Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat mahu jualan ayam RM8 dilanjutkan, tambah kuota bekalan peniaga

SERI KEMBANGAN, 12 FEB: Pengunjung Pasar Borong Selangor berharap kuota ayam yang dibekalkan kepada peniaga dapat dipertingkat, selain tempoh program dilanjutkan supaya lebih ramai rakyat dapat menerima manfaatnya.

Abdul Haziq Yusuf, 32, berkata beliau sudah beberapa kali membeli ayam pada harga jualan murah sejak program itu dilaksanakan pada Isnin lalu.

“Namun, hari ini saya tidak sempat membelinya kerana peniaga memaklumkan pengunjung agak ramai dan ayam dijual pada harga murah sudah mencecah kuota ditetapkan.

“Mungkin Kerajaan Negeri perlu menambah had bekalan ditetapkan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah K.Tamilselvee, 46, menyifatkan jualan ayam murah menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan banyak membantu meringankan beban rakyat.

“Memang ketika ini hendak cari bekalan ayam susah dan usaha seperti ini memudahkan orang ramai kerana tidak perlu pergi banyak tempat.

“Saya datang ke pasar hari ini kerana hendak ke rumah adik dan mendapati tidak sukar mencari ayam selain dapat beli pada harga murah,” katanya.

Hambali Maan, 53, pula berkata pelaksanaan program ini wajar dilanjutkan kerana memudahkan urusan rakyat dalam mencari keperluan harian.

“Selain bekalan mudah didapati ia sekaligus dapat membantu rakyat membeli barangan pada harga yang berpatutan.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan dan kerajaan dapat mengkaji masalah ini supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula Isnin lalu bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma PKPS serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan membabitkan dana RM1 juta itu akan dipanjangkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen sekiranya mendapat sambutan.

Categories
SELANGOR

Jualan ayam RM8 dapat sambutan, peniaga mohon tambah bekalan

SERI KEMBANGAN, 7 FEB: Jualan ayam RM8 sekilogram di Pasar Borong Selangor di sini yang bermula hari ini mendapat sambutan orang ramai.

Rata-rata peniaga juga mahu tempoh dua minggu pelaksanaan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan dilanjutkan manakala bekalan ayam ditambah.

Peniaga Nazirah Mohd Noor, 50, berharap had bekalan 50 ekor sehari kepada setiap peniaga perlu ditingkat bagi membantu mereka meningkatkan jualan.

Nazirah Mohd Noor, 50

“Memang bagus apabila harga lebih murah daripada sebelum ini. Jika Kerajaan Negeri boleh lanjutkan lagi tempoh, mungkin lebih baik. Senang kita hendak jual.

“Permintaan tinggi. Cuma saya mohon kerajaan selesaikan isu pembekalan. Lagi banyak ayam kita dapat jual, mungkin lebih membantu peniaga,” katanya.

Peniaga Fazrul Hassim, 35, juga menyifatkan program berkenaan membantu peniaga dan orang ramai tetapi ia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan secara keseluruhan.

“Kebelakangan ini, kami dapat ayam segar daripada pemborong hanya 500 ekor berbanding 1,500 yang dipesan setiap hari,” katanya.

Fazrul Hassim
, 35

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula hari ini.

Jualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pasar Borong Selangor menerusi dana RM1 juta bertujuanbagi meringan beban kenaikan harga barang makanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga asing sembunyi dalam kotak ikan elak dicekup imigresen

SERDANG, 26 JUN: Cubaan sekumpulan warga asing menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak daripada dicekup Jabatan Imigresen (JIM) termasuk bersembunyi di dalam kotak ikan dan longkang, tidak berhasil setelah mereka ditahan dalam operasi yang dilakukan di Pasar Borong Selangor, awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula pukul 1 pagi itu, seramai 72 warga asing membabitkan 39 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Bangladesh (19) , Myanmar (sembilan), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang warga India dan Nepal berjaya ditahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata kesemua warga asing berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, ada antara warga asing yang ditahan itu merupakan pemegang kad UNHCR, namun kad yang dikemukakan meragukan.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan kad tersebut serta pemeriksaan sama ada mereka ini mempunyai dokumen serta permit kerja berdasarkan sektor mengikut permohonan mereka.

“Kesemua mereka akan dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menyertai pemantauan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Op Patuh di Pasar Borong Selangor yang berakhir 4 pagi tadi.

Beliau berkata Op Patuh yang berkuat kuasa hari ini akan diteruskan bagi membanteras ketidakpatuhan SOP secara bersepadu dengan menumpukan aspek penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, dalam operasi yang turut disertai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata sebanyak 42,552 premis di seluruh negara diperiksa dalam tempoh 1 Jun hingga semalam.

Dalam tempoh itu, pihaknya telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM2.03 juta kerana pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP.

“Pemantauan sentiasa diteruskan bagi memastikan pematuhan peniaga terutamanya mereka yang di bawah sektor yang dikawal selia KPDNHEP berada pada tahap tertinggi,” katanya.

-BERNAMA