pihak media yang menanti untuk mendapatkan ulasan berhubung pertemuan tersebut tidak berhasil.

Walaupun tiada butiran agenda mengenai pertemuan tersebut, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan situasi politik semasa negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas Pengasas Harakah Subky Latif meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Bekas Pengasas Harakah dan Pengerusi Veteran Pas, Subky Abdul Latif, 80, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak dekat sini 11.05 pagi.

Berita pemergian Subky dikongsikan dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya hari ini dan disahkan oleh anak sulungnya, Dang Fatiha Subky.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Amin,” menurut hantaran itu.

Ketika dihubungi Bernama, Dang Fatiha berkata, pada saat akhir hayat Allahyarham dikelilingi isteri, Naznah Taha dan lima anaknya.

“Allahyarham meninggal dunia akibat sakit myelodyplastic syndrome (MDS) pre-leukimia yang ada kaitan dengan darah,” katanya.

Menurut Dang Fatiha, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah selepas Zohor, dekat sini, untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Piagam PAS-Umno: MB gesa jauhi politik perkauman melampau

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: PAS dan UMNO digesa supaya menjauhi gerakan politik perkauman melampau yang mampu mencetuskan suasana tidak sihat dalam negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, piagam kerjasama antara Pas dan UMNO yang dimeterai dalam acara kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah hari ini haruslah berpegang kepada Perlembagaan Negara.

“Mereka sebagai sebuah parti ada hak bergabung dan saya ucapkan semoga berjaya (kerana) masing-masing ada misi politik masing-masing.

“Negara kita negara berbilang kaum dan harus mempunyai polisi seimbang tetapi konteks penyatuan mereka bukanlah aslinya untuk penyatuan ummah sebab bagi saya orang Melayu juga ada dalam parti lain.

“Mereka akan mencipta gerakan politik perkauman melampau, saya bimbang dan harapnya mereka kekal kepada asas perlembagaan, harapnya mereka tidak melampau dalam mengetengahkan perjuangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Hibiscus 3 di Bandar Seri Coalfields di sini, hari ini.

Himpunan Penyatuan Ummah yang julung kali diadakan, berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Himpunan itu lebih dilihat sebagai permulaan kerjasama politik lebih rapat antara PAS dan Umno selepas bermusuhan lebih 60 tahun untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan.

Categories
NASIONAL

Isu RM90 juta: SPRM hantar kertas siasatan selewatnya minggu hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar hasil siasatan berhubung dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada UMNO kepada pihak pendakwa raya selewat-lewatnya minggu hadapan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan pihak pendakwa raya akan menentukan tindakan selanjutnya.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai penyiasat dan laporan yang saya diterima kes ini berada di peringkat akhir siasatan. Kita ada buka beberapa kertas siasatan tetapi beberapa kertas siasatan akan dikemukakan kepada pendakwa raya.

“Saya telah mengarahkan pegawai penyiasat, paling lewat minggu hadapan kemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk dibincangkan dan mendapat sebarang arahan berhubung kes berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes membabitkan parti PAS pada Majlis Perasmian Kompleks Bangunan Baharu SPRM Negeri Selangor di Seksyen 16, di sini.

Ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil beberapa pemimpin PAS lain, Azam berkata, beliau enggan membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dalam kenyataan pada 24 Februari lalu di Kuala Terengganu mengesahkan SPRM tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun bank rasmi PAS.

“Siasatan SPRM setakat ini memang tak ada dana RM90 juta yang dikatakan wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun (bank) PAS,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu kerjasama KEADILAN dan PAS

OLEH: DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Saya telah meneliti kenyataan sdr Rafizi Ramli, Naib Presiden dan ahli-ahli yang melahirkan keresahan kerana corak cadangan kerjasama KEADILAN dengan PAS yang dianggap samar dan berlarutan tanpa dimuktamadkan.

Keadaan sedemikian dianggap mengelirukan dan dikhuatiri akan menjejaskan muafakat Pakatan Harapan. Pimpinan Pakatan Harapan juga telah menjelaskan pendirian menolak kerjasama dengan PAS.

Pimpinan KEADILAN bergerak atas prinsip musyawarah dan harus menangani kegelisahan yang disuarakan dan sentimen umat dengan penuh hikmah.

Namun saya perlu menjelaskan bahawa komitmen KEADILAN teguh dan kukuh bersama Pakatan Harapan sepertimana yang dizahirkan sdri Azizah sejak awal lagi.

Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga penjuru. Pertimbangannya adalah menggembeleng seluruh kekuatan dalam menghadapi UMNO-BN dalam PRU 14.

Garis yang ditetapkan dengan jelas adalah kerjasama tersebut, seandainya berlaku, tetap dalam kerangka komitmen KEADILAN dengan Pakatan Harapan.

Sdr Azmin yang diminta menerajui inisiatif ini sedar bahawa yang disarankan adalah strategi nasional dan tidak terbatas kepada Selangor sahaja. Wajar ditegaskan semula bahawa ikhtiar KEADILAN adalah bagi menjernihkan suasana dan merangkul kekuatan rakyat.

Pertemuan sdri Azizah (Presiden) dan sdr Azmin (Timbalan) dengan Tuan Guru Hj Hadi juga telah mengundang pelbagai reaksi.

Saya alu-alukannya dengan maksud menziarah sahabat lama dan bersilaturrahim sambil menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas pemulihan kesihatan beliau.

Hj Hadi juga menerima kami dengan semangat kekeluargaan yang baik. Malangnya, terdapat kecaman dan serangan kasar dari beberapa pimpinan PAS terhadap KEADILAN.

Nasihat saya kepada pimpinan adalah untuk mengenepikannya kerana tumpuan kita adalah terhadap kerakusan dan rasuah pemerintahan UMNO-BN.

Saya tidak menghalang sebarang penjelasan dari pimpinan untuk meluruskan kekeliruan yang timbul, termasuk dalam isu RUU 355.

Menyingkap pengalaman saya berbincang dengan pimpinan PAS dan DAP secara berasingan sebelum pembentukan Pakatan Rakyat, perlu diperjelas bahawa ia didasarkan kepada beberapa prinsip yang dipersetujui bersama.

Kerumitan dirungkai, walaupun pada peringkat awal dilakukan secara berasingan.

RAKYAT MALAYSIASaya akui keadaan sekarang lebih rumit dan mencabar, kerana PAS telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.

Akan tetapi, hampir dua tahun lalu saya menyarankan KEADILAN tidak semestinya memutuskan hubungan dengan PAS selagi ada kesediaan di pihak PAS untuk meneruskan perbincangan.

Secara konsisten saya telah suarakan pendirian tersebut kepada pimpinan KEADILAN, DAP, BERSATU dan AMANAH. Pimpinan berhak membuat penilaian dari masa ke semasa.

Maka saya tidak dapat meremehkan kerisauan yang disuarakan oleh rakan-rakan.

Pertama, kerana timbul persepsi kemungkinan kerjasama PAS dan UMNO, tetapi ura-ura tersebut telah dibantah keras oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim.

Kedua, tempoh yang lama dan berlarutan dianggap akan menjejaskan ikhtiar parti dalam mengemaskini jentera pilihanraya; malah berisiko tinggi seandainya terdapat kejutan!

Ini dapat dihindari seandainya seluruh pimpinan dan jentera KEADILAN bergerak pantas sebagai satu pasukan padu, menyemarakkan gema Reformasi dan agenda perjuangan rakyat, kebebasan dan keperitan hidup mereka.

Kita tidak pernah berganjak dari tekad menentang kezaliman, perkauman dan rasuah.

Secara peribadi, memahami semangat demokrasi KEADILAN, saya tidak keberatan jika ingin dikendali Kongres Khas.

Kemusykilan saya adalah keperluannya memandangkan tiada perubahan dasar yang berlaku. Malah dengan kemungkinan PRU 14 diadakan dalam tempoh terdekat, segala keputusan perlu dimuktamadkan segera.

Dengan penjelasan ini, saya mohon pertimbangan dan kerjasama rakan-rakan untuk memberikan sedikit ruang kepada Presiden dan pimpinan untuk memberi penjelasan dan menentukan dasar dan arah selanjutnya selaras dengan pendirian KEADILAN dan muafakat Pakatan Harapan.

Semua tindakan seterusnya harus diadakan menurut saluran parti.

Salam Reformasi!

Anwar Ibrahim
2 September 2017

Categories
NASIONAL

Azmin: Bincang dengan PAS mewakili parti, bukan individu

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 26 OGOS: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan perbincangan bersama PAS dilakukannya adalah mewakili KEADILAN dan tidak dilakukan atas kapasiti individu.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menjelaskan ia adalah kata putus diambil KEADILAN bagi mengadakan perbincangan ke arah mewujudkan kerjasama dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14 ini.

“Ia bukan inisiatif saya secara peribadi tetapi keputusan dibuat KEADILAN dan saya hanya bertindak sebagai wakil parti.

“Saya juga sudah memaklumkan sebelumnya ia bukan perbincangan formal antara KEADILAN dan PAS,” katanya kepada media.

MBMohamed Azmin berkata demikian sekembalinya beliau dan rombongan dalam lawatan kerja ke Zurich, Switzerland di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, perbincangan itu hanya membabitkan kedua-dua parti iru dan tiada kaitan dengan Pakatan Harapan.

“Perbincangan hanya antara KEADILAN dan PAS serta belum ada perbincangan formal.

“Perjumpaan antara Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadil Awang, adalah satu ziarah,” katanya.

Mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehen Mukhyi bahawa parti itu akan bertanding di 42 daripada 56 kerusi di Selangor, beliau berkata, perbincangan lanjut boleh diadakan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ini biasa di mana parti politik boleh bertanding di mana-mana kerusi dan ia dapai diselesaikan dalam bentuk perbincangan.

“Kita akan berbincang dengan semua parti kecuali Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Usaha cari jalan terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Pertemuan dengan pimpinan PAS adalah usaha diputuskan KEADILAN bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkait kerjasama dengan parti berkenaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun pertemuan yang belum ada sebarang keputusan itu tiada kaitan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Ia tiada kaitan dengan HARAPAN kerana saya tidak boleh mengadakan perbincangan mewakili HARAPAN.

“Ia adalah tindakan diputuskan KEADILAN untuk terus mengadakan perbincangan dengan PAS,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Aidiladha peringkat Selangor di Masjid Selayang Baru, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, sebarang pertemuan atau perbincangan dengan pimpinan PAS mengenai perkara berkaitan adalah inisiatif diambil KEADILAN bagi mewujudkan kerjasama dengan parti berkenaan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

PAS Selangor ambil maklum titah Sultan Sharafuddin

OLEH SALLEHEN MUKHYI

PAS Selangor telah mengambil maklum terhadap Titah Tuanku DYMM Sultan Selangor melalui kenyataan khas terhadap kedudukan Exco PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor.
Kenyataan ini juga sekali gus mengambil maklum terhadap pendirian yang telah dibuat oleh PKR melalui kenyataan Presidennya sejurus selepas mesyuarat Biro Politik mereka. PAS menjunjung kasih dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh DYMM Tuanku Sultan serta berterima kasih atas pendirian yang telah dibuat oleh PKR.
Sejak dari awal mandat rakyat ini diperolehi melalui Kerajaan Pakatan Rakyat mei 2013, PAS Selangor begitu TEGUH DAN SETIA bersama-sama dengan semua Menteri Besar yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Sama ada ketika Selangor dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apatah lagi dengan Menteri Besar Selangor sekarang, Dato’ Seri Mohammad Azmin Ali.

PAS Selangor percaya bahawa KESETIAAN dan KEYAKINAN terhadap pemimpin yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan adalah asas penting untuk mempastikan KESTABILAN POLITIK dapat dipelihara dengan baik dan waktu yang sama KEPERCAYAAN RAKYAT dapat dilaksanakan dengan jayanya.

PAS Selangor telah mempertegaskan sebelum ini bahawa keputusan untuk putus Tahaluf Politik adalah yang berkaitan dengan persediaan menghadapai pilihanraya yang akan datang dan tidak berkait dengan urustadbir kerajaan negeri.

PAS Selangor juga mengambil pendirian bahawa putus tahaluf bukan bermakna putus silaturrahim, putus setiakawan, putus hubungan kerjasama dalam melakukan kebaikan (Taawun). Bahkan akan terus memperkukuhkannya.

PAS Selangor melalui 3 Exco dan 10 wakil rakyatnya akan terus bekerja bersungguh-sungguh dan meneruskan kesetiaan dan khidmat cemerlang mereka bersama dengan Dato’ Menteri Besar dan kesemua exco dan wakil rakyat kerajaan Negeri Selangor. Apa yang penting bagi kami, kepentingan rakyat dan kestabilan politik adalah keutamaan yang tiada tukar gantinya.

Menyedari terhadap demografi masyarakat negeri Selangor.

PAS akan terus menggunakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dalam menghadapi situasi yang mendatang. Berpolitik secara santun, berpolitik secara hujjah bukan sumpah seranah, berpolitik secara rasional dan bukan emosional adalah antara keperluan bagi memastikan kestabilan kerajaan tercapai.

Bagi pihak-pihak yang sering mengeluarkan perkataan sumbang, yang dengki dengan kejayaan Kerajaan Selangor dan yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana konflik politik di Selangor harap dapat mengambil pengajaran dan peringatan terhadap Titah DYMM Tuanku Sultan Selangor serta meyakini pendirian yang telah dinyatakan oleh Presiden PKR. Teguh dan setia bersama rakyat.

Salam Ramadhan Karim.

# Sallehen Mukhyi adalah Pesuruhjaya PAS Selangor

Categories
SELANGOR

Semangat ADN dan Exco PAS Selangor dipuji

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS dan Exco PAS yang kekal bersama pentadbiran Kerajaan Negeri wajar dipuji.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, tindakan itu wajar dikekalkan kerana barisan kerajaan hari ini dipilih rakyat.

“Kita diberi mandat pada 2008 dan 2013 bagi membentuk Pakatan Rakyat. Atas semangat itu, Pakatan Rakyat masih wujud.

Shuhaimi 1“Rakyat menilai dan tiada apa yang perlu dirisaukan walaupun mungkin berlaku perubahan keputusan politik daripada pihak tertinggi PAS,” katanya kepada SelangorKini.

Shuhami manasihatkan sebagai ADN yang diberi mandat, semua pihak perlu bertanggungjawab mendahului rakyat dalam sebarang keputusan yang dibuat.

“Mandat yang diterima ini akan berakhir tahun kelima pemerintahan.

“Dalam pemerintahan ketika ini, semua ADN mesti berpegang pada prinsip Pakatan Rakyat dan kita wajib mempertahankannya seperti ditegaskan Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini,” katanya.

Pada masa sama, Shuhami mahu pihak terbabit untuk segera berhenti mencemarkan imej Kerajaan Negeri.

“Saya nasihatkan usah menangguk di air keruh. Rakyat tahu kita mengamalkan pemerintahan yang telus dan ‘good governance’.

“Jika ingin menarik simpati politik, gunakan cara berhemah. Lawan secara anak jantan bukan menggunakan badan atau persatuan.

“Laksanakan program mereka kepada rakyat kerana rakyat memilih bukan berasaskan adu domba,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Beli ADN PAS Selangor kerja sia-sia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 MEI: PAS Selangor mengingatkan semua barisan Exco dan Ahli Dewan Negeri (ADN) mereka tidak tergoda dengan sebarang tawaran termasuk wang ringgit hanya untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri sedia ada.

Exco Kanan Kerajaan Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam kenyataannya menegaskan, PAS tidak akan sama sekali berkerjasama denga Umno demi membentuk Kerajaan Negeri baru.

Katanya, sebarang usaha untuk membeli Exco atau ADN PAS adalah sia-sia kerana ia tidak akan berjaya.

iskandar01“Sebagai Exco Kanan Kerajaan Selangor, saya ingin menegaskan di sini bahawa Exco dan ADN PAS di Selangor tidak boleh dibeli untuk menggulingkan Kerajaan Negeri hari ini.

“Tidak ada jumlah wang yang akan dapat membeli Exco atau ADN untuk membentuk Kerajaan Negeri yang baru bersama Umno,” katanya.

Katanya, perkara itu sudah dibuktikan ketika Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi.

“Kerajaan Negeri (ketika itu) tidak tumbang kerana tidak ada satu pun ADUN PAS yang dapat dibeli.

“Oleh yang demikian, sudah terbukti bahawa wakil rakyat PAS mempunyai integriti yang tinggi dan tidak akan menggadaikan prinsip mereka,” katanya.

Katanya, rakyat di Selangor mendapat pembelaan yang sewajarnya sejak Mac 2008 dan menyifatkan menyerahkan pemerintahan kepada Umno sebagai tindakan tidak masuk akal

“Mereka menikmati manfaat daripada pelbagai program kebajikan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Tidak masuk akal untuk menyerahkan kembali negeri ini kepada Umno, sekali gus merungkai segala inisiatif yang diusaha dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Mandat besar yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum 2013 tidak akan dikhianati,” katanya.

Categories
SELANGOR

PAS Selangor kekal kerjasama pentadbiran negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MEI: Tiada sebarang keperluan berlakunya peralihan kuasa membabitkan gabungan komponen PAKATAN dalam pentadbiran di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad menafikan desas-desus kononnya peralihan kuasa bakal berlaku dalam tempoh terdekat.

“Exco menjalankan tugas seperti biasa, tidak ada perubahan.

ISKANDAR SAMAD“Kita sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Umno untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri sedia ada,” katanya, lapor portal media.

Pendirian sama turut dinyatakan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, amanah rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu memutuskan pentadbiran sedia ada diteruskan.

“Sehingga kini kerjasama itu berjalan seperti biasa,” katanya.

Selain Iskandar dan Zaidy, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri daripada PAS adalah Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi.

Terdahulu, gabungan PAKATAN dengan kerjasama KEADILAN, DAP dan PAS mengekalkan kuasa di negeri dengan memenangi 44 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, pada PRU-13.