Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN tunggu keputusan muktamad

SHAH ALAM, 29 APRIL: KEADILAN menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan PAS untuk menentukan tahaluf siyasi dengan parti itu, kata bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, KEADILAN menghormati prinsip dan keputusan yang bakal dibuat, namun menegaskan tetap mempunyai hubungan baik dengan parti Islam itu.

“Terpulang (kepada PAS) tetapi kita ada hubungan baik dengan mereka,” katanya ringkas selepas prosiding di Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya masih menunggu keputusan muktamad Majlis Syura Ulamak PAS.

Katanya, setakat ini KEADILAN tidak mempunyai masalah berhubung kerjasama dengan parti itu di Selangor.

“Kita lihat dulu apa keputusan Majlis Syura. Dari segi kerja tiada masalah, cuma polisi perlu tunggu keputusan muktamar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Azmin optimis kekal hubungan baik dengan PAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: KEADILAN menyerahkan kepada pucuk pimpinan PAS untuk membuat keputusan berkenaan hala tuju antara kedua-dua parti itu dalam komponen pembangkang.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu perlu dibincangkan pada muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung April ini.

Katanya, beliau menganggap hubungan dengan PAS berjalan seperti biasa walaupun PAS Permatang Pauh dan Bayan Baru membuat ketetapan memutuskan hubungannya dengan parti itu.

“Kita akan bincang. Misi satu lawan satu kita masih sama, teruskan perbincangan dan tengok apa yang berlaku pada muktamar nanti.

“Kita tidak pernah putuskan hubungan dengan mana-mana pihak. Jadi, itu kita serahkan kepada kebijaksanaan PAS untuk menentukannya.

CP2A1470-800x533“Bagi pihak KEADILAN, kita mahu semua parti yang progresif, ingin lakukan perubahan bersama-sama. Pendirian kita tidak berubah,” katanya ketika media, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menyifatkan hubungan PAS dan KEADILAN di Selangor mantap dan baik.

Katanya, kesan tindakan itu tidak mempengaruhi hubungan PAS Selangor khususnya pimpinan Exco dan sidang Dewan Negeri.

“Alhamdulillah, tiada masalah. Kerjasama PAS di Selangor cukup mantap, kita ada AMANAH, DAP, BERSATU.

“PAS Selangor juga sudah keluarkan kenyataan berkali-kali, mereka mempertahankan agenda bersama, dasar bersama Kerajaan Negeri dan dalam sidang dewan serta mesyuarat Exco.

“Exco PAS juga mempertahankan dasar Kerajaan Negeri. Saya tiada masalah, kamu boleh datang mesyuarat Exco akan datang. Mereka selalu ada untuk sokong Kerajaan Negeri,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAS nafi bakal sertai Umno, laporan media diputar belit

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 DIS: PAS Selangor menafikan dakwaan media kononnya parti itu akan menjalinkan kerjasama gabungan bersama Umno, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

iskandar01Naib Presidennya, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, kenyataannya yang dipaparkan di akhbar Sin Chiew Daily hari ini diputar belit, sekali gus menimbulkan kekeliruan umum.

“Saya tidak pernah menyebut bahawa PAS akan menyertai gabungan bersama Umno selepas pilihanraya.

“Secara jelas, saya menyatakan bahawa PAS menerusi Majlis Syura Ulamak pada 2015 menegaskan tidak akan bersama UMNO.

“Saya tegaskan jika PAS ingin membuat kerjasama itu, PAS dan Umno sudah tentunya akan bergabung pada 2008 terutama di Selango tetapi perkara itu tidak terjadi,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Bagaimanapun, beliau dalam kenyataannya turut menegaskan, PAS tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama bersama parti lain bagi mengukuhkan sokongan dan undi pada PRU akan datang.

“Apabila saya jelaskan bahawa sebarang keputusan boleh dibuat selepas tempoh pilihan raya lalu, ia bukan bermakna PAS akan bergabung bersama Umno.

“Tetapi ia adalah berkaitan gabungan dan kerjasama dengan parti selain daripada Umno,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rundingan kerjasama PAS masih berjalan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 DIS: Rundingan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PAS masih berjalan bagi mencari formula terbaik bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rundingan itu diteruskan hingga mencapai satu peringkat jangka masa tertentu diputuskan nanti.

“Rundingan (dengan PAS) dimulakan sebelum kita mengadakan perbincangan menandatangani perjanjian petang ini dan saya juga maklumkan kepada semua barisan kepimpinan Pakatan.

“Oleh sebab rundingan itu sudah bermula, sekarang kita akan meneruskan rundingan yang kita mulakan itu hingga ke satu peringkat masa,” kata Muhyiddin.

mou-pakatan1Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Kerangka Kerjasama Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu Malaysia di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini, petang tadi.

Sebelum itu, perjanjian kerjasama Pakatan Harapan bersama Bersatu ditandatangani bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 nanti.

Perjanjian itu ditandatangani pucuk pimpinan parti komponen Pakatan terdiri daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, manakala Bersatu pula diwakili Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun perjanjian dimeterai itu bertujuan untuk memastikan matlamat satu lawan satu tercapai, namun satu lagi parti bekas ahli gabungan Pakatan Rakyat, PAS belum menyertai perjanjian itu.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

1 lawan 1 : KEADILAN Selangor sokong pendirian PAS

OLEH SHUHAIMI SHAFIEI

KEADILAN Selangor sangat mengalu-alukan dan menyokong pendirian PAS yang telah menzahirkan persetujuan dengan konsep satu lawan satu bagi berdepan UMNO / BN dalam PRU 14 seperti yang dinyatakan Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin baru-baru ini.

Strategi satu lawan satu adalah pendirian KEADILAN sejak awal lagi bagi memastikan kemaraan Kerajaan Rakyat ke Putrajaya dapat direalisasikan. Ini dapat dilihat daripada kajian Institut Darul Ehsan IDE yang menyatakan bahawa pertembungan satu lawan satu akan lebih menguntungkan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Menurut kajian, Pakatan mempunyai peluang untuk menang sebanyak 59% jika satu lawan satu disepakati dalam PRU 14 bagi menentang BN berbanding peluang BN hanya sekadar 29% untuk menang khususnya di Selangor.

Pentadbiran ‘smartstate & good governance’ di Selangor sebagai kompas pentadbiran yang berhemah, wajar diteruskan dengan kemenangan ke atas BN melalui strategi satu lawan satu.

Kerajaan Rakyat ini harus dipertahankan dengan muafakat yang jitu dan menyeluruh pada semua peringkat termasuk di Kelantan dan Pulau Pinang.

Keterbukaan PAS untuk merealisasikan satu lawan satu adalah sangat wajar untuk disambut dengan tangan terbuka oleh KEADILAN dan komponen parti-parti pembangkang yang lain selaras dengan pendirian Pakatan Harapan yang turut mencadangkan satu lawan satu sebagai konsep yang perlu disepakati oleh semua parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO / BN dalam PRU 14 akan datang.

KEADILAN Selangor berpandangan bahawa hasrat rakyat untuk memilih dan membentuk Kerajaan baru perlu direalisasikan dengan permuafakatan bijak dalam kalangan pakatan parti KEADILAN, PAS,DAP, Bersatu, Amanah serta parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak.

Kesepakatan inilah sebenarnya satu senjata dan kekuatan yang sangat ditakuti oleh UMNO / BN.

Shuhaimi Shafiei adalah Ketua Penerangan Keadilan Selangor / ADUN Sri Muda

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ramalan hilang 8 kerusi, PAS Selangor sedia kaji

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Ramalan yang mengaitkan PAS Selangor akan kehilangan lapan kerusinya di negeri itu memerlukan kajian semula anggota parti berkenaan di peringkat pentadbiran negeri.

iskandar01Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato’ Seri Iskandar Abdul Samad berkata, laporan mengenainya hanya bersifat dakwaan dan memerlukan kajian lanjut berhubung sebarang keputusan dibuat.

“Ini semua hanya kenyataan biasa dan kita perlu lihat kajian yang dibuat pihak kami juga,” katanya menjawab pertanyaan pemberita di Lobi Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini.

Pagi ini media melaporkan, Barisan Nasional berpotensi untuk merampas semula Selangor pada pilihan raya umum (PRU) menerusi kajian dilaksanakan firma kajian Politweet.

Menurut laporan itu, BN boleh memenangi antara 17 hingga 23 kerusi daripada keseluruhan 56 DUN kerana peningkatan kerusi yang berisiko untuk dimenangi BN berbanding 12 DUN, pada PRU lalu.

Pada Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan proses persempadanan semula yang didakwa bersifat berat sebelah dan memberi kelebihan kepada Umno-BN.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PAS Selangor sambut baik tiada pilihan raya mengejut

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 20 SEPT: PAS Selangor menyambut baik kenyataan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Kerajaan Negeri tidak perlu dibubarkan awal bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia keputusan yang baik kerana mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu jelas untuk PAKATAN menerajui pentadbiran negeri.

“Mandat daripada rakyat cukup jelas kepada kerajaan yang dipilih, ketiga-tiga parti ketika itu adalah untuk lima tahun.

“Yang penting adalah pendirian Kerajaan Negeri bahkan (Dato’) Menteri Besar pun sudah membuat kenyataan bahawa tidak perlu (diadakan Pilihan Raya mengejut), saya ingat itu keputusan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya Selangor mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.

Yunus berpendapat, blok pembangkang di Selangor perlu menyelesaikan dahulu kemelut formula satu lawan satu bagi menghadapi Umno Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak mengadakan pilihan raya mengejut.

“Yang penting adalah bagaimana formula satu lawan satu yakni blok pembangkang lawan blok Umno BN boleh berlaku. Itu peluang yang terbaik untuk kita bertanding dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Semalam, Mohamed Azmin berkata tiada keperluan untuk Kerajaan Negeri itu mengadakan pilihan raya lebih awal.

Katanya, mandat diberikan untuk mentadbir Selangor tidak boleh dikhianati sewenang-wenangnya.

EZY

Categories
SELANGOR

PAS Selangor serah Pusat kerjasama politik

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerjasama antara PAS bersama DAP dan KEADILAN bergantung kepada PAS Pusat.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Samad, berkata hal itu kerana PAS Selangor tidak boleh membuat apa-apa keputusan.

“Keputusan ditangan PAS Pusat. PAS Selangor hanya boleh menyatakan pandangan.

PAS SELANGOR“Bagaimanapun, PAS Selangor yakin dengan kebijaksanaan dan pandangan jauh PAS Pusat yang akan mengambil kira situasi di negeri ,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata demikian bagi mengulas tentang pelawaan Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohd Azmin Ali agar PAS kembali bekerjasama dengan PKR dan KEADILAN.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata pihaknya masih bekerjasama dengan baik di peringkat kerajaan.

“Walau bagaimanapun bagi kami di Selangor, kerjasama di antara ketiga-tiga parti masih terus berjalan di dalam kerajaan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: PAS optimis raih sokongan rakyat

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 APR : PAS optimis mampu meraih sokongan berterusan masyarakat Sarawak menjelang pilihan raya negeri Sarawak Mei ini, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata keyakinan rakyat Sarawak yang mahukan perubahan khususnya aspek pembangunan membolehkan parti itu memecah penguasaan Barisan Nasional pada PRN ini.

Sarawak“PAS Selangor bersyukur dengan penerimaan penduduk yang amat menggalakkan terhadap PAS. Penduduk tempatan tidak lagi takut untuk bersama-sama di dalam program yang kami anjurkan.

“PAS Selangor optimis dengan peluang PAS untuk merampas kerusi dipertandingkan.

“Berdasarkan pemerhatian kami, rakyat Sarawak memerlukan pembelaan dari PAS kerana pembangunan di negeri tersebut adalah tidak seimbang,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, PAS mengumumkan meletakkan calon di 11 kerusi PRN dan dua daripadanya merupakan kawasan baru Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri.

Daripada jumlah itu, PAS Selangor ditugaskan untuk membantu DUN (N.27) Sebuyau dan DUN (N.70 Samalaju).

EZY

Categories
SELANGOR

Enam Ahli DHPP dilantik Ahli Majlis PBT

SHAH ALAM, 15 FEB : PAS mengiktiraf kemampuan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dengan menyenaraikan mereka untuk menjadi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata enam dari 67 orang Ahli Majlis PBT PAS di negeri itu dari kalangan ahli DHPP.

PAS SELANGOR“Ini membuktikan bahawa ahli-ahli DHPP telah diberikan peranan yang penting oleh PAS.

“Mereka bukan sahaja diberi peluang memainkan peranan dalam kalangan masyarakat bukan Islam tetapi juga masyarakat Islam,” katanya dalam kenyataan pada 15 Februari lalu.

Katanya, ketetapan itu sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya DHPP mempunyai peranan terhad di dalam PAS.

Kesemua mereka telah mengangkat sumpah di PBT masing-masing pada awal bulan ini.

Mereka juga telah melafazkan ikrar taat setia kepada PAS bersama Ahli Majlis PAS yang lain dalam majlis khas di Shah Alam pada 13 Februari lepas.

Ahli Majlis PBT DHPP:

1. Datuk Deepakaran A/L Karuppiah – Ahli Majlis Perbandaran Klang
2. Anandan A/L Damodaran – Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor
3. Rajeswary A/P Palakrishnan – Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor
4. Kong Tuck Wah – Ahli Majlis Perbandaran Sepang
5. Rajan A/L Manekesan – Ahli Majlis Daerah Kuala Langat
6. Ng Kok Chuan – Ahli Majlis Perbandaran Selayang

Categories
KENYATAAN MEDIA

Mencari rasa bangga rakyat yang hilang

OLEH : Tuan Ibrahim Tuan Man

Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa ingin merasa bangga terhadap negara dan juga institusi-institusi berkuasa dan kewangan negara.

Mereka dahagakan pujian-pujian terhadap Malaysia. Mereka ingin dengan bangganya menyebut ‘Kita orang Malaysia’ tanpa orang lain mengungkit dan bertanya soalan-soalan mengenai skandal berskala antarabangsa yang memalukan.

Selamat MalaysiaMereka juga ingin merasa bangga dan syukurnya Malaysia dipuji kerana negara ini ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang bersih, dilihat bersih, sanggup bertanggungjawab, sedia mengaku salah dan memberikan keyakinan kepada rakyatnya.

Begitu juga dengan sistem keadilan negara, mereka ingin merasa bangga apabila Malaysia dipuji kerana adanya seorang Peguam Negara yang boleh bertindak secara berdikari, adil dan saksama terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat.

Namun, hari ini, majoriti rakyat Malaysia berasa malu dengan apa yang sedang melanda negara kita.

Sebabnya mudah, nama Malaysia kini terpalit dengan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang tidak dapat terpisah dengan skandal kewangan yang melanda 1MDB dan juga ‘cerita sebenar’ derma RM2.6 bilion yang muncul di dalam akaun peribadinya.

Lebih menyayatkan hati, kini nama Peguam Negara juga diheret bersama sejurus beliau mengumumkan tiada tindakan susulan terhadap PM selepas menerima laporan siasatan SPRM terhadap derma RM2.6 bilion dan SRC International.

Hari ini, nama Malaysia kini sering disebut bersama 1MDB dan RM2.6 bilion di mana-mana pelusuk dunia. Perkara ini memberatkan hati rakyat kerana ia telah menjejaskan nama baik negara sepenuhnya.

Najib-1MDBAkhirnya, rakyat juga yang terpaksa memikulnya – dalam bentuk kejatuhan nilai Ringgit, laporan negatif media-media antarabangsa yang bertubi-tubi dan juga pandangan serong negara lain.

Meskipun begitu, rakyat Malaysia jangan berputus asa. Rakyat Malaysia perlu terus menjadi pendesak kepada kerajaan dan pembangkang, terutamanya para ahli politik negara untuk melakukan yang terbaik untuk negara.

Rakyat perlu berani menyatakan bantahan dan terus mendesak kepada salahguna kuasapenyelewengan dan penipuan kerajaan. Rakyat perlu bertegas dengan pembangkang pada perkara-perkara yang sama.

Rakyat perlu menghantar mesej bahawa para ahli politik perlu berusaha dan bekerja untuk mendapatkan undi mereka. Gunakan media sosial sebaik mungkin secara bertanggungjawab sebagai medium pendesak.

Daripada meletakkan tenaga untuk menjatuhkan seseorang, rakyat boleh mencuba untuk menaikkan seseorang ahli politik yang dianggap mereka berwibawa untuk menerajui negara. Kerana naiknya seorang yang baru, maka akan gugurlah yang lama.

Demi masa depan negara tercinta dan misi mencari kembali rasa bangga yang kehilangan, segalanya kini terletak di bahu rakyat – bos sebenar Malaysia tatkala kebanyakan para ahli politik negara terus bercakaran tanpa pertimbangan kesannya terhadap negara dan rakyat secara keseluruhannya.

* Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Timbalan Presiden PAS

Categories
SELANGOR

Dewan Ulama PAS anggap isu pakaian ala dewa salah faham

SHAH ALAM 9 FEB: Dewan Ulama PAS Pusat menyifatkan isu Adun Paya Jaras, Khairuddin Othman didakwa berpakaian menyerupai ala dewa berlaku bukan bertujuan melanggar batasan agama jauh sekali memperkecil serta mempersenda syariat Islam.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata sebaliknya apa yang berlaku hanya kerana salah faham dan tidak mengamati kedudukan menyerupai bentuk amalan agama lain.

Katanya, beliau mengharapkan kepada semua ahli PAS lebih berhemah dalam apa jua tingkahlaku yang membabitkan keagamaan.

“Ia agar tidak menimbulkan permasalahan dan fitnah kepada semua agama yang wujud dalam negara kita tercinta ini,” kata Dr Nik Muhammad dalam kenyataan media.

Katanya diharapkan kesilapan itu tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Kita harap segalanya diampunkan oleh Allah SWT,” katanya.

EZY