Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ buka dua kaunter baharui lesen pasar awam, medan selera

SHAH ALAM, 5 DIS: Peniaga warga Subang Jaya boleh memperbaharui lesen perniagaan bagi pasar awam, pagi dan malam serta medan selera secara terus di kaunter bergerak sehingga 24 Disember ini.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pembukaan dua kaunter terbabit yang bermula 29 November lalu bagi pembayaran lesen 2022 mengikut zon masing-masing.

“Kaunter bayaran dibuka bermula 29 November sehingga 13 Disember bertempat di Dewan Serbaguna MBSJ USJ 7, Subang Jaya.

“Manakala pembukaan kaunter di Stadium MBSJ Serdang Jaya, Seri Kembangan akan bermula pada 16 sehingga 24 Disember ini,” menurutnya di Facebook.

Categories
EXCO SELANGOR

RM750,000 kos naik taraf pasar Pasir Penambang, ruang niaga selesa

KUALA SELANGOR, 5 OKT: Kerja menaik taraf Pasar Awam Pasir Penambang di sini, memberi manfaat kepada 95 peniaga selepas projek itu siap pada Mac lalu.

EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata projek menelan belanja RM750,000 itu turut memberi keselesaan kepada lebih 1,000 pengunjung harian.

“Kerja menaik taraf ini merangkumi sistem bekalan air, lantai pasar, meja jualan dan longkang selain pembaikan bumbung, gerai, tandas dan pembinaan laluan penjalan kaki.

“Kos keseluruhan sebanyak RM750,000 dengan RM600,000 diperuntuk Kerajaan Negeri dan baki ditanggung MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di pasar hari ini.

Sze Han berkata kerja menaik taraf mula dijalankan pada November 2019 dengan semua 95 lot gerai pasar itu dipenuhi peniaga.

Katanya, kos sewaan lot gerai berkenaan bermula serendah RM100 hingga RM1,500 sebulan mengikut tender.

Beliau kemudian meneruskan lawatan kerja di Kuala Selangor dengan meninjau kerja pembangunan Dewan Serbaguna Hillpark dan melihat cadangan projek persimpangan persiaran Eco Grandeur 2.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majlis daerah nafi wujud kluster Pasar Awam Sungai Besar

SHAH ALAM, 24 JULAI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menafikan dakwaan terdapat 60 kes positif Covid-19 yang dikaitkan dengan Pasar Awam, Sungai Besar.

Yang Dipertuanya Azman Dahlan berkata dakwaan wujud kluster di pasar terbabit seperti tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat kenyataan palsu sehingga mengundang permasalahan, kebimbangan dan ketakutan kepada orang ramai serta pengunjung pasar khususnya peniaga Pasar Awam, Sungai Besar.

“Anda juga diingatkan tidak berkongsi maklumat tidak pasti kerana boleh mewujudkan pelbagai persepsi yang salah kepada awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semakan Selangorkini mendapati seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Puan Ziema Rasman memuat naik status mendakwa kekurangan pelanggan sejak berita palsu itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Hari Sabtu, tak pernah-pernah seperti ini (lengang) mana individu yang tularkan berita Pasar Awam Sungai Besar 60 orang positif itu?

“Datang la borong sayur saya, modal tidak lepas, tengah seronok lihat kesusahan orang lain ke ? sebab mulut semua peniaga pasar ini terjejas,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK tutup pasar setiap dua minggu untuk nyahkuman

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup pasar borong dan awam di kawasan pentadbirannya setiap dua minggu untuk proses nyahkuman.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memaklumkan inisiatif bermula November bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kerja nyahkuman ini melibatkan keseluruhan pasar dan kedai PKNS dalam kawasan MPK,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dua premis perniagaan ditutup bermula hari ini hingga Isnin melibatkan Kompleks Pasar Besar Jalan Meru dan kedai PKNS Jalan Pasar Baru.

Dr Ahmad Fadzli berkata Pasar Pelabuhan Klang ditutup pada 1, 15 dan 29 Disember, Pasar Pandamaran (2, 16 dan 30 Disember) sementara Pasar Pekan Kapar (3, 17 dan 31 Disember).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bomba Selangor: Lebih 900 agensi, pasar awam disanitasi

SHAH ALAM, 27 OKT: Sebanyak 916 lokasi termasuk 600 agensi kerajaan dan pasar awam disanitasi sejak Mac hingga hari ini, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Pengarahnya berkata proses nyahkuman bagi mengelak penularan Covid-19 turut dilakukan di bangunan yang tidak merekodkan sebarang kes.

“Bagaimanapun lokasi menjadi tumpuan umum diberi keutamaan memandangkan risiko jangkitan tinggi.

“Setakat ini proses sanitasi banyak dilakukan di daerah Petaling diikuti Hulu Langat dan Klang,” kata Norazam Khamis kepada pemberita selepas operasi sanitasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall hari ini.

Jelas beliau, pihaknya mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi setiap operasi yang dijalankan.

“Antaranya anggota perlu mencuci tapak kasut menggunakan cecair peluntur sebelum operasi dan badan akan disembur bahan sama selepas itu.

“Setiap anggota mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan operasi dilakukan berkesan dan tidak mendatangkan mudarat,” katanya.