Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor diwujud pastikan bekalan makanan cukup

SHAH ALAM, 10 MEI: Pasar Agro Selangor diwujudkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan sampai kepada rakyat di seluruh negeri, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pasar itu berperanan seperti pasar tani dan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan bahan keperluan sentiasa mencukupi.

“Ia bukan mahu berlawan, bersaing dengan pasar tani sebab itu kita buat di lokasi yang jauh dari pasar tani dan berada di kawasan terdapat ramai pelanggan seperti kawasan flat.

“Ada tempat yang tetap ada juga ‘ad hoc’… ada yang bulanan ada yang mingguan. Ia bergantung kepada keperluan tempat itu. Kita guna kaedah memaklumkan menerusi Facebook dan memasang banting di kawasan terpilih bagi memaklumkan aktiviti berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan memberi kupon potongan harga kepada pengunjung di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini.

Katanya, beliau juga bercadang menggandingkan Lori Selangor Agro Market di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk bersama Pasar Agro Selangor di beberapa lokasi tertentu bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna.

Lokasi Pasar Agro Selangor meliputi Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri teliti semula lokasi Pasar Agro Selangor

SHAH ALAM, 31 JAN: Kerajaan Negeri akan meneliti semula lokasi Pasar Agro Selangor terutama yang beroperasi di tapak sama atau berhampiran pasar tani.

EXCO pertanian dan asas tani berkata langkah memperluas operasi pasar itu ke seluruh negeri bagi memudahkan rakyat membeli hasil tani yang segar dan berpatutan.

“Contohnya jika pasar tani dibuka di Seksyen 13 Shah Alam, kita berpandangan pasar agro sepatutnya beroperasi di kawasan lain bagi memastikan rakyat semua tempat mendapat manfaat.

“Cadangan ini sedang dipertimbangkan, Insya-Allah saya akan bincang dengan agensi berkaitan secepat mungkin,” kata Ir Izham Hashim selepas meninjau pasar tani di pekarangan Stadium Shah Alam hari ini.

Beliau berkata lokasi baharu pasar agro turut mengambil kira kesediaan pengusaha kerana melibatkan jualan terus dari ladang.

Lokasi Pasar Agro Selangor meliputi Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Agro Selangor dibuka berperingkat mulai September

SHAH ALAM, 30 OGOS: Pasar Agro Selangor dijangka dibuka semula secara berperingkat mulai September ini dengan menumpukan beberapa lokasi baharu.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Selangor memaklumkan cadangan lokasi meliputi Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian di Klang dan Sabak Bernam.

“Kita perlu mengambil kira kesediaan pengusaha di lapangan sebelum membuka semula pasar ini kerana ia melibatkan jualan terus dari ladang.

“Operasi pasar juga tidak semestinya di lokasi sedia ada, sebaliknya fokus di tempat baharu,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Operasinya Mohamed Zharaubi Kafi.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di tapak Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini.

Lokasi Pasar Agro Selangor meliputi Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

Pembelian juga boleh dibuat secara dalam talian di pautan www.agrobazaar.com.my

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor bakal miliki dua pasar raya agro – EXCO

SABAK BERNAM, 21 OGOS: Pasar raya agro di Puchong yang menjadi lokasi menjual produk tempatan pada harga patut dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022, kata EXCO asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pasar raya yang dibina dengan kos RM8 juta itu boleh menempatkan 50 peniaga sekaligus meningkatkan hasil jualan industri asas tani.

“Selain itu Kerajaan Negeri dengan agensi berkaitan di peringkat pusat telah mengenal pasti tapak pembinaan pasar raya agro kedua berhampiran Sungai Klang.

“Ketika ini beberapa perkara akhir sedang diteliti sebelum majlis pecah tanah diadakan. Berdasarkan pelan awal, pasar raya agro ini boleh memuatkan sehingga 500 peniaga,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Sungai Besar hari ini.

Izham juga berkata Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menukar status pasar awam kepada Pasar Agro Selangor.

“MBSA telah tawarkan beberapa lokasi pasar awam dan sedang nilaikan kesesuaiannya tetapi kita jangkakan perkara ini diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Selain itu kita juga akan berbincang dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung penukaran status pasar awam kepada Pasar Agro Selangor dengan sasaran setiap PBT sekurang-kurangnya ada satu pasar tersebut bertukar status,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor diterus walau Covid-19 berakhir

SHAH ALAM, 6 JUN: Operasi Pasar Agro Selangor termasuk secara pandu lalu akan diteruskan meskipun selepas penularan Covid-19 berakhir, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata empat langkah diambil untuk memperluaskan operasi pasar tersebut iaitu mewujudkan tapak kekal, tapak pindah mengikut kesesuaian kawasan, agro mall dan penukaran status pasar awam menjadi pasar agro.

“Kerajaan Negeri akan berbincang dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung penukaran status pasar awam kepada Pasar Agro Selangor.

“Buat permulaan sasaran kita setiap PBT sekurang-kurangnya ada satu pasar tersebut bertukar status,” katanya pada sesi temu bual bersama Media Selangor.

Izham berkata Pasar Agro Selangor mendapat permintaan tinggi kerana harga barangan dijual berpatutan serta lebih rendah daripada harga kawalan.

“Ketika bulan puasa baru-baru ini ayam dan daging dijual di bawah harga kawalan malah semua barang keperluan lain turut dijual dengan harga murah sebab tidak melalui orang tengah.

“Saya akan adakan mesyuarat dengan Fama dalam tempoh terdekat bagaimana hendak luaskan operasi Pasar Agro Selangor serta bagaimana cara hendak pasarkan hasil tani secara terus,” katanya.

Pasar Agro Selangor mencatatkan nilai jualan sebanyak RM13 juta sejak dilancarkan pada 27 Mac lalu manakala pasar secara pandu lalu khusus untuk orang ramai membeli keperluan sempena Aidilfitri dilaksanakan pada 22 dan 23 Mei lalu mencatatkan nilai jualan RM560,000.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Catat nilai jualan RM560,000, Pasar Agro Selangor bakal ditambah baik

SHAH ALAM, 26 MEI: Pasar Agro Selangor yang menawarkan barangan segar pada harga terkawal selama dua hari sempena Aidilfitri mencatatkan nilai jualan RM560,000.

Beroperasi di enam lokasi, EXCO industri asas tani berkata faktor harga rendah dan keselesaan membeli secara pandu lalu mendorong peningkatan hasil jualan.

“Kita akan teruskan Pasar Agro Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tetapi ditambah baik demi keselesaan dan kemudahan rakyat,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

“Pasar menggunakan konsep pandu lalu, jualan secara dalam talian dan penghantaran ke rumah perlu diteruskan selaras norma baharu berikutan Covid-19 belum terhapus.”

Pada 22 dan 23 Mei lalu, Selangor melaksanakan operasi jualan secara pandu lalu untuk pelanggan mendapatkan barangan basah pada harga berpatutan.

Lokasi jualan ialah Tapak Pasar Tani Saujana Utama, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya SS6, Pusat Operasi Fama Dengkil dan Pusat Operasi Fama Puchong.

Pembelian secara dalam talian boleh dibuat melalui pautan www.agrobazaar.com.my atau rujuk Facebook Agro Selangor untuk maklumat lanjut.

Categories
SELANGOR

Pasar Agro Selangor: Pelanggan sambut baik inisiatif Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 23 MEI: Jualan secara pandu lalu di Pasar Agro Selangor mendapat reaksi positif pembeli yang menyifatkan pendekatan ini mampu mengurangkan kesesakan selain dapat menjaga penjarakan sosial bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Wan Hafizah Wan Romeli, 36, berkata beliau berpuas hati dengan inisiatif ini berbanding menunggu lebih lama di pasar awam kerana urusan pembelian dapat diselesaikan lebih cepat.

“Ini pengalaman pertama saya membeli selepas melihat iklan mengenai Pasar Agro Selangor di laman sosial. Alternatif ini sangat baik kerana saya hanya perlu pilih barang yang ingin dibeli dan tunggu di dalam kereta sahaja.

Seorang pembeli menunjukkan bilangan ayam yang hendak dibeli kepada peniaga di pasar tani secara pandu lalu di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kalau dalam keadaan sekarang di pasar saya rasa kena berdiri lebih lama sampai ke luar tetapi kaedah ini sangat berbaloi,” katanya yang tinggal di Batu 3, Shah Alam.

Pandangan sama turut dinyatakan Amran Ismail, 42, dari Padang Jawa, Klang yang menyifatkan pembelian secara pandu lalu menjimatkan masa tanpa perlu mencari tempat meletak kenderaan dan beratur panjang.

Bagi Fahimah Nabilah Ahmad Shukri, 26, beliau menyarankan operasi jualan secara pandu lalu perlu diteruskan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun akan datang kerana ketika ini angka kes Covid-19 tidak menentu serta masih membimbangkan.

“Inisiatif ini sangat bangus dan secara tidak langsung kita mengamalkan penjarakan sosial kerana menunggu dalam kenderaan. Ia sangat mudah kerana kita tiada sentuhan dengan penjual dan tidak perlu bersesak-sesak untuk mengelak penularan wabak, katanya dari Seksyen 7, Shah Alam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Operasi pandu lalu Pasar Agro Selangor lancar, sedia diperluas

SHAH ALAM, 23 MEI: Operasi Pasar Agro Selangor sedia diperluas pada musim perayaan akan datang bagi memastikan jualan secara pandu lalu berjalan lebih lancar, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata kualiti produk juga perlu dikekalkan jika usaha membuka lebih banyak gerai jualan pandu lalu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.

Menurutnya, walaupun menerima rungutan daripada beberapa pembeli kerana terpaksa beratur panjang tetapi sekurang-kurangnya mereka menunggu di dalam kereta berbanding berdiri lebih lama di pasar awam.

“Saya lihat di beberapa tapak pasar agak padat tetapi (Pasar Agro Selangor) telah melonggarkan sedikit tekanan di sana (pasar awam) sekaligus mengurangkan kesan-kesan Covid-19.

“Kita dapati di pasar terdapat beberapa kes yang merebak. Bukan ingin menakutkan orang ke pasar tetapi saya kira kita perlu lebih berhati-hati,” katanya ketika sidang media di tapak pasar tani Seksyen 13 Shah Alam hari ini.

Beliau berkata tawaran harga jualan di Pasar Agro Selangor lebih rendah dan berpatutan tanpa melibatkan sentuhan fizikal demi menghalang penularan Covid-19.

Katanya kesesakan yang berlaku dua hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah perkara biasa kerana semua orang mahu membuat persiapan membeli barang keperluan.

Amirudin sebelum itu meninjau operasi jualan secara pandu lalu yang mula dibuka selama dua hari bermula semalam serta mendekati pembeli dan penjual.

Selain di Shah Alam, pasar sama turut beroperasi di beberapa lokasi lain antaranya tapak pasar tani Kelana Jaya; Saujana Utama, Sungai Buloh dan Beranang, Hulu Langat.

Categories
EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor jual ayam, daging bawah harga kawalan 22 – 23 Mei

SHAH ALAM, 21 MEI: Pasar Agro Selangor (SAM) menawarkan jualan ayam dan daging segar di bawah harga kawalan bermula esok sehingga Sabtu sempena sambutan Aidilfitri, kata EXCO Industri Asas Tani.

Ir Izham Hashim berkata harga sekilogram ayam ditawarkan ialah RM7.20 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.50 sekilogram, sementara daging segar dijual RM33.50 (harga kawalan RM34 sekilogram).

“Antara lokasi jualan ialah Tapak Pasar Tani Saujana Utama, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya SS6, Pusat Operasi Fama Dengkil dan Pusat Operasi Fama Puchong.

“Kesemua tapak jualan ini dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang, dan pelanggan boleh membeli barangan ini secara pandu lalu sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata jualan istimewa itu dilaksanakan khas bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barang mentah bermutu dengan harga berpatutan.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk bantu rakyat. Untuk rujukan, orang ramai boleh layari laman Facebook Agro Selangor atau Facebook Izham Hashim,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lima lokasi Pasar Agro Selangor beroperasi menjelang Aidilfitri

SHAH ALAM, 19 MEI: Operasi Pasar Agro Selangor diperluaskan ke empat lokasi terpilih menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini bagi membolehkan orang awam mendapatkan barangan segar terutama bekalan ayam dan daging pada harga berpatutan, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata lokasi berkenaan adalah di tapak pasar tani, Seksyen 13 Shah Alam, tapak pasar tani Kelana Jaya; Saujana Utama, Sungai Buloh dan Beranang, Hulu Langat.

Katanya, pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan Pasar Agro Selangor yang akan beroperasi adalah lima termasuk operasi sedia ada di Bandar Baru Bangi.

“Insya-Allah kita beri jaminan jualan barang-barang dibuat di bawah harga kawalan. Saya difahamkan ada kenaikan harga ayam dan daging. Kita akan pertahankan untuk beri harga terbaik.

“Contohnya ayam kita akan cuba beri harga bawah RM7.50 sekilo dan daging lembu segar atau daging pejal pada harga maksimum RM35 sekilo. Saya difahamkan ada tempat yang sudah melebihi RM8 untuk harga ayam,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Pasar ini akan beroperasi selama dua hari bermula 22 Mei dan 23 Mei (Jumaat dan Sabtu) pada jam 8 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata setakat ini jumlah jualan di Pasar Agro Selangor hampir mencecah RM10 juta sejak mula dilancarkan pada 27 Mac lalu.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lima lokasi baharu Pasar Agro Selangor dibuka sebelum Aidilfitri

AMPANG, 12 MEI: Kerajaan Negeri akan membuka sekurang-kurangnya lima lokasi baharu Pasar Agro Selangor dalam tempoh terdekat, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata ia bagi memenuhi permintaan rakyat, terutama bekalan daging menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, pembukaan lokasi baharu Pasar Agro turut membantu meningkatkan pendapatan golongan petani dan penternak yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Perincian lokasi baharu pasar ini akan diputuskan dalam mesyuarat mingguan EXCO esok dan buat masa ini saya tidak boleh beritahu di mana lokasinya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Alat Pengecaman Muka dan Pengesanan Suhu Badan bagi kegunaan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah.

Ir Izham berkata pembukaan lokasi baharu Pasar Agro Selangor memerlukan sedikit masa kerana memerlukan kajian terperinci, terutama jika ia berkonsepkan pandu lalu.

Negeri ini mempunyai 10 Pasar Agro Selangor iaitu di Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ia disusuli Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

Orang ramai boleh layari laman web www.agrobazaar.com.my untuk membeli dalam talian atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pasar Agro Selangor menerusi Facebook Agro Selangor.

Sejak dilancarkan pada 27 Mac lalu, Pasar Agro Selangor mencatatkan nilai purata jualan antara RM20,000 hingga RM250,000 sehari.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Agro Selangor catat nilai jualan lebih RM7 juta

SHAH ALAM, 4 MEI: Pasar Agro Selangor mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7.37 juta dalam tempoh 67 hari selepas dilancarkan pada 27 Mac lalu, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata purata nilai jualan sehari juga amat memberangsangkan iaitu mencecah RM250,000.

“Semua Pasar Agro Selangor di sembilan lokasi merekodkan peratus nilai jualan meningkat iaitu lebih 30 peratus sejak mula dilancarkan.

“Sementara pasar segar terkawal di Bangi yang baru sahaja dibuka pada 21 April lalu juga mendapat sambutan terutama jualan daging lembu,” katanya.

Berkonsepkan pandu lalu dan tempahan dalam talian, Ir Izham berkata pasar itu akan diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah bermula.

“Masyarakat masih perlu mengekalkan jarak sosial selamat dan sentiasa berwaspada. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan meluaskan lagi pasar sebegini kerana ia jelas membawa banyak manfaat kepada pengguna dan warga tani di Selangor.

“Pendekatan yang patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan itu menarik minat ramai pihak untuk membeli dengan pasar agro,” katanya.

Negeri ini mempunyai 10 Pasar Agro Selangor iaitu di Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ia disusuli Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

Orang ramai boleh melayari laman web www.agrobazaar.com.my untuk membeli dalam talian atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pasar Agro Selangor menerusi Facebook Agro Selangor.