Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan kekasih ditahan proses, edar kek dan biskut kanabis

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Sepasang kekasih ditahan selepas disyaki terlibat memproses dan mengedar kek dan biskut berasaskan dadah jenis kanabis di sekitar Lembah Klang dalam serbuan berasingan pada Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata dalam serbuan di hadapan lobi sebuah residensi di Jalan Pudu kira-kira 3.50 petang, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Honda City kerana disyaki memiliki biskut dan kek berasaskan bahan itu.

Katanya, pada pada hari sama, kira-kira 6.30 petang, polis turut menahan seorang wanita berusia 28 tahun di sebuah residensi di Jalan Kemajuan, Petaling Jaya.

Hasil kedua-dua serbuan itu, pihaknya merampas 156 balang biskut dan 94 kek berasaskan kanabis dianggarkan seberat 52.9 kilogram, lapan ketulan mampat kanabis (7.8 kg) dan cecair kanabis (31 kg) dengan nilai keseluruhan rampasan dadah RM229,299.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek yang juga pasangan kekasih menjadikan kediaman disewa mereka dengan bayaran RM3,000 sebulan itu sejak lapan bulan lepas sebagai tempat memproses kek dan biskut berasaskan kanabis.

“Kek dan biskut tersebut akan dipasarkan kepada kenalan rapat suspek di media sosial iaitu Instagram dengan harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 untuk sebiji kek seberat 100 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata turut disita sebuah kereta jenis BMW, wang tunai RM11,790, peralatan untuk membuat kek dan biskut manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis kanabis namun kedua-dua suspek tidak mempunyai jenayah lampau.

Menurut Sahar, suspek kini direman masing-masing enam dan tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dengan penahanan ini, polis menumpaskan kegiatan memproses dan pengedaran kek dan biskut berasaskan dadah jenis kanabis yang didalangi warga tempatan dikesan aktif selama lima bulan sekitar Lembah Klang.

“Biskut dan kek ini dipercayai mempunyai impak negatif jika dimakan oleh golongan kanak-kanak dan kita menasihatkan orang ramai tidak membeli atau memiliki makanan yang mempunyai kandungan kanabis atau dadah lain yang berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis selamat tiga beradik disyaki mangsa dera

PETALING JAYA, 28 OGOS: Polis menyelamatkan tiga kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa penderaan di sebuah pangsapuri di Kota Damansara, di sini semalam.

Ketiga-tiga beradik berusia antara empat dan tujuh tahun itu mempunyai kesan lebam dan kecederaan di badan dipercayai akibat didera, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Berikutan itu, polis menahan seorang ibu tunggal dan seorang lelaki, masing-masing berusia 30 dan 38 tahun, bagi membantu siasatan kes itu dan polis turut merampas tiga batang rotan pelbagai saiz.

Beliau berkata kediaman yang diserbu polis pada pukul 4 petang semalam itu didiami seorang ibu tunggal warga tempatan bersama tiga anaknya serta seorang lelaki warga tempatan dipercayai kekasih wanita itu.

“Polis menerima laporan kes itu pada Khamis daripada seorang wanita yang mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut daripada penghuni lain pangsapuri berkenaan. Pengadu pegi ke pangsapuri suspek untuk buat pemeriksaan dan pengesahan berhubung maklumat yang diterimanya.

“Pengadu menasihatkan ibu tunggal berkenaan agar tidak memukul anaknya dan suspek telah menyerahkan anaknya iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun untuk dijaga oleh pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak berusia empat tahun itu mendapati ada kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan dan dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

Berikutan itu, beliau berkata polis menyerbu kediaman kanak-kanak itu dan menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun.

Kedua-dua mereka juga mempunyai kesan kecederaan pada badan disyaki akibat penderaan dan  mereka dihantar ke PPUM untuk rawatan lanjut.

Mereka akan dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya, katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Mohamad Fakhrudin menasihatkan agar masyarakat sentiasa peka dengan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman dan kejiranan tempat tinggal dan melaporkan sebarang kejadian keganasan rumah tangga atau penderaan kanak-kanak dengan menghubungi talian kasih 15999 untuk bantuan segera.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan kekasih, adik ditahan larikan MPV polis

KEPALA BATAS, 25 OKT: Polis menahan dua beradik dan seorang wanita yang dipercayai terlibat melarikan kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S milik pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi, selepas kenderaan itu ditemui di Shah Alam, Selangor, awal pagi ini.

Menurut sumber kejadian berlaku sekitar pukul 9.15 malam apabila dua lelaki yang merupakan adik beradik berumur 28 dan 32 tahun datang ke bahagian kenderaan dan mendakwa kononnya mereka adalah anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat yang mahu membuat pemeriksaan ke atas kamera (dashcam) yang terdapat dalam MPV itu.

“Kejadian berlaku sangat pantas, dan suspek terus memecut kereta MPV keluar daripada perkarangan IPD SPU berkenaan sebelum penyelia bahagian kenderaan itu sempat berbuat apa-apa, dan dia juga tidak mengesyaki apa-apa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, penyelia itu (anggota polis berpangkat sarjan) hanya menyedari kenderaan MPV dilarikan selepas setengah jam kemudian apabila suspek tidak kembali semula ke IPD, dan kenderaan itu juga gagal dihubungi.

Kenderaan itu kemudiannnya di kesan di Shah Alam, Selangor, beberapa jam kemudian, dan polis berjaya menahan seorang suspek lelaki serta seorang wanita berusia 20-an dipercayai teman wanitanya yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

Susulan penahan itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki, iaitu adik kepada suspek pertama di Tasek Gelugor awal pagi ini.

“Siasatan mendapati suspek mulanya mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor, dan pasangan kekasih berkenaan dipercayai cuba menyamun sebuah kedai runcit sebelum memandu ke Shah Alam, difahamkan dia bertindak sedemikian (curi kenderaan) kerana mahu menunjuk kepada teman wanitanya,” katanya.

Menurutnya siasatan polis juga mendapati suspek utama itu pernah ditahan pada 15 Okt lalu kerana mencuri kabel elektrik malah dia dan adiknya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata adik-beradik itu juga merupakan penagih dadah tegar dan siasatan awal turut mendapati yang suspek utama yang melarikan MPV berkenaan mempunyai masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan Seksyen 379A dan 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

-BERNAMA