Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL perketat SOP masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperketatkan urusan kemasukan individu berkaitan ke Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) bermula Jumaat ini, dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Menurut kenyataan DBKL hari ini, individu seperti pemilik kedai, pekerja dan pemborong perlu mengemukakan salinan keputusan saringan Covid-19 yang diiktiraf Kementerian Kesihatan dengan tarikh tidak lebih dua minggu sebelum dibenarkan masuk.

Individu tersebut juga perlu melepasi pemeriksaan suhu badan yang tidak melebihi 37.5 darjah Celcius dan mendaftar diri menggunakan aplikasi MySejahtera di pintu masuk PBKL.

Arahan lain yang perlu dipatuhi ialah mengemukakan pas pelesen dan pas pekerja PBKL selain mematuhi tatacara operasi piawai digariskan Majlis Keselamatan Negara, seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

“Individu yang gagal mematuhi arahan tersebut tidak akan dibenarkan memasuki dan berurusan di PBKL,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL terus kawal, bersihkan pasar borong

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan kawalan di sekeliling kawasan tembok Pasar Borong Kuala Lumpur bagi memastikan tiada warga asing yang menggunakan tembok itu sebagai laluan masuk pasar.

DBKL dalam satu kenyataan hari ini menyatakan rondaan dan pemantauan juga dilaksanakan bagi menjaga harta benda di sekitar lokasi, selain memastikan pemilik, pembantu dan pengunjung mematuhi langkah keselamatan, jarak sosial dan kebersihan.

Selain itu, kawalan kenderaan yang memasuki pasar borong itu juga diteruskan dengan saringan suhu di laluan masuk.

Sejumlah 1,395 kenderaan melibatkan lori, kenderaan persendirian, motor dan teksi telah diperiksa pada hari ini dan seramai 1,530 orang telah menjalani saringan kesihatan sewaktu pemeriksaan itu.

Sementara itu, DBKL dengan kerjasama Alam Flora telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh di Pasar Raja Bot, di sini sejak 18 Mei lalu sehingga hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga pasar borong KL wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 5 MEI: Peniaga dan pemborong di Pasar Borong Kuala Lumpur wajib menjalani saringan Covid-19 serta mengemukakan keputusan ujian sebelum dibenarkan berniaga, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah tersebut diambil selepas 180 kes direkodkan di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Sebanyak 180 kes dijangkiti Covid-19 ini melibatkan peniaga dan bukan peniaga seperti ahli keluarga peniaga, pengunjung dan orang yang mempunyai kontak rapat dengan kluster berkenaan.

“Terdapat satu kes kematian dalam kluster ini, iaitu kes ke 5,252. Kluster Pasar Borong Kuala Lumpur ini didapati berkaitan dengan kluster Perhimpunan di Seri Petaling yang mana kes indeks (iaitu kes ke 3,039) bagi kluster ini adalah salah seorang peserta perhimpunan
terbabit,” katanya di Putrajaya hari ini.

Negara merekodkan 30 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 6,383.

Sebanyak 83 kes pulih dan dibenarkan keluar wad menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 4,567 atau 71.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasar Borong Kuala Lumpur kembali operasi, kawalan ketat

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kembali beroperasi bermula hari ini selepas selesai menjalani proses sanitasi dan kerja pembersihan selama empat hari di kawasan beerkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak berkuasa akan memantau operasi pasar borong tersebut supaya peniaga mematuhi peraturan dan prosedur yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja di kawasan itu.

Selain itu, katanya, penjual, pekerja dan pemandu lori dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai seperti penutup mulut dan hidung dan sarung tangan serta lori membawa bekalan dibenarkan masuk mengikut jadual yang ditetapkan.

“Mereka mesti kena ikut peraturan, jika didapati, kami akan tutup semula operasi Pasar Borong,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Annuar berkata pekerja Pasar Borong yang tinggal di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar pusat bandar utara di Selayang tidak boleh kembali bekerja dan perlu tinggal dalam kediaman masing-masing.

“Semua penduduk di kawasan itu dikehendaki menjalani saringan Covid-19 dan perlu dikuarantinkan selama 14 hari, baru boleh keluar selepas PKPD,” katanya.

-BERNAMA